Khamis, November 13, 2008

Enrique mengundang jauh:Sebuah cerita tentang kita..







Saya kini sedang mengalami kemandulan minda, sering gagal berfikir di luar kotak. Anda tahu makna kemandulan minda?. Saya sekadar meminjam kata-kata tersebut dari seorang ahli parlimen negara. Kurang pasti siapakah gerangan orangnya. Beliau menggunakan istilah itu sewaktu mengkritik kewibawaan DBP dalam memartabatkan bahasa ibunda. Akhir-akhir ini, polemik nasib bahasa melayu sering menjadi topik perbahasan umum yang merimaskan. Entahlah. Saya sendiri kurang pasti. Siapalah saya untuk memberi buah fikiran dalam permasalahan ini.

Baiklah. Jari-jemari saya lancar menekan punat-punat di papan kekunci. Entri kali ini sebenarnya telah lama tersimpan di ruangan draf. Menunggu masa yang sesuai untuk saya sudahkan.


Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 di PWTC, saya telah membeli sebuah novel finalis Anugerah Sako 2 karya Dr. HM Tuah Iskandar. Saya sendiri kurang pasti sebenarnya mengapa saya begitu tertarik untuk membeli novel ini.. Tiba-tiba sahaja hati saya terdetik untuk mendapatkannya. Maka, urusniaga pun berlaku dan novel tersebut bertukar tangan. Novel bertajuk ' Enrique mengundang jauh' kini menjadi milik saya.


Seusai membaca, paradigma awal saya berubah .Ia bukanlah sebuah novel picisan yang mengisi lambakan pasaran. Terkandung di dalamnya sebuah fakta yang jarang diketahui orang. Ia sebuah cerita tentang kita. Sejak zaman berzaman, orang melayu memang terkenal dengan kepakaran mereka mengusai samudera. Orang laut misalnya menjadi pengawal pantai tatkala kegemilangan Melaka. Mereka pakar membina keluk, sampan dan bahtera. Maka, tidak hairanlah jika kita menguasai samudera sejak zaman-berzaman.




Fakta yang sering dilakarkan dalam buku-buku sejarah mengatakan bahawa manusia pertama yang belayar mengelilingi bumi adalah Ferdinan Magellan. Namun novel ini cuba menyajikan fakta pada sudut yang berbeza. Bangsa pertama yang belayar mengelilingi bumi adalah bangsa Melayu!. Bukannya Ferdinan Magellan!. Bangsa Melayu mendahului bangsa portugis? Satu fakta yang menimbulkan kepelikan dalam diri ini.

Panglima Awang atau Enrique of Melaka merupakan bangsa Melayu yang saya maksudkan itu. Panglima Awang telah membuktikan bahawa bumi ini bulat. Pada zaman dahulu, manusia menyangka bahawa bumi ini mendatar. Mereka tidak berani untuk belayar terlalu jauh ke tengah lautan. Saya kurang pasti akan ketepatan cerita ini namun kisah Panglima Awang ini pernah dibukukan oleh Harun Aminurrashid pada 1957.

Panglima Awang merupakan salah seorang pemuda Melayu yang terlibat dalam misi pelayaran Ferdinan Magallen. Beliau telah ditangkap dan dijadikan hamba abdi sewaktu Portugis menyerang Melaka pada 1511. Namun oleh kerana ketaatan beliau, beliau telah dilantik sebagai kelasi kapal oleh Ferdinan Magallen. Beliau jujur, rajin dan gigih sehingga menyebabkan beliau mendapat kepercayaan dari Ferdinan Magellan.





Umum mengetahui bahawa Sepanyol dan Portugis suatu masa dahulu berlumba-lumba untuk meluaskan empayar masing-masing. Ferdinan Magallen telah diarahkan oleh pemerintah Portugis untuk belayar mencari tanah baru. Maka, belayarlah Ferdinan Magallen bersama-sama dengan 5 buah kapal dan 270 orang kelasi menjelajah bumi atma. Salah seorang kelasi yang terlibat dalam ekspedisi tersebut adalah Panglima Awang. Beliau mendapat kepercayaan penuh dari Ferdinan Magallen sehingga dilantik sebagai pembantu kapten kapal.

