Isnin, Disember 28, 2009

MPR 2009

Saya sebenarnya masih mencari bait-bait ayat terbaik untuk memberi gambaran tentang Minggu Penulis Remaja 2009.



dan berfikir, di manakah letaknya keistimewaan program tersebut?


pada lokasinya (yang selesa) kah?


pada pesertanya (yang manis-manis) kah?


pada barisan tenaga pengajar (yang berpengalaman) kah?


atau


pada urusetianya (yang baik hati & membekalkan kami dengan biskut setiap malam) kah?



Saya menarik nafas dalam-dalam, dan kemudian membawa kembali memori lama hadir menemani malam.


***


Petang.


Bas Transnasional dari Kota Tinggi berhenti apabila tiba di stesen R&R Serdang. Saya turun kemudian mencari-cari seseorang.


Di manakah Mirul Mudin?


Sehari sebelum hari pendaftaran MPR 2009 di Menara DBP, saya sudah tiba di Kuala Lumpur. Saya menumpang semalaman di rumah seorang rakan.


Maka ketika bas DBP membawa kami daripada Menara DBP ke Port Dickson, sudah pasti perasaan saya bercampur baur. Resah, gembira, teruja, segan dan segala perasaan lain bergolak di belanga rasa.



Program kami di sana dimulakan dengan sesi bersama SN Dato' Anwar Ridhwan. Saya berkesempatan bmengemukakan soalan kepada beliau semasa sesi soal jawab.


Assalamuaikum,
Dato', apakah tema dan persoalan yang sering dato' angkat semasa dato' berada pada usia kami?


Dan SN Dato' Anwar Ridhwan pun menjawab dengan tenang, membawa malam pertama kami di sana berlalu pergi.





Hari kedua dimulakan dengan sesi suai kenal. Saya kira tidak ada apa-apa yang begitu mencuri tumpuan dalam slot ini, selain daripada berkenalan bersama-sama dengan peserta yang lain (yang kemudiannya kami menjadi begitu akrab!).







Sesi seterusnya adalah ceramah genre puisi bersama Prof Rahman Shaari, diikuti ceramah genre cerpen/novel daripada Tuan Nurizan Raja Yunus.


Sebanyak 8 slot diperuntukkan oleh pihak DBP untuk ruangan bengkel penulisan puisi/cerpen/novel. Slot-slot ini berada di bawah bimbingan 4 orang fasilitator berpengalaman iaitu Tn Hj Shamsudin Othman, Cik Khairunnasriah Abdul Salam, bonda Zaharah Nawawi dan Puan Salmiah Ismail.


Saya tidak berniat untuk mengulas lebih lanjut tentang pengisian setiap slot, memandangkan saya telah memberi satu pandangan analitikal (konon-kononnya) dalam esei yang sudah saya hantar petang tadi.


Saya belajar banyak daripada bengkel-bengkel ini. Batapa sebuah karya itu perlu mempunyai jiwa dan roh, dan tidak dibiarkan kosong.







Bengkel-bengkel ini memberi kami satu peluang yang praktikal untuk belajar kaedah menukangi karya. Karya-karya kami sebelum ini dibedah satu persatu. Adeh.


Walau apapun, saya harus berterima kasih kepada ahli kumpulan saya (kumpulan A Samad Said) kerana menjadikan kumpulan yang saya duduki seronok dan diingati.


Selain sesi bengkel, terdapat juga ceramah daripada Editor Dewan Sastera (Puan Rozninah Abd Azib) dan ceramah penerbitan daripada En Abd Rahim Omar (Editor di DBP).


Kami juga belajar banyak perkara daripada dua slot ceramah tersebut.

.

.

.


Siang Rabu kami menghabiskan banyak masa di Menara DBP. Awal-awal pagi lagi sudah bergegas keluar daripada bilik untuk menempuh perjalanan ke Kuala Lumpur.


Pagi itu kami melawat Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) yang terletak di Menara DBP.


Rupa-rupanya di sana ada banyak buku dan himpunan koleksi majalah.







Seterusnya, kami dibawa melawat sidang editor bahagian majalah DBP di tingkat 20. Kehadiran kami ke sana telah memberi satu pendedahan baru untuk melihat dunia penulisan itu dalam skop yang lebih luas lagi.


Kami kemudian ke Majlis Penyampaian Hadiah Galakan Tunas Remaja 2008 (yang juga diadakan di bangunan yang sama), sebelum menghadiri taklimat korporat daripada pihak DBP.








Jam 5 petang, kami bergerak pulang ke Port Dickson.

.

.

.



Saya terlupa untuk menceritakan sesuatu.


Begini.


Semasa malam Isnin, pihak urus setia & fasilitator telah memaklumkan kepada kami untuk melaksanakan satu tugasan.


Setiap peserta diminta untuk menyiapkan sebuah cerpen ataupun tiga buah puisi sepanjang kami berada di sana. Karya tersebut hendaklah dihantar pada malam Rabu.



Saya berfikir sejenak ketika itu. Pening hendak memikirkan genre yang mana satu yang harus dipilih.




Sudahnya saya pilih saja cerpen. Saya tidak pandai untuk bermain dengan kata-kata dan selalu gagal mencari perkataan terbaik untuk menghasilkan sebuah puisi.



Selama dua malam (selepas tamat program di dewan), saya mengarang cerpen kedua dalam hidup saya.


Pentas.


Itulah tajuk cerpen saya . Saya cuba menampilkan sebuah cerpen satira (sindiran) yang mengungkap isu hedonisme (dan sedikit isu politik).



Walaupun tidak berjaya memenangi anugerah cerpen terbaik, namun saya tetap berpuas hati kerana ia jauh lebih baik daripada cerpen pertama saya (pada pandangan peribadi saya).


Pagi Khamis kami dipenuhi dengan sesi penilaian karya.


Saya berada di bawah bimbingan bonda Zaharah Nawawi, yang menyelenggara genre cerpen.


Kumpulan 'bedah karya' kami terdiri daripada 6 orang, 2 lelaki dan 4 perempuan.


Marwan menulis melangkah sendirian yang mengungkap tema hak asasi kemanusiaan berlatarkan permainan bola sepak. (cerpen ini menang cerpen terbaik)


Adila Abdul Rahim menulis sebuah cerpen satira, Tabaru. Cerpen ini berkaitan dengan sambutan tahun baru masihi dan hijrah.


Nurulhidayu menulis cerpen yang bertajuk secangkir kopi, mengangkat tema poligami.


Nur Ilyani Alias menulis segugus cintamu, menampilkan tema kemanusiaan.


dan Nurul Husna yang cerpennya tidak sempat kami bedah.


Besar harapan kami sekiranya pihak DBP dapat membukukan hasil-hasil karya peserta MPR ini.




.

.

.

dan masa pun berlari terlalu pantas, sehinggakan kami selalu menjadi mengah untuk mengejarmu.


Malam khamis, kami menghadiri makan malam bersama-sama untuk kali terakhir semasa MPR 2009.


Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil MPR 2009.






Saya bersama Nur Adilla Abd Rahim menjadi pengacara majlis pada malam itu.


hakikat mesti ditelan, kami akan membawa haluan masing-masing pada keesokan pagi.

.

.

.


Saya memutuskan bahawa keistimewaan MPR 2009 terletak pada kesemua faktor yang telah saya senaraikan tadi.


Lokasi, peserta, pembimbing dan urus setia memainkan peranan yang penting untuk menjayakan program ini.


Saya sebenarnya masih dihinggapi kehairanan. Bagaimana kami boleh menjadi begitu akrab walaupun baru sahaja mengenali antara satu sama lain?


Jeda.


Barangkali kami disatukan oleh minat yang sama.


Segala macam peristiwa semasa kami 'berbulan madu' di MPR seakan ditayangkan kembali oleh prokjektor kenangan di layar masa tika saya mengelamun sendiri.





Gelak tawa kalian.


Hujah kalian yang meyakinkan.


Kritikan semasa sesi bedah karya.


Permainan bola tampar.


dan segala macam peristiwa yang berlaku sepanjang 7 hari bersama diadun



lantas membentuk kenangan yang sukar dilupakan.

.

.

.



Hanya ada satu cara paling mudah untuk kita kekal berhubung


teruskan berkarya



kita jumpa di media.



InsyaAllah.







Sabtu, Disember 26, 2009

Catatan pra-entri MPR 2009





Jam 10.45 malam, 25 Disember 2009.


