Memaparkan catatan dengan label Bedah buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bedah buku. Papar semua catatan

Isnin, November 11, 2013

Ulasan buku : Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang






Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang (SBPUBK) ialah himpunan artikel tulisan sdr. Zul Fikri Zamir berkaitan kritikan terhadap pendidikan, politik dan sosiobudaya. SBPUBK diterbitkan oleh DuBook Press dengan kata pengantar oleh Faisal Tehrani. 



Saya mengenali susuk nama penulis sebelum buku ini dilancarkan, melalui rencana-rencana yang disiarkan di portal berita The Malaysian Insider. Justeru, beberapa artikel beliau di dalam SBPUBK telah pun saya baca sebelum ini. Ketika video peristiwa Kak Sharifah Zohra Listen berjejeran di garis masa media sosial, sdr Zul Fikri menulis sebuah artikel di portal Projek Dialog dan artikel tersebut mendapat respon yang cukup hangat daripada pembaca.



Tajuk buku yang catchy - memungkinkan khalayak tertarik untuk terus membelek dari kulit ke kulit. Tulisannya dibahagikan kepada empat tema iaitu Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik & Sosial dan Kritik Teater. Membaca pada judul bukunya - pasti ramai yang menyangka bahawa buku ini berkisar tentang sistem pendidikan formal semata, walhal penulis membawa pembaca merenung sisi-sisi lain kehidupan yang turut memberi kesan kepada pemikiran dan tindakan. Contohnya, kritikan terhadap jati diri, budaya berfikir generasi Y; dan betapa teknologi  yang memudahkan tak semestinya memandaikan pengguna. 



Hal pendidikan merupakan perkara besar yang memiliki daya tarikan untuk terus dibincangkan; dan boleh dilihat dari kaca mata yang pelbagai - sama ada di pihak pemerintah yang menerima mandat, kementerian & jabatan bertanggugjawab, guru-guru pelaksana dasar,  murid-murid (tikus putih?), ibu bapa, pihak industri, masyarakat dan pelbagai lagi. Semua pihak mempunyai sudut pandang tersendiri untuk menyuarakan pandangan. 



Intipati utama buku ini  dapat disimpulkan pada perenggan berkenaan fungsi mahasiswa. Penulis percaya bahawa ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian, graduan paling bermanfaat ialah graduan yang kembali kepada masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah negara. Seterusnya, penulis menyarankan pembaca agar menghayati fungsi sebenar mahasiswa - iaitu melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan diri dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan tertindas. 



Selaku penghuni dunia pendidikan, saya melihat kewajaran pada premis yang dikemukakan. Pengalaman selama 7 tahun di dalam organisasi arus perdana (baca: main stream) di 3 institusi pendidikan telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, bekerja dan bercampur dengan dengan pelbagai jenis manusia - dari pelbagai ragam, latar belakang, kecenderungan, jalur pemikiran dan seumpamanya. 



Dan lazimnya, apa yang saya cari daripada pertemuaan-pertemuan ini ialah manusia yang mampu untuk menyatakan sikap, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tak mementingkan diri dan berfungsi di dalam komuniti. 



Tujuan pendidikan - pada pandangan saya; ialah melahirkan manusia yang memiliki cita-cita dan obsesi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Berdasarkan pemerhatian - terdapat kecenderungan dalam kalangan graduan 'Universiti facebook & twitter' (baca: pengguna tegar media sosial) untuk tidak menggemari perbahasan berat, tidak membaca secara kritis, gagal membaca di dalam konteks dan hanya lincah menulis di papan kekunci. Walhal - medan buat lebih luas daripada medan cakap. Dan lebih malang lagi, media sosial menjadi satu-satunya jendela untuk mereka melihat dunia. 



Pendidikan tanpa penerapan nilai dan pemujaan pada material cuma akan melahirkan warganegara tanpa jiwa. Saya percaya kepada peranan agama, bahasa, sastera, budaya, falsafah dan sejarah untuk membentuk insan yang miliki jati diri dan memahami makna kehidupan. Malangnya, andai cuma perkara-perkara yang ditanya di dalam peperiksaan yang menjadi rutin harian, adakah kita miliki peluang untuk mendalami dan merenung dalam-dalam ke dalam diri - apakah sebenarnya akar jati diri ini?



Kerana itu sebenarnya terdetik kerisauan; tatkala melihat angka statistik-statistik yang mencanak naik dalam kalangan warga muda. Contohnya; peratusan kes penceraian, kes kesihatan mental, kes jenayah juvana serta kes muflis. Adakah sebenarnya pendidikan kita gagal membentuk insan?