Sewaktu tiba di Filipina, kapal-kapal pelayaran mereka telah diserang. Kelasi-kelasi kapal engkar akan arahan Ferdinan Magallen apabila menembak meriam ke udara sebagai tanda meraikan kegembiraan. Tindakan mereka ini disalah tafsir oleh penduduk asal Filipina dan menyebabkan mereka menyerang balas. Dalam serangan ini, Ferdinan Magallen telah terkorban. Oleh itu, beliau sebenarnya gagal mengelilingi dunia secara lengkap. Hanya 27 orang anak kapal termasuk Panglima Awang yang berjaya menamatkan pelayaran tersebut. Walaubagaimanapun, cara kematian Ferdinan Magallen terdapat di dalam pelbagai versi dan apa yang saya ceritakan ini adalah salah satu daripadanya. Pokok pangkalnya, Ferdinan Magallen tidak berjaya menamatkan pelayarannya.



Duarte Barbosa, seorang kelahiran Portugis telah memilih Panglima Awang sebagai kapten baru menggantikan Ferdinan Magallen. Beliau telah memimpin saki baki kapal yang ada untuk belayar pulang ke Sepanyol. Nyatalah bahawa beliaulah orang pertama yang belayar mengelilingi bumi sekaligus membuktikan bumi ini bulat!.

Terserah kepada anda untuk mempercayainya atau tidak. Saya hanya menterjemahkan semula pembacaan saya dalam bahasa yang lebih mudah. Saya ini tidak fanatik bangsa namun jika benar Panglima Awang manusia pertama belayar mengelilingi bumi, saya wajar berbangga. Lengan ini jika ditoreh, darah yang mengalir adalah darah seorang pelayar terkemuka dunia!

Manusia yang melupakan sejarah akan mengulanginya semula. Bersama-samalah kita belajar daripada sejarah yang berlalu. Jika anda masih tidak percaya tentang fakta yang saya kemukakan ini, gerakkanlah kursor tetikus anda pada link yang saya sertakan di bawah ini. Bacalah review novel dari pengarang yang lebih berwibawa.





Ular menyusur akar takkan hilang bisanya!

Isnin, November 10, 2008

Berlari ke langit..




Semalam hari Ahad.

Bersempena dengan 'Health Awareness Week', kolej saya telah mengadakan pertandingan larian marathon. Suasana cukup meriah. Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Anda perlu merasainya dengan pancaindera anda sendiri. Seperti kebiasaan, setiap pelajar mewakili rumah masing-masing. Terpancar jelas wajah-wajah penuh semangat setiap ahli rumah. Lakaran trek marathon sejauh 7.5 KM awal-awal lagi telah ditampal di papan kenyataan sekitar kolej.

Menyertai larian marathon semalam sebenarnya banyak mengingatkan saya pada acara merentas desa di sekolah menengah. Saya ingin mengimbau memori lama buat seketika.Di sekolah menengah saya dahulu, acara merentas desa dikenali sebagai Larian SAKTI ( SAKTI: singkatan kepada SM Sains Kota Tinggi). Apa yang berbeza hanyalah dahulu saya mewakili rumah Tiara, dan semalam saya mewakili Diamond, The House of Courage. Tiada perbezaan ketara antara dua buah rumah ini. Kedua-duanya hebat dan digeruni oleh rumah-rumah yang lain.


Form 5 Tiara 2007


Baiklah. Berbalik pada kisah marathon saya tadi. Seawal jam 8 pagi, para peserta telah berkumpul di 'car park' berhampiran Great Hall. Hanya ada segelintir warga kolej yang tidak menyertai larian ini. Tidak mengapa, saya berbaik sangka saja. Mereka ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Jikalau tidak, pasti mereka juga akan turut sama-sama menyinsing lengan menjayakan acara ini.

Marathon kami bermula di pondok pengawal. Saya bermula di belakang. Tidak ada apa yang boleh saya rebutkan. Saya akur pada prestasi stamina semasa. Siapalah saya jikalau hendak dibandingkan dengan atlet-atlet KYUEM yang lain. Saya ini jarang sungguh kelihatan beriadah di padang.Maka, jikalau saya berjaya menghabiskan larian yang panjang itupun sudah menjadi satu kejayaan yang terbesar kepada diri saya. Impian untuk menduduki kedudukan sepuluh yang utama memang satu angan-angan yang mustahil pada pandangan mata kasar. Seingat saya, kali terakhir saya bermarathon sebegini adalah pada Larian SAKTI 2007. Saya tidak dapat menghabiskan larian gara-gara kesakitan otot yang tiba-tiba menyerang. Mujur pada tahun tersebut saya berpeluang mewakili sekolah dalam acara merentas desa peringkat daerah.

