Isnin, Mac 29, 2010

Setelah dewasa




Sudah pasti ada sedikit frust di hati, setelah mengetahui bahawa puisi yang dihantar telah disiarkan oleh editor- tetapi saya tidak berpeluang untuk menatapnya.


Bahkan saya hanya mengetahui ia disiarkan apabila ibu menelefon tadi, mengatakan bahawa surat honorarium sudah sampai di rumah.


Walauapapun, terima kasih kepada editor yang menyiarkan puisi saya itu (walaupun saya yang kadangkala pesimis ini menyangka bahawa ia telah 'dibakulsampahkan')


Berikut saya tulis kembali puisi pendek tersebut (kalau layak dinamakan sebagai puisi) yang telah disiarkan dalam Berita Minggu 19 Oktober 2009.



SETELAH DEWASA


Sungguh!
hangat-hangat malam
ingin kupintal halus
membingkai gebar amal
agar esok nyenyak lenanya
kala buta segala deria kita
angkara debu dunia
yang tiba menerpa.



SYUKRI SAPUAN
Lembah Beringin, Selangor.
8 Oktober 2009.



PBAKL 2010



Akhirnya saya 'terpergi' juga ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di PWTC, walaupun pada awalnya tidak mahu ke sana.


28 Mac 2010, hari terakhir PBAKL 2010.

Bas Kota Tinggi-Kuala Lumpur bertolak pada jam 9 pagi. Kemudian saya selamat sampai di Puduraya sekitar jam 2.30 petang. Matlamat asal, mahu kembali ke kolej di Lembah Beringin dengan segera.


Telefon bimbit dikeluarkan. Ada mesej masuk.


" sorry syuk, aku bleh amik ko lepas maghrib"


Nah, di sini ada lebihan masa yang banyak. Di mana saya mahu melepak? Maka saya pun menuju ke PWTC, berlegar-legar di sana sehingga jam 7 malam.


Sudah pasti pesta buku itu amat menarik, tetapi seperti biasalah- bajet saya terhad!


Orang sangat ramai-ibu bapa, anak-anak muda juga rombongan sekolah mengisi segenap ruang dewan.


Siapa kata rakyat Malaysia tidak membaca?


Ini merupakan kali kedua saya ke PBAKL di PWTC. Kali pertama pada tahun 2007, ketika mewakili negeri Johor ke Pertandingan Anugerah NILAM peringkat kebangsaan. Ada satu slot untuk kami ke pesta buku.


Bila saya mahu habiskan baca buku-buku ini?






Oh, tunggulah selepas habis semua paper. Tidak lama lagi, 11 Jun 2010- Economics Paper 3


Sabar

Sabar

Sabar

.

.

.



Jumaat, Mac 26, 2010

Sembang buku





Setelah menimbang& mengambil kira tentang beberapa perkara, saya mengambil keputusan untuk tidak menghadirkan diri ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010.


Buat yang masih ada kelapangan masa, silalah hadir ke PBAKL di PWTC. Ia akan diadakan sehingga hujung minggu ini ( 28 Mac 2010, Ahad)


Isnin ( 29 Mac 2010), sudah mula kelas balik. Seminggu selepas itu, saya akan menduduki peperiksaan percubaan. fuhh~


Semalam saya ke bandar Johor Bahru-hendak buat pasport. Kepada sesiapa yang ingin tahu mengenai cara-cara berurusan dengan pihak imigresen untuk urusan pasport, seorang sahabat saya ada menulis prosedur tersebut di laman blognya-how to make passport for dummies.


Terlanjur sudah ke bandar Johor Bahru, saya singgah di City Square. Kemudian menonton filem Daybreaker. Secara jujurnya saya memilih filem ini kerana tertarik dengan posternya, terutamanya perkataan 'in 2019, the most precious natural resource...... is us'





Dan selepas menonton, filem ini biasa-biasa saja. cet~


Kemudian saya ke MPH City Square. Setelah puas membelek-belek, termenung, berfikir, mengira bajet dan seumpama dengannya, saya membeli 2 buah buku.