Selain soal pendidikan, sdr Zul Fikri dalam SBPUBK turut menyuarakan pandangannya berkenaan hal-hal politik semasa - terutama pada bab politik dan sosial. Antara yang disentuh isu air di Selangor, BERSIH 3.0, kejatuhan mata wang Euro di Eropah dan kontroversi Mat Indera. 



Saya percaya bahawa masa depan yang mencabar ialah milik kita semua. Tugas mengurus Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, taraf sosioekonomi dan jalur pemikiran - suatu hari nanti akan diserahkan jua pada generasi hari ini. Terlalu banyak jurang yang perlu dirapatkan. Saya masih percaya pada peranan politik (walau kadang-kadang skeptikal), dan dalam masa yang sama NGO dan masyarakat sivil perlu berperanan mengisi ruang ketiga.



Seperkara yang menarik perhatian saya ialah keprihatinan penulis untuk menyuarakan pandangannya terhadap sistem di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang pernah beliau duduki. Walaupun sesetengah pandangan penulis agak liar dan buas, saya menganggap bahawa kritikan tersebut lahir daripada kaca mata graduan IPG yang ingin melihat sistem IPG sentiasa ditambah baik dan penaiktarafannya tidak bersifat kosmetik semata-mata.


Dua artikel yang agak vokal berkenaan IPG boleh dibaca di sini dan di sini.


Dalam sesetengah isu yang diketengahkan, saya berpandangan bahawa contoh kes yang diberikan hanya berlaku di sebilangan kampus dan tidak mewakili keseluruhan sistem IPG. Berdasarkan perbincangan bersama pimpinan di beberapa IPG, saya dapat membuat kesimpulan bahawa gaya kepimpinan pihak atasan akan mempengaruhi corak perjalanan di kampus. Bukan semua IPG peraturannya ketat dan bukan semua HEP menghalang buat begitu dan begini.   



Pun begitu, saya bersetuju dengan penulis dalam beberapa perkara, terutama tentang idealisme yang perlu dimililki oleh IPG. IPG perlu segera menjalani perubahan setaraf dengan misinya -  Melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia.



Pada pandangan saya, ada beberapa cabaran yang dihadapi oleh IPG, ataupun lebih tepat lagi mahasiswa di IPG. Pertama, pengambilan terus mahasiswa daripada sekolah selepas SPM - mungkin menyebabkan IPG sejak sekian lama masih terikut-ikut pada budaya di sekolah/asrama. Ini disebabkan mereka tidak dapat menjenguk ke persekitaran luar bidang pendidikan. Yang kedua, kekangan kuliah yang padat daripada pagi hingga ke petang menyebabkan mahasiswa letih dengan rutin seharian. Yang ketiga, jaminan penempatan selepas tamat pengajian (walaupun ada polemik mengatakan begitu dan begini) yang mungkin menyebabkan mahasiswa bersikap ala kadar dan tiada inisiatif untuk memajukan diri. Mana-mana program/projek yang tidak terkandung di dalam pra-forma/silibus amat sukar untuk mendapat khalayaknya. Betapa kadang-kadang, kehidupan berorientasikan markah ini menyerabutkan.



Saya tidak pernah belajar universiti. Pengalaman melihat 'dunia luar' saya sebelum ini mungkin cuma di sebuah kolej persediaan di Selangor pada tahun 2008-2010. Maka tidaklah dapat saya membuat pertimbangan yang setara untuk membanding bezakan sistem IPG dan universiti.



Kepada teman-teman daripada IPG yang membaca tulisan ini, anggaplah tulisan yang dikemukakan sebagai satu cabaran untuk mempertingkatkan potensi diri. Tempoh masa latihan selama 5 tahun setengah secara relatifnya sememangnya pendek jika hendek dibandingkan dengan usia perkhidmatan yang boleh menjangkau lebih 30 tahun nanti. Namun tempoh persediaan ini amat penting untuk membina diri. Bagaimanakah agaknya pendidik yang kontang fikirannya mampu mengalirkan empangan intelek untuk ditadah oleh anak muridnya yang dahagakan ilmu?



Sistem menjadi penjara kerana kita yang kadang-kadang memilih untuk memenjarakan diri. Peluang terbentang luas tetapi yang kita lakukan cuma menelurkan alasan untuk sebuah eskapisme. Betapa - kerja mengubah sudut pandang ini bukan satu tugas yang senang. 



Membaca Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang - fikiran saya terkenang-kenang kepada beberapa bahan bacaan. Mungkin boleh disyorkan sebagai bahan tambahan. Untuk buku, saya terkenang pada buku Minda Tertawan tulisan Raja Ahmad Aminullah dan Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad tulisan Dr Riduan Mohd Nor. Juga pada pengisian kuliah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.



Untuk bahan bacaan di internet, saya sarankan dua artikel tambahan. Pertama - artikel 'Timbunan Mayat pada Hari Konvo' di MarwanBukhari.com dan 'Sindrom Mediocrity Dalam Sastera' tulisan SM Zakir. 



