Sabtu, Disember 25, 2010

Membeli buku secara atas talian



Saya selalu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan buku-buku daripada kedai-kedai buku biasa. Selain berhadapan dengan masalah tiada stok, kedudukan kedai yang agak jauh juga menyulitkan saya. Maka - membeli buku secara atas talian (online) adalah antara alternatif yang ada.


Berikut adalah beberapa laman sesawang yang selalu saya gunakan untuk membeli buku-buku.


1. Ujana Ilmu


Ujana Ilmu Enterprise dimiliki oleh penulis, Puan Nisah Haron. Berdasarkan catatan pada ruang pengenalan, Ujana Ilmu bertujuan sebagai saluran kepada penulis dan penerbit sastera di Malaysia untuk mencapai khalayak Malaysia. Di sini ditampilkan buku-buku yang jarang-jarang ditemui di kedai buku biasa.


Antara buku yang telah saya beli di Ujana Ilmu ialah Tiga Kali Seminggu (Dr Faisal Tehrani), Kafe (Lutfi Ishak), Harga Sebuah Maruah (Azizi Abdullah) & Panggil Aku Melaju (Rahmat Haroun Hashim).


Setiap pembelian di Ujana Ilmu selalunya akan disertakan cenderamata berupa penanda buku yang bertulis 'Apabila membayar harga buku di Ujana Ilmu anda bukan sekadar membeli kertas & tinta, sebaliknya mendapat sebuah kehidupan!'


Ujana Ilmu merupakan antara laman kegemaran saya untuk membeli-belah.







2. BookCafe


Bookcafe.com.my merupakan kedai buku online PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. yang didedikasikan untuk memudahkan peminat buku terbitan PTS mendapatkan dan membeli buku-buku berbahasa Melayu pelbagai tajuk termasuk buku-buku yang baru diterbitkan oleh PTS dengan cepat, mudah dan pada harga yang istimewa.


Laman ini hanya menjual buku-buku terbitan PTS sahaja. Memandangkan PTS mengeluarkan semakin banyak buku pada setiap tahun, maka laman ini adalah alternatif terbaik untuk mendapatkan buku-buku tersebut. Kebanyakan kedai buku konvensional tidak dapat menampung stok buku keluaran PTS yang semakin banyak.





3. Dawama.com


Dawama.com merupakan kedai online yang menjual buku-buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa & Pustaka.


Laman ini barangkali boleh menjadi alternatif kepada para pembaca yang sukar untuk mendapatkan buku & majalah terbitan DBP di kedai-kedai buku biasa.


Antara buku yang pernah saya beli di laman ini ialah Perempuan Anggerik (Faisal Tehrani), Nasib (Zaharah Nawawi) dan Mencari Gayung (Serunai Faqir)





4.Kedai-Buku.com




(klik ikon di atas)


Keistimewaan Kedai-Buku.com terletak pada kepelbagaian buku yang dijual daripada pelbagai genre dan penerbit. Ia mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009.


Kedai-Buku.com menawarkan banyak novel-novel kepada para pembaca. Pelbagai buku daripada pelbagai penerbit boleh didapati di sini. Antaranya Alaf21, Ameen Books, Galeri Ilmu, Kaki Novel, DBP, Telaga Biru, PTS dan banyak lagi.


Sebutkan apa sahaja kategori buku - daripada remaja, kanak-kanak, chic-lit, islamik, masakan, hobi, motivasi, ilmiah, kamus dan bermacam-macam lagi ada di sini.






Pembelian secara atas talian untuk buku-buku ini selalunya menggunakan prosedur yang hampir sama.


Pembeli perlu membuka akaun sebelum memilih buku-buku yang hendak dibeli. Urusan pengeposan akan dilakukan setelah setelah selesai urusan pembayaran. Pindahan wang ke dalam akaun bank adalah antara kaedah yang popular.


Urusan pengeposan selalunya akan menggunakan perkhidmatan PosLaju ataupun PosEkspress. Maka - buku akan dapat tiba ke pintu rumah seawal dua hari selepas urusan pembayaran! (bergantung kepada pihak pengurusan laman sesawang -buku daripada Ujana Ilmu selalunya akan tiba awal)



Rabu, Disember 22, 2010

Sayembara Menulis Cerpen & Sajak

Sempena menyambut Jubli Intan ulang tahun yang ke 60 tahun Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan 40 tahun Gapena, IPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak bermula daripada 15 Disember 2010 dan berakhir pada 15 Mac 2011.


Sayembara ini dibuka kepada anak kelahiran negeri Melaka, tidak kira di mana mereka berada asalkan mereka dilahirkan di negeri Melaka. Bagi bukan kelahiran negeri Melaka, tetapi telah bermastautin selama 3 tahun di negeri itu layak menyertai samyembara ini.


Cerpen hendaklah hasil karya sendiri, bukan terjemahan, saduran atau apa-apa pengertian yang boleh menyebabkan karya itu tidak asli serta belum pernah diterbitkan dalam mana-mana penerbitan bercetak. Panjang cerpen sekitar 10-16 halaman, ditaip dengan kemas, menggunakan fon 12, langkau dua baris dan ditaip di sebelah halaman surat bersaiz A4.


Bagi sajak pula, panjang sajak tidak menjadi syarat mutlak, tetapi ianya hendaklah sekadar sesuai dengan pertandingan. Sajak hendaklah ciptaan sendiri, belum diterbitkan dalam mana-mana penerbitan dan ditaip dengan kemas menggunakan fon 12, langkau dua baris.


Tema bagi kedua-dua genre ini adalah bebas dan dipilih sendiri oleh penulis. Penulis boleh menghantar sekurang-kurangnya sebuah cerpen atau sajak, dan tidak lebih daripada tiga buah cerpen atau sajak. Semua penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan hendaklah sampai kepada urus setia pada atau sebelum 15 Mac 2011. Majlis penyampian hadiah dijangka akan diadakan pada bulan April/Mei tahun hadapan (2011), setelah panel hakim membuat keputusan. Keputusan hakim adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.