Prittt!!!. Para peserta dilepaskan dari tapak permulaan oleh tuan pengetua kami, Mr Richard Small. Saya berlari-lari anak sahaja. Mencari-cari rentak larian. Memang terasa rentak larian saya kini sumbang. Setahun meninggalkan marathon, beginilah jadinya. Jantung saya berdegup kencang. Oksigen yang ada saya hirup seadanya bagi memenuhi tuntutan jantung yang mengalirkan darah ke seluruh badan . Sesekali saya menyeka keringat yang mula membasahi tubuh. Panas mentari mula memancarkan teriknya tika kami mula berlari. Mujur saya memakai pakaian berwarna putih yang tidak memerangkap cahaya.


Trek larian sejauh 7.5 KM itu memerlukan para peserta melalui beberapa kawasan di Lembah Beringin. Redup pandangan saya tatkala melalui kawasan padang golf yang serba hijau. Saujana mata saya memandang. Terlerai buat seketika segala masalah yang mencengkam jiwa. Selepas kawasan padang golf, kami melintasi pula kawasan belukar. Habis kotor kasut saya disaluti lumpur. Namun demi menghabiskan sebuah larian, saya gagahkan jua kaki yang melangkah.

Apa yang pasti, sepanjang larian marathon ini saya puas mendera mental saya supaya berlari tanpa henti. Pelbagai perkara telah saya fikirkan bagi mengkhayalkan fikiran yang disogok rasa penat fizikal. Setelah mengharungi segala dugaan dan cabaran, saya berjaya menghabiskan larian itu dengan jayanya. Saya berjaya mengekalkan rentak larian hingga ke garisan penamat walaupun ada kalanya saya sudah berputus asa dan hendak berhenti sahaja daripada berlari. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tempat ke-8 kategori pelajar lelaki walaupun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat 10 kedudukan yang utama.

Pada saya, kejayaan yang diperoleh ini adalah rezeki daripada Allah S.W.T. Saya hanya berusaha namun DIA juga yang menentukan segalanya..Kepada yang kurang berjaya, janganlah berputus asa. Jikalau berkesempatan, cuba lagi pada tahun hadapan. Harapan saya hanya satu, penganjuran aktiviti-aktiviti sebegini akan meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan warga KYUEM di samping dapat merapatkan ukhwah sesama warga kolej. Setinggi mana piala dijunjung, tinggi lagi maruah disanjung!

Seperkara lagi, buat pengetahuan anda Diamond telah berjaya memenangi larian marathon HAW tahun 2008. Tahniah kepada semua warga Diamond atas kerja keras anda. Moga ia akan menjadi titik tolak kepada kejayaan Diamond pada masa akan datang. Akhir kata, semoga penganjuran 'Health Awareness Week' ini dapat menyedarkan para pelajar tentang kepentingan menjaga kesihatan. Health is Wealth.


Meneguk air tin di kala dahaga memang satu nikmat dunia yang tiada tolak bandingnya!.

Rabu, November 05, 2008

Mimpi yang sempurna



Produktiviti saya sejak akhir-akhir ini menurun dengan mendadak. Tidak tahu di mana silapnya. Saban hari, saya seakan-akan hilang punca dan arah tuju. Mengapa ya? Mungkin kerana lambakan tugas yang menimbun lewat masa ini.

Tahukah anda bahawa Datuk Dr Fadhilah Kamsah(DFK) pernah membuat kajian tentang personaliti diri?. Menurut beliau, personaliti manusia ini ada kaitannya dengan bulan kelahiran. Wallahualam ,saya kurang pasti akan ketepatannya. Tapi inilah antara apa yang berjaya beliau temui berdasarkan pandangan kaca matanya.

Saya ini lahirnya pada bulan Januari. Maka, saya paparkan personaliti insan kelahiran bulan Januari. Anda setuju atau tidak dengan kajian ini? Adakah ciri-ciri ini ada pada saya?