Saya percaya bahawa kita miliki banyak cara dan alternatif untuk bertindak. Telah saya pilih jalan saya sendiri. Apalah gunanya berterusan menyumpah kegelapan, tapi diri sendiri tak mampu menyalakan cahaya untuk menerangi persekitaran.


Indoktrinasi di mana-mana. Bezanya cuma, kita pilih untuk jadi mangsa yang bagaimana?

Selasa, Oktober 30, 2012

Kes budak, remaja sakit jiwa meningkat


Salah satu petikan berita di akhbar yang menarik perhatian saya dalam seminggu dua ini adalah berkaitan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja.  


Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, masalah kesihatan mental meningkat daripada 13 peratus pada tahun 1996 kepada 19.4 peratus pada 2006 dan mencecah sehingga 20 peratus tahun lalu. (2011). Semakin ramai remaja dan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah di negara ini menghidap masalah kesihatan mental. 


Secara perbandingannya - ini bermakna, daripada 5 orang individu yang kita temui, salah seorang daripadanya menghidap masalah kesihatan mental.


Berita Harian 8 Oktober 2012


Turut dipetik adalah kata-kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Menurut beliau, remaja kini dipengaruhi internet dan teknologi komunikasi sehingga mereka kurang berinteraksi, sekaligus mengurangkan pembinaan sistem sokongan sosial. Tambah beliau lagi, pada masa sama, ibu bapa yang sibuk bekerja pula memandang ringan peranan mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.


Berita tentang peningkatan kes sakit jiwa ini disambut dengan penulisan rencana 'Penyakit Mental Ancam Generasi Muda' oleh Encik Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM yang disiarkan di ruangan rencana Berita Harian bertarikh 11 Oktober 2012.


Artikel tersebut turut disiarkan dalam laman web ABIM. Penulis, pada pandangan saya - telah melontarkan satu buah fikiran yang cukup baik dan bernas. 


Sementara itu, Dr Rabaiah Mohd Salleh, Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, melalui artikel Cerita Hantu Punca Sakit Jiwa Kronik  di Berita Harian bertarikh 10 Oktober 2012 melaporkan bahawa ; orang ramai yang mendapatkan rawatan penyakit mental kini meningkat kepada maksimum 10 kes baru didaftarkan sehari berbanding antara dua hingga tiga sehari pada 2007. 


Permasalahan tentang ancaman penyakit mental ini juga pernah ditulis dalam rencana bertajuk 'Penyakit Mental Jejas Pembangunan Negara' di Dewan Masyarakat Mac 2012.



Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 mendapati masalah kemurungan menjadi antara punca penyakit mental. Di peringkat awal, penyakit mental dikesan melalui tanda awal, seperti perubahan tingkah laku yang ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik, berfikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol, dan tidak berupaya melakukan aktiviti harian.


Berkaitan kemurungan, saya memiliki sebuah buku terbitan Penerbitan Universiti Malaya yang bertajuk Kemurungan; Punca dan Rawatan.



Buku ini membincangkan tentang kemurungan dan masalahnya, pemeriksaan bagi mengesan sindrom kemurungan, punca kemurungan dan perancangan serta kaedah rawatan.







Apabila melihat kepada realiti kehidupan hari ini, saya melihat angka peningkatan kes sakit jiwa sebagai sesuatu yang signifikan dan mungkin ada benarnya. Kita seolah-olah kehilangan sebuah ruang yang selamat untuk hidup apabila media saban hari melaporkan kejadian jenayah yang semakin rencam sifatnya.


Kes bunuh yang semakin menjadi-jadi, kes pergaduhan - bertumbuk sehingga mati (walau kelihatan remeh isunya) yang semakin meruncing, kes penderaan yang semakin melata dan seribu satu kisah yang terpampang di dada akhbar - memungkinkan kita membuat kesimpulan bahawa; masyarakat kita sedang bergelut dengan masalah kecelaruan jiwa.


Pengaruh teknologi dan kemudahan media sosial yang sedang beranak-pinak menyebabkan sistem sokongan sosial semakin rapuh. Sebahagian besar masa dihabiskan di hadapan komputer sedangkan ada banyak lagi perkara yang mampu mendatangkan kebahagiaan, asalkan kita sanggup mencabar diri dan meninggalkan zon selesa.


Teknologi kadangkala membekalkan kita dengan apa yang 'kita mahu', bukannya apa yang 'kita perlu'. Hasilnya, produk daripada teknologi tersebut adalah remaja yang bermaklumat, bukannya remaja yang berilmu. 