IPM mengharapkan seramai mungkin penulis kelahiran Melaka dan juga penulis yang telah 3 tahun bermastautin di negeri Melaka akan mengambil peluang untuk menyertai sayembara ini.


Maklumat lanjut boleh dilihat http://razaliendun.blogspot.com

Ahad, Disember 19, 2010

Selamat pengantin baru - edisi awal

Setelah sekian lama tidak membuka facebook, hari itu saya terkesima setelah menerima satu jemputan events.






Kawan setingkatan saya (Fatin Hanisah) akan melangsungkan perkahwinan pada 1 Januari 2011. Saya pernah sekelas dengan Fatin pada tahun 2003, di kelas 1 Baiduri (gambar bawah). Selain itu dia juga pernah berada dalam organisasi Majlis Asrama SM Sains Kota Tinggi (MAJASTI) sessi 2006/2007 sebagai ketua aras.

Tahniah kepada Fatin yang akan menjadi pelajar pertama daripada batch SPM 2007 yang melangkah ke alam perkahwinan. Semoga ikatan yang bakal dibina akan berkekalan hingga ke akhir hayat. InsyaAllah.



(Fatin Hanisah: Baris kedua hujung kanan)



Jumaat, Disember 17, 2010

Ipod Nano?





Saya tahu tentang peraduan ini - tetapi sedikit pun tidak saya teringat akannya ketika mahu membeli 2 buah buku dari bookcafe.


Untuk menyertai pertandingan ini, orang ramai harus membeli buku keluaran PTS dengan kadar minimum RM30 di kedai-kedai yang mengambil bahagian.


Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan ini, sila klik di sini.


2 buah buku yang saya beli itu bernilai RM32. Jadi - saya layak untuk mendapat sekeping kad SMS untuk menyertai peraduan ini.


Untung-untung boleh menang hadiah mingguan!





Pada suatu pagi (ketika kelam-kabut kerana sudah lambat ke tempat kerja), saya 'terkejut beruk' kerana mendapat mesej daripada PTS melalui telefon bimbit.

Saya sendiri pun sebenarnya sudah lupa yang saya pernah sertai pertandingan itu.



Alhamdulillah.

Cuma sekarang masih berfikir - hendak pakai sendiri atau hendak jual saja?



Jumaat, November 26, 2010

Entri setelah sekian lama tak kemaskini blog.


Untuk mendapatkan kad ini, anda perlu membayar RM1265.00.
Pandai betul engkau berniaga dengan rakyat.








21 November 2010. Saya telah menyertai Larian Keputeraan 2010 di KipMart Kota Tinggi sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.



Untuk kategori Remaja Lelaki (13-21 tahun), larian adalah sejauh 7Km.



gambar yang telah ditangkap oleh pihak penganjur.sumber: facebook



Menamatkan larian di tempat ke-11. Masih cergas walaupun dah lama tak bersenam secara konsisten. Boleh cuba lagi tahun depan (kalau umur masih panjang)





Saya belajar banyak daripada alam & manusia.




notakaki: bila dah lama tak menulis blog, menaip entri ini terasa amat janggal.





Jumaat, Oktober 01, 2010

Pergi



Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang


Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak akan keruh mengenang


Singa jika tidak tinggalkan sarang tidak akan dapat mangsa
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tidak akan kena sasaran.


Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang


Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang
Kayu gaharu tidak ubah seperti kayu biasa
jika di dalam hutan


Imam Syafii


Kata mutiara daripada ulama terkenal ini diajarkan kepada siswa tahun keempat di Pondok Modern Gontor



*dipetik daripada Negeri 5 Menara - A. Fuandi



Jumaat, September 03, 2010

Kita dan identiti

Kata Oscar Wilde, Be yourself; everyone else is already taken.


Bila membaca quotation ini, ingatan saya pada sebuah majalah lawak segera tiba. Saya pernah jumpa penyataan yang lebih kurang begini dalam majalah tersebut (rasanya dalam bahagian tulisan editor)


"Kalau kartun dia tu macam kartun Sireh (contoh nama - tak ingat yang betul), baik aku ambik kartun sireh je. Suruh dia lukis banyak-banyak. Tak payah ambik kartunis baru. Lukis la kartun yang ada identiti sendiri. Baru ada kelainan. Jangan tiru kartun orang lain."



Saya tak ingat dalam majalah apa ayat ini saya jumpa. Rasanya - dalam Apo? pasal saya suka majalah tu. (hoho)



Kelainan dan identiti sendiri - itulah yang saya dapat. Bukan satu keperluan untuk kita mengikut gaya orang lain - Bangkit untuk tonjolkan identi sendiri.


Sepertimana saya kini seronok menikmati kartun-kartun Lambok, Joelabu dan Sireh - yang berbeza gaya dan teknik masing-masing.



notakaki: adik-adik saya selalu cilok Apo? daripada kedai ayah - saya tak perlu keluar duit & beli. woha!

Esei dan Drama



Seingat saya - kali terakhir saya menulis esei untuk pertandingan ialah pada Jun 2009, sempena Peraduan Mengarang Hari Kemerdekaan 2009 - Dewan Siswa. Esei tersebut - 'Harapan Anak Malaysia' boleh dibaca di sini.


Namun, esei tersebut hanya dihadkan kepada 300 patah perkataan sahaja. Tidak banyak perkara yang boleh saya ulas.



Sebelum itu - pada tahun 2008, saya pernah menulis untuk Pertandingan Mengarang Esei anjuran Standard Malaysia. Keputusan pertandingan tersebut tidaklah saya ketahui kerana saya tidak mendapat sebarang khabar daripada urusetia. Mungkin saja tidak berjaya menarik perhatian juri.


Assumption untuk menyedapkan hati - pemenang yang pernah menang pada tahun sebelumnya tidak boleh lagi menghantar penyertaan. Pada tahun 2007, esei saya menang untuk hadiah saguhati - kategori Bahasa Melayu (16-18 tahun) anjuran organisasi yang sama.



