Jumaat, Mei 15, 2009

Tempat jatuh lagikan dikenang...



Sejak beberapa hari ini, kolej saya bagaikan sebuah ketuhar yang sedang membahang. Panasnya melangit!.



Bahangnya bukan terasa pada waktu siang sahaja, malah pada waktu malam pun ada orang mengeluh kepanasan. Tidak dapat tidur tanpa pendingin hawa yang dibuka. Rasanya kalau dihitung-hitung, sudah lama juga bumi ini tidak disirami air hujan.



Syukurlah!. Baru tadi hujan renyai-renyai turun dari awan larat, membasahi sekalian bumi atma. Bebunga di pohon kembali mekar, semekar hati manusia yang sekian lama menanti dingin bumi Tuhan.



Setelah hujan berhenti , saya keluar sebentar daripada kediaman. Saya mahu menghirup udara segar selepas hujan. Aroma rumput yang terpeluwap terasa begitu segar tatkala baunya menyentuh pancaindera.


Sambil berjalan-jalan tanpa tujuan, saya mendongak memerhatikan bulan. Seingat saya, beberapa hari yang lepas bulan purnama ada di langit. Tersenyum dan bersinar semasa saya merenungnya.


Namun, langit tampak gelap malam ini. Bintang-bintang kecil juga hanya berkelip sekali-sekala. Saya tidak nampak bulan di angkasa. Barangkali terlindung dek awan larat yang bergumpal.



Sejak akhir-akhir ini saya sering kali teringat pada sekolah lama saya, sekolah menengah di Kota Tinggi, Johor. Iyelah,bak kata bidalan lama, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. 5 tahun di hidup di sekolah asrama pastinya banyak meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam diri ini.



Bayu malam yang dinginnya terasa hingga ke tulang mengingatkan saya pada 'nikmat' tidur di atas tar semasa di asrama dahulu. Pengalaman seisi asrama dikejutkan pada tengah malam untuk roll-call dan berkumpul di dataran asrama ( daratan tersebut dikenali sebagai dataran hicom) pastinya satu peristiwa 'indah' yang sukar untuk dilupakan. Roll-call selalunya diadakan untuk mengesan pelajar-pelajar yang 'hilang', fire-drill atau apa jua sebab atas kehendak warden.



Dengan berlantaikan tar, berbumbungkan langit luas serta bertemankan bayu laut, kami berada dalam keadaan antara jaga dan lena untuk mendengar peringatan yang disampaikan oleh warden. Setiap warga asrama akan mempamerkan wajah yang mamai. Kemudian, sebaik sahaja roll-call tamat, semua orang akan berebut-rebut untuk pulang ke dorm dan menyahut seruan katil yang memanggil. Saya tiba-tiba merindu saat itu.



Apa khabar ya warden-warden saya itu?. Warden yang sangat rajin membuat roll-call tersebut. Encik Abd Aziz, Encik Azman, Encik Nazri, Encik Helmi, Encik Noorisham, Encik Zamzaidi, Encik Noorkhairi dan Encik Izani. Ada lagi ke? Maaf kalau-kalau ada yang tertinggal namanya.



14 Mei 2009 merupakan tarikh sambutan hari guru peringkat kolej saya. Ada program yang diatur selepas waktu kelas. Selamat Hari Guru buat sekalian guru-guru saya. Wajah kalian terpapar satu persatu di hadapan mata saya semasa saya mengelamun sendiri tadi. Terima kasih cikgu!



Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Buat manusia sebelum jadi dewasa.
~ Petikan sajak guru oh guru
Usman Awang


Isnin, Mei 11, 2009

Mengemudi bahtera pemikiran.



"Binatang apa tu papa?. Isk, besarnya badan dia." soal Man kepada saya , tika itu kami sedang melewati seksyen haiwan mamalia di zoo negara.


" Oh, itulah gajah." ringkas saya menjawab.


Kepada sesiapa yang masih tidak mengenali siapa itu Man, sila rujuk entri ini.



" Kalau Man nak tahu, gajah ni merupakan haiwan daratan yang terbesar sekali kat dunia ni tau. Yang kita tengok ni cuma gajah Asia je, kalau gajah Afrika lagi besar." sambung saya lagi sambil melebarkan tangan bagi menggayakan saiz gajah yang besar itu.