Lihat sahaja (sesetengah) perbincangan di laman maya (facebook, youtube, blog dan sebagainya) yang sering  bercelaru dan gagal mencapai tahap diskusi bermanfaat apabila kita sering menulis tanpa berfikir. Kita menulis apa yang kita 'mahu tulis', dan bukan menulis apa yang kita 'patut tulis'. 


Selain itu, saya juga percaya bahawa manusia yang meminggirkan sastera dan tidak melakukan pembacaan akan kehilangan aspek estetika dan faktor penenang dalam penjuru kehidupan mereka. 


Memetik buah fikir Puan Nisah Haron di dalam blognya; Saya yakin, dalam keghairahan manusia mencari-cari titik tertinggi dalam sains dan teknologi, ada kelompangan dalam jiwa manusia. Selain daripada tarbiah agama, sastera juga memainkan peranan membentuk peribadi dan jiwa yang dahagakan 'sesuatu'.


Saya pernah membaca laporan akhbar di ruangan sastera Berita Harian, sekitar Julai 2012 yang melaporkan - Brazil melancarkan program pembacaan yang membolehkan hukuman penjara banduan dipendekkan empat hari untuk setiap novel yang selesai dibaca. Banduan yang disaring oleh panel khas dikehendaki membaca 12 karya sastera, falsafah, sains atau klasik bagi membolehkan hukuman mereka dipendekkan 48 hari setahun. Selepas membaca, banduan dikehendaki menulis esei.






Dari sudut saintifik, tabiat membaca adalah perangsang mental paling berkesan dan membantu mengurangkan tekanan.


Melihat kepada permasalahan yang kian meruncing, mungkin ia berpunca daripada tercabutnya pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat kita, selain kita yang terlalu menyembah 'berhala' hedonisme dan materialistik, sehingga meminggirkan makna kehidupan yang sebenarnya. 


Khamis, Oktober 18, 2012

Seminar Memartabatkan Karya Agung : 400 Tahun Sulalatus Salatin


Sebelum saya berkelana ke Banda Aceh, Indonesia pada Disember 2011 - salah satu perkara yang saya lakukan adalah melakukan kajian serta pembacaan ringkas mengenai sejarah tempat yang hendak dilawati.


Saya agak teruja apabila mengetahui bahawa Tanah Rencong memiliki hubungan yang akrab dengan tanah tumpah kelahiran saya - Kota Tinggi, Johor.


Bendahara Tun Sri Lanang (1565-1659) dilahirkan di Bukit Seluyut, Kota Tinggi. Tun Sri Lanang menjadi Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah III. Tindak tanduk Johor yang berbaik-baik dengan Portugis dan Belanda telah menyebabkan Johor diserang oleh Aceh (Perang Batu Sawar) pada tahun 1612. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Sri Lanang dan pembesar-pembesar serta 20,000 orang Johor dibawa ke Aceh.


Dan kebetulan - ketika saya ke Banda Aceh, "Seminar Ketokohan Tun Sri Lanang Dalam Sejarah Dua Bangsa" sedang berlangsung di Samalanga, Aceh. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Gabenor/Raja/Uleebalang Samalanga yang pertama dan menjadi Penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Aceh pada tahun 1613-1659.


Papan Iklan Seminar

                                               
Walaubagaimanapun, saya tidak berkesempatan ke seminar tersebut atas faktor kekangan bajet dan jarak. Jarak daripada Banda Aceh ke Samalanga adalah kira-kira 177 KM.


Salah satu peninggalan besar Tun Sri Lanang buat kita adalah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tun Sri Lanang merupakan penyusun dan pengarang buku tersebut. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka


Belajar daripada sejarah membuatkan atur langkah kita lebih terarah.


Pada 13 Oktober 2012, bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kota Tinggi - telah diadakan Seminar Memartabatkan Karya Agung: 400 Tahun Sulalatus Salatin. Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor & Kota Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Arkib Negara Cawangan Johor dan Persatuan Penulis Johor.


Saya hadir ke seminar ini sebagai peserta.






Seminar kali ini membariskan SN Muhammad Haji Salleh sebagai penyampai ucaptama (Genius Tun Sri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin) dan pembentangan 5 kertas kerja. 


Kertas kerja 1 - Kegemilangan Empayar Melayu Melaka dan Sulalatus Salatin dalam Peradaban Malaysia
Kertas kerja 2 - Pemikiran Global Dalam Sejarah Melayu
Kertas kerja 3 - Kepentingan Pengorbanan dalam Pembentukan Bangsa : Satu Sorotan dalam pemikiran dan penulisan Sulalatus Salatin.
Kertas kerja 4 - Bicara Buku ; Air Mata Raja - Jejak Waris Istana Melaka
Kertas kerja 5 - Waad, Wasiat dan Nasihat dalam Sulalatus Salatin: Iktibar Untuk Kepimpinan Melayu



Menghadiri seminar ini telah membuka mata saya untuk meneliti Sulalatus Salatin sebagai salah satu cara menyelidik sejarah bangsa yang telah melalui satu susur sejarah yang panjang. Yang menjadi arus Sulalatus Salatin ialah gerak nasib manusia dalam sejarah, gerak naik turun bangsa, jalur-jalur zaman yang mewarnakan manusia dan kerajaan.