30 Ogos 2010 adalah tarikh tutup penyertaan bagi Perdana Essay Writing Competition. Sesiapa yang berminat boleh turut sama menyertainya.


Penyertaan terbuka kepada warga Malaysia berusia 18 hingga 25 tahun. Esei boleh ditulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa Inggeris lebih digalakkan.






Maklumat lanjut di sini.


Write on ONE of the titles below in 2,000 words or less:

1. Malaysia’s global competitiveness ranking dropped three places to 24 for the period 2009-2010. What do you understand to be global competitiveness and what do you think should be done to raise Malaysia’s global rank?
Tahap persaingan global Malaysia telah menurun ke tangga ke-24 dalam tahun 2009-2010. Apakah yang anda fahami mengenai persaingan global dan apakah yang harus Malaysia lakukan untuk meningkatkan tahap persaingannya?



2. In the latest Budget, the Prime Minister stated the goal for Malaysia to become a high-income economy. What do you think are essential ingredients for Malaysia to achieve high-income status?
Di dalam Bajet yang terkini, Perdana Menteri telah mensasarkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri utama yang perlu dimiliki oleh Malaysia bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi?



3. Vision 2020’s deadline is less than a decade away. Compare Malaysia’s current position with the aspirations of Vision 2020 and outline the most important gaps that need to be addressed for the nation to achieve the goals of Vision 2020.
Tahun 2020 akan menjelang. Bandingkan kedudukan semasa Malaysia dengan aspirasi Wawasan 2020 dan pastikan jurang-jurang yang kritikal yang mesti diberi perhatian bagi negara mencapai sasaran Wawasan 2020 tersebut.



Saya masih berfikir sama ada untuk menyertainya ataupun tidak.



Kemudian - pada 30 September 2010 adalah tarikh tutup bagi Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP. Borang penyertaan boleh dimuat turun di laman web DBP.


Terima kasih kepada Nurul Farehah yang memberitahu perkara ini semalam.



Saya mahu cuba menulis skrip drama. Cuba-cuba saja. Tentang format drama - saya sudah google semalam. Ada ditulis di sini.








Kepada sesiapa yang berminat - marilah kita sama-sama menyertai kedua-dua pertandingan ini. Jom kita!


Khamis, September 02, 2010

Tentang inspection

Sewaktu berada di tingkatan satu - antara perkara yang saya (baca:kami ; pelajar tingkatan 1) kurang gemar ialah pemeriksaan asrama, ataupun inspection.


Bukannya malas - cuma aktiviti ini agak memenatkan dan mendera mental. (alasan.haha)


Inspection selalunya diadakan pada pagi Sabtu - selepas sarapan, kira-kira jam 9 pagi. Pelajar akan pergi ke kelas untuk prep pagi selepas inspection. Pada waktu inilah pengawas (di sekolah saya dikenali sebagai Majlis Hal-Ehwal Pelajar - MAHER) akan memeriksa tahap kebersihan dorm-dorm di asrama.


Asrama SM Sains Kota Tinggi



Usai menikmati sarapan di Dewan Sri Balau - kami akan bergegas balik ke dorm untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.


Di asrama sekolah saya, pelajar tingkatan satu dikumpulkan di dorm yang tidak bercampur dengan senior. Semasa berada di tingkatan dua, barulah kami ditempatkan di dorm yang bercampur dengan pelajar tingkatan dua hingga lima.


Antara skop tugas yang perlu dilakukan ialah memgemas loker, sapu lantai, bersihkan tingkap, sapu aras, bersihkan bilik-bilik aras, bersihkan kipas dan yang seumpama dengan itu.


Selepas pemeriksaan dorm dijalankan, MAHER akan memberikan ulasan tentang tahap kebersihan. Mungkin kerana kami pelajar tingkatan satu yang naif, abang-abang MAHER yang memeriksa itu memang suka marah-marah. Tahan sajalah telinga.



Ini tak kena, itu tak kena. Cadar katil tak cukup string. ada habuk kat tingkap paling atas. ada kertas kat bawah loker. ada habuk lagi kat bawah tikar. keceriaan serabai. rak kasut tak bersih. dan seribu macam yang lain. Pendek kata - semua serba tak kena.


Haih. Sabar ajelah.


Pada pagi Ahad pula - kami akan bergotong-royong membersihkan surau, berselang-seli dengan pelajar tingkatan dua.



Pada tahun 2003 itu juga - sekolah saya menyertai Pertandingan Sekolah 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan - kategori Sekolah Berasrama Penuh.



Ketika hari pemeriksaan oleh panel penilai hampir menjelang tiba - setiap hari akan dijalankan gotong-royong membersihkan asrama dan sekolah. Ketika ini, kawasan angkat kelas saya ialah di kawasan ampaian lelaki. Maka setiap petang kami akan ke sana.



kelas tahun 2003 : 1 Baiduri


Pernah pada satu tengah malam itu - ahli dorm saya semuanya dikejutkan daripada tidur dan diminta untuk mengemas bilik stor aras. Dengan muka mamai itulah kami sama-sama mengemas. Seorang daripda kami belot dan sambung tidur di bawah katil. (cis.haha)



Alhamdulillah - pada tahun itu sekolah saya menang Pertandingan 3K peringkat Kebangsaan - kategori Sekolah Berasrama Penuh.



Kami ingat kerana tika itu tenaga kami dikerah bergotong-royong habis-habisan.



Masuk pertengahan tahun 2004, saya menang pilihanraya MAHER - diikuti kemenangan pada tahun 2005 dan 2006. Maka tugas saya kini ialah memeriksa dorm-dorm.



Sesetengah perkara - bila kita ulang-ulang buat akan jadi bosan juga. Demikianlah dengan saya. Jika dahulu saya lihat orang yang memeriksa dorm ini seakan seronok saja , bila saya sendiri yang perlu buat tugas tersebut - lama-kelamaan akan muak juga.