Saya tiba di bandar kelahiran Kota Tinggi, Johor Darul Takzim, setelah menempuh perjalanan panjang daripada Kuala Lumpur.


19-25 Disember 2009. Port Dickson, Negeri Sembilan.


Saya bersama 26 peserta yang lain telah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Ada catatan yang ingin saya coretkan.

Mungkin entri tersebut akan menjadi satu entri yang panjang, atau ia akan ditulis secara bersiri. Entahlah, bergantung juga kepada mood saya nanti untuk melakar kata di laman ini.


Namun buat masa ini ada beberapa perkara yang ingin saya selesaikan terlebih dahulu.


Yang pertama, saya telah diberi kepercayaan untuk menulis satu esei untuk majalah Tunas Cipta 2009 keluaran Februari 2010, seputar isu MPR. Serius, saya terharu dengan amanah ini.

Saya juga berharap agar rakan-rakan (keluarga MPR 2009) yang ingin memberikan sumbang saran agar cepat-cepat menghubungi saya. Saya amat mengharapkan bantuan kalian.

Dateline untuk esei tersebut akan tiba tidak lama lagi.


Kemudian, saya juga perlu menyiapkan beberapa tugasan akademik yang masih belum siap, selain mula mengurus dan merancang sebuah program untuk alma mater saya pada tahun hadapan.


Mungkin juga, saya perlu melayani ilham-ilham untuk karya saya yang seterusnya.


Sekian. Berikut disertakan beberapa keping gambar sepanjang kami menjalani MPR 2009.
















Jumaat, Disember 18, 2009

Monolog bola

.
.
.

dan sejujurnya aku gembira lewat petang tadi.


menonton perlawanan bola sepak yang dramatik (serta membuatkan aku tidak senang duduk).


lebih-lebih pasukan pilihan kau menang. menarik bukan? ( dan lebih menarik tidak meraikan awal muharam. teruk)



aku rasa kedua-dua penjaga gol pasukan bermain dengan sangat baik. cuma salah kau (jurulatih Vietnam) yang degil, tidak mahu keluarkan GK yang cedera itu. (haha)



dan kemenangan itu milik kami (rakyat Malaysia) juga akhirnya. =)



aku tunggu saat ini daripada dulu lagi. sejak tahun 2003 aku rasa. aku rasa sungguh loser bila tengok pasukan ini main dulu. hampa. sangat susah nak menang.


tapi aku tetap support, pasal aku sayang kalian.



dalam dunia ni, aku betul-betul sokong dua team football je. ( JohorFC & national team)



haha. aku sungguh assabiyah.



dulu aku balik dari kedai mamak (pasal dulu rumah aku takde tv) dan balik rumah lepas tengok team Malaysia main dengan penuh rasa loser.



tapi hari ini tidak. aku boleh berbangga sikit dengan pencapaian kalian. (walau mungkin untuk seketika je)


woho~


walaupun hanya jaguh Asia Tenggara, tapi kalian tetap best.



nanti masuk world cup ye?



ada lagi.



dulu masa kalian loser, aku ada pergi kedai baju. nak beli jersi bola ( yang pastinya bukan ori)


dan aku pening nak pilih antara dua. jersi Liverpool ke Malaysia?



Lastly, aku pilih Liverpool. haha.no national proud.



tapi yang sebenarnya kan, aku teringat saat-saat main bola sepak masa kecik dulu. zaman sekolah rendah. masa umur 9-12 tahun.



padang jalan sukun. abang aku ( yang garang itu) selalu ajak aku.



balik rumah dekat-dekat nak maghrib dengan baju berlumpur ( kalau padang becak).



dan ayah sudah tunggu dengan rotan, serta ibu yang akan menjerit bila aku melangkah ke muka pintu.


*ha, dah kotor-kotor tu terus masuk bilik air!*



dan sebenarnya masa sekolah rendah dulu aku pernah ada pasukan bolasepak sendiri.


aku gila bolasepak dulu. (tapi takdela gila sangat)



masa sekolah rendah, aku pernah hampir-hampir wakil sekolah untuk team bola. tapi malangnya aku jadi orang terakhir tersingkir semasa selection.


haha. kelakar. gagal memikat jurulatih. kalau tak, mesti aku sudah jadi macam kaka.


dan kasut bola pertama aku di beli di PERTAMA Kota Tinggi. Mana ye kasut tu sekarang? Mungkin sudah hanyut dibawa arus banjir 2006. T.T



tapi ini semua cerita lama.



masuk sekolah menengah aku sudah tidak main bola sepak (pasal ramai sangat yang nak main & ramai yang lagi hebat).


aku ni biasa-biasa je. sampailah hari ni, aku lagi selesa tengok orang main bolasepak berbanding aku sendiri yang main.





dan aku ada impian nak tengok team Malaysia main live. weh, bila korang nak main kat padang jalan sukun? senang sikit aku nak pergi tengok. haha.



aku rasa memang best kalau dapat aktif dalam sukan.


lain rasanya kalau berjaya dalam akademik. sorakannya lain. ( mungkin pasal aku punya akademik biasa-biasa je)


rasa sungguh puas apabila dikalungkan pingat. aku takdela hebat sangat. ada beberapa kali dikalungkan pingat untuk menang peringkat sekolah dan sekali untuk peringkat daerah.


lepas ni anak cucu aku pulak ya berusaha untuk dikalungkan pingat yang lebih tinggi reputasinya. mungkin juga sukan olimpik? ahaha.


ape la yang aku tulis ni.



aku bermonolog. suka hati aku la kan?

.
.
.

Selasa, Disember 15, 2009

Rejaman untuk penjenayah seksual?


Saya termenung panjang selepas membaca laporan akhbar pagi tadi, dan saya pasti bahawa seluruh dunia juga akan kembali berdebat rentetan peristiwa ini.


Dipetik daripada akhbar kosmo!



Penduduk lihat hukuman rejam



MOGADISHU - Sekumpulan militan Islam memaksa penduduk melihat mereka merejam seorang lelaki sehingga mati kerana berzina di Somalia, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan itu turut membunuh seorang lelaki kerana didakwa sebagai pembunuh.

Menurut beberapa saksi, hukuman itu mencetuskan pertempuran senjata antara kumpulan tersebut dengan kumpulan lain dengan mengakibatkan tiga militan terbunuh.

Kejadian berlaku di Afgoye, 32 kilometer dari sini pada Ahad lalu.

"Tiga anggota pejuang kumpulan Hizbul Islam terbunuh dan lima lagi cedera apabila mereka saling bergaduh antara satu sama lain," kata seorang pekedai, Halima Osman.

"Sebahagian anggota kumpulan itu mahu menangguhkan hukuman manakala yang lain menentangnya.

"Anggota-anggota itu kemudian berbalas tembakan.

"Kumpulan yang menentang hukuman itu tewas dan kemudian melarikan diri," tambahnya.


Sebelum dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang syariah, Hakim Osman Siidow Hasan memberitahu penduduk, dua lelaki itu mengaku melakukan kesalahan selepas siasatan dilakukan.

Seorang wanita yang mengaku melakukan hubungan seks di luar nikah turut dihukum 100 kali sebatan.

"Ini merupakan hari penghakiman," kata Osman kepada orang ramai.

"Kami telah melakukan siasatan dan mereka sudah mengaku," tambahnya.

Hukuman itu dibuat selepas pertempuran antara kumpulan yang menentang dan kumpulan yang mahu hukuman itu dilaksanakan dengan segera berakhir.

Seorang anggota keluarga mangsa yang dibunuh kemudian menembak mati penembaknya yang telah ditangkap.


Pesalah zina tersebut, Mohamed Abukar Ibrahim ditanam di dalam lubang sehingga ke dada dan direjam sehingga dia mati.

"Saya tidak sanggup untuk melihatnya," kata seorang lelaki, Ali Gabow.

Menurutnya, seorang wanita yang mengaku berzina itu dihukum 100 kali sebatan kerana dia menyatakan dirinya masih belum berkahwin. - Agensi
















***



Malaysia juga pernah terheret sama dalam kontroversi hukuman hudud baru-baru ini, rentetan penahanan saudari Kartika yang ingin dihadapkan dengan hukuman sebat.