Tun Sri Lanang hidup hampir sezaman dengan Sasterawan Inggeris, William Shakespeare (1564-1616). Pada tahun 2002,  UNESCO telah mengiktiraf tiga koleksi agung negara, iaitu Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat Menyurat Sultan Kedah sebagai warisan dunia dan didaftarkan dalam 'Memory of the World Register'.


Pengkisahan dalam Sulalatus Salatin bermula dengan Asal Usul Raja-Raja Melayu dan disusun secara kronologi sehingga bab Melaka Ditakhluk Portugis.


Moga dengan menyelak kembali lembaran sejarah, kita bisa menjadi manusia yang kukuh jati dirinya.

Sabtu, April 21, 2012

Bila debu menjamah buku


Saya sebenarnya segan sendiri apabila ada teman yang bertanya - buku apakah yang sedang dibaca pada masa ini? - dan judul buku yang saya berikan sebagai jawapan itu sebenarnya kali terakhir saya uliti beberapa minggu sebelum ini.


Sungguh - ada banyak buku yang sedang saya berhutang untuk membacanya; baik di rak buku di bilik kolej kediaman, rak buku di rumah mahupun di rak-rak buku perpustakaan. Masih banyak yang tidak dapat saya geledahi akan mutiara yang terkandung dalam tiap helaian muka surat.


Melewati usia 20-an, antara harapan saya ialah untuk membaca lebih banyak buku - meliputi pelbagai genre dan bidang - agar saya mampu untuk lebih memahami dunia. Namun - tidak dapat tidak - saya disibukkan juga dengan pelbagai urusan organisasi dan duniawi - yang menuntut saya untuk mengorbankan sebahagian besar masa. 


Ahh - bukankah pengalaman hidup di tengah kampus realiti itu juga guru yang mengajar untuk  menjadi lekas dewasa?


Saya khuatir juga dengan masa yang terasa begitu pantas berlalu - meninggalkan saya tanpa sebarang pengetahuan dan pembacaan baharu. Akibatnya, saya tidak dapat memaksimumkan penggunaan minda dan gagal membenihkan idea-idea serta pandangan yang baru.




Argh. Kebekuan intelektual, ketandusan spiritual dan kelesuan daya maju.


Dan kegagalan saya untuk menyediakan masa untuk membaca telah mempengaruhi rentak penulisan saya; yang  kabur, diksi yang lemah, tiada pembaharuan, statik - argh. (Juga) Sudah lama tidak kemaskini Goodreads. 


Sebuah buku; tidak ada harganya andai kekal berdebu di rak-rak - tanpa kita yang berusaha untuk menyelongkar isi dan maknanya.


Titipan pesan Puan Nisah Haron - "Cari waktu, bukan tunggu waktu" selalu berlegar-legar dalam fikiran saya.


Moga buku tidak lagi berdebu di rak kayu. Kita mulakan lagi azam baru. (lagi dan lagi.)

Khamis, November 03, 2011

Teori Kaunseling Al-Ghazali


Di dalam modul subjek Pembelajaran Sains Kanak-Kanak yang saya pelajari pada semester 1, salah satu sub-topik yang ada ialah Teori Pembelajaran Behavioris.


Apakah yang dimaksudkan dengan Teori Pembelajaran Behavioris?


Menurut Teori Pembelajaran Behavioris - belajar adalah perubahan tingkah laku sebagai hasil dari pengalaman. Belajar merupakan akibat adanya interaksi antara rangsangan dan respon. Seseorang dianggap telah belajar sesuatu jika dia dapat menunjukkan perubahan perilakunya.


Kata kunci yang penting di sini ialah ransangan dan respon.


Namun - yang menjadi persoalan di fikiran saya ialah teori-teori ini menggunakan haiwan sebagai model eksperimennya.


Teori Pelaziman Pavlov misalnya - menggunakan anjing sebagai model ujikajinya.

Teori Pelaziman Operan Thordike pula misalnya - menggunakan kucing sebagai model ujikajinya (Eksperimen Kotak Ajaib)

Teori Pelaziman Operan Skinner pula misalnya - menggunakan tikus sebagai model ujikaji.


Hal ini kelihatan begitu bertentangan dengan sasaran aplikasi teori pengajarannya yang sebenarnya - iaitu seorang guru akan mengajar seorang manusia.