Dataran HICOM - tempat roll-cal, perhimpunan selalu diadakan
- juga tapak latihan kawad kaki :)



Dan apabila pada tahun 2006 - saya perlu mengetuai tugas memeriksa asrama bersama sahabat Majlis Tertinggi - ia menjadi semakin menarik. (dan kadang-kadang muak - oleh kerana itu saya kadang-kadang terfikir - adakah warden di asrama sekolah saya itu tidak muak menjalankan tugas mereka?)

Selepas pemeriksaan asrama - akan diadakan perhimpunan ringkas di hadapan koridor dorm masing-masing. Tika itu, saya perlu memberi sedikit ucapan, peringatan, nasihat atau apa-apa sahaja.



Dalam pertengahan tahun 2006 - berakhirlah perkhidmatan saya di dalam organisasi MAHER dan saya begitu gembira untuk tidak memeriksa dorm - dan sekadar hanya menunggu MAHER datang memeriksa - sama seperti sewaktu saya berada di tingkatan satu dahulu (sudah pasti tanpa adegan marah-marah)


SAKTIAN (2003-2007)


Rabu, September 01, 2010

Goodreads (II)


Saya pernah menulis tentang Goodreads di sini.



Selama beberapa hari tidak mengemaskini blog, saya banyak menghabiskan masa di laman itu. Seronok berada di sana - lihat orang lain membaca, kita juga bersemangat sama untuk membaca.



Selain dapat baca ulasan-ulasan buku, saya juga dapat tahu apakah buku-buku yang sedang dibaca oleh orang lain. Menarik bukan?



Nisah Haron baru-baru ini juga ada menulis tentang Goodreads di blog beliau.



Dalam group Goodreads Malaysia (yang setakat ini ahlinya seramai 461), antara aktiviti yang ada ialah cabaran 50 buku setahun.


Berikut saya sertakan F.A.Q. aktiviti tersebut, (sumber)



1.Apakah itu program 50 Buku Setahun?

Program 50 Buku Setahun adalah program yang mengajak pesertanya mencabar diri sendiri untuk membaca 50 buah buku setahun. Peserta perlu menyenaraikan tajuk-tajuk buku yang telah dihabiskan pada tahun tersebut di forum Goodreads Malaysia.



2.Bagaimana caranya untuk saya turut serta?

Anda perlu menjadi ahli Goodreads Malaysia, kerana hanya dengan itu anda dapat membuka topik di forum Goodreads Malaysia. Kemudian anda perlu wujudkan satu topik baru untuk menyenaraikan tajuk-tajuk yang telah anda baca pada tahun itu. Topik baru itu kemudiannya diletakkan dalam folder 50 Buku Setahun 2010 yang ada di Goodreads Malaysia.




3.Apa yang patut saya tulis dalam senarai itu?

Tajuk sahaja sudah memadai, tetapi jika mahu meletakkan juga nama pengarang atau imej kulit buku, sangat dialu-alukan. Ini tidak susah, kerana Goodreads mempunyai sistem yang memudahkan kita menglink/memautkan tajuk, pengarang dan imej kulit buku ke dalam topik-topik diskusi.




4.Wajibkah saya membaca 50 buku pada tahun itu?

Tidak sama sekali. Cukuplah kalau kita dapat menjadikan angka 50 itu sebagai pembakar semangat untuk terus membaca.




5.Apa hadiah yang akan saya dapat jika saya berjaya mencapai 50 buku?

Malangnya tiada apa-apa hadiah kecuali keseronokan membaca dan keseronokan beraktiviti dengan rakan-rakan buku sahaja. Biasanya senarai anda akan dikomentari oleh rakan-rakan buku lain, dan itu membuka peluang untuk bertukar cerita buku dan mengenali rakan baru. Tetapi kita berdoa sahaja mudah2an rezeki GRMY lebih murah pada masa depan. Maka dapatlah kita beri hadiah.




6.Perlukah saya mengulas buku-buku yang telah saya baca?

Setakat ini para peserta bebas untuk mengulas atau tidak. Ia bukanlah syarat wajib untuk memasukkan buku ke dalam senarai anda. Ada dua cara untuk mengulas, sama ada mengulas pada topik senarai baca anda, atau mengulas pada bahagian review buku yang telah disediakan khusus pada setiap data buku.




7.Bolehkah saya senaraikan buku yang dibaca separuh/sebahagian kecil sahaja?

Diskusi mengenai hal ini pernah berlaku, dan telah diputuskan secara sepakat di kalangan peserta bahawa buku-buku sedemikian tidak layak dimasukkan ke dalam senarai.




8.Bagaimana kalau ada peserta yang buat-buat senarai tipu? Bolehkah kita tahu?

Selalunya akan ada sahaja rakan-rakan buku di sini yang akan mengomentari senarai orang lain. Itu adalah pemantauan tak langsung. Tapi entahlah, ada juga ke yang rajin nak menipu hal-hal membaca ni? Psikotik agaknya dia? :p




notakaki: sedang mengira - sudah capai 50 atau belum?




"Jika ingin menjadi seorang penulis pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga, membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis."
A. Samad Said

Sabtu, Ogos 21, 2010

Keliru

mereka cuma keliru
kita yang membuatkan mereka keliru
kita tidak pernah cuba untuk mendengar apa yang ingin mereka katakan
kita hanya mahu mereka mendengar apa yang ingin kita katakan.


(petikan filem gadoh)

Jumaat, Ogos 20, 2010

Mencari asyiknya kartun


Kira-kira 9 tahun yang lalu - sewaktu berada di darjah 5, seorang guru saya pernah berkata kepada warga kelas.


" Awak tak payah la nak tengok sangat cerita-cerita kartun tu. nanti masa awak dah besar, cerita tu masih ada lagi. contohnya, macam kartun Doraemon tu - masa cikgu kecik cerita tu ada. sekarang ni ada lagi kan kartun tu? hah, masa awak besar, awak tengok la puas-puas."





masihkah kau ingat?



Mungkin cikgu saya ini mahu menekankan tentang pentingnya persediaan menduduki UPSR pada tahun hadapan. ataupun, beliau sengaja mahu berborak-borak kosong berkongsi pengalaman hidup.