JANUARI

Bercita-cita tinggi dan orangnya serius ( seriuskah saya?)

suka mendidik dan dididik ( oh ya!, saya bakal pendidik)

Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik ( saya kurang gemar mengkritik)

Rajin, setiap yang dibuat nampak keuntungan ( eh, saya tidak perasan pun?)

Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur ( oh, itu fitrah manusia)

Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam (entahlah..saya tidak perasan pun)

Pandai mengambil hati orang lain ( ikut keadaan )

Pendiam kecuali telah dirangsang (mungkin ada benarnya)

Agak pemalu dan mempunyai daya tumpuan yang sangat tinggi ( agak pemalu? err..ye kot!)

Mudah mendisiplinkan diri sendiri ( saya tidak berdisiplin)

Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema ( antibodi tubuh tidak kuat)

Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya ( uhuk3 )

Cukup sayang pada kanak-kanak ( sayang la jugak)

Suka duduk di rumah ( salah! saya suka berfoya-foya di luar rumah)

Setia pada segala-galanya ( uhuk3, bukan saya yang kata..ini kajian DFK)

Perlu belajar kemahiran bersosial ( mungkin ada benarnya)

Sifat cemburu yang sangat tinggi ( ntah la..no komen)


Kesimpulannya, saya kurang pasti akan ketepatan kajian ini. Jika anda rakan saya, pasti anda mengetahui tentang saya dengan lebih mendalam lagi. Hal ini kerana, rakan merupakan cermin kepada diri kita sendiri. Setuju atau tidak? Maka, hantarkanlah komen anda di sini!





If


If you can keep your head when all about you
Are losing theirs and blaming it on you;
If you can trust yourself when all men doubt you,
But make allowance for their doubting too;
If you can wait and not be tired by waiting,
Or, being lied about, don't deal in lies,
Or, being hated, don't give way to hating,
And yet don't look too good, nor talk too wise;

If you can dream - and not make dreams your master;
If you can think - and not make thoughts your aim;
If you can meet with triumph and disaster
And treat those two imposters just the same;
If you can bear to hear the truth you've spoken
Twisted by knaves to make a trap for fools,
Or watch the things you gave your life to broken,
And stoop and build 'em up with wornout tools;

If you can make one heap of all your winnings
And risk it on one turn of pitch-and-toss,
And lose, and start again at your beginnings
And never breath a word about your loss;
If you can force your heart and nerve and sinew
To serve your turn long after they are gone,
And so hold on when there is nothing in you
Except the Will which says to them: "Hold on";

If you can talk with crowds and keep your virtue,
Or walk with kings - nor lose the common touch;
If neither foes nor loving friends can hurt you;
If all men count with you, but none too much;
If you can fill the unforgiving minute
With sixty seconds' worth of distance run -
Yours is the Earth and everything that's in it,
And - which is more - you'll be a Man my son!


Sabtu, November 01, 2008

Benarkah begitu?




Saya merenung ke luar jendela, mencongak sesuatu di fikiran. Akhir-akhir ini saya sering kali ketandusan idea bernas. Mata pedoman saya seolah-olah terpejam dengan rapatnya. Tidak tahu bagaimana caranya untuk memulakan kata.

Baiklah. Saya ada sebuah kisah untuk dikongsi bersama. Ini kisah penglipur lara saja. Maka, jikalau ada yang baik isinya, ambillah ia sebagai pengajaran dan peringatan buat kita bersama. Namun, jikalau tiada pengajaran yang berguna, anggaplah ia sebagai halwa telinga semata-mata.

Begini kisahnya.
Di dalam sebuah hutan, tinggallah sekumpulan katak. Mereka hidup aman dan damai. Jikalau ada sengketa sekalipun, maka sang ketua katak akan mendamaikannya. Mereka hidup tolong-menolong antara satu sama lain.

Namun hari tidak selamanya cerah. Musibah menimpa mereka semua. Perkampungan katak itu diserang kemarau yang berpanjangan. Gersang semua air di kolam. Berlengaslah seisi warga katak. Maka, jawatankuasa tertinggi katak pun bersidang di meja bulat. Mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan berair yang lain. Mendengar arahan itu, bergegaslah bapa-bapa katak menemui keluarga masing-masing untuk bersiap-sedia mengemas barangan masing-masing.