" Oh, begitu rupanya. Tapi kenapa orang zoo ni ikat gajah tu dengan rantai besi?.kejam betul. kesian la kat gajah-gajah tu. " Man bersuara mengundang simpati saya.



" Gajah tu pulak kenapa tak nak tarik je rantai tu. Man rasa sekali sentap je rantai tu dah terputus. Iyelah, gajah tu kan kuat dan gagah. Senang-senang je dia boleh lepaskan diri dari rantai besi tu. kenapa dia tak sentap je?.Mesti terputus punyalah. Rantai tu pun bukanlah besar sangat. Man rasa pelik betul la." sambung Man lagi.


Mendengar kata-kata Man itu, saya mula menjawab.




" Kalau Man nak tahu, gajah tu dah ditambat dengan rantai besi tu sejak kecil lagi. Setiap hari anak gajah itu cuba untuk melepaskan dirinya. Dia menyentap dan menarik rantai itu berulang-ulang kali tetapi akan gagal jua. Iyelah, rantai itu terlalu kuat untuk seekor anak gajah bertubuh kecil. Apalah kudrat yang ada pada tenaganya yang tidak sebanyak mana"




" Apabila masa berganti masa, gajah itu sudah menjadi dewasa. Gajah yang bertubuh kecil itu sudah bertukar menjadi seekor gajah yang gagah dan kuat. Malangnya hanya tubuh badannya sahaja yang membesar, akalnya tetap terbantut. Gajah itu sudah lama berhenti mencuba untuk melepaskan diri gara-gara pengalaman silamnya yang sentiasa gagal untuk lolos daripada belenggu rantai besi itu. Gajah itu pasrah membiarkan dirinya tertambat, mungkin untuk selama-lamanya." saya berhenti sejeda, menarik nafas dalam-dalam.



"Gajah itu terlupa melihat tubuhnya yang sudah berganda besar dari lima atau sepuluh tahun yang lalu. Gajah itu alpa bahawa kekuatan dirinya sudah cuku kuat untuk merentap rantai dan lepas bebas. Gajah itu menjadi mangsa kealpaan dirinya sendiri." saya menyambung bicara lagi sambil mengalihkan pandangan ke arah gajah yang sedang enak menikmati pucuk daun.


Wajah polos Man tampak bingung. Entah dia faham atau tidak kata-kata saya itu.







Analogi anak gajah & rantai ini merupakan sebuah kisah yang telah saya dengar sejak di zaman sekolah rendah lagi. Bagi saya, ia merupakan sebuah kisah yang amat bermakna dan mempunyai kaitan yang jelas dalam kehidupan ini.


Halangan pemikiran ataupun mental blocking merupakan tema utama yang hendak diangkat dalam anologi ringkas tersebut. Gajah kekal tertambat di sisi tiang kerana pengalaman semasa zaman kecilnya membuktikan bahawa dia tidak akan mampu lepas daripada rantai tersebut. Malang sekali, hanya tubuh fizikalnya yang membesar, namun akal fikirannya tidak.



Akal menjadi titik perbezaan utama antara manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Akal fikiran manusia membesar seiring dengan tumbesaran fizikal. Gajah tidak mampu untuk berfikir, ia hanya bergerak berdasarkan pada landasan fitrahnya.


Pengalaman silam, kisah-kisah kegagalan dan pelbagai faktor lain kadang-kala mampu untuk menimbulkan tembok halangan dalam minda manusia. Manusia cenderung untuk melihat pada kelemahan mereka berbanding dengan kehebatan yang mereka ada.


Kegagalan yang wujud menyebabkan keresahan jiwa, seterusnya mendorong kepada putus asa. Fikiran manusia percaya bahawa mereka tidak akan berjaya lagi selepas ini . Usaha yang dilakukan selama ini sia-sia sahaja. Sama seperti simtom yang dialami oleh gajah dewasa tersebut, pengalaman kegagalan yang wujud menyebabkan mereka berhenti mencuba.


Lebih-lebih kehidupan bermasyararat kita yang sering meletakkan timbangan melulu tanpa usul periksa ( judgemental ) mendorong manusia untuk melihat kegagalan itu sebagai satu 'dosa' besar.