Saya yang ketika itu masih naif (sekarang pun masih naif) mendengar tanpa membantah. tapi kegilaan terhadap kartun tetap ada.



Hari ini - saya menonton kembali kartun-kartun yang menjadi pernah menjadi kegilaan dahulu.



Kalau selalunya saya berharap agar diberi masa senang-lenang yang panjang, kali ini saya mempunyai banyak cara untuk membunuh masa. Cuti saya berkemungkinan besar akan bersambung hingga Januari 2011.


Menonton kartun pada usia kanak-kanak dan menonton kartun pada usia menjelang 20-an, rupa-rupanya tidak memberi nikmat yang sama.


zaman kanak-kanak hanya sekali - dan pendek pula. ( begitu juga dengan zaman-zaman yang lain)


Setiap kali saya menonton kartun, kata-kata cikgu saya itu akan menari-nari di gegendang telinga.


oh.mujur saya tidak menuruti kata beliau.


Isnin, Ogos 09, 2010

Kelantan

Laptop sudah pulih, tapi debaran result buat rasa tak mahu menulis.

Sudahnya - letak saja gambar semasa ziarah Kelantan pada 5 Ogos hingga 9 Ogos 2010. Lebih banyak gambar akan diupload di facebook.
















Selasa, Julai 27, 2010

Rehat

Laptop ada masalah (lagi).
Penulisan direhatkan seketika.



Harap maaf.

Rabu, Julai 14, 2010

Daerah Beta


Hanya selepas beberapa bulan sesudah menerima cenderamata ini, barulah saya dapat mencari masa yang sesuai untuk menghabiskan pembacaan.


Novel Daerah Beta tulisan Azizi Hj Abdullah telah saya terima semasa kunjungan ke Menara DBP bersama para peserta MPR 2009.


Menurut Azizi Hj Abdullah ini dalam blognya,

"Daerah Beta diangkat dari kejadian benar, bagaimana sekumpulan rakyat di mana satu ketika dulu pihak kilang cuba menanam radioaktif ditempat mereka. Mereka bantah sehingga terjadi satu demonstrasi yang sangat hebat. Gas dan water canon menjadi mandian. FRU jadi pagar dan mahkamah tempat mengadu."






Daerah Beta menceritakan tentang perjuangan penduduk Kampung Baharu Bukit Marah untuk membantah penerusan operasi kilang Anak Rumpai Asian (ASA) yang disyaki menghasilkan sisa-sisa radioaktif dan tidak melupuskannya dengan cara yang selamat sehingga mencetuskan masalah kesihatan kepada penduduk.


Sebelum saya membaca novel ini - saya terlebih dahulu telah membaca buku Lawan tetap lawan : kisah perjuangan rakyat menuntut keadilan yang menyorot kisah perjuangan rakyat daripada era 60-an hingga 90-an.


Salah satu bahagian di dalam buku itu menceritakan tentang peristiwa mogok anti-radioaktif di Bukit Merah, Perak sekitar lewat 80-an hingga awal 90-an.


Menurut buku tersebut;

"Operasi kilang Asia Rare Earth (A.R.E) yang menghasilkan sisa radioaktif di kawasan Bukit Merah, Perak pada tahun 1985 telah mencetuskan satu pergerakan rakyat yang berlanjutan selama kira-kira satu dekad. Pihak penduduk semakin terdesak apabila kerajaan tidak mahu mengambil sebarang tindakan atas pihak kilang tersebut tetapi mengatakan bahawa kilang itu selamat dan tidak mengancam kesihatan penduduk di situ.


Lantaran itu, penduduk mencari jalan penyelesaian di mahkamah dan juga di luar mahkamah. Antara tahun 1985 hingga 1987, penduduk di sekitar Bukit Merah telah melancarkan beberapa demonstrasi. Demonstrasi besar yang melibatkan 20,000 penduduk telah dilancarkan pada 12 April 2987. ISA juga telah digunakan untuk menahan semua penghuni yang mengetuai bantahan pembuangan sisa radioaktif."


Rentetan peristiwa yang ditulis dalam buku tersebut sangat mirip dengan kronologi cerita di dalam Daerah Beta - maka saya beranggapan bahawa kisah perjuangan rakyat di Bukit Merah itulah yang diangkat oleh Azizi Hj Abdullah.


Hasil pencarian saya di internet, laman blog Menentang Sisa Radioaktif turut menulis tentang kronogi penuh kejadian Asian Rare Earth di Bukit Merah. Saya jamin - ia menarik untuk dibaca.



Membaca novel ini turut mengingatkan saya tentang artikel bertajuk 'Kenapa nak boikot? kenapa nak demo? yang ditulis Akmal Amri dalam laman blognya. Menurut beliau, demonstrasi jalanan mempunyai 2 fungsi utama, iaitu untuk mendidik dan bersuara. Baca artikel penuh daripada blog beliau untuk mengetahui hujah-hujah yang dikemukakan.



Novel Daerah Beta - pandangan saya adalah sebuah novel yang berbaloi untuk dimiliki. Ia adalah sebuah karya yang membuka semula lembaran sejarah mengenai kisah perjuangan rakyat yang kian dilupakan.




Isnin, Julai 12, 2010

Travelog si perayau


4 Julai 2010 / Ahad



Selesai mengikuti satu program yang berlangsung selama dua hari di Setiawangsa, saya mula beransur ke KL Sentral sekitar jam 6 petang - dengan tujuan membeli tiket keretapi untuk pulang ke Johor.


Jadual perjalanan keretapi saya teliti – dan sesudah mengambil kira beberapa faktor berkaitan, saya membeli tiket untuk perjalanan jam 10.30 malam, keesokan harinya.



Kira-kira jam 8.15 malam, saya berada di sebuah restoran berhampiran Masjid Jamek. Sedang saya enak menikmati hidangan, saya ternampak kelibat Aidil Khalid lalu di ruang pejalan kaki. Pantas saya meluru kepadanya. Rupa-rupanya beliau juga mahu ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur – untuk menyaksikan teater tradisional mak yong.