Dan ini menyebabkan saya sedikit terawang-awang mencari titik justifikasi tentang kerelevenan teori-teori ini.


Adakah seorang manusia sama seperti haiwan? (yang digunakan sebagai model di dalam eksperimen) - sedangkan manusia itu berakal, dan haiwan sebaliknya.


Adakah tiada teori-teori pembelajaran daripada Timur? - yang bersesuaian dengan masyarakat Timur? Ataupun teori pembelajaran yang menggunakan manusia sebagai modelnya?


Dan begitulah persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran saya sejak akhir-akhir ini. Dan saya mencari-cari alternatif yang ada.






Buku Teori Kaunseling Al-Ghazali terbitan PTS Islamika Sdn Bhd tulisan Dr Yatimah Sarmani dan Dr Mohd Tajudin Ninggal serba sedikit telah memberi pencerahan dan alternatif kepada saya tentang pendekatan Islam/Timur dalam menangani kaedah pembelajaran.


Buku ini dipadankan daripada karya tesis Ijazah Doktor Falsafah Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.


Walaupun buku ini berkisar tentang teori kaunseling - dan yang pelajari/cari ialah teori pembelajaran - namun ia tetap saling berkait kerana teori pembelajaran juga berkaitan dengan cara menambat hat manusia.


Pada sari rangsang (blurb) ditulis,


"Nama-nama seperti Sigmund Freu, Carl Rogers, Albert Ellis dan Eric Berne terkenal dengan teori kaunseling dan psikologi yang menjadi rujukan kaunselor di seluruh dunia. Walaupun teori-teori Barat seperti psikoanalisis, humanistik, kognitif dan tingkah laku sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan huraian al-Ghazali, tetapi ia tidak bertitik tolak daripada akidah tauhid.


Teori Kaunseling al-Ghazali muncul dan berasaskan huraian sifat-sifat manusia. Kedatangan Imam al-Ghazali yang melakukan anjakan paradigma adalah bertepatan bagi melihat kaunseling daripada perspektif Islam."


Dan pada bahagian pengenalan ditulis begini,


"Pengaplikasian teori kaunseling Barat ke atas budaya masyarakat Timur khususnya masyarakat Islam bukan sesuatu yang ideal. Sering kali berlaku salah tanggapan terhadap masyarakat Timur apabila kaunselor yang berasal daripada Barat mengaplikasikan sepenuhnya teori daripada Barat. Salah tanggapan juga berlaku walaupun kaunselor yang mengamalkan teori kaunseling Barat ke atas masyarakat Timur itu berasal daripada bangsa Timur. Teori dan dan model Barat itu sendiri kadang-kala menimbulkan pelbagai dilema di kalangan pengamal Barat.


Antara contoh yang dikemukakan oleh Malik Badri adalah berkaitan dengan Teori Tingkah Laku Skinner. Teori ini berasaskan pemerhatian tingkah laku haiwan. Aplikasi teori ini kepada manusia menjadikan kaunselor seolah-olah berada dalam 'lubang biawak'. Ini kerana skop analisa pada manusia disempitkan dengan memberi tumpuan hanya pada aspek tingkah laku sahaja."


Teori Kaunseling Al-Ghazali banyak merujuk kepada kitab Ihya' Ulumuddin - karya agung pemikir itu. Al-Ghazali terkenal sebagai salah seorang tokoh tasawuf. Oleh sebab itu, model kaunseling yang berasaskan karya beliau secara tidak langsung mengambil pendekatan tasawuf.


Bagaimana merealisasikan huraian pada manusia menurut al-Ghazali dalam proses kaunseling?


Menurut buku ini,

"Kaunselor Muslim perlu mempunyai ilmu Islam walaupun tidak mempunyai ilmu secara mendalam, sekurang-kurangnya mengetahui prinsip-prinsip asas dan cenderung mempertingkatkan diri. Dicadangkan supaya kaunselor yang mahu mengamalkan model ini membaca Ihya Ulumuddin terlebih dahulu. Dengan itu, kaunselor mempunyai kefahaman yang lebih mendalam berkenaan jenis-jenis penyakit hati yang membawa banyak masalah dalam kehidupan manusia serta kaedah-kaedah mengubatinya.


Namun begitu, model ini tidak dikatakan sebagai satu-satunya model kaunseling Islam. Penekanan terhadap huraian al-Ghazali sebagai salah satu mazhab dalam model-model kaunseling Islam; sama seperti pelbagai mazhab dalam kaunseling Barat yang terdiri daripada pendokong kognitif, tingkah laku, kemanusiaan dan sebagainya. Mungkin ada pengkaji atau pengamal kaunseling Islam lain yang cenderung menggunakan huraian Ibnu Taymiyyah, Ibnu Rusyd, Al-Farabi dan sebagainya. Ini kerana perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam asalkan adab-adabnya dipelihara."


