Pasti itu yang tersuara di hati anda jika anda melihat tajuk entri kali ini pada pandangan yang tipikal. Bagi masyarakat Asia khususnya, proses penyahtinjaan merupakan proses yang memerlukan privasi, dengan erti kata lain proses penyahtinjaan merupakan aktiviti yang paling individualistik.
Namun bagaimana pula ahli saintifik melihat proses ini daripada kacamata mereka?. Apakah manfaat tambahan daripada proses penyahtinjaan selain daripada menyingkirkan bahan kotoran daripada badan?. Dewan Kosmik edisi November 2008 telah mengulas ringkas berkaitan hal ini. Katanya, penyahtinjaan mencetuskan kebijaksanaan. Benarkah?. Atas faktor tertarik pada isu yang diketengahkan, saya ingin berkongsi dapatan ini pada anda semua.
Dalam catatan sejarah yang menarik, Albert Einstein menulis, " Saya agak kabur berkenaan perkaitan antara jisim, tenaga dan kelajuan cahaya. Saya tidak menghubungkan semua kuantiti fizik itu dalam satu persamaan yang bermakna. Pada suatu pagi, selepas minum secawan kopi, saya masuk ke dalam bilik air. Dalam kedudukan yang agak relaks, tiba-tiba muncul bayangan dalam fikiran saya bahawa entiti itu boleh disimpulkan menjadi E= MC2 ( teori relatif). Lantas saya mencatatkannya pada sehelai kertas tisu kerana selalunya apabila saya keluar sahaja daripada bilik air, saya terus terlupa apa-apa sahaja yang difikirkan tadi. Sejak itu, setiap kali memerlukan jawapan yang membuntutkan fikiran seperti mengingati nombor telefon atau mencari kunci yang hilang, saya akan terus ke bilik air. Ajaibnya, 94.37% daripada masalah dapat saya selesaikan dengan cara ini."
Nah. Terhidang satu persoalan di sini. Benarkah Teori Relatif itu terhasil sewaktu Albert Einstein berada di dalam bilik air?. Dalam laporan terkini majalah Real Man, kumpulan saintis dari Jerman mengegarkan dunia dengan kenyataan bahawa kebijaksanaan berkait rapat dengan penyahtinjaan. Hujah mereka lagi, semasa proses penyahtinjaan, kebijaksanaan manusia boleh memecut dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu antara beberapa saat sahaja. Malangnya, banyak antara kita tidak menyedari fakta penting ini dan menganggap penyahtinjaan cuma aktiviti bagi melegakan perut sahaja. Satu aplikasi ringkas, pernahkan anda merasai pengalaman unik memperoleh ilham sewaktu sedang melakukan penyahtinjaan?.
Menurut penyelidik itu lagi, banyak manusia lain yang mendapatkan inspirasi baharu yang hebat sewaktu sedang melakukan penyahtinjaan. Mereka juga percaya, seorang bayi mungkin dapat menyebut perkataan pertama sewaktu sedang meneran najis. Namun saintis berkenaan memberikan beberapa panduan dan syarat bagi memastikan kejayaan proses ini.
Pertama, jangan mengambil masa terlalu lama di dalam bilik air kerana aroma yang kurang enak dihidu mungkin mempengaruhi kesan pemikiran kita. Kedua, waktu yang terbaik bagi melakukannya adalah pada waktu awal pagi. Walaupun saintis itu sendiri tidak dapat menjelaskannya secara terperinci, mereka percaya mungkin ada sesuatu yang harus dilakukan bagi meningkatkan keupayaan otak secara meditasi dan aktiviti rutin selepas bangun tidur. Akhirnya, proses ini cuma berkesan hanya sekali dalam sehari. Maka, saintis menyimpulkan bahawa hasil terhebat yang boleh dicapai ialah sebaik-baik sahaja tinja pertama keluar dari perut pada hari-hari tertentu sahaja.
Segala fakta dan dapatan kajian yang saya tulis di atas ini bukannya kata-kata daripada saya. Saya tulis kembali berdasarkan bacaan rencana di majalah Dewan Kosmik. Terpulang pada anda untuk mempercayainya atau tidak. Saya pasti mereka menulis daripada kacamata saintifik. Dari sudut pandangan agama Islam pula, apabila berhadapan dengan masalah, umat Islam disarankan bersolat sunat dua rakaat. Hal ini kerana, solat itu sendiri akan mencetuskan ketenangan dan seterusnya meningkatkan kebijaksaan. Dalam satu kajian yang lain, didapati apabila manusia bersujud, darah-darah akan mengalir ke dalam pembuluh darah di otak. Pada posisi yang biasa, darah tidak akan mengalir ke bahagian itu. Kemasukan darah ke bahagian pembuluh darah tersebut akan mencetuskan ketenangan dan kebijaksanaan. Wah!. Bijak benar ALLAH menciptakan hambaNYA.
Kesimpulannya, semua ciptaan yang telah dijadikan mempunyai hikmah besar yang tersembunyi dan boleh mempengaruhi kehidupan manusia, cuma kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran kita bagi memikirnya.
Wallahualam.
1 ulasan:
aku acap kali mengalami situasi begtiu..tapi aku labeih banyak dapat idea ketika solat.cet..smayang xkusyuk..tapi time2 tu lah datang idea2 bernas.hah..boleh la ko kupas idea aku ni pada masa akan datang!
Catat Ulasan