Kemenangan bermula daripada fikiran.


Saya sering memohon agar dikurniakan jiwa yang tabah, minda yang positif. dan diri yang tidak pernah kenal erti putus asa. Saya juga bukan insan ideal yang tidak ditimpa pelbagai masalah serta mampu bersabar dalam apa jua situasi ,namun bukankah dugaan itu semakin mematangkan manusia?.


Kita tidak akan menemui lautan baru kecuali jika kita berani meninggalkan pantai.

Kegagalan paling besar adalah gagal mencuba.

Kegagalan adalah suatu perisitwa, bukannya seseorang.

Apabila sebuah pintu tertutup, sebuah pintu lain akan terbuka. Kita biasanya begitu kecewa dan berfokus pada pintu yang tertutup itu sehingga kita tidak melihat pintu yang telah dibuka untuk kita.


Saya harap kita semua tidak akan menjadi seperti gajah dewasa itu. Biarlah kisah kegagalan lama sekadar menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah silam. Yang berlalu biarkan berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang. Bak kata sebuah pantun melayu lama, barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang merana diri.


It is not the mountain that we conquer but ourselves~ Edmund Hillary



Sabtu, Mei 09, 2009

Merentas jiwa manusia.





" Aisy, cepat betul masa berlalu. Tahu-tahu saja sudah sampai ke hujung minggu. Rasa macam baru je lagi mulakan kelas pagi tadi." Saya berbisik sendiri sambil tangan memangkah tarikh hari semalam yang telah berlalu pada kalender besar di ruang kerja saya.




Pejam, celik, pejam dan celik. Masa berlalu begitu pantas. Masa menghambat manusia agar kita akan terus bergerak ke hadapan. Masa yang berlalu tidak akan berulang. Hanya ingatan terhadap peristiwa yang akan kekal tersimpan di dalam memorial jiwa.


Tujuan utama saya memangkah tarikh-tarikh tersebut adalah untuk menimbulkan rasa bersalah & kurang senang kepada diri seandainya hari semalam saya tidak diuruskan dengan baik. Walaupun keberkesanannya masih belum benar-benar teruji, namun sekurang-kurang saya sedar bahawa begitu banyak masa lapang yang telah saya bazirkan.


Kalender tersebut saya lukis sendiri dengan tangan, menggunakan kombinasi warna dari dua batang pen marker.

Pernah seorang kawan bertanya,

"Eh, kenapa lukis pakai tangan?. Kan kat internet banyak layout kalender yang lawa-lawa."



" Entahlah. Tapi aku rasa kalau guna tangan sendiri kesannya lagi hebat, pasal benda tu datangnya dari diri kita sendiri." Saya menjawab.


Alasan lain yang saya kemukan adalah saya malas nak cari layout-layout tersebut kat internet. leceh.



Bagi saya, tidak semua perkara di dunia ini boleh diganti teknologi. Kesan daripada sesuatu yang disampaikan melalui teknologi tidak akan sama dengan apa yang disampaikan oleh manusia. Hal ini kerana, manusia adalah ciptaan Agung yang mempunyai deria dan jiwa, manakala teknologi hanyalah ciptaan yang bertindak atas arahan dan peraturan.


Saya ambil contoh mudah.


Musim hari raya Aidilfitri akan tiba lebih kurang 5 bulan. Selalunya orang ramai akan berbondong-bondong menghantar ucapan hari raya Aidilfitri. Tidak kiralah ia disampaikan melalui berdepan sendiri, kad raya, mesej telefon bimbit, email, blog ataupun lain-lain alternatif yang ada.


Memberi ucapan kad hari raya menggunakan medium teknologi tidak akan sama dengan cara-cara tradisional. Manusia akan berasa lebih terharu andai mereka menerima dengan cara tradisional (ucapan berdepan & kad raya), mungkin bukan semua tetapi saya percaya bahawa majoriti tergolong dalam golongan ini.