Teori Kaunseling al-Ghazali tidak menggunakan haiwan, manusia ataupun sebarang objek sebagai model. Ia kembali kepada Al-Quran dan tujuan penciptaan manusia.


Buku ini wajar dibaca oleh si pencari pendekatan alternatif dalam teori kaunseling dan pembelajaran.


Di dalam Ihya' Ulumuddin ada disebut,"Ilmu pengetahuan itu adalah barang yang hilang daripada tangan seorang Mukmin yang harus dipungut di mana sahaja diperolehinya dan harus diucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang membawanya."


Memetik petikan dalam buku ini - Menerima sesuatu perlu dengan ilmu dan menolak sesuatu juga memerlukan ilmu. Ia bukan berdasarkan prasangka dan ikutan semata-mata. Ilmu penting dalam kehidupan manusia. Mengikut al-Ghazali,"Kekhususan manusia dibanding haiwan ialah ilmu. Manusia menjadi mulia kerananya."


dan begitulah Teori Kaunseling ini dibina.





Bercakap soal pendidikan - saya tertarik benar dengan pandangan daripada seorang sahabat.


Katanya - Pendidikan kita terlalu kurang proses, yang ada adalah hamburan input.

[copy paste]

Contohnya, pendekatan pendidikan kita banyak dilambakkan dengan input dengan harapan para pelajar akan dapat menghasilkan output sebagaimana yang dikehendaki.

tetapi, kita kurang sangat bicara isu proses.

contoh - sejarah.

kita belajar fakta bertimbun [input]. outputnya, para pelajar jadi patriotik, sayangkan negara etc [output]. tapi macam mana dengan fakta berkenaan nak hasilkan orang patrotik tidak dibincangkan apatah lagi diuji dalam peperiksaan.

yang ada dalam periksa, uji input bukannya proses. kalau uji input, buat apa. patutnya uji proses, baru boleh nilai sama ada kita mampu hasilkan pelajar yang patrotik atau tidak [output].

patutnya soalan sejarah - pada pendapat anda, patutkah Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511? atau apa pengajaran yang anda dapat daripada kisah Tuk Janggut dalam perjuangan kemerdekaan dari perspektif perjuangan agama.

Soalan berbentuk uji proses sebegini rasanya langsung tak dak dalam sistem pendidikan. Yang ada ialah - bilakah Melaka jatuh? Tok Janggut pejuang di negeri mana? All these input questions! not process!

So, we are always missing something when process is ignored.

Wallahu'alam


Khamis, Oktober 06, 2011

Tentang muzik, filem, buku dan kita.



Kebelakangan ini, saya nampaknya suka untuk mengulang-ulang kembali apa yang telah ditulis pada bulan-bulan yang sebelumnya.


Dan begitulah juga entri ini.


Sesudah selesai menulis entri ini, barulah saya sedar bahawa saya pernah menulis tajuk yang lebih kurang sama pada Julai 2011. Klik untuk ke entri Tentang Buku & Filem.


Saya percaya bahawa budaya dan faktor sekeliling merupakan salah satu perkara yang akan mempengaruhi pembinaan karakter seseorang individu.


Dan muzik, filem dan buku adalah antara faktor-faktor yang mampu untuk mengubah paradigma seseorang manusia itu.


Ada satu kata-kata yang pernah saya baca, begini lebih kurang bunyinya.


"Buku tidak boleh mengubah dunia. Manusia yang membaca buku boleh mengubah dunia." Knowledge is power. Pengetahuan adalah kuasa.


Kerja menonton filem selalunya lebih santai dan ringan berbanding kerja membaca buku. Dan oleh kerana itulah saya percaya bahawa filem telah banyak mencorakkan budaya masyarakat kita (dalam konteks sebuah masyarakat yang tidak membaca)


Jika dilihat pada lawak-lawak, slanga, dialog, perbuatan dan sebagainya - masyarakat kita lebih suka menirunya daripada filem berbanding daripada buku.


Kerja menonton filem adalah kerja santai sambil duduk di atas sofa empuk selepas menikmati makan malam, dan kurang imaginasi diperlukan.


Kerja membaca buku agak melelahkan dan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk kita terlelap dan terlentok selepas menyelak beberapa halaman. Kerja membaca buku memerlukan daya fokus dan keghairahan yang tinggi untuk kita menguliti kandungannya sehingga ke halaman terakhir.


Filem adalah satu wadah yang menggambarkan corak pemikiran sesuatu bangsa/komuniti/kumpulan. Saya menonton filem untuk melihat bagaimana sesuatu bangsa/komuniti/kumpulan pada sesuatu zaman berfikir.


Dan tema yang menjadi kegilaan pembikin filem pada sesuatu zaman itu menggambarkan tahap pemikiran dan selera masyarakat pada ketika itu.