Saya menulis ini dengan pengetahuan yang minimum tentang pelaksanaan hukuman hudud, pengetahuan tanpa satu kajian yang mendalam. Saya juga tidak memahami situasi sosial dan politik di Somalia. Maka, apa yang ingin saya tulis hanyalah perkara-perkara di permukaan sahaja.


Hukuman hudud kejam dan ganas!


Itulah prejudis sesetengah masyarakat dunia terhadap pelaksanaan hukuman hudud.


Hal yang sama diluahkan kepada kami oleh seorang zookeeper(non-muslim) yang berusia separuh abad semasa kami menjalankan khidmat kominiti di Zoo Negara baru-baru ini.


Ketika itu beliau memberikan nasihat dan buah fikiran berkenaan dengan keruntuhan institusi sosial dan masalah sosial yang berlaku secara realiti pada dunia hari ini.


Kebejatan kompas nilai dalam diri manusia bahana kurangnya ketakutan kepada hukuman ciptaan manusia itu sendiri seakan memberi tanda bahawa kita perlu beralih pada hukuman yang ditentukan Allah.


Barat tidak seharusnya mengheret dunia Islam ke ruang perdebatan kerana mereka sendiri melaksanakan hukuman suntikan maut (juga kepada penjenayah seksual!), di mana penjenayah akan mati secara perlahan-lahan dengan penuh seksa.


Soalnya sekarang, adakah kita yakin ataupun tidak?







Menatap akhbar



Menulis perlukan konsistensi.


Hari ini saya kembali sedar bahawa blog ini sudah seminggu tidak berisi apa-apa.


Idea banyak, mencurah-curah tapi tidak tahu bagaimana hendak memulakan penulisan.


Maka, idea-idea itu pun hilang begitu saja.


Rugi kan?



Minggu depan, Minggu Penulis Remaja 2009 akan berlangsung di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.


Dan saya menjadi pesertanya.



Entah mengapakah tahun ini saya tiba-tiba berminat menulis puisi (walaupun bukan sebuah puisi bermakna) dan tidak malu melihat nama sendiri di majalah.


Tahun lepas ada juga lihat borang permohonan ke MPR, tapi bila baca salah satu syaratnya (punyai karya yang pernah tersiar), saya terus mematikan niat.


Mungkin kerana tahun ini saya sudah jadi kurang pemalu.



ah, pemalu itu subjektif kan?




Baiklah.mari berbalik pada judul entri



Akhbar.



Menatap dada-dada akhbar hari ini, saya menjadi seseorang yang kembali memikirkan tentang kehidupan.


Jenayah, kemalangan, kematian dan sebagainya boleh berlaku di mana-mana sahaja andai mendapat keizinan Allah.


Jenayah ( bunuh, rompakan dan sebagainya) berlaku di mana-mana sahaja, dan saya kembali memikirkan di manakah tempat paling selamat di dunia ini.



Kemalangan juga boleh berlaku di mana-mana saja. Kemalangan yang boleh mengundang kepada maut.



Dan saya agak tersentak apabila membaca baris-baris pesanan daripada senior kolej saya di digest yahoo group Alumni Muscom.


Diambil (tanpa kebenaran) daripada digest yahoo group Alumni Muscom.

Assalamualaikum ,

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,

Kejadian ngeri yang berlaku baru2 ini melibatkan penganti baru (hanya 3 jam sahaja) merupakan sahabat kami di Nottingham. Mangsa, si pengantin lelaki merupakan teman kami di nottingham, baru sahaja grad Mechanical Engineer, seorang yang sangat baik, soft spoken, dan ramah. Kejadian ini sedikit menekan ana sejak berlaku 2-3 hari sudah.

Sedih dan kasihan kepada adik beradik mangsa yang kehilangan adik bongsu mereka dan kedua mak ayah, serta kepada Teh Afifah yang kehilangan suaminya yang tercinta.

Mari kita sama2 ingat kematian. sibuk macam mana pun dengan kerja, tugasan, study, A Level , exam dan sebagainya, banyakkan amal ibadah kita. Ingatilah kematian.

Kematian berlaku setiap hari, tapi apabila berlaku kepada orang yang dekat dengan kita, terasa lebih lagi..


Pengantin sempat kirim SMS terakhir

PADANG BESAR 12 Dis. - "Jangan terkejut tengok pakaian abang esok."

Gurauan itu dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Mohd. Ariff Abd. Kadir, 23, buat isterinya, Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid, 23, selepas mereka diijab kabul semalam.

Namun siapa pun tidak menyangka gurauan itu membawa makna serta kesan berpanjangan buat Teh Afifah.



Regards,

Firdaus Rahim
4th year Medical Student
University of Nottingham / Derby Hospitals NHS Foundation Trust
Personal blog: www.firdausrahim. iluvislam. com




Untuk renungan kita bersama. InsyaAllah.


Selasa, Disember 08, 2009

Seni mengkritik





Kritikan.

Hmm~

Tidak tahu hendak tulis mukaddimah yang bagaimana sebenarnya.


Tadi saya menjumpai satu artikel menarik daripada blog tips bisnes Puan Ainon, pengasas PTS publications sdn. bhd. klik sini untuk mengetahui biodata beliau.


Tajuk asal artikel ini adalah 'menegur pekerja'


***


Banyak peniaga mempunyai niat yang betul apabila mereka menegur dan mengkritik pekerjanya, tetapi akibatnya mereka merosakkan hubungan baik dan dibenci.



Mereka percaya aktiviti menegur orang lain adalah aktiviti yang baik kerana ia mempunyai banyak manfaatnya. Menurut mereka, fungsi utama teguran dan kritikan ialah membantu orang yang ditergus supaya dapat memperbaiki dirinya. Mereka percaya kritikan yang bermanfaat ialah kritikan yang membina, iaitu kritikan yang bertujuan membawa kebaikan.



Oleh itu, banyak orang yakin salah satu cara yang berkesan bagi membantu orang lain adalah dengan cara menegur kesilapan-kesilapan dan kelemahan-kelemahan mereka. Dengan demikian, mereka yang ditegur dapat mengambil tindakan bagi membetulkan kesilapannya dan memperbaiki kelemahannya. Dengan itu mereka akan menjadi seorang yang lebih baik pada masa hadapan, dalam erti kata tingklah laku dan prestasi mereka akan bertambah baik.



Kebanyakan pakar percaya aktiviti kritikan yang membina banyak faedahnya. Namun ada pakar-pakar yang percaya, tidak ada kritikan yang membina dan bahawa pada dasarnya semua kritikan bersifat 'merosakkan' kerana semua jenis teguran dan kritikan adalah sejenis maklum balas negatif. Aktiviti mengkritik adalah salah satu jenis aktiviti memberi maklum balas negatif kepada orang yang dikritik.



Maklum balas yang disampaikan dengan cara menegur dan mengkritik boleh disampaikan dengan lebih berkesan lagi lagi tanpa menggunakan cara kritikan. Kita dapat membantu rakan sejawat dan orang bawahan menaikkan prestasi tanpa menegur dan mengkritik mereka kerana kritikan tidak sentiasa mendorong orang yang dikritik menjadi lebih baik.




Sebenarnya kebanyakan orang tidak memiliki kemahiran menerima kritikan dengan cara-cara yang terbuka. Apabila dikritik, mereka menjadi defensif. Mereka membela dan mempertahankan apa yang mereka lakukan. Mereka menolak kritikan itu.



Salah satu faktor yang menyebabkan orang yang ditegur itu menolak teguran dan kritikan adalah cara bagaimana kritikan itu kita ucapkan.



Kebanyakan orang tidak memiliki kemahiran menyampaikan teguran dan kritikan dengan cara-cara yang betul. Kerap kali, apabila kita menegur dan mengkritik, kita tidak membezakan antara “orang” dengan “isu.”




Biasa sahaja berlaku di mana kita menujukan kritikan mereka kepada 'orang'-nya, bukan 'isu'-nya.Kita mengkritik peribadi orang itu, bukan tingkah-lakunya ataupun perbuatannya. Inilah yang menyebabkan kritikan jarang menghasilkan pembaikan.



Kebanyakan orang juga tidak tahu membezakan yang mana satu 'kritikan' dan yang mana satu 'tuduhan'.




Ayat-ayat seperti di bawah kerap kali diucapkan sebagai kritikan, padahal ia adalah tuduhan. Sebagai contoh, ayat yang berbunyi, "Awak perlulah lebih bertanggungjawab." bukanlah teguran, tetapi tuduhan.