Buku pertama ialah novel awal remaja, otai tulisan Ilyani Alias yang juga rakan MPR 2009. Tahniah kepada beliau yang telah berjaya menerbitkan novel bersama PTS-one? Hmm, giliran saya pula bila ya?






Kemudian, saya turut membeli novel syahadah gadis ateis tulisan Imran Haaz. Sebuah novel yang menarik pada pandangan saya. Saya sudah habis baca malam tadi, tapi tidak mempunyai kerajinan untuk membedah buku ini. Maka saya perturunkan saja komentar-komentar yang terdapat di belakang kulit buku ini.






"Padat tetapi menarik. Emosi tetapi berintikan dalil. Inilah novel wacana Islami yang jarang-jarang sekali sekali kita temui dalam dunia persuratan tanah air." Zaid Akhtar, novelis Salju Sakinah.


"Bukan novel biasa, bukan buku soal jawab agama yang tipikal. Syahadah gadis ateis adalah manual bahasa mudah seorang muslim yang diekstrak dari manual agung Al-Quran. buku pemantapan akidah yang dipermudahkan cara penyampaian ini adalah bacaan wajib bagi setiap Muslim tanpa mengira umur, kedudukan, pangkat dan tingkatan ilmu." Nur Zarawati binti Mohd Zain, pengarah urusan Zaratech Enteprise.



Pengarang banyak menyelitkan dalil-dalil yang diperoleh daripada Al-Quran, di samping menggunakan bahan daripada Bible dan kitab-kitab agama lain sebagai perbandingan. Saya merasakan seolah-olah sedang berada dalam kuliah Friendly Comparative Religion (FCR) sewaktu membaca buku ini.



Selain itu, buku lain yang sempat saya beli & baca pada cuti dua minggu ini ialah novel awal remaja tulisan Hilal Asyraf, remaja mulia. Ini ialah novel pertama karya penulis muda ini yang sempat saya baca. NOvel ini menampakkan kebijaksanaan pengarang memasukkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seorang pelajar sekolah. Sangat menarik saya kira. Saya akan cuba untuk membaca novel-novel beliau yang lain, seperti VT & terasing.





oh ya!


Saya juga dalam usaha untuk mendapatkan sebuah novel tulisan seorang lagi peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Perindu Pelangi tulisan Siti Munirah A. Rasyid.










Buku oh buku~

Buku-buku A-Level sedang menanti untuk kau habiskan, beberapa bulan sajn lagi untuk kau habiskan.




oh Fizik~

oh Ekonomi~

oh Matematik~


Rabu, Mac 24, 2010

Dari hati, untuk hati




Saya memang selalu duduk termenung. Nikmat. Tidak ada pula rakan yang menegur bahawa perbuatan saya itu sebagai tidak elok, maka saya teruskan saja tabiat tersebut.





Sambil bermenung sendirian, selalu saja fikiran ini dihinggapi dengan pelbagai persoalan dan permasalahan. Dari seremeh-remeh perkara, sehinggalah perkara yang besar-besar. Contohnya, berhadapan & bergaul dengan masyarakat membuatkan saya selalu tertanya-tanya, seseorang manusia itu berbeza disebabkan oleh apa?, juga bagaimana cara kita menilai sesesorang manusia. (walaupun saya bersetuju bahawa kita bukan Tuhan yang layak menghakimi manusia)



Persoalan itu berbolak-balik di dalam hati ini hingga menyebabkan lamunan saya sering saja meleret panjang. Dari persoalan pokok itu, terbit pula persoalan ranting yang lebih bersifat peribadi. – Apakah yang membuatkan seseorang itu istimewa pada kaca mata saya?




Nah, pada persoalan inilah lamunan saya benar-benar kembali meleret panjang.




Menjelang usia mencecah 20 tahun pada tahun hadapan, saya telah dipertemukan dengan ramai manusia di dunia ini. Ramai manusia, sudah pasti ada pelbagai ragamnya. Sebagai seorang manusia yang meraikan kepelbagaian ragam manusia, saya amat berharap saya akan memiiki jiwa yang besar dan mampu untuk dicampakkan di mana-mana saja di tengah masyarakat.




