Khamis, Julai 01, 2010

Shah Alam jangan menggigit



sumber:google



Engkau baru sampai di tempat itu setelah dihantar seseorang. Tika kereta proton saga warna hitam mahu berhenti, seorang lelaki sebaya engkau melambai – itu sahabat! Engkau turun kereta, keluarkan barang yang dibawa, lantas terus berjabat tangan. Apa khabar kawan?



Beg kecil yang besar engkau bimbit - juga sandang, kemudian ikut menyusup bersama kawan. Senyap-senyap - kerana engkau mahu menginap secara haram yang halal. Kata kawan – buat seperti biasa. Engkau turutkan dan pengawal itu bagai tidak sedar (kerana kau berlagak seperti kebiasaan).




Engkau selamat jumpa tempat tidur beberapa malam, tapi yang belum selamat masih banyak.



Engkau pusing-pusing sendirian di pasaraya besar - juga perhati papan harga di setiap kedai makan. Engkau sambung bersiar, walau perut sudah lapar. Engkau buat kerja matematik di fikiran – engkau nekad tak mahu beratur di mesin pengeluaran. Sudahnya – engkau pulang ke bilik, makan bersama kawan. Engkau terkenang kata seseorang - makan seorang mengenyangkan, makan beramai menyenangkan. Engkau setuju, walau selalunya tidak.



Kawan engkau mulakan perbualan. Engkau tidak sama dengan kawan. Engkau datang dari kolej dalam hutan yang tidak perlu fikir duit belanja makan breakfast -lunch –dinner kerana duit makan sudah masuk dalam yuran pengajian. Engkau hanya perlu datang menatang talam biru dan pelayan-pelayan kaunter mencedok lauk seperti ketetapan pihak atasan ( walau kadang-kadang ada yang engkau kurang gemar)




Engkau tidak seperti kawan - yang bangun tidurnya perlu merancang – hari ini perlu makan di mana? Lunch hari ini di Rafi Bistrokah? Imtiyaz? Gerai tepian jalan? Kopitiam? atau McDelivery? (yang selalu buat kawan makan beriyani kosong pada akhir-akhir bulan).



Itu belum termasuk lambaian Mydin , juga ole-ole yang selalu buat kawan terpesong tujuan.



Engkau kerut dahi – bingung.




Engkau macam tidak tahu hidup di ibu kota tidak percuma. Mahu bergerak ke sini-sana perlu ada bayarnya – kerana mereka juga ada sesuatu untuk disara. Mereka juga manusia yang tersepit dengan sistem nilai yang keliru. Entah bila dan bagaimana mahu terlepas engkau juga tidak tahu dan tidak mengerti.



Engkau tidak boleh hidup di situ dengan nafsu besar yang tidak dicatu. Oh Tuhan! itu baru seorang. Belum dikira masa depan – kala anak-anak kecil mahu ini itu.



Engkau isi sepanjang malam di situ bersama kawan. Engkau berborak panjang, bergelak sakan – mengenang cerita zaman.




Beberapa malam di Shah Alam - engkau fikir tentang perbezaan. Engkau fikir tentang kelebihan dan kekurangan. Engkau fikir tentang realiti masa depan (masa depan yang akan terus menggigit).



Sekarang dan masa depan - ia akan terus menggigit (di mana-mana).





*Catatan perjalanan sempena ‘kunjungan hormat’ ke kediaman Thalhah Zainal di Kolej Cemara, INTEC pada 24 – 27 Jun 2010.





5 ulasan:

Hfz A. berkata...

sejujur jujurnya aku suka entri ni.
menusuk ke setiap senses dan kesedaran aku.

good job,good job.

serai wangi berkata...

cemara...

ainunl.muaiyanah berkata...

wo wo wo wo wo wo wo...

Ha ha ha. Ini macam mirip cerpen Cikgu Tomok. haha :)

THALHAH berkata...

wallaweyh! aku terharu.
itu realiti hidup, kawan. Percaturan kewangan menjadi congakan setiap saat.

Syukri Sapuan berkata...

hfz A: oh.trimas bro! :)


seraiwangi: ya, ada kenangankah yang mengusik disitu? :)


ainunl: duh - sememangnya agak terpengaruh juga dengan cikgu tomok - juga dengan mabuk buku. :)


thalhah: terima kasih kawan kerana memberi inspirasi!

Related Posts with Thumbnails