Tidak semua kritikan yang disebut 'membina' benar-benar membina. Kebanyakan kritikan sebenarnya hanya mematahkan semangat dan menjatuhkan maruah orang yang dikritik.




Apabila seseorang itu selalu ditegur, lama-lama dia berasa takut ditegur. Akibatnya, dia belajar mengelak daripada ditegur dengan tidak melakukan apa-apa, kerana apabila dia tidak melakukan apa-apa maka dia tidak akan membuat sebarang kesilapan. Tanpa kesilapan, maka tidaklah dia dikritik. Jadi di cuma membuat akan sesuatu kalau disuruh sahaja, dan tidak lebih daripada itu. Jadi dia sentiasa menunggu suruhan dan arahan, seperti pahat dengan pemukul. Dia tidak berani mengambil sebarang daya usaha berfikir sendiri apa yang sepatutnya dilakukan, kerana dia takut silap, nanti dia kena kritik lagi.






Kritikan boleh membunuh semangat sukarela, daya usaha, inisiatif dan kreativiti. Apabila seseorang itu berani mengambil inisiatif, mencuba cara-cara baru, besar kemungkinan apa yang dibuat tidak serupa dengan cara-cara yang dikehendaki oleh ketuanya. Sekiranya dia ditegur dan dikritik, lain kali dia bukan memperbaiki kerjanya, sebaliknya semangatnya jatuh lalu dia langsung tidak mahu mencuba lagi. Dia akan ikut sahaja cara yang dimahukan oleh ketuanya, oleh itu dia tidak menggunakan daya kreativitinya.



Disebabkan teguran dan kritikan banyak membawa kesan negatif, pakar-pakar psikologi membuat garis panduan cara-cara mengkritik yang betul.



Pertama, jangan gunakan kritikan melainkan dengan tujuan membantu. Sebagai contoh, jangan mengkritik sebab hendak melepaskan geram.




Kalau terpaksa mengkritik juga, jangan sekali-kali berlebih-lebihan apabila menyampaikan kritikan. Jangan meleteri, jangan marah-marah.




Kedua, seboleh-bolehnya, gantikan kritikan dengan penilaian jujur. Perbezaan antara kritikan dengan penilaian jujur adalah, kritikan hanya memberi maklum balas negatif sahaja. Sebaliknya, penilaian jujur memberi kedua-dua maklum balas, iaitu yang positif dan yang negatif.


Ketiga, jangan sekali-kali mengkritik peribadi orang itu kerana perbuatan itu amat menjatuhkan maruah. Nilailah dengan jujur perbuatannya ataupun tingkah lakunya sahaja.




Keempat, jangan ucapkan kritikan dalam bahasa negatif. Gunakan bahasa positif. Jangan berkata begini, "Awak suka datang lambat." sebaliknya katakan, “Lain kali datang cepat.”




Kelima, jangan gunakan bahasa 'awak.' Gantikan dengan bahasa 'saya'. Jangan berkata, "Awak silap." sebaliknya katakan, "Saya tidak setuju dengan cara awak."



Keenam, jangan mengkritik secara terlalu am, tepapi katakan dengan tepat apa yang di maksudkan. Jangan berkata, "Awak pemalas." Perkataan ‘pemalas’ tidak memberitahu dengan tepat malas apa. Katakan begini, "Tolong bersihkan semua meja.



Ketujuh, jangan mengarah-arah dan menyeru-nyeru supaya orang itu berubah. Jangan berkata, "Awak mesti ingat awak lebih tua, sepatutnya awak menjadi contoh kepada pekerja yang lebih muda."




Kelapan, jangan fikir orang-orang lain tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran orang lain. Jangan berkata, "Kenapa awak tak fikir dulu habis-habis sebelum melakukan perbuatan itu?" -- dari mana kita tahu orang itu tidak berfikir habis-habis?




Niat yang betul tidak menjamin hasil yang betul. Banyak orang mempunyai niat yang betul apabila mereka menegur dan mengkritik, tetapi akibatnya mereka menyebabkan orang yang dikritik tidak seronok mendapat ketua seperti mereka. Niat yang betul disertai dengan teknik yang betul, barulah hasilnya menjadi betul.

Isnin, Disember 07, 2009

Puisi yang berkualiti & memuaskan hati



Petikan tulisan saudara Faisal Tehrani dalam ruangan ulasan puisi (Dewan Siswa Disember 2009)



Sesebuah puisi yang berkualiti dan memuaskan hati paling-paling tidak, ditandai oleh lima unsur yang saling berkaitan.


Unsur yang dimaksudkan itu ialah sesebuah puisi itu harus mempunyai fokus daripada segi tema, subjek pilihan sambil berjaya memadatkan kekuatan bahasa.


Kedua, unsur bahasa itu dibangunkan, dibaiki dan diatur dengan memberikan perhatian kepada ritma serta bunyi.


Ketiga, oleh sebab puisi adalah sebuah penyataan fikiran dan perasaan penyajak, maka puisi dilatari oleh perasaan, pengalaman dan kekuatan imaginasi si penciptanya.


Keempat, penyampaian bahasa tersebut diusahakan pula dengan pertukangan imej, lambang dan kias yang menguatkan kata konkrit lain kepada puisinya.


Kelima, bentuk puisi tersebut diungkap dengan baik dan munasabah sehingga segala yang di atas tadi terjelma pada bentuk zahir mahupun batinnya.


Mendepani zaman




Baru-baru ini saya berkesempatan ke rumah seorang sahabat di Skudai. Saya tidak melepaskan peluang untuk meletakkan bandaraya Johor Bahru sebagai salah satu destinasi kunjungan.


Semasa di MPH City Square, Johor Bahru, saya telah membeli beberapa buah buku.


Antaranya:


gambar diambil daripada blog


Salah satu sebab mengapa saya tertarik untuk mencapai buku ini (versi Bahasa Melayu sahaja) daripada raknya adalah kerana pengarang buku ini adalah alumni kolej saya (Kolej Yayasan UEM).


Y.B. Nik Nazmi Nik Ahmad, 26, telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor pada 8 Mac 2008. Beliau merupakan calon termuda yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Sejurus selepas itu beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Petikan daripada halaman biodata blog beliau.




Y.B. Nik Nazmi. sumber:google



Saya baru sahaja menamatkan pembacaan petang tadi.


Meneliti satu persatu buah pemikiran wakil rakyat PKR ini sedikit sebanyak membuatkan saya mengerut dahi- memikirkan kelangsungan setiap idea yang hendak disampaikan.


Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan buku ini.



Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian yang utama iaitu:



1. Paradigma Politik Baru


* Punca 8 Mac 2008: Jalan ke Depan?

* Politik Baru

* Mengapa Keadilan?




2. Ke Arah Merakyatkan Ekonomi

* DEB: sebuah penilaian semula

* GLC, Orang Melayu dan Perniagaan

* Merakyatkan Ekonomi: Pengalaman Selangor





3. Persoalan Pendidikan

* Dasar Pendidikan Dinamik & Adil

* Bahasa-bahasa Lain: Isu pendidikan Vernakular

* Projek Mentari




4. Islam dalam sebuah masyarakat majmuk

* Meraikan Warisan Wasatiyyah Kita

* Tiada paksaan: Masyarakat Bukan Islam dan Islam di Malaysia


5. Revolusi sosial

* Perkahwinan dan Kehidupan Berumah Tangga

* Dilema Generasi Muda

* Seri Setia- Sekilas Pandang


Kesimpulan: Impian Bernama Malaysia.



Saya sebenarnya agak tertarik ( dan sedikit tersentak) pada satu perenggan dalam buku ini.

Di bawah tajuk Dasar Pendidikan Dinamik & Adil


" Sebilangan IPTS telah banyak menyumbang dalam mengangkat mutu pendidikan negara. Namun, akibat tersedianya tempat-tempat di IPTA dan biasiswa, di samping kedudukan sosioekonomi mereka, bilangan mahasiswa Melayu di IPTS adalah kecil. Kesannya, kewujudan IPTS ini melengkapkan pengasingan sosial dalam sistem pendidikan- sekolah vernakular yang berbeza di peringkat rendah, sistem pra-universiti berbeza dan akhirnya sistem IPT berbeza- yang memisahkan orang Melayu daripada orang bukan Melayu."