Apabila tiba hari yang ditetapkan untuk berpindah, bergeraklah seluruh warga katak melompat-lompat meninggalkan perkampungan mereka yang gersang itu. Rasa sedih menyelubungi diri mereka. Manakan bisa mereka meninggalkan tanah air kesayangan . Namun, perjalanan harus diteruskan demi sebuah kehidupan. Berjurai-jurai air mata bercucuran tatkala kaki melangkah pergi.

Dalam perjalanan itu , tiba-tiba sebahagian daripada katak-katak yang bermigrasi ini telah terjatuh ke dalam sebuah lubang yang sangat dalam. Tiadalah mereka perasan akan kehadiran lubang yang sangat dalam itu semasa mereka melangkah. Gegak-gempita mengisi segenap ruang alam. Katak-katak malang ini berusaha untuk melompat keluar dari lubang yang sangat dalam itu.

Sementara itu di luar lubang, katak-katak yang terselamat bersorak-sorai. Mereka memberikan sokongan moral kepada katak-katak malang itu. Namun, apabila mereka melihat katak-katak malang ini gagal melompat keluar, mereka mula mencemuh. Gamat suasana jadinya.

"Tiada guna kita menunggu mereka ini. Menghabiskan masa saja. Lebih baik kita teruskan perjalanan. Tinggalkan sahaja mereka di sini" kata seekor katak yang mementingkan diri.

"benar. tiadalah guna barang sedikit pun jika kita menunggu mereka. menghabiskan boras den ajo" tambah seekor katak lagi yang berasal dari negeri 9.

Mendengar cemuhan dan kritikan itu, satu demi satu katak-katak malang ini berputus asa daripada melakukan cubaan keluar dari lubang itu. Tiadalah kudrat mereka mencuba lagi. Mati kataklah mereka di dalam lubang maut itu.

Tiba-tiba, tanpa disangka-sangka, seekor katak berjaya melompat keluar daripada lubang itu. Maka, terkejutlah seluruh warga katak melihatnya. Manakan bisa seekor katak biasa berjaya melompat setinggi ini. Ini adalah satu keajaiban buat seluruh komuniti katak. Tidak terjangkau akal katak-katak di situ.

Bergegaslah semua katak-katak di luar lubang itu menghampiri katak yang berjaya keluar itu. Masing-masing ingin mengetahui rahsia yang digunakan. Tatkala menghampiri, terkejut katak-katak ini. Rupa-rupanya, katak yang berjaya itu adalah katak yang pekak. Itu sahaja rahsianya. Oleh kerana katak itu pekak, maka dia tidak mendengar cemuhan yang dilontarkan. Dia menyangka bahawa gegak-gempita cemuhan yang mengisi seluruh juzuk alam itu adalah satu sokongan. Maka, dia terus berusaha dan berusaha sehingga berjaya.


Demikianlah adanya kisah ini. Kisah ini saya tulis kembali mengikut imaginasi saya berdasarkan pembacaan saya satu masa dahulu. Terdapat beberapa pengajaran yang saya perolehi daripada kisah ini. Kadangkala, kita tidak tidak boleh terlalu melayan kritikan orang. Mulut orang itu tidaklah boleh ditutup sama sekali. Maka, bersabarlah. "Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"( Al-baqarah: 286)

Seterusnya, penyakit hati itu amat merbahaya. Jikalau hendak diceritakan segala macam jenis penyakit hati, nescaya terlampau banyak kisahnya. Dengki, khianat, takbur, mementingkan diri sendiri, ujub, dan bongkak itu adalah sebahagian dari penyakit hati. Sesungguhnya dalam tubuh manusia ini ada segumpal darah. Jikalau baik ia, maka baiklah seluruh tubuh badan . Namun jika kotor ia, maka kotorlah seluruh tubuh badan. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu adalah hati manusia.

"Pandangan mata selalu menipu. Pandangan akal selalu tersalah. Pandangan nafsu selalu melulu. Pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih. hati kalau terlalu bersih ,pandangannya kan menembus hijab. hati jika sudah bersih, firasatnya tepat kerana Allah. Tapi hati bila dikotori bisikannya bukan lagi kebenaran" (petikan lagu hijjaz)

Manusia itu sifatnya alpa dan leka,tiadalah lari dari dosa dan noda .Beringat-ingatlah antara kita. Kiamat sudah hampir tiba. Entah esok masih ada?