Menghantar ucapan menggunakan mesej telefon, email ataupun blog secara relatifnya memang lebih mudah. Hanya taip dan tekan butang 'hantar'. Namun, pada hakikatnya kadang-kadang kita hanya menghantar teks-teks kosong tanpa jiwa. Lebih-lebih lagi jika kita hanya forward mesej-mesej tersebut. Kesannya, penerima hanya menerima mesej kosong, mungkin sekadar tanda ingatan.



Sebaliknya, menghantar ucapan melalui cara tradisional ( contoh:kad raya) lebih mengharukan penerima. Terdapat perbezaan yang nyata apabila kita membaca sendiri tulisan tangan pengirim, berbanding dengan sekadar membaca tulisan fon komputer. Manusia akan berasa lebih terkesan apabila menerima sesuatu yang lahir daripada jiwa itu sendiri. Sesuatu yang lahir daripada jiwa, akan sampai ke jiwa juga.



Oleh kerana itu, saya percaya bahawa peranan kad raya tidak akan mampu untuk diganti dengan penggunaan teknologi. Mungkin hanya apabila bumi benar-benar kronik & kita kepupusan kertas, barulah kita akan beralih pada alternatif yang lain.


Teknologi tidak akan mampu untuk menggantikan manusia pada semua ruang kehidupan.


Teknologi tidak mempunyai jiwa untuk menyentuh jiwa manusia.


Lihatlah bagaimana filem-filem Bollywood mampu menyentuh jiwa manusia sehingga ia mampu membuatkan manusia bergenang dengan air mata.


Lihatlah bagaimana manusia mampu untuk menyentuh hati manusia yang lain untuk berasa sebak & menangis apabila mengenangkan ibu bapa yang jauh di desa.


Lihatlah bagaimana jiwa seorang manusia yang resah mampu ditenangkan dek kerana ketulusan jiwa sahabat.


Lihatlah bagaimana kita mampu berasa sebak tatkala melihat iklan-iklan bermesej yang ditayangkan di kaca televisyen kala musim perayaan.


Lihatlah bagaimana manusia mampu berasa tenang apabila melihat ukhwah mantap yang terjalin.

Lihatlah bagaimana kita mampu tersenyum apabila mengenangkan saat-saat indah di zaman persekolahan .


Begitu banyak sekali situasi yang mampu kita letakkan untuk membuktikan bahawa teknologi tetap tidak akan mampu untuk menggantikan peranan manusia di semua ruang.



Tetapi mungkin kerana terlalu taksub dengan teknologi dan kebendaan, manusia terlupa untuk memikirkan tentang jiwa. Manusia akan tetap memerlukan kestabilan jiwa untuk hidup bahagia.

Jiwa mempunyai definisi yang cukup luas. Janganlah kita menyempitkan pandangan dengan berbicara tentangnya dalam glosari yang tertutup.

Jiwa adalah kurniaan dari Yang ESA. Tanpa jiwa, manusia itu tidak ubah seperti robot yang diprogramkan. Jiwa membuatkan kita bertindak atas timbangan akal, menaakul sesuatu perbuatan itu sama ada ia betul atapun tidak. Jiwa yang resah adalah jiwa yang kotor.


Teringat pula saya pada bait-bait kata Prof Dr Hamka dalam kitabnya yang bertajuk Lembaga Budi. Saya pun sudah ingat-ingat lupa, tetapi lebih kurang beginilah katanya.

" Seseorang manusia itu berbeza dengan makhluk yang lain kerana manusia memulakan sesuatu daripada dalam (jiwa). Pertimbangan akal yang melawan nafsu menjadikannya berbeza dengan makhluk yang lain kerana hanya manusia yang dikurniakan akal"

Saya benar-benar sudah lupa bagaimana struktur ayat tersebut, tapi saya rasa itulah intipatinya.



Saya juga bukanlah seseorang individu yang kaya dengan jiwa untuk berbicara tentangnya. Saya hanya menulis apa yang terlintas di fikiran kala ini untuk dikongsi bersama.



Sebagai penutup, cuba kalian perhatikan rajah di bawah. Ada apa-apa kepelikankah yang timbul di hati?



Rajah diambil tanpa kebenaran daripada blog AznilHjNawawi



Ahad, Mei 03, 2009

Teratai mekar di tasik hempedu.