(halaman 80)


Sesuatu yang sebenarnya telah saya terlepas pandang!


Klik untuk ke entri berkaitan buku ini di blog YB Nik Nazmi.



nota kaki:

1. terjumpa satu artikel menarik tentang bahaya ekonomi kapitalis. sesuatu yang menarik untuk difikirkan.



2. mengidam untuk mengulas setiap buku yang dibaca semasa cuti semester. antaranya: kuasa berfikir kreatif (sedang baca), biografi Dr Burhanuddin Al-Helmy, Law of Attraction (kuasa tarikan) dan I.S.A. (Ia Sah Aniaya).



Sabtu, Disember 05, 2009

Teringat

Tadi saya 'bersiar-siar' di facebook, terjumpa pula beberapa benda menarik.

Gambar diambil tanpa kebenaran daripada halaman facebook Azimah.





Teks bacaan doa untuk perhimpunan rasmi sekolah setiap hari Isnin. Saya pernah ditugaskan untuk membaca doa ini semasa Tingkatan 2 & 3. Untuk pertama kali baca kat depan semua orang, jadi memang sangat gementar melihat ratusan mata yang memandang. Kaki mengigil-gigil (haha) & bacaan tersasul-sasul. Doa ni pun panjang sangat (saja bagi alasan,haha).





Bacaan ikrar pelajar akan dibacakan setiap perhimpunan Isnin & diketuai oleh Ketua Istiadat Perhimpunan (K.I.P). Saya pernah menjadi K.I.P. semasa tingkatan 4 & 5.

Sebenarnya saya jarang (ataupun tak pernah) dapat baca ikrar ni dengan betul. K.I.P. kena hafal ikrar ni, maka saya yang gementar ni mesti ada salah sikit-sikit. tambah perkataan sendiri la, tukar susunan ayat la dan apa-apa entah lagi (haha). Setiap kali nak mula baca ikrar dan melangkah ke depan, hati saya akan berbisik, 'cool syuk, cool'. (haha)

tapi saya dapat membaca ikrar pembukaan Hari Anugerah Kecemerlangan SBP 2007 di depan Tengku Mahkota Johor dengan baik. belajar daripada kesilapan semasa perhimpunan rasmi sekolah barangkali?





Papan nama Dewan Sri Penawar, kategori pemimpin pelajar. maaf! Kamera beresolusi rendah dan jurukamera tidak profesional.


'Perfect'




Seperti mana perfect competition ( yang bercirikan there are many buyers & sellers, perfect knowledge, the product is homogenous, no barriers to entry, pruducer have similar technology & perfectly mobile resources ) tidak pernah wujud dalam ekonomi dunia secara realiti,maka begitu jugalah analogi yang sama boleh dikaitkan dengan sebuah kehidupan.


Tidak ada yang sempurna di dalam kehidupan ini.


Manusia adalah makhluk (hamba Tuhan) yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan, kerana manusia itu sendiri selalu alpa & lupa. Kita selalu saja gagal memainkan peranan sebagai seorang manusia berjiwa hamba.


Antara perkara paling sukar untuk manusia perolehi adalah keikhlasan.


Betapa sifat riyak, takbur, menunjuk-nunjuk dan ke-tidak-ikhlas-an itu bukannya sifat seorang hamba. Keikhlasan itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang kelam. Ia ada, tapi amat sukar untuk dilihat. Hanya Allah sahaja mampu menilai.


oh Tuhan, jauhkanlah kami daripada sifat keji ini!



Berbalik pada topik kesempurnaan. Walaupun kesempurnaan itu tidak pernah wujud , namun fitrah seorang manusia itu tetap mahukan sesuatu yang menghampiri kesempurnaan.


Manusia tetap mahukan yang terbaik dalam kehidupannya.



Sepanjang kehidupan saya ( yang hampir menjejak 19 tahun) ini, saya percaya bahawa cabaran itu mematangkan manusia.


Hari ini barulah saya sedar akan hakikat bahawa sepanjang setahun berada di kerusi tertinggi organisasi Badan Kepimpinan Pelajar 06/07, kritikan serta cemuhan manusia itulah yang banyak mengajar saya banyak perkara.


Kritikan menyebabkan saya banyak berfikir demi sebuah penambahbaikan, walaupun saya sedar bahawa saya bukanlah insan yang terbaik untuk memimpin kalian.


Bodek dan pujian itu selalu saja membuatkan saya leka. Hari ini saya sedar bahawa saya harus berhati-hati dengan mereka yang kuat membodek. Di hadapan mereka kelihatan memuji-muji, kita, namun di belakang mereka menikam belakang. oh, talam dua muka!



walauapapun, terima kasih pada teman-teman yang telah membentuk saya menjadi diri saya pada hari ini. Cuma satu pinta saya, berikan saya sedikit ruang untuk saya menjadi diri sendiri.



saya tertarik pada satu petikan kata-kata:


"Ada satu cara untuk mengelakkan kritikan: jangan menjadi apa-apa, jangan berfikir apa-apa dan janganb berbuat apa-apa. berehat dan mengelamun sepanjang masa dan bunuh segala cita-cita. penyelesaian ini tidak pernah gagal" - Buku Berani Gagal



Hidup ini dipenuhi dengan risiko.


Dalam usaha mengejar sebuah kesempurnaan, kita harus menerima semua ini.


Bersediakah kita menempuh segalanya?











Jumaat, November 27, 2009

Memoir seorang guru




Bapa ingin bertanya, betapa mulia pun hati seseorang, tapi apabila berhadapan dengan tegar yang aneh, tidak peduli pada ajaran, apa sikap engkau Kamariah?



Katakan saja anak engkau, Kamariah...jika berhari-hari engkau berhadapan dengan tegarnya, tidak masuk ajar, menafikan kehendak dan meremehkan segala pengajaran, apa yang dapat engkau lakukan selain benci? Bencilah hukuman yang paling lembut kepada murid-murid seperti itu.


Bapa sudah dua tiga kali diajar oleh pengalaman. Tetapi, oleh kerana takah murabbi , bapa tidak temui, maka mereka menjadi mangsa kebencian. Bagaimanapun, jika engkau dapat menaiki takah murabbi, ayuhlah! Lakukanlah! Murabbi adalah makam yang sangat mulia.


Seorang lagi murid bapa bernama Sakinah, sama usianya dengan mereka ini. Tapi fiilnya lain. Untuk kali terakhirnya, bapa harap engkau dengar hal ini agar menjadi pengajaran dan yang penting engkau dapat mencapai murabbi. Jika engkau dapat mencapainya, redalah bapa. Berbanggalah bapa kerana makam murabbi bukan calang-calang orang dapat mencapainya.


Bapa memang menyesal tetapi pada awalnya memang bapa tidak sangka hendak menyesal. Hampir 20 tahun lebih bapa mencari murabbi, namun tidak ketemu. Sebab itu bapa sangat tidak setuju seperti kata Pak Cik Lukman, kau sekadar dapat gaji. Murabbi tidak utamakan gaji, tetapi kejayaan membentuk insan menjadi insan, membentuk manusia bersifat kemanusiaan.



Petikan novel Memoir Seorang Guru
Azizi Haji Abdullah, 2007
Halaman 96-97



***


Bagi orang kebanyakan (yang jarang membaca novel) seperti saya, peluang menikmati bahan bacaan selain silibus akademik pastinya sukar untuk diperolehi semasa kesibukan menghambat hari-hari saya kampus. Hanya selepas peperiksaan semester, barulah mood saya kembali terbuka untuk menyelak helaian novel.



Novel 'Memoir Seorang Guru' saya beli semasa di Terminal Bas Larkin (Johor Bahru), sesudah tiba daripada Kuala Lumpur sempena cuti akhir semester. Novel ini pernah saya lihat beberapa tahun dahulu, namun baru kali ini saya betul-betul tergerak untuk mendapatkannya.




Saya menilai keberkesanan sesebuah tulisan itu dengan cara bagaimana persoalan/tema yang diangkat oleh pengarang berjaya membuatkan saya berfikir dan termenung jauh sesudah pembacaan tamat.



Begitu juga dengan filem. Filem yang baik pada hemat saya adalah sebuah filem yang mampu membuatkan saya termenung ( sambil berfikir tentang falsafah yang digarap) dan mampu saya kaitkan dengan kehidupan harian.