Buat seketika dalam hidup ini, marilah kita kita bermuhasabah diri. Dalam Al-Quran ada 3 istilah yang dimaksudkan dengan kemenangan iaitu 'Al-falah', 'Al-Fawzu', dan Ál-Nasr'. Antara sifat atau ciri yang membawa kemenangan yang digambarkan dalam Al-Quran adalah:

>org yg membersihkan jiwanya - al a'la (ayat 14)


>org yg mendapat petujuk Allah - al baqarah (ayat 5)

>Org yg menyeru kpd yg baik dan mencegah kpd yg mungkar - al imran (ayat 104)

>org yg beriman dengan Rasulullah, yg memuliakannya, yg menolong dan membelanya dan mengikuti cahaya yg terang yg diturunkannya - al a'raf (ayat 157)

>org yg berjihad dengan harta benda dan dirinya - at taubah (ayat 88)

>org yg beriman dan taat serta patuh - an nur (ayat 51)

>org yg membelanjakan sebahagian rezekinya kpd kaum keluarga, org miskin dan musafir yg memerlukan bantuan - ar rum (ayat 38)

>org yg dipelihara dari kebakhilan - at taghaabun (ayat 16)

>org mukmin yg khusuk sembahyangnya, yg menjauhkan diri dpd perkara yg sia2, yg membayar zakat, yg memelihara kemaluannya, yg memelihara amanah dan janji dan org yg menjaga ibadah sembahygnya - al mukminun (ayat 1-11)
>org yg bertakwa - al maidah (ayat 100)

>org yg bertaubat - an nur (ayat 31)

>org yg mengingati Allah - al a'raf (ayat 69)

>org yg sujud dan ruku' yg mengabdikan diri kpd Allah dan membuat kebaikan - al hajj (ayat 77)

>org yg berat timbangan amalannya - al mukminun (ayat 102)

Kredit kepada blog kelip-kelip

Dan ternyata janji Allah sentiasa benar, sebagaimana yang tertulis di dalam surah ke-65, Surah Al-Talaq di dalam Al-Quran:

And whosever keeps his duty to Allah,
Allah will appoint a way out for him,
And He provides for him from ( sources) he never could imagine.


Hidup ini bukan untuk berseronok semata-mata.
Fikir-fikirkan dan renungkanlah!



Isnin, Oktober 27, 2008

Lencongan jalan kejayaan.



Mentari terik tegak di atas kepala. Hangat tetap terasa dalam ruang kamar ini.

Kebelakangan ini, saya ada menerima komen dari rakan-rakan. Mereka pening membaca blog saya. Benarkah? Terlalu terukkah bahasa melayu saya?...Hari ini saya teringin menulis dalam bahasa yang mudah.

Hari ini saya tidak mahu menulis panjang. Biarlah saya selitkan sahaja dengan kartun-kartun motivasi ini. Manusia dan kegagalan tidak dapat dipisahkan. Hal ini kerana, manusia itu sendiri adalah makhluk yang tidak sempurna. Namun, kegagalan yang paling besar itu adalah gagal mencuba. Mereka yang tidak gagal, tidak pernah mencuba. Analoginya, hanya apabila anda berada di lembah yang paling dalam, barulah anda dapat menghargai kehebatan gunung yang paling tinggi. benarkah?

Kita ini tidak akan menemui lautan baru kecuali jika kita berani meninggalkan pantai. Banyak kegagalan dalam hidup adalah kerana manusia tidak sedar betapa hampirnya mereka dengan kejayaantatkalamereka berputus asa. Hanya mereka yang tidak membuat apa-apa saja yang tidak membuat kesilapan. Manusia tidak dapat lari dari kekhilafan.

Banyak benar falsafah yang saya ungkapkan hari ini. Apapun, moga ia menjadi peringatan buat saya agar tidak mudah berputus asa apabila menghadapi sebuah kegagalan. Kegagalan adalah suatu peristiwa, bukannya seseorang!





Related Posts with Thumbnails