Rabu, Mac 24, 2010

Dari hati, untuk hati




Saya memang selalu duduk termenung. Nikmat. Tidak ada pula rakan yang menegur bahawa perbuatan saya itu sebagai tidak elok, maka saya teruskan saja tabiat tersebut.





Sambil bermenung sendirian, selalu saja fikiran ini dihinggapi dengan pelbagai persoalan dan permasalahan. Dari seremeh-remeh perkara, sehinggalah perkara yang besar-besar. Contohnya, berhadapan & bergaul dengan masyarakat membuatkan saya selalu tertanya-tanya, seseorang manusia itu berbeza disebabkan oleh apa?, juga bagaimana cara kita menilai sesesorang manusia. (walaupun saya bersetuju bahawa kita bukan Tuhan yang layak menghakimi manusia)



Persoalan itu berbolak-balik di dalam hati ini hingga menyebabkan lamunan saya sering saja meleret panjang. Dari persoalan pokok itu, terbit pula persoalan ranting yang lebih bersifat peribadi. – Apakah yang membuatkan seseorang itu istimewa pada kaca mata saya?




Nah, pada persoalan inilah lamunan saya benar-benar kembali meleret panjang.




Menjelang usia mencecah 20 tahun pada tahun hadapan, saya telah dipertemukan dengan ramai manusia di dunia ini. Ramai manusia, sudah pasti ada pelbagai ragamnya. Sebagai seorang manusia yang meraikan kepelbagaian ragam manusia, saya amat berharap saya akan memiiki jiwa yang besar dan mampu untuk dicampakkan di mana-mana saja di tengah masyarakat.




Entahlah. Barangkali kerana fitrah manusia itu sendiri, manusia selalu cenderung untuk berdamping dengan mereka yang memiliki kecenderungan yang sama dengan diri mereka sendiri. Maka kerana saya adalah seorang manusia yang berfitrah (barangkali), saya juga melihat keistimewaan seseorang itu kerana mereka memiliki banyak titik persamaan dengan diri saya.




Untuk menjawab persoalan ini dengan lebih panjang lebar, harus saja saya menjadi neutral dan menutup suis sisi romantika-jika ada (kerana sewaktu romantik, manusia selalu tidak realististik!)




Menilai keistimewaan seseorang berdasarkan hati budinya, saya selalu tertanya-tanya- apakah yang membentuk hati budi yang baik? Adakah didikan? Faktor persekitaran? Ataupun hati yang sedia suci bersih?- dan juga apakah yang didefinisikan sebagai hati budi yang baik? Kepala digeleng, saya benar-benar seorang manusia yang bingung.





Saya meletakkan tangan di dada, meminta ‘fatwa’ hati bagi meredakan kebingungan. Ah, ternyata saya tetap rungsing. Bahkan hati saya mengusulkan perkara kedua sebagai kayu ukur keistimewaan seseorang. Kecantikan paras rupa. Senyum. Nakal.




“Ah, apa kau sudah gila? Meletakkan taraf seorang manusia (baca:khalifah) pada takah paling rendah kerana bertuhankan nafsu- menilai seseorang kerana paras rupanya semata-mata. Kecantikan paras rupa tidak pernah kekal kau tahu? Hati juga tidak pernah berasa cukup - ia sentiasa tamak untuk mendapatkan yang lebih. Seeloknya kau berdoa saja agar memiliki hati yang merasai nikmat cukup.”




Lihat, ruang hati saya sudah membentak- dia memang suka memprotes.




Kemudian apa lagi untuk menilai keistimewaan seseorang ? Lidahnya barangkali? Setuju?




Boleh jadi setuju, boleh jadi tidak. Lidah hanya alat untuk menyuarakan rasa hati. Lidah tidak bersalah. Lidah yang kuat mengumpat, mengadu domba dan menfitnah itu cerminan kepada hati yang kotor. Sepatutnya manusia itu perlu lebih banyak berfikir dan mendengar, daripada banyak bercakap. Bertepatan dengan konsep zikir dan fikir bukan? Orang yang banyak cakap lagi banyak dia terdedah akan dosanya. Ah, lidah itu tidak bertulang.




Lagi, lagi, lagi! Hati, bicaralah lagi!



Cukuplah dahulu. Saya mahu kembali bermenung. Jangan ganggu.



*gambar tiada kaitan dengan entri*
lokasi: Muslim Youth Camp 2009


5 ulasan:

bukan syuk berkata...

haha cute =)

serai wangi berkata...

uish, ni mmg jauh mgelamun ni..

Mis Erika berkata...

hahaha..
comey..
:)

THALHAH berkata...

syuk letak gambar market kat hujung2 entry pasal nak pikat sesape yang ada paras rupa..hahah..peace~

Syukri Sapuan berkata...

serai wangi: mengalamun sambil muhasabah takpe kn? hehe


thalhah: apeda. takde kaitan.

Related Posts with Thumbnails