'Memoir seorang guru' tulisan penulis veteren, Tn Azizi Hj Abdullah telah merakam satu sisi kehidupan masyarakat pada sudut yang sukar-maka kejujuran karyanya terasa pada setiap bait perkataan. Antara persoalan-persoalan yang diangkat adalah kemiskinan, kesedaran masyarakat pedalaman, cabaran guru di pedalaman, soal keberkatan dan banyak lagi yang masih tidak terjangkau oleh nurani manusiawi saya.




Secara ringkasnya, 'Memoir Seorang Guru' mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.



Plot-plot diatur menampilkan satu persatu anak-anak murid ustaz tersebut ( Alias, Midun, Sakinah, Mihad & Mohd Dhuha), yang setiap satunya mempunyai kisah yang tersendiri.


Sepanjang membaca novel ini, banyak kali juga saya merenung jauh ke luar jendela bas-cuba menghadam setiap baris falsafah yang disulam.



Mungkin juga kerana saya adalah bakal seorang guru (opsyen fizik), maka novel ini memberi kesan yang lebih mendalam kepada diri saya.



Mampukah saya menjadi sang murabbi?



***


Tinta Penulis
(dipetik daripada halaman belakang novel ini)


MEMOIR SEORANG GURU sebenarnya bukan ilusi yang khayal, tetapi satu pemerahan fikiran tentang sirat sabut perasaan, bagaimana bukannya mustahil seorang guru benci melihat, benci kata kepada murid-muridnya.


Namun, inilah yang ilusinya kerana ia mampu bertukar menjadi murabbi. Ilusinya ialah 'aku' yang penuh prasangka dan ia bertukar sedar lalu menjadi 'murabbi'


Selama 32 tahun menjadi guru, saya sebenarnya berilusi dengan kebingungan, murid, kemiskinan murid dan akhirnya tersentak dengan simpati. Selama aku berilusi inilah 'aku' hidup bagaikan tidak ada keberkatan.


Menjerit batin bersama ilusi dan kebencian tingkah laku apa yang disebut murid-murid, mereka sebenarnya tidak minta jadi begitu.


Novel ini, saya lahirkan dengan perasaan dan ilusi yang merupakan serpihan-serpihan kebencian yang sangat 'aku' benci atau 'aku' sangat benci dengan kebencian 'aku.


Saya lahirkan keperihalan kebencian seorang manusia yang pasti ada pada manusia lain. Saya lahirkan keperihalan kebodohan atau ketongongan yang sangat dibenci oleh mereka yang mereka tidak pernah memintanya. Lalu, saya temui...merekalah manusia yang jujur, ikhlas, pengasih dan mengenang budi.


Saya merengkuh setiap malam, sepertiga malam, menukang dan menganyam, menjalin dan menyirat yang bagaikan seorang ibu mengandung sembilan bulan.


Saya merasai kekuatan novel ini apabila berhasilnya saya melahirkan keperihalan kebencian atau kepuasannya, saya dapat menyimpulkannya bahawa yang dibenci sebenarnya disayangi. Apakah ini ilusi?


Azizi Hj Abdullah
aziziabdullah.blogspot.com

*Azizi Hj Abdullah adalah penerima S.E.A Write Award pada tahun 1988.




Selasa, November 24, 2009

Jiwa resah





Jiwa resah
(dedikasi untuk aku dan mereka yang keliru)


Pada tiap ruang keliru
jiwa ini mahukan aku
tegar menyulam ikhlas
bicara bahasa tulus
mengusir prejudis manusiawi
membasuh berus noda
yang mengocak belanga rasa.


Kala kompas hati meracau
aku lihat mereka menjadi aku
dan aku menjadi yang lain.



Syukri Sapuan
KL Sentral
24 November 2009







Sabtu, November 21, 2009

Kebolehpercayaan media perdana parah





Arahan mengosongkan bilik sewaktu cuti semester, walaupun agak (baca: sangat) menyusahkan terutamanya kepada pelajar yang akan balik jauh ke selatan seperti saya- tetap membawa kebaikan andai dilihat pada satu sisi yang lain. Mengosongkan bilik memberi peluang kepada saya untuk meneroka setiap inci bilik dan menjumpai kembali item-item yang saya terlupa di mana atur letaknya.



chalet kyuem: sumber dari google

Majalah-majalah yang dibeli sejak semester satu saya tatap dan selak satu persatu.


Hasilnya, saya telah menjumpai kembali satu artikel menarik, yang bisa membuatkan saya teringat kepada Program Biro Tata Negara (BTN) yang telah saya hadiri beberapa bulan yang lalu.



Seorang rakan dalam kumpulan LDK saya telah membangkitkan isu kebebasan media yang tidak telus sewaktu dalam perbincangan kumpulan. Kami bukannya mengharap satu media yang memiliki kebebasan mutlak, namun jika benar kita mahu mengamalkan demokrasi, mengapa media perdana dikawal sebegitu rupa oleh satu pihak saja?




Saya yang ketika itu kekontangan idea tidak memiliki sebarang hujah konkrit untuk membalas bedilan-bedilan fasilitator kumpulan LDK saya. Sudahnya, perbincangan kami dihabiskan dengan kesimpulan bahawa kebebasan media membawa kemudaratan. ( saya tidak ingat sangat akan konklusi yang disimpulkan, tapi saya tidak bersetuju dengan kesimpulan tersebut- “there are something wrong with the system”, bak kata YB Tian Chua dalam video 15Malaysia- ‘one future’.



Saya bersetuju dengan pengarang artikel ini berkaitan dengan kritikannya terhadap kredibiliti media perdana. Demokrasi itu sendiri membenarkan perbezaan pendapat bukan?


Berikut saya taip kembali artikel tulisan Mior Kamarul Shahid dalam ruangan Mato-mato media (Milinea Muslim April 2008). Milinea Muslim adalah sebuah majalah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)





Kebolehpercayaan media perdana parah
Oleh: Mior Kamarul Shahid



Sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), media arus perdana nampaknya “bermaharajalela” menyiarkan berita-berita yang ternyata berat sebelah sehingga menimbulkan rasa meluat masyarakat.



Jika tidak sebahagian besar pun berita dan laporan yang disiarkan itu, surat khbar sama ada Berita Harian/Berita Minggu, Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia, The New Straits Times (NST)/Sunday Times, The Star/Sunday Star dan akhbar lain yang mirip kepada parti pemerintah serta stesen-stesen televisyen, mengambil sikap yang ‘pro-kerajaan’.

Segala ruang, hinggakan surat atau forum pembaca pun dijadikan wadah menyokong kerajaan keterlaluan dan menghentam pihak yang menentang kerajaan secara keterlaluan juga.



Sememangnya, beginilah sikap media arus perdana setiap kali pilihan raya diadakan. Semua orang tahu media di Malaysia menyokong parti kerajaan tetapi sokongan yang ditunjukkan oleh mereka kali ini adalah sokongan tanpa taktik atau ‘sokong membawa rebah’.



Laporan dan berita yang menyokong parti dan pemimpin Barisan Nasional (BN) secara keterlaluan dan menghemtam parti dan pemimpin parti lawan secara keterlaluan itu boleh dijadikan hipotesis kajian bahawa inilah punca kemerosotan BN pada PRU-12 pada 8 Mac 2008.



Media arus perdana bertanggungjawab sebagai punca BN gagal mengekalkan kedudukan 2/3 kerusi di parlimen dan tumpas di Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang, selain Kelantan. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN tumpas 10 kerusi kecuali di Setiawangsa.



Parti Barisan Alternatif (BA) yang disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP juga bertapak di beberapa negeri termasuk di Johor yang sebelum in mnenjadi benteng terkuat BN dan UMNO.



Di negara-negara demokrasi Barat, media memberi peluang kepada pemimpin parti yang bertanding dalam pilihan raya muncul di televisyen atau memberi ruang untuk berita mengenai parti dan calon-calon mereka disiarkan di media cetak.



Di Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang terlalu diharapkan. Parti yang bertanding dalam pilihan raya sedar bahawa mereka tidak ada tempat untuk mereka berkempen menerusi media kerajaan.



Sebaliknya, mereka menggunakan isu liputan media yang berat sebelah ini sebagai salah satu bahan kempen. Mereka mempersoalkan sikap media yang tidak demokratik dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi.