Entahlah. Barangkali kerana fitrah manusia itu sendiri, manusia selalu cenderung untuk berdamping dengan mereka yang memiliki kecenderungan yang sama dengan diri mereka sendiri. Maka kerana saya adalah seorang manusia yang berfitrah (barangkali), saya juga melihat keistimewaan seseorang itu kerana mereka memiliki banyak titik persamaan dengan diri saya.




Untuk menjawab persoalan ini dengan lebih panjang lebar, harus saja saya menjadi neutral dan menutup suis sisi romantika-jika ada (kerana sewaktu romantik, manusia selalu tidak realististik!)




Menilai keistimewaan seseorang berdasarkan hati budinya, saya selalu tertanya-tanya- apakah yang membentuk hati budi yang baik? Adakah didikan? Faktor persekitaran? Ataupun hati yang sedia suci bersih?- dan juga apakah yang didefinisikan sebagai hati budi yang baik? Kepala digeleng, saya benar-benar seorang manusia yang bingung.





Saya meletakkan tangan di dada, meminta ‘fatwa’ hati bagi meredakan kebingungan. Ah, ternyata saya tetap rungsing. Bahkan hati saya mengusulkan perkara kedua sebagai kayu ukur keistimewaan seseorang. Kecantikan paras rupa. Senyum. Nakal.




“Ah, apa kau sudah gila? Meletakkan taraf seorang manusia (baca:khalifah) pada takah paling rendah kerana bertuhankan nafsu- menilai seseorang kerana paras rupanya semata-mata. Kecantikan paras rupa tidak pernah kekal kau tahu? Hati juga tidak pernah berasa cukup - ia sentiasa tamak untuk mendapatkan yang lebih. Seeloknya kau berdoa saja agar memiliki hati yang merasai nikmat cukup.”




Lihat, ruang hati saya sudah membentak- dia memang suka memprotes.




Kemudian apa lagi untuk menilai keistimewaan seseorang ? Lidahnya barangkali? Setuju?




Boleh jadi setuju, boleh jadi tidak. Lidah hanya alat untuk menyuarakan rasa hati. Lidah tidak bersalah. Lidah yang kuat mengumpat, mengadu domba dan menfitnah itu cerminan kepada hati yang kotor. Sepatutnya manusia itu perlu lebih banyak berfikir dan mendengar, daripada banyak bercakap. Bertepatan dengan konsep zikir dan fikir bukan? Orang yang banyak cakap lagi banyak dia terdedah akan dosanya. Ah, lidah itu tidak bertulang.




Lagi, lagi, lagi! Hati, bicaralah lagi!



Cukuplah dahulu. Saya mahu kembali bermenung. Jangan ganggu.



*gambar tiada kaitan dengan entri*
lokasi: Muslim Youth Camp 2009


Ahad, Mac 21, 2010

Ada apa dengan Rizvan Khan?






Menonton filem My Name is Khan (MNIK) arahan Karan Johar buat kali kedua di Jusco Tebrau City memberi peluang kepada saya untuk menilai semula filem ini daripada kaca mata diri saya secara peribadi.



Ya, seperti menonton filem-filem lain di pawagam, saya cuba mencari apakah kelainan yang ingin ditonjolkan oleh MNIK, sehingga dikatakan telah menimbulkan satu fonemena baru filem bollywood seumpamanya selepas Kuch kuch hota hai.



Bersandar pada karisma dan bakat dua bintang bollywood terkenal iaitu Shah Rukh Khan(SRK) dan Kajol, kehadiran dua pelakon tersebut di layar perak ternyata membantu memberi sumbangan terhadap penghayatan filem secara keseluruhan. SRK sebagai penggerak utama cerita, telah melakonkan watak seorang individu (yang bernama Rizvan khan) yang mempunyai sindrom asperger begitu cemerlang sekali. Dengan menggunakan banyak teknik flashback, filem ini digarap dengan kemas dan mudah difahami oleh penonton. Saya melihat MNIK juga banyak membangunkan teknik show, don’t tell – yang lebih mengajak penonton berfikir.