Saban kali tika saya melewati lelaman maya yang memiliki gaya penghuraian kritis, hati saya pasti akan berdetik bahawa betapa kerdilnya saya dalam dunia penulisan ini. Lebih-lebih lagi pada mereka yang mampu mempelbagaikan lenggok dan memasukkan unsur-unsur tambahan agar ia terus segar untuk dibaca hingga ke noktah terakhir.


Saya berharap agar satu hari nanti, saya juga akan mampu memiliki gaya penulisan saya sendiri.



Hari ini, 3 Mei 2009, merupakan antara hari bersejarah dalam hidup saya. Syukur !, karya saya diterima untuk disiarkan walau hanya 3 kali mencuba. Saya rasa saya pasti lebih bernasib baik berbanding dengan penulis-penulis yang lain kerana saya telah memulakan langkah pertama .



'Kalau kau fahami bahasa rindu' telah tersiar hari ini di akhbar Mingguan Malaysia, iaitu di ruangan sastera budaya. Sajak ini saya karang beberapa minggu yang lepas, kala sedang bergelut dengan ketegangan emosi gara-gara musim peperiksaan serta jadual harian yang padat.


Selepas kelas, saya terus pulang ke bilik. Lantas saya membuka komputer riba yang dihadiahkan oleh abang saya. Terus saya saya mencurahkan segala yang bermain di fikiran.


Saya pasti ia bukanlah sebuah puisi yang benar-benar bermutu. Temanya masih tidak lari dari kebiasaan di samping gagasan ideanya yang kering. Pemilihan kata masih berlegar-legar pada perkataan yang sering kita ucapkan sehari-hari.



Kata orang, untuk menghasilkan puisi yang baik, kita harus belajar membenci sesuatu. Kebencian itu akan merasuk diri kita seterusnya hasil rasukan itulah yang akan menghasilkan kata-kata yang indah. Saya tidak pasti akan kesahihannya. Saya bukannya pemuisi, saya hanyalah seorang pelajar aliran sains sejak zaman sekolah menengah lagi.


Mengapa tajuk entri ini teratai mekar di tasik hempedu?. Entahlah, tiada alasan konkrit untuk saya kemukakan. Sebenarnya ada sesuatu yang tersirat di balik ayat tersebut yang membuatkan saya terus berfikir. Kala berada dalam keadaan emosi stabil, jarang sekali saya dapat menghasilkan sesuatu, namun pada keadaan yang sebaliknya mengapa boleh pula?. pelik.


Mungkin ini jawapannya.




“Air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu” - Pepatah Arab.






tersiar di Mingguan Malaysia
3 Mei 2009.





* pernah dihantar sebagai entri di sini pada 22 April 2009.



Sabtu, Mei 02, 2009

Kepanasan hujung minggu.




Tengahari terik. Sinar matahari terasa begitu bahang membakar. Awan jarang-jarang meliputi langit biru. Tiada petanda awan sarat menampung air . Angin sepoi-sepoi bertiup lemah . Kipas yang berputar laju tidak mampu memberi kedinginan menyeluruh di seisi ruang. Beberapa orang pelajar mengibas-ngibas badan dengan buku nipis, menyejukkan tubuh yang berpeluh.



Sempena dengan tertekan kerana penghawa dingin tidak mahu berfungsi, saya mahu menulis tentang kepanasan. Ini adalah entri yang memiliki motif yang tidak jelas. Maka, ia hanyalah monolog kosong yang tidak mempunyai sebarang definisi konkrit. Ada beberapa erti yang biasa digunakan di sebalik frasa kepanasan.


Situasi 1: Panas terik.

Sedari awal pagi, mereka sudah tercegat di tengah bendang. Musim menuai tiba lagi. Padi-padi tunduk ke bumi seperti resminya.Landskap bendang yang tersusun menjadi halwa mata. Saujana mata memandang.

Pak Tani: Wah, panas sungguh hari ini ya maknya. Matahari terik benar.berpeluh-peluh saya. dibuatnya. bagai hendak terbakar kulit ini.


Mak Tani: iyelah bapaknya. memang sangat panas. tapi tidak mengapalah, sikit lagi siaplah ni. Bolehlah kita gunakan duit ini nanti untuk membeli barang keperluan.