Berita mengenai parti dan pemimpin pembangkang hanya disiarkan di kaca TV atau media cetak hanya jika ia memaparkan imej negatif atau yang dianggap boleh menjejaskan reputasi parti atau pemimpin pembangkang dengan matlamat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.



Sejak sebelum dari tempoh kebenaran berkempen lagi, usaha mencemuh pembangkang sudah pun bermula. Media mendedahkan keburukan pembangkang bertalu-talu dengan harapan rakyat menolak mereka.


Ini bukanlah peranan media.


Media boleh menyokong kerajaan dengan menonjolkan kebaikan kerajaan tetapi bukan dengan sengaja memburuk-burukkan pemimpin dan parti lawan.



Pengecualian boleh diberikan kepada media yang dimiliki oleh parti. Media seperti ini sama ada ia milik parti pemerintah atau parti lawan bebas menyiarkan apa sahaja berita mengikut etika kewartawanan dan undang-undang negara.



Sebaliknya, media arus perdana tidak harus meletakkan imej mereka ke tahap yang begitu rendah kerana ia membabitkan persoalan kredibiliti.




Apabila ramai orang tidak yakin lagi dengan berita yang disiarkan, ia akan menyebabkan kepercayaan kepada parti dan calon yang mewakili kerajaan, dibenci.




Peranan media adalah untuk mendidik bukan menanam bibit-bibit kebencian terhadap mana-mana pihak. Untuk jangka panjang, itu amat merugikan media itu sendiri.




Sejak hari penamaan calon 24 Februari 2008 lagi, media arus perdana menyiarkan persoalan remeh-temah yang melibatkan parti lawan.




Parti-partil lawan ditonjolkan sebagai bersikap ganas. Isu Yang Dipertua PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang tidak bersalam dengan calon BN diperbesar-besarkan hingga beberapa hari seolah-olah ia adalah isu pokok pilihan raya.



Tindakan media arus perdana seolah-olah menggambarkan mentaliti cetek media berkenaan. Sesiapa sahaja yang membaca berita itu akan bertanya pada diri mereka, apakah peristiwa itu benar-benar berlaku atau media sengaja mengada-ngadakan berita untuk memburukkan parti lawan.


Pada pandangan masyarakat, sekali pun ia benar-benar berlaku, pasti ada sebabnya terutamanya dalam keadaan yang kelam kabut itu.



Apakah ia disengajakan atau pun tidak disengajakan? Apabila penjelasan dibuat, ia tidak diberi ruang oleh media, sebaliknya berita mengenainya dipusing-pusing dan diputar terbalikkan.



Di sebabkan hari ini sudah ada media internet dan blog, orang ramai mula mendapatkan maklumat alternatif dan ada yang menjadikannya sebagai maklumat prima. Mereka tidak lagi membaca atau menonton media arus perdana sebaliknya lebih selesa melayari internet.




Pada mereka media arus perdana tidak lagi boleh dipercayai. Elemen kebolehpercayaan media perdana sudah sampai ke tahap yang amat parah.




Jika mereka benar-benar mahu membantu, mereka sepatutnya menjawab pelbagai persoalan berhubung kenaikan harga barang, tuduhan-tuduhan rasuah terhadap pemimpin tertentu dan sebagainya.




Sebaliknya dengan menfokuskan berita yang tidak releven dalam pilihan raya, rakyat menganggap media cuba lari daripada permasalahan sebenar.


Sepatutnya, media arus perdana perlu faham bahawa lebih banyak berita yang menghentam pihak lain disiarkan sama ada menerusi komunikasi bersemuka atau disiarkan menerusi media alternatif.


Ini adalah tindak balas biasa yang perlu diakui keberkesanannya. Media perdana juga mengheboh-hebohkan isu Datuk Seri Haji Hadi Awang mengeluarkan fatwa yang membenarkan umat Islam mengata dan mengumpat orang lain.



Media perlu tahu bahawa fatwa tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tanpa muzakarah ulama-ulama.



Dalam suasana pilihan raya, berita-berita yang boleh menimbulkan persoalan atau lemah di segi logika dan faktanya, sepatutnya dielakkan.




Pembaca dan penonton tahu bahawa berita-berita seperti ini memang sengaja disiarkan oleh media untuk memburukkan parti bukan kerajaan.



Tindakan media ini hanya menimbulkan rasa jijik pembaca dan penonton.



Tamparan hebat kepada media arus perdana ialah apabila mereka menghentam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengungkit peristiwa silam dan sebagainya beberapa hari sebelum tarikh pembuangan undi.



Selain menyiarkan kenyataan-kenyataan tokoh-tokoh tertentu yang mencemuh Datuk Seri Anwar, media arus perdana juga menyiarkan rencana yang berniat untuk mengajak orang ramai supaya tidak menyokong beliau.



Berbuat demikian jelas menunjukkan seolah-olah media arus perdana panik dan berkempen bermati-matian untuk BN.



Sebaliknya, kesempatan ini diambil oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menjawabnya pada ceramah-ceramahnya di seluruh negara.



Sekali lagi minat orang ramai untuk mengikuti ceramah-ceramahnya bertambah tinggi kerana mereka percaya beliau akan menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh media-media berkenaan.



Itulah antara sebabnya ke mana saja beliau berkempen, bilangan hadirin mencecah ribuan dan puluhan ribu orang.



Bukankah ini ‘iklan’ bernilai yang diberikan oleh media arus perdana kepada Datuk Seri Anwar. Ia ibarat orang mengantuk disorong bantal.


Menyamakan beliau dengan binatang seperti sesumpah dan serigala, menjijikkan pembaca. Ini berbeza dengan iklan yang disiarkan di televisyen, radio dan segala jenis media berhubung ‘Undilah BN’.



Sepatutnya media arus perdana perlu mempunyai landasan yang lebih diterima oleh rakyat.



Di samping menyiarkan kenyataan pemimpin atau calon BN, mereka sepatutnya juga memberi ruang untuk parti-parti lain yang bertanding, walaupun pada purata 70 BN dan 30 parti pembangkang sebagai pada awalnya disarankan oleh SPR.


Ia tidak berlaku.



Sepanjang temph berkempen, yang berita dan laporan positif menjadi hak eksklusif parti dan pemimpin kerajaan. Apa saja yang mereka cakapkan mendapat tempat dalam media. Mereka juga merancang bahan-bahan berita yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN.



Malangnya, kenyataan yang menyataka bahawa BN yakinb akan menang di selurh negara dengan mengutip kenyataan pemimpin tertentu, memakan diri sendiri.



Sudah tentulah mereka memberi kenyataan positif terhadap parti mereka. Tidak logik jika mereka memberi kenyataan yang menggambarkan seolah-olah mereka hilang keyakinan untuk menang.



Sebagai kontras, berita-berita seperti ini memberikan semangat yang kuat kepada parti yang bersaing untuk menafikan keangkuhan BN.



Satu perkara yang terbukti dalam pilihan raya kali ini ialah media tidak semestinya berpengaruh sepanjang masa. Jika penonjolan yang berlebihan dilakukan oleh media, ia boleh menyebabkab ‘boomeran’ atau memakan diri sendiri.





Khamis, November 19, 2009

Semester yang hangat





Semalam di Great Hall, End Semester Dinner telah berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada individu-individu yang berusaha mengatur persiapan majlis ini.
.
.
.
Kami kian menghampiri penghujung Semester 3 bagi senior ( ambilan Julai 2008) dan bagi junior (ambilan Julai 2009), ini merupakan End Sem Dinner pertama mereka.
.
.
.
InsyaAllah, kolej akan mula bercuti pada 21 November 2009.
.
.
.
Ok.
.
.
.
Merenung kembali pada 3 semester yang telah berlalu, perjalanan terasa begitu singkat. Pejam celik, pejam celik, semuanya telah berlalu.
.
.
.
Semester depan merupakan semester paling penting buat senior, semester akhir kami. Peperiksaan A-Level yang menentukan sama ada kami fly ataupun tidak. Mungkin juga peluang terakhir kepada sesiapa yang mahu re-sit kertas AS.
.
.
.

Tadi baru je amik kalender kolej tahun hadapan. Mari kita buat countdown.
.
.
.
November 2009 – sekarang

Disember 2009

Januari 2010

Februari 2010- IELTS

Mac 2010

April 2010-Trial (5 April)


Mei 2010- A- Level mula ( 10 Mei)



Jun 2010- A-level tamat (11 Jun)

Hari terakhir senior sebagai pelajar KYUEM (19 Jun)
.
.
.
Moga kita semua dapat menempuh cabaran ini dengan penuh iltizam dan semangat.