“ My nama is Khan and I’m not a terrorist.” Ungkapan ‘keramat’ ini ingin diucapkan oleh Rizkhan kepada Presiden US. Sub-plot disusun rapi bagi menunjukkan punca dan sebab mengapa Rizkhan ingin bertindak sedemikian. Tidak keterlaluan jikalau ingin saya katakan bahawa ungkapan sebaris perkataan itu yang mendasari jalan utama cerita. Perkataan tersebut yang menjadi tunjang kekuatan filem yang kebanyakan pengambarannya dijalankan di Amerika Syarikat ini.




Saya secara peribadi melihat persoalan islamophobia sebagai tema utama MNIK. Peristiwa rampasan kapal terbang dan pelanggaran WTC pada 9 September 2000 merupakan konfliks utama filem ini. Seperti mana dialog Rizvan Khan, “Masyarakat barat sebelum ini menyusun sejarah menggunakan BC dan AC. Kini ada satu lagi tembok yang dibina, iaitu 9/11.”




Muslim dilihat sebagai pengganas terutamanya selepas peristiwa 9/11. Salah faham tentang konsep jihad menyebabkan masyarakat dunia melihat orang beragama Islam sanggup menghalalkan pembunuhan dan peperangan. Bahkan di dalam kelas Sameer (anak kepada Mandira-lakonan Kajol), guru beliau secara terang-terangan menyatakan bahawa Islam sebagai the most extereme religion and jihad are their holy war.





Penerimaan masyarakat barat terhadap komuniti muslim juga berubah selepas 9/11. Salah satu adegan yang menarik perhatian saya ialah apabila kedai barang-barang elektronik milik seorang pekadai Pakistan (yang beragama Islam) telah diserang oleh penduduk tempatan. Juga seorang pesyarah muslimah telah direntap tudungnya dan dimaki dengan kata-kata kesat. Scene ini memberi gambaran kepada saya tentang situasi Islamophobia rentetan peristiwa pasca 9/11 di Eropah. Saya yang ketika tahun 2001 masih berusia 10 tahun, masih belum memiliki kesedaran tentang permasalahan yang dialami oleh masyarakat dunia.




Juga yang menarik dalam filem ini pada pandangan peribadi saya ialah pengaruh media kepada masyarakat. Ketika dalam usaha untuk bertemu presiden US, Rizvan Khan telah ditangkap oleh pihak berkuasa keranan gerak lakunya yang mencurigakan sewaktu kunjungan presiden sehingga beliau disyaki sebagai pengganas- walhal beliau hanya melaungkan I’m not a terrorist, dan bukannya I’m a terrorist.




Dua orang pelajar kolej secara tidak sengaja telah merakam laungan yang sebenar telah menyerahkan pita rakaman tersebut kepada sebuah stesen berita swasta. Perkara ini mendorong kepada pembebasan Rizvan Khan- yang ketika itu sedang diseksa kerana disyaki terlibat dengan Al-Qaeda oleh pihak polis. Pembebasan Rizvan Khan telah memberi suntikan moral kepada komuniti muslim, di mana meraka lebih berani mengungkapkan bahawa muslim bukannyua pengganas dan fenomena islamophobia tidak seharusnya wujud.




Makanya, saya melihat media sebagai satu medium yang memberi pengaruh yang hebat kepada sesuatu masyarakat. Media yang terbuka dan telus mempu memberi kesan positif kepada kemajuan intelektual negara, sebaliknya media yang membodek, berat sebelah, menipu, penuh dengan domba & fitnah hanya akan memandulkan pemikiran warga negaranya.





Juga yang terlintas di fikiran saya kala ini ialah realiti kemasukan warga Eropah ke dalam agama Islam. Islamophobia untuk jangka masa panjang memberi kesan positif apabila dilaporkan warga Eropah beramai-ramai memasuki agama Islam setelah beberapa bulan peristiwa 9/11. Mereka tertarik untuk mendalami agama Islam, kerana warga Eropah merupakan masyarakat yang mengkaji dan membaca, berbeza dengan masyrakat nusantara yang mudah percaya pada sesuatu perkara tanpa usul-periksa. Apabila mereke mengetahui tentang ajaran Islam, mereka mendapati bahawa ajaran Islam itu sangat indah. Nah, ternyata memang benar bahawa Islam itu harus dilihat pada ajarannya, dan bukan pada pengganutnya semata-mata. Namun, adakah Islam itu berjaya mengatur pengganutnya jika pengganutnya itu sendiri gagal menjadi mukmin?