Kata seorang kawan, filem-filem di Malaysia masih tidak dapat keluar daripada kepompong hantu, mistik dan cinta. - kerana itulah kegilaan masyarakat kita.


Dan begitu juga dengan akhbar. Akhbar harian berbahasa Melayu yang paling laris di Malaysia adalah yang memuatkan cerita-cerita kontroversi, mistik, pop dan sensasi. - kerana itulah kegilaan masyarakat kita.


Kata seorang kawan lagi - mereka patut menulis apa yang sepatutnya masyarakat baca, bukan menulis apa yang masyarakat ingin baca.


Dan muzik pula adalah alunan lagu dan lirik yang menangkap telinga kita. Catchy. Saya sedang berfikir-fikir dalam seminggu dua ini - apakah kaitan antara muzik dan landskap sosiologi masyarakat kita?


Muzik sentiasa hidup di sekeliling kita, jauh lebih mendominasi berbanding filem - apatah lagi buku.

Rabu, September 07, 2011

KKC hilang magisnya


Saya menguliti Karipap-Karipap Cinta (KKC) lama sebelum mendengar khabar bahawa ia akan difilemkan, pada awal penerbitannya di tahun 2010.


Berkonsepkan komedi, novel garapan Nazri M Annuar ini diulang cetak sebanyak 3 kali - memberi petanda bahawa cerita ini sudah ada pengikutnya yang tersendiri.




Bagi saya - ia sebuah novel komedi yang jujur. Pengarang menulis tentang hidup seorang manusia yang tipikal - dan bersatira tanpa kita sedar. Humor yang ditulis berjaya membuatkan saya ketawa dan tersengih seorang diri.


Ada banyak perkara yang perlu kita telusuri pada lapisan kedua - dan tidak membaca pada lapis pertama semata-mata.




Filem KKC arahan Hafsham ditayangkan di pawagam bermula Hari Raya 2011.


Bagi memindahkan sebuah karya novel ke layar perak bukanlah satu kerja yang mudah. Adalah mustahil untuk memindahkan dengan sempurna - hasil penulisan setebal 254 muka surat kepada sebuah filem yang berdurasi 1 jam 30 minit - 2 jam.


Dan begitulah pandangan saya terhadap KKC.


Saya menonton KKC pada Hari Raya kedua. Dewan pawagam hanya diisi kurang daripada 10 orang penonton.


Berbanding dengan versi novel, kebanyakan adegan yang cuba hendak digambarkan tidak berjaya disampaikan dengan sempurna. Mungkin kerana batasan pengisian monolog/naratif di dalam versi filem. Di dalam versi novel, unsur humor banyak digerakkan melalui monolog dalaman Ali (watak utamanya). Ali banyak membuat pelbagai andaian, berfikir, berfalsafah dan sebagainya. Unsur ini tidak banyak diketengahkan di dalam versi filem (dan tidak perlu diperbanyakkan kerana akan nampak serabut)


Dan perwatakan Sarah (watak utamanya) selaku bekas pelajar terbaik Al-Azhar yang memilih untuk berdakwah dalam dunia komik - tetapi tidak memakai tudung dengan sempurna - bagi saya akan menimbulkan satu kebingungan buat kita semua.


Saya tidak pasti berapakah kutipan filem KKC setakat hari ini. Tetapi - berdasarkan pemerhatian saya di beberapa buah pawagam - filem ini jauh ketinggalan daripada segi kutipan berbanding filem Hantu Bonceng.


Saya cuba berteori bahawa filem ini kurang mendapat sambutan kerana kurangnya promosi - dan masyarakat kita juga bukanlah sebuah masyarakat membaca. Tema misteri dan hantu masih menjadi kegilaan kita.


Saya sudah menonton Hantu Bonceng - dan mendapati bahawa filem itu tidak ada asas yang kuat dan lebih banyak menimbulkan kebingungan.


Well - Saya rasa saya paling suka Hantu Kak Limah Balik Rumah.


Apa yang kita ketawakan sebenarnya bukan watak-watak di dalamnya - tetapi adalah diri kita sendiri.



Isnin, Ogos 22, 2011

Azizi Hj Abdullah (1942-2011)


Hari yang agak mendukacitakan. Dunia sastera negara kehilangan sebutir permata yang tak ternilai harganya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau.


Al-Fatihah kepada Allahyarham Pak Azizi Hj Abdullah yang meninggal dunia pada pagi 21 Ogos 2011 (Ahad)


Pak Azizi - yang saya kenali - adalah seorang yang amat mahir memperincikan suasana & perasaan di dalam karyanya. Juga Seorang yang prolifik. Sehingga tahun 2009, beliau menerbitkan sejumlah