InsyaAllah.


Isnin, November 16, 2009

Adobe Photoshop_Ruang rindu






Akhirnya impian saya untuk belajar tentang Photoshop tercapai jua. Hasil tunjuk ajar seorang rakan semalam, maka inilah hasil pertama menggunakan Photoshop. Sajak 'Ruang Rindu" yang pernah tersiar di DS September 2009.
.
.
.
Pemilihan warna latar yang kurang sesuai barangkali. takpe. ini baru mula hendak belajar.
.
.
.
Sajak asal boleh dibaca di sini
.
.
.
nota kaki:
1. peperiksaan semester ini sudah habis. woho! seronoknya~
2. terima kasih kepada semua followers saya yang baru sahaja mencecah 100 orang beberapa hari yang lalu.

Jumaat, November 13, 2009

MPR 2009!



Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa perkara yang sering saya lakukan, sedangkan sebelum ini tidak pernah hiraukan sangat.

Antaranya:

1. Periksa email sehingga 5-6 kali dalam satu hari.

2. Tanya ada surat sampai ke tak tiap kali telefon emak kat rumah.

3. Tengok telefon bimbit dengan kerap dengan mengharap ada panggilan daripada DBP.



***


Hari ini saya ada periksa Fizik. bagi saya ia agak mencabar. terkejar-kejar nak jawab. Tidak tahu persepsi orang lain bagaimana.


Usai keluar dewan, saya menuju ke IT Lab. Mahu uruskan beberapa perkara, antaranya mahu langsaikan pembayaran Tshirt sindiket soljah.


Selesai segala hal-hal yang berkaitan, saya mahu segera pulang. Tapi terdetik di hati untuk refresh kotak mel elektronik.


oh!

oh!

oh!

Ada emel baru yang bertajuk 'Minggu Penulis Remaja 2009'.

Saya menekan papan kekunci dengan penuh keterujaan.


Oh!

oh!

oh!

Permohonan saya untuk menyertai Minggu Penulis Remaja 2009 telah diterima~

Bertempat di Port Dickson, pada 19-25 Disember 2009.


Alhamdulillah.


Sangat gembira. Terlupa seketika pada kertas Fizik yang baru diduduki~


Nota kaki: perlu tunggu surat rasmi daripada DBP.


***



APA SIGNIFIKAN MPR?


Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung.

Program ini telah melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera remaja yang sering diperlekehkan.

‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.


Dipetik daripada F.A.Q. MPR




Isnin, November 09, 2009

Antara papadom, tukar tiub dan pencuri senja

.
.
Ahad yang lepas, saya berkesempatan ke Midvalley, Kuala Lumpur, setelah sebulan terperap di dalam kolej tanpa berjaya keluar ke mana-mana.
.
.
.
Maka, peluang yang ada tidak saya lepaskan untuk sama-sama meredah lautan manusia yang membanjiri gedung terkemuka tika hujung minggu datang bertandang.
.
.
.
Memang benar, udara rimba batu tidak senyaman bayu di hutan malar hijau di kolej saya. Tiada kabus pagi yang menyambut saya seperti pagi-pagi saya di kolej. Udara kota kotor, berdebu, hitam dan menyesakkan!
.
.
.
Namun di balik keruhnya riak udara kota ternyata masih ada gumpalan habuan yang bisa tersangkut pada tebaran jaring masa.
.
.
.
Oh. Maaf! Saya masih tidak cekap bermain-main dengan metafora.
.
.
.
Dalam kunjungan singkat ke Midvalley itu, saya berkesempatan menonton filem papadom, mengunjungi MPH, menikmati mee hotplate (oh,mahu makan lagi), melawat pc fair dan membeli beberapa barang keperluan.
.
.
.
Papadom karya Afdlin Shauki membawa penonton menyingkap satu sisi dalam masyarakat kita yang jarang-jarang diselak oleh sautradara Malaysia. Tema kekeluargaan yang menunjangi filem ini berjaya keluar daripada kepompong humor-klise-picisan yang sering mendominasi filem kita lewat dekad ini.
.
.
.
Tarik tali antara ibu bapa dan anak sememangnya sesuatu yang realiti dalam sistem kekeluargaan kita. Dalam suatu sistem masyarakat yang tidak gemar bercakap, bagaimanakah nilai kasih sayang itu hendak diungkapkan? Maka, di antara mengongkong dan kebebasan mutlak, di tengah-tengah itu wajar kita berada.
.
.
.
Dalam konteks dunia realiti, saya ingin melihat persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam filem ini secara lebih jauh. Bagaimanakah rupa institusi kekeluargaan kita pada 50 tahun akan datang? Dunia terbuka menyebabkan setiap individu terpaksa bekerja keras mengumpul harta demi meneruskan kelangsungan hidup.
.
.
.
Dalam penat lelah kita memiliki nilai material yang tidak pernah mencukupi, masihkan kita punyai waktu untuk menjadi masyarakat penyayang?
.
.
.
Kelemahan filem ini pada hemat saya adalah kelonggaran pengarah menyusun watak. Kebanyakan watak selain daripada watak utama hanya muncul timbul tenggalam, sekejap ada sekejap tiada. Saya menggunakan contoh filem setem sebagai sebagai sebuah filem yang berjaya mengimbangi semua watak yang ada.
.
.
.
Namun begitu, saya melihat perbezaan genre membenarkan kelemahan ini disapu mudah ke bawah permaidani. Filem papadom adalah sebuah filem serius yang ditunjangi nilai kekeluargaan yang kuat berbanding setem yang bergenrekan humor-penyiasatan.
.
.
.
Sepanjang melewati jalan keluar daripada dewan tayangan, saya berfikir sendirian tentang bagaimanakah agaknya saya menguruskan keluarga satu hari nanti?
.
.
.
Baik. Kita tutup soal review filem. Saya seterusnya telah ke gedung buku MPH.
.
.
.
Saya secara tidak sengaja telah menonton satu adegan kejar mengejar oleh detektif kedai buku tersebut dengan seorang pencuri. Barang yang dicuri adalah laptop seorang pelanggan kedai tersebut. Mungkin sewaktu wanita itu sedang khusyuk mencari buku, pencuri ini telah mengambil kesempatan. Maka, ingatan bersama di sini adalah berwaspadalah sewaktu berada di mana-mana pun.
.
.
.
Setelah menimbang- nimbang dengan bajet yang ada, saya hanya membeli sebuah buku tulisan Hishamuddin Rais. Penulis prolifik yang juga blogger tukar tiub. Walaupun terdapat beberapa isi dalam buku tersebut yang ingin saya sanggah, namun secara keseluruhan buku tersebut berjaya memberikan kepuasan kepada saya untuk berfikir tentang realiti semasa terutama hal-hal yang membabitkan nasib anak muda dan negara.
.
.
.
Jikalau saya menulis senarai buku-buku yang saya kempunan ( buku yang mahu dibeli tapi bajet tak cukup), saya yakin bahawa senarai itu akan menjadi satu senarai panjang. Hari itu saya menambah satu lagi judul. Law of attraction versi terjemahan bahasa melayu oleh PTS kelihatan begitu mengiurkan.
.
.
.
Tapi saya tidak sanggup mahu ke mesin atm lagi kerana saya merasa menjadi semakin miskin tatkala mencucuk duit. Cukuplah satu buku saja dalam kunjungan ini. Harap-harap ada orang yang mahu hadiahkan buku itu kepada saya menjelang ulangtahun kelahiran tidak lama lagi.(uhuk3)
.
.
.
Saya juga berkesempatan membeli beberapa majalah kegemaran. Antaranya Tunas Cipta, Milinea Muslim dan Forward. Saya adalah jenis manusia yang membeli majalah berdasarkan isu yang diketengahkan.
.
.
.
Berita Minggu turut saya dapatkan kerana saya mengikuti fragmen novel ‘Dengan Tinta’ tulisan saudara Aidil Khalid. Jikalau di kolej memang susah mahu dapatkan surat khabar pada hujung minggu.
.
.
.
Baiklah. Sampai di sini saja mahu menulis.
.
.
.
3 kertas lagi untuk diduduki pada peperiksaan bulan ini. Oh~
.
Related Posts with Thumbnails