Persoalan-persoalan lain yang menarik untuk saya ulas ialah cara hidup Manira (lakonan Kajol) dan Rizvan Khan, di mana mereka merupakan pasangan suami isteri yang berlainan agama dan cara hidup. Berdasarkan apa yang saya ketahui, perkahwinan berlainan agama merupakan perkara yang dilarang di dalam Islam. Maka adakah Islam yang ingin ditonjolkan dalam MNIK itu hanya sebuah agama ritual ataupun sebuah cara hidup?




Perjuangan yang diiringi dengan rasa cinta itu lebih mudah berbanding dengan perjuangan yang disulami kebencian. Hal ini dapat saya amati berdasarkan watak Rizvan Khan dan Mandira itu sendiri. Rumah tangga tidak hanya dibina atas darah daging, namun turut dibina atas kasih sayang.





Saya melihat MNIK sebagai satu usaha untuk mengangkat tema barat yang bersifat antarabangsa dalam sebuah filem yang berat. Ia bukanlah sebuah filem bollywood yang tipikal yang seringkali sarat dengan tarian dan persalinan pakaian. Menghayati setiap dialog yang diucapkan oleh setiap watak dalam filem ini ternyata akan member satu pengalaman baru kepada penonton.



Tahniah kepada seluruh tenaga produksi MNIK kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang memuaskan hati saya.



Filem Malaysia bila lagi?

Selasa, Mac 16, 2010

Mitos



Kata orang, kita adalah apa yang kita fikirkan. Siapa diri kita akan menentukan apa yang dilihat.



Seseorang yang optimis akan sentiasa melihat cabaran-cabaran dalam ruang hidupnya sebagai peluang, manakala si pesimis akan melihat pada pandangan yang berbeza.



Manusia selalu terikat dengan persepsi. Ada apa dengan persepsi?, sehinggakan manusia selalu takut melangkah kerana gusar dengan tanggapan orang sekeliling.



Manusia hebat selalu bergerak menongkah arus. Maka, aku juga selalu berkeinginan untuk menongkah arus.



Makanya, biarkan saja mereka berpandangan begitu. Itu petanda bahawa aku hidup bersama masyarakat berjiwa. Lepaskan rantai yang mengikat di perdu rasa, juga pada tali yang melilit di seluruh anggota.



Sepertimana mereka yang melaungkan hak-hak kebebasan manusia, aku juga kadang-kadang selalu menjadi mereka (haha)



Tapi harus diingat bahawa yang punyai hak teratas hanyalah DIA. Hak tidak hadir sebagai objek tunggal, ia datang bersama tanggungjawab.



Mari kita merayakan pesta kepelbagaian. Manusia itu berbeza, kerana itu hidup jadi menarik.



Dare to be different~



Biar apa orang kata, itu semua hanya mitos.



Biarkan.



Biarkan.



Biarkan.






Ahad, Mac 14, 2010

My name is Khan






Oleh kerana tiket bas untuk saya pulang ke Kota Tinggi adalah pada pagi Ahad, maka saya perlu menumpang di rumah seorang rakan untuk semalaman.


Makanya, saya menumpang di rumah seorang sahabat, Burhan.


Malam tadi kami ( saya, Burhan & ahli keluarganya) menonton tayangan filem di Cap Square, filem My Name is Khan.


Filem ini bagus sekali, saya sangat suka menontonnya. Saya dapat melihat bagaimana situasi islamicphobia terutamanya selepas peristiwa 9/11.