Cerita tamat. Panas yang diertikan di sini adalah panas yang biasa sekali digunakan. Panas apabila haba menyentuh deria. Panas jenis ini dapat dihilangkan apabila kita keluar dari kepompong kepanasan & bergerak ke kawasan dingin.



Situasi 2: panas amarah.


Karim : aisy, aku panas betul la dengan si Ramli tu. Tak patut betul dia buat aku macam ni.


Zainal: eh, kenapa pulak dengan dia?. Aku tengok dia biasa je.


Karim: Hari tu dia janji dengan aku nak bayar hutang dia hari ni. tapi sampai sekarang masih membisu. nak kelentong aku la tu. pinjam duit nak, tapi bayar tak nak pulak.


Zainal: isy, mungkin dia ada masalah peribadi kot. Aku dengar cerita dia nak guna duit lebih sikit bulan ni pasal adik dia terlantar kat hospital. takpelah, nanti aku cuba tanya dia.



Cerita tamat. semua nama watak hanyalah nama rekaan. Perasaan marah merupakan satu perasaan yang membentak-bentak kerana ketidakpuashatian. Hakikat kemarahan itu berpunca dari api, maka air akan dapat menyejukkannya. Ketika marah, emosi manusia tidak stabil dan lazimnya mudah melakukan kesilapan.

Jika marah & anda sedang berdiri, maka duduklah. Jika sedang duduk, maka berbaringlah. Teringat pula saya pada pesan ustaz. Pernah juga saya terbaca bukti saintifik berkenaan kaedah ini, tapi terlupa pula di mana sumbernya.

Saya ingin petik berkenaan dengan hal kemarahan ini daripada sebuah buku. Dalam surah Ali Imran ayat 134, Allah memuji golongan yang bertakwa dan antara sifat yang demiliki oleh golongan ini adalah " Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain".

Ayat ini menarik kerana Allah tidak mengatakan bahawa orang yang bertakwa adalah orang yang tidak ada langsung perasaan marah. Sebaliknya, Allah mengatakan mereka adalah golongan yang memiliki perasaan marah tetapi pada masa yang sama mereka memiliki kekuatan mengawalnya.


Situasi 3: Gosip panas.


Siti: weh, korang semua tahu tak? aku ada cite hot ni. aku baru tau citer ni tadi

Aminah: ha, ape dia. cerita pasal gosip artis tempatan ke? tak nak la, aku tak minat artis tempatan ni, aku lagi suka artis seberang. masyuk.


Siti: bukanlah, ni citer pasal budak kolej kita. dengar citer Mr X sekarang dengan Miss Y. Aku tengok dengan mata kepala aku sendiri mereka jalan sama-sama tadi. bukan main mesra lagi.


Aminah: isy, pandai-pandai je ko ni buat cerita. diorang ada kerja kot nak kena buat sekali.



Cerita tamat. Segala watak dan dialog hanyalah imaginasi penulis. Nampak begitu tidak neutral sekali kan? Rasanya saya tiada bakat menjadi wartawan hiburan yang ditugaskan untuk mengarang gosip.


Gosip panas. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. adakah semua sesi bercerita cerita panas adalah sesi gosip ataupun mengumpat? sejauh mana kepentingan sesi ini terhadap kelangsungan hidup bermasyarakat kita?

Mengadu-domba, menfitnah dan mengumpat lahirnya daripada mulut. Gosip-gosip panas lebih mudah tersebar walaupun kita tidak tahu akan kesahihannya.


Oleh kerana manusia itu mempunyai sifat ingin tahu, maka aktiviti ini adalah aktiviti yang menyeronokkan. Namun, lazimnya perbuatan ini menjadi tidak menarik apabila terdapat unsur-unsur penambahan cerita apabila ia sampai dari satu mulut ke mulut yang lain. Maka, terjadilah pelbagai versi cerita. Konklusinya, saya menyifatkan perbuatan ini sebagai perbuatan yang tidak menarik kerana berdiam diri itu jauh lebih baik.



Situasi tamat.


Baiklah. Ini saja yang dapat difikirkan kala kepanasan ini. Kalian fikirkan sendiri, antara panas terik, panas amarah & gosip panas, manakah yang lebih baik?



Related Posts with Thumbnails