Ahad, Mac 21, 2010

Ada apa dengan Rizvan Khan?






Menonton filem My Name is Khan (MNIK) arahan Karan Johar buat kali kedua di Jusco Tebrau City memberi peluang kepada saya untuk menilai semula filem ini daripada kaca mata diri saya secara peribadi.



Ya, seperti menonton filem-filem lain di pawagam, saya cuba mencari apakah kelainan yang ingin ditonjolkan oleh MNIK, sehingga dikatakan telah menimbulkan satu fonemena baru filem bollywood seumpamanya selepas Kuch kuch hota hai.



Bersandar pada karisma dan bakat dua bintang bollywood terkenal iaitu Shah Rukh Khan(SRK) dan Kajol, kehadiran dua pelakon tersebut di layar perak ternyata membantu memberi sumbangan terhadap penghayatan filem secara keseluruhan. SRK sebagai penggerak utama cerita, telah melakonkan watak seorang individu (yang bernama Rizvan khan) yang mempunyai sindrom asperger begitu cemerlang sekali. Dengan menggunakan banyak teknik flashback, filem ini digarap dengan kemas dan mudah difahami oleh penonton. Saya melihat MNIK juga banyak membangunkan teknik show, don’t tell – yang lebih mengajak penonton berfikir.

“ My nama is Khan and I’m not a terrorist.” Ungkapan ‘keramat’ ini ingin diucapkan oleh Rizkhan kepada Presiden US. Sub-plot disusun rapi bagi menunjukkan punca dan sebab mengapa Rizkhan ingin bertindak sedemikian. Tidak keterlaluan jikalau ingin saya katakan bahawa ungkapan sebaris perkataan itu yang mendasari jalan utama cerita. Perkataan tersebut yang menjadi tunjang kekuatan filem yang kebanyakan pengambarannya dijalankan di Amerika Syarikat ini.




Saya secara peribadi melihat persoalan islamophobia sebagai tema utama MNIK. Peristiwa rampasan kapal terbang dan pelanggaran WTC pada 9 September 2000 merupakan konfliks utama filem ini. Seperti mana dialog Rizvan Khan, “Masyarakat barat sebelum ini menyusun sejarah menggunakan BC dan AC. Kini ada satu lagi tembok yang dibina, iaitu 9/11.”




Muslim dilihat sebagai pengganas terutamanya selepas peristiwa 9/11. Salah faham tentang konsep jihad menyebabkan masyarakat dunia melihat orang beragama Islam sanggup menghalalkan pembunuhan dan peperangan. Bahkan di dalam kelas Sameer (anak kepada Mandira-lakonan Kajol), guru beliau secara terang-terangan menyatakan bahawa Islam sebagai the most extereme religion and jihad are their holy war.





Penerimaan masyarakat barat terhadap komuniti muslim juga berubah selepas 9/11. Salah satu adegan yang menarik perhatian saya ialah apabila kedai barang-barang elektronik milik seorang pekadai Pakistan (yang beragama Islam) telah diserang oleh penduduk tempatan. Juga seorang pesyarah muslimah telah direntap tudungnya dan dimaki dengan kata-kata kesat. Scene ini memberi gambaran kepada saya tentang situasi Islamophobia rentetan peristiwa pasca 9/11 di Eropah. Saya yang ketika tahun 2001 masih berusia 10 tahun, masih belum memiliki kesedaran tentang permasalahan yang dialami oleh masyarakat dunia.




Juga yang menarik dalam filem ini pada pandangan peribadi saya ialah pengaruh media kepada masyarakat. Ketika dalam usaha untuk bertemu presiden US, Rizvan Khan telah ditangkap oleh pihak berkuasa keranan gerak lakunya yang mencurigakan sewaktu kunjungan presiden sehingga beliau disyaki sebagai pengganas- walhal beliau hanya melaungkan I’m not a terrorist, dan bukannya I’m a terrorist.




Dua orang pelajar kolej secara tidak sengaja telah merakam laungan yang sebenar telah menyerahkan pita rakaman tersebut kepada sebuah stesen berita swasta. Perkara ini mendorong kepada pembebasan Rizvan Khan- yang ketika itu sedang diseksa kerana disyaki terlibat dengan Al-Qaeda oleh pihak polis. Pembebasan Rizvan Khan telah memberi suntikan moral kepada komuniti muslim, di mana meraka lebih berani mengungkapkan bahawa muslim bukannyua pengganas dan fenomena islamophobia tidak seharusnya wujud.




Makanya, saya melihat media sebagai satu medium yang memberi pengaruh yang hebat kepada sesuatu masyarakat. Media yang terbuka dan telus mempu memberi kesan positif kepada kemajuan intelektual negara, sebaliknya media yang membodek, berat sebelah, menipu, penuh dengan domba & fitnah hanya akan memandulkan pemikiran warga negaranya.





Juga yang terlintas di fikiran saya kala ini ialah realiti kemasukan warga Eropah ke dalam agama Islam. Islamophobia untuk jangka masa panjang memberi kesan positif apabila dilaporkan warga Eropah beramai-ramai memasuki agama Islam setelah beberapa bulan peristiwa 9/11. Mereka tertarik untuk mendalami agama Islam, kerana warga Eropah merupakan masyarakat yang mengkaji dan membaca, berbeza dengan masyrakat nusantara yang mudah percaya pada sesuatu perkara tanpa usul-periksa. Apabila mereke mengetahui tentang ajaran Islam, mereka mendapati bahawa ajaran Islam itu sangat indah. Nah, ternyata memang benar bahawa Islam itu harus dilihat pada ajarannya, dan bukan pada pengganutnya semata-mata. Namun, adakah Islam itu berjaya mengatur pengganutnya jika pengganutnya itu sendiri gagal menjadi mukmin?




Persoalan-persoalan lain yang menarik untuk saya ulas ialah cara hidup Manira (lakonan Kajol) dan Rizvan Khan, di mana mereka merupakan pasangan suami isteri yang berlainan agama dan cara hidup. Berdasarkan apa yang saya ketahui, perkahwinan berlainan agama merupakan perkara yang dilarang di dalam Islam. Maka adakah Islam yang ingin ditonjolkan dalam MNIK itu hanya sebuah agama ritual ataupun sebuah cara hidup?




Perjuangan yang diiringi dengan rasa cinta itu lebih mudah berbanding dengan perjuangan yang disulami kebencian. Hal ini dapat saya amati berdasarkan watak Rizvan Khan dan Mandira itu sendiri. Rumah tangga tidak hanya dibina atas darah daging, namun turut dibina atas kasih sayang.





Saya melihat MNIK sebagai satu usaha untuk mengangkat tema barat yang bersifat antarabangsa dalam sebuah filem yang berat. Ia bukanlah sebuah filem bollywood yang tipikal yang seringkali sarat dengan tarian dan persalinan pakaian. Menghayati setiap dialog yang diucapkan oleh setiap watak dalam filem ini ternyata akan member satu pengalaman baru kepada penonton.



Tahniah kepada seluruh tenaga produksi MNIK kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang memuaskan hati saya.



Filem Malaysia bila lagi?

3 ulasan:

twit2 berkata...

yeah. itu dia.. MNIK telah dibedah! =)

student berkata...

memang best!sangat puas hati!
lebih2 lg kalau ada orang belanja..hoho..:)

THALHAH berkata...

woho..analisa mantap dan kemas.kau tak payah gi UK pon takpe. Jadi pengulas filem tempatan dan bekerja di DBP pun dah cukup.ha2

Related Posts with Thumbnails