Menurut tentatif, teater akan bermula pada jam 8.30 malam. Ainunl Muaiyanah hadir sekitar jam itu bersama Hani Salwah Yaakup. Kemasukan untuk menyaksikan teater ini adalah percuma tetapi penonton harus mendapatkan pas masuk terlebih dahulu untuk nombor tempat duduk.



Pementasan malam itu mempersembahkan sebuah teater yang bertajuk Raja Besar Ho Gading. Berdasarkan buku program, mak yong dipercayai wujud pada abad ke-19 dan pada tahun 1920-an, dan ia dipentaskan sebagai pementasan DiRaja di bawah naungan Kesultanan Kelantan. Oleh kerana itu, persembahan dipentaskan dalam dialek Kelantan – maka banyak istilah-istilah yang saya tidak faham. Walaubagaimanapun, ia tetap sebuah pementasan yang menghiburkan.



Jam 10.45 malam - pementasan tamat dan saya beransur pulang ke rumah rakan (Hannan) yang terletak di Gombak.



5 Julai 2010 / Isnin


Barangkali kerana keletihan kerana berjaga lewat malam pada hari sebelumnya, saya hanya memulakan aktiviti selepas Zohor.



Beg saya simpan di KL Sentral – kemudian mulai berjalan mencari arah untuk ke destinasi seterusnya. Menurut pegawai Muzium Negara yang telah saya hubungi, pengunjung yang ingin ke sana boleh berjalan kaki daripada KL Sentral dalam jarak perjalanan kurang 1000 meter – dan ternyata benar, ada papan tanda penunjuk arah bagi pejalan kaki daripada KL Sentral yang mahu ke Muzim Negara.



Bayaran masuk ke Muzium Negara adalah RM2.00 untuk setiap satu galeri – dan ada dua ruang galeri berbayar. Yang pertama ialah ruang galeri utama ( di mana pamerannya tetap) dan ruang galeri khas ( di mana pameran berubah-berubah). Tika kunjungan saya, galeri khas sedang menganjurkan pameran misteri keranda – di mana keranda-keranda mengikut kepercayaan etnik dan agama di Malaysia dipamerkan. Sekitar tahun 2002, saya pernah mengikuti rombongan sekolah ke Muzium Negara dan tika itu galeri ini sedang menganjurkan pameran mistik dan hantu.



Untuk ruang galeri utama, ia dibahagikan kepada empat galeri iaitu sejarah awal ( galeri A), kerajaan-kerajaan Melayu ( galeri B), era kolonial (galeri C) dan Malaysia kini (galeri D).



Secara keseluruhannya, melawat ruang galeri utama bagi saya adalah hanya bagai menatap buku-buku teks sejarah sekolah menengah. Tidak ada maklumat baru yang menarik perhatian saya.



Lihat susunan tema galeri, iaitu sejarah awal – kerajaan Melayu – era kolonial dan Malaysia kini telah dihurai di dalam buku teks sejarah sekolah menengah.



Menariknya di Muzium Negara, elemen 1Malaysia telah disuntik di dalam ruang galeri - di mana telah ada pameran berkenaan 1Malaysia di galeri D.



Walaubagaimanapun, ada beberapa pada sudut pameran yang saya kurang berpuas hati. Contohnya, di galeri D yang mempamerkan tentang kemerdekaan negara. Hanya parti politik, UMNO-MIC-MCA sahaja yang dipamerkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Bagaimana pula dengan parti politik berhaluan kiri?



Menurut buku Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan kewarganegaraan ( Prentice Hall), Halaman 51:


Di sekitar awal tahun 50-an pula, kebanyakan ketua parti politik yang radikal dan dianggap Biritish sebagai berfahaman komunis dan sosialis telah dipenjarakan, dan ada yang lari ke negeri lain seperti Indonesia dan China. Terdapat juga di antara mereka yang berjuang secara gerila, dan berpusat di dalam hutan di negara ini. Namun kita perlu adil dengan mereka, walaupun nama-nama mereka tidak tercatat dalam sejarah tanah air sebagai pejuang yang turut menghasilkan kemerdekaan tetapi pada hakikatnya perjuangan mereka juga bukannya sedikit dalam menghalau penjajah daripada negara kita. Tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob dan ramai lagi telah merengkok dalam penjara dalam tempoh yang lama demi menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Mereka terpaksa hidup bersusah payah, dan mengorbankan tenaga dan wang ringgit demi perjuangan tersebut. Walaupun mereka bersifat radikal dan bertindak sebagai pembangkang kepada British namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, pengorbanan seperti ini sangat bermakna dalam member satu perjuangan kental dan tak bersifat pak turut. Tentangan mereka menjadi check & balance kepada golongan yang bekerjasama dengan British untuk membuat desakan yang lebih menguntungkan bagi negeri yang bakal merdeka.




Jelasnya di sini – perjuangan parti berhaluan kiri tidak wajar kita lupakan. Saya pernah membaca sebuah buku yang bertajuk Islam Melayu Komunis – yang menghimpunkan wawancara bersama 3 orang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang Melayu Islam. Semangat ingin tahu saya timbul apabila saya difahamkan bahawa fahaman komunis tidak percaya kepada Tuhan – jadi mengapa ada orang Melayu yang menyokong fahaman ini – sehingga terbentuknya Rejimen ke-10 PKM?




Bermula daripada PKM, melalui pembacaan - saya mula menemui maklumat lanjut berkenaan parti berhaluan kiri yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf, Malaysia Democratic Union dan lain-lain – juga nama-nama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob banyak lagi – juga istilah-istilah seperti Perlembagaan Rakyat, Hartal dan lain-lain.




Mereka semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.