Karan (pengarah filem) sejujurnya cuba bercerita tentang dilema seorang Islam bernama Rizvan Khan, yang mempunyai penyakit Aspergers sindrom (sejenis penyakit Autistik) yang dicurigai oleh bangsa Amerika. Rizvan dicop sebagai pengganas hanya kerana dia orang Islam dan peristiwa ini berlaku selepas kejadian hitam 9/11. ( Dipetik daripada mstar online)



Ulasan boleh dibaca di sini.


Entah bila saya juga mampu mengangkat tema-tema besar begini dalam tulisan-tulisan saya.






Khamis, Mac 11, 2010

Tahniah



Hari ini keputusan SPM 2009 keluar.


Saya masih tidak dapat sebarang perkhabaran tentang keputusan SPM sekolah menengah saya. (SM Sains Kota Tinggi)


Seorang adik saya ada menduduki peperiksaan SPM tahun lepas. Tahniah kepada beliau. Keputusan di luar jangkaan semua ahli keluarga. 6A, walaupun kat rumah sangat jarang nampak bukak buku & belajar.


Terima kasih kepada guru-guru di sekolah beliau ( SM Agama (Arab) Kota Tinggi) atas segala didikan kalian.


Oh ya.


Tahniah juga kepada adik perempuan tunggal saya yang mendapat 9A dalam PMR tempohari. Lupa nak buat tulis entri masa keluar keputusan tempohari.


Tahniah.tahniah.tahniah.


Peperiksaan A-Level kian menjelang tiba

.

.

.








nota kaki: terkenang. dua tahun lepas, masa keputusan SPM keluar saya tulis entri tikus putih untuk bapa.




Isnin, Mac 08, 2010

Alternatif




Cerpen
ALTERNATIF
Oleh Syukri Sapuan


DALAM keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, Zaki memang sedia maklum bahawa ayahnya sukar untuk bersetuju dengan permintaannya itu. Lebih-lebih lagi sebuah pasar raya besar akan membuka cawangan di kawasan mereka pada minggu hadapan. Pasti ramai pelanggan akan beralih arah dan tidak mahu berbelanja di kedai runcit mereka lagi. Pendapatan keluarga akan merosot dengan mendadak. Perkara inilah yang membuatkan dia lama berteleku di atas tikar selepas menyiapkan tugasan akademik sebentar tadi.


“ Ayah tidak bersetuju dengan dengan Zaki. Kekal sajalah di persatuan yang dahulu, mengapa harus berubah-ubah?” Bidas ayah apabila dia mengajukan permintaan untuk membeli pakaian seragam unit beruniform yang baru.


Dia hanya membungkam sambil memeluk tubuh. Dia memang sudah menduga bahawa jawapan itu yang akan diterimanya. Bukan dia suka-suka hati mahu menukar persatuan, sudah pasti dia punyai alasan yang tersendiri. Jikalau tidak masakan dia berani menyuarakan hasrat untuk membeli pakaian seragam baru yang harganya saja mampu menampung perbelanjaan wang sakunya untuk tiga bulan.


Kalau Zaki tahu begini yang akan terjadi pada akhirnya, tentu dia akan lebih berhati-hati dalam memilih persatuan. Semasa hari pendaftaran persatuan di sekolah tempoh hari, dia terlalu mengikut pelawaan rakannya. Pilihan yang diambil bukan dengan kerelaan sepenuh hati. Dia menyertai persatuan itu kerana mendengar desas-desus bahawa persatuan itu aktif mengadakan aktiviti dan perjumpaan. Maka dia memilih untuk menulis nama di borang pendaftaran persatuan tersebut.


Setelah beberapa bulan berada di sekolah itu, barulah dia sedar bahawa apa yang didengari selama ini hanya indah khabar daripada rupa semata-mata. Persatuan yang disertainya itu bukan sahaja jarang mengadakan aktiviti kokurikulum, bahkan hanya mengadakan perjumpaan beberapa kali sahaja dalam setahun. Itupun ketika awal-awal tahun dahulu untuk memilih organisasi persatuan. Kemudian masing-masing senyap tanpa sebarang berita. Jawatankuasa yang dipilih hanya memegang jawatan pada nama sahaja, tetapi kontang idea untuk mengadakan sebarang kegiatan.


Selalu saja perasaannya dihinggapi rasa cemburu apabila mendengar rakan-rakannya bercerita tentang aktiviti persatuan mereka. Tempoh hari mereka mendaki Gunung Pulai, selepas ini mereka merancang untuk berakit di sungai pula. Itu belum dikira lagi dengan aktiviti berkawat pada saban minggu. Pendek kata persatuan mereka memang padat dengan aktiviti yang dia gemari.


Memang pernah ada orang yang berkata padanya, mengapa mahu menyibukkan diri dengan kegiatan kokurikulum? Masa di sekolah ini belajar sajalah, dapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, kemudian lanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi.


Mudah sahaja dia mengemukakan hujah balas untuk menutup mulut mereka. Semasa di sekolah inilah dia mahu mengumpul pengalaman dan kenalan sebanyak-banyaknya. Tambahan pula, dia tidak mahu hidupnya terlalu berorientasikan peperiksaan. Sistem pendidikan yang terlalu memberi fokus pada peperiksaan akan mendangkalkan pemikiran pelajar untuk berfikir secara kritis atau analitikal, apatah lagi untuk menghasilkan idea yang matang dan kreatif. Zaki mahu jadi pelajar yang serba boleh.



(cerpen penuh di majalah e@siswa Mac 2010-dapatkannya di pasaran)



***



Terima kasih kepada tuan editor yang telah menyiarkan cerpen tulisan saya di majalah e@siswa edisi Mac 2010. Cerpen ini saya tulis pada penghujung Disember 2009- beberapa hari selepas tamat Minggu Penulis Remaja 2009.

Saya masih menggunakan tema yang mudah- sesuatu yang dekat dalam kehidupan seorang pelajar.


Buat masa ini, saya masih mencari-cari masa untuk yang sesuai untuk menulis cerpen seterusnya. Komputer riba yang rosak serta kekangan masa semester akhir nampaknya menyebabkan saya kurang 'produktif' dalam dunia kepengarangan ini.


Kehidupan kolej sayaj akan tamat dalam masa 3 bulan lagi. Selepas itu, saya akan menulis sebanyak-banyaknya.


Menulis novel barangkali?




Khamis, Mac 04, 2010

Hatiku milik siapa?





Menjadi moderator pada forum yang bertajuk 'Hatiku Milik Siapa?' barangkali merupakan antara aktiviti-aktiviti terakhir saya di kolej ini.

Forum tersebut merupakan antara pengisian KIWEE 2010 ( KYUEM ISLAMIC WEEK) dan telah membariskan Xifu Nasir, Ustaz Ghazali & Ustazah Husna sebagai ahli panel. Terima kasih dan syabas kepada ahli jawatankuasa program yang telah bertungkus-lumus membantu menjayakan program.


Pada kiraan saya, menjadi moderator pada malam tersebut juga merupakan antara aktiviti terakhir saya sebagai Muscom 2009/2010. Sehari selepas forum itu berlangsung, telah diadakan majlis serah tugas kepada Muscom 2010/2011.


Oh ya. apa yang saya dapat semasa menjadi jawatankuasa Muscom?


Banyak. Sangat banyak.


Muscom membantu saya membina kerangka pemikiran yang lebih mantap.


Walaupun saya bukanlah yang terbaik untuk berada di kerusi tersebut, tapi saya sudah buat yang terbaik.


dan saya sebenarnya masih mencari di mana diri saya yang sebenarnya?


terima kasih kerana selalu memberi ruang kepada saya untuk menjadi pengacara-pengacara majlis kalian. saya rasa saya memang suka bercakap ( haha.walaupun aku bersetuju bahawa aku perlu lebih banyak berfikir daripada bercakap).


Saya bukan yang terbaik. Mungkin juga bukan yang paling berilmu.


Saya hanya buat apa yang saya yakin sahaja. ( maka, beri aku ruang)


Baiklah. selamat meneruskan perjuangan untuk Muscom 2010/2011.


Kalian adalah penyambung mata-mata rantai dakwah.








Related Posts with Thumbnails