Selepas puas melawat Muzium Negara, saya bergerak pula ke Muzium Polis. Muzium Polis terletak tidak jauh daripada Muzium Negara, kira-kira 1.5 KM sahaja. Sekiranya tidak berjalan daripada Muzium Negara, stesen tren paling hampir adalah stesen pasar seni – di mana saya perlu berjalan melintasi stesen KTM Kuala Lumpur untuk sampai ke Masjid Negara (kira-kira 800 meter jaraknya) . Muzium Polis terletak berhampiran dengan Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam. Oleh kerana Muzium Kesenian Islam telah saya lawat pada tahun 2009, maka saya mahu mencuba yang lain pula.



Walaubagaimanapun- saya kurang bernasib baik kerana muzium ini tutup pada hari Isnin. duh – lain kali kena cari masa datang melawat sini lagi.




Semasa di Muzium Negara, saya sempat mengambil brosur tentang maklumat muzium di Malaysia. Salah satu yang menarik perhatian saya ialah Muzium Kota Johor Lama. Seingat saya – saya pernah ke situ pada tahun 2006 tetapi tidak tahu apakah sejarah yang ada pada tempat itu. Tika itu - pergi untuk perkhemahan dan guru pengiring bawa kami ke situ.



Menurut brosur itu:

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor, kira-kira 27KM dari bandar Kota Tinggi. Kota ini terletak di atas sebuah tanjung yang dikenali sebagai Tanjung Batu di muara Sungai Johor. Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tebing Sungai Johor. Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan tanah di bahagian atasnya. Dengan terbinanya kota ini, Kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Portugis dan Acheh beberapa kali.



Di Kota Tinggi saja ada dua buah muzium sejarah.



Kalau diberi kesempatan masa, saya ingin melawat muzium-muzium itu sekali lagi.



Sepanjang siang, saya banyak berjalan ke sini sana.


Walaupun pada awalnya saya merancang untuk menghabiskan masa dengan membaca novel di gerabak keretapi, namun ternyata malam itu saya tertidur kepenatan. Sedar-sedar- kerlipan neon bandaraya Johor Bahru sudah menyentuh pandangan dan buat saya terjaga.



Sabtu, Julai 10, 2010

Comot


Pagi tadi saya lihat pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika - anjuran Kipmart Kota Tinggi. Pemenang tempat pertama menang basikal.



Budak-budak kecik umur 5-6 tahun mewarna dengan riang-rianya.



Dulu masa kecik-kecik, ibu selalu belikan majalah kawan. Masih ingat? Majalah saiz kecil - yang sekarang sudah diubah saiznya.



Dalam majalah itu ada satu peraduan mewarna. Hadiahnya saya tidak ingat - tapi saya teringin sangat nak menang.



Saya warna cantik-cantik lukisan yang disediakan - kemudian semasa dalam kereta saya bagi ayah.



"Ayah, boleh tolong hantarkan?"



Ayah saya ambil - kemudian dia tenung lukisan yang sudah diwarna penuh itu. Ayah gelak. Kemudian - simpan lukisan itu di dalam laci kereta.



Saya menanti dengan penuh harap.



Hari ini saya tahu kenapa nama saya tidak pernah disiarkan sebagai pemenang peraduan mewarna di majalah kawan.



Ayah tidak hantar borang saya kerana lukisan itu comot.



Banjir




Semalam - akhbar Sinar Harian dalam ruangan info daerah Kota Tinggi telah siarkan info tentang banjir yang melanda pada tahun 2006.



Menurut wikipedia :

Pada akhir tahun 2006 dan awal tahun 2007 iaitu bermula dari 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, Kota Tinggi telah dilanda banjir paling besar dalam sejarahnya. Banjir gelombang pertama pada 19 Disember telah menenggelamkan hampir keseluruhan bandar Kota Tinggi termasuklah bank, kedai-kedai dan kompleks membeli-belah. Namun banjir gelombang kedua bermula dari 11 Januari 2007 lebih dahsyat kerana menenggelamkan tempat yang tidak ditenggelamkan sebelumnya sehingga hampir menerjah masuk ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HDKT). Hampir 12,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang terpaksa dibuka dua kali kerana banjir telah melanda sebanyak dua kali. Banjir pada kali ini telah mencatatkan sejarahnya kerana air Sungai Johor telah naik sehingga 5.45 meter berbanding rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 4.9 meter.




Rumah saya (yang terletak kira-kira 1 KM daripada Sungai Johor) turut tenggelam dalam banjir ini. Maka di sini saya siarkan beberapa keping gambar yang sempat ahli keluarga saya rakamkan.




Gambar yang diambil dari atas bot. Satu tingkat rumah ditenggelami air.




Ruang tamu - selepas banjir surut.




Halaman rumah selepas banjir surut - sofa itu asalnya ada di ruang tamu.




Halaman rumah - basikal disaluti lumpur tebal





Kedua-dua kenderaan ini tenggelam



Keadaan di dapur - sesudah banjir surut.





Di bawah tangga - mesin basuh itu asalnya daripada dapur





bilik tidur



operasi membersihkan rumah sesudah banjir surut




Siapa sangka Kota Tinggi boleh banjir sebegini teruk? Bahkan - kami sekeluarga sama sekali tidak menyangka bahawa air boleh naik setinggi siling rumah - kerana sebelum ini jika hujan lebat sekalipun, air hanya akan bergenang di jalanraya.


Pengalaman berada di pusat pemindahan banjir selama beberapa malam - juga aktiviti membersihkan rumah yang penuh dengan lumpur tebal ( juga bau yang kurang menyenangkan) adalah perisitwa yang akan terus kami kekal di ingatan.



Jika sebelum ini, kami hanya melihat orang lain rumahnya ditenggelami air - kali ini giliran kami pula diuji.


"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi." (36 : 82)



Notakaki: Lebih banyak gambar banjir di Kota Tinggi pada tahun 2006 boleh dilihat di sini.



Khamis, Julai 01, 2010

Sastera dan kita



Satu pagi - saya terjaga dari tidur dan tertanya-tanya. Mengapa manusia perlukan sastera?



Kemudian - saya ajukan persoalan tersebut kepada seorang kenalan. Ainunl Muaiyanah menjawab dengan menghulurkan sebaris quote dari sebuah filem.



"We don't read and write poetry because it's cute. We read and write poetry because we are members of the human race. And the human race is filled with passion. And medicine, law, business, engineering, these are noble pursuits and necessary to sustain life. But poetry, beauty, romance, love, these are what we stay alive for." - Petikan filem Dead Poets Society (1989)




notakaki: oh! di mana saya boleh cari filem ini?



Shah Alam jangan menggigit



sumber:google



Engkau baru sampai di tempat itu setelah dihantar seseorang. Tika kereta proton saga warna hitam mahu berhenti, seorang lelaki sebaya engkau melambai – itu sahabat! Engkau turun kereta, keluarkan barang yang dibawa, lantas terus berjabat tangan. Apa khabar kawan?



Beg kecil yang besar engkau bimbit - juga sandang, kemudian ikut menyusup bersama kawan. Senyap-senyap - kerana engkau mahu menginap secara haram yang halal. Kata kawan – buat seperti biasa. Engkau turutkan dan pengawal itu bagai tidak sedar (kerana kau berlagak seperti kebiasaan).




Engkau selamat jumpa tempat tidur beberapa malam, tapi yang belum selamat masih banyak.



Engkau pusing-pusing sendirian di pasaraya besar - juga perhati papan harga di setiap kedai makan. Engkau sambung bersiar, walau perut sudah lapar. Engkau buat kerja matematik di fikiran – engkau nekad tak mahu beratur di mesin pengeluaran. Sudahnya – engkau pulang ke bilik, makan bersama kawan. Engkau terkenang kata seseorang - makan seorang mengenyangkan, makan beramai menyenangkan. Engkau setuju, walau selalunya tidak.



Kawan engkau mulakan perbualan. Engkau tidak sama dengan kawan. Engkau datang dari kolej dalam hutan yang tidak perlu fikir duit belanja makan breakfast -lunch –dinner kerana duit makan sudah masuk dalam yuran pengajian. Engkau hanya perlu datang menatang talam biru dan pelayan-pelayan kaunter mencedok lauk seperti ketetapan pihak atasan ( walau kadang-kadang ada yang engkau kurang gemar)




Engkau tidak seperti kawan - yang bangun tidurnya perlu merancang – hari ini perlu makan di mana? Lunch hari ini di Rafi Bistrokah? Imtiyaz? Gerai tepian jalan? Kopitiam? atau McDelivery? (yang selalu buat kawan makan beriyani kosong pada akhir-akhir bulan).



Itu belum termasuk lambaian Mydin , juga ole-ole yang selalu buat kawan terpesong tujuan.



Engkau kerut dahi – bingung.




Engkau macam tidak tahu hidup di ibu kota tidak percuma. Mahu bergerak ke sini-sana perlu ada bayarnya – kerana mereka juga ada sesuatu untuk disara. Mereka juga manusia yang tersepit dengan sistem nilai yang keliru. Entah bila dan bagaimana mahu terlepas engkau juga tidak tahu dan tidak mengerti.



Engkau tidak boleh hidup di situ dengan nafsu besar yang tidak dicatu. Oh Tuhan! itu baru seorang. Belum dikira masa depan – kala anak-anak kecil mahu ini itu.



Engkau isi sepanjang malam di situ bersama kawan. Engkau berborak panjang, bergelak sakan – mengenang cerita zaman.




Beberapa malam di Shah Alam - engkau fikir tentang perbezaan. Engkau fikir tentang kelebihan dan kekurangan. Engkau fikir tentang realiti masa depan (masa depan yang akan terus menggigit).



Sekarang dan masa depan - ia akan terus menggigit (di mana-mana).





*Catatan perjalanan sempena ‘kunjungan hormat’ ke kediaman Thalhah Zainal di Kolej Cemara, INTEC pada 24 – 27 Jun 2010.





Isnin, Jun 28, 2010

Catatan (ringkas) Johor Bahru - Kota Tinggi


bandar Kota Tinggi - satu ketika dahulu



Dari Stesen Bas Larkin ke Kota Tinggi dengan bas henti-henti selalunya akan ambil masa selama satu jam. Tapi saya tahu bas tidak akan sampai dalam jangka masa itu. Bas akan ke pusat bandaraya dahulu, kemudian baru bergerak ke destinasi akhir – sudahnya selepas satu jam setengah baru saya akan sampai di tanah kelahiran.



Di depot bas – sementara menunggu bas bergerak, seorang penumpang bertikam lidah dengan pemandu bas di hadapan penumpang-penumpang bas yang lain. Puncanya? Kerana penumpang itu dakwa tempohari dia beli tiket dengan harga RM2.40 – sedangkan pemandu kata harga tiket itu RM2.70.



Entahlah. Penumpang itu bertekak kerana RM0.30. Tapi saya rasa memang harga tiket bas sekarang Memang sudah naik. Tiket yang saya bayar untuk naik bas itu harganya RM5.80 – dulu rasanya tak semahal itu. Begitulah –akhirnya nanti rakyat marhaen juga akan tersepit.



Tiba ke Kota Tinggi sekitar jam 9.30 malam. Mahu tahu apa yang buat saya terkejut? Kota Tinggi sudah ada McDonald. woha!



Selain itu, pengurusan pasaraya Famili Mart nampaknya bertukar tangan lagi. Sekarang Pasaraya Hwa Tai mengambil alih.



Sudah hampir 3 bulan tak pulang ke Kota Tinggi - apa lagi perubahan yang telah berlaku di daerah ini?





Isnin, Jun 21, 2010

Graduasi






Secara rasminya sudah jadi alumni Kolej Yayasan UEM ( Julai 2008 - 19 Jun 2010)





















Pelajar tajaan KPM (batch 11) di KYUEM




menjadi penghuni P-30-B untuk saat-saat terakhir




DOE - April 2010



Muslim Youth Camp ( September 2009)


Housetrip




Bangsawan Diamond - Februari 2010




Diamond's HICOM ( 2009-2010)



Related Posts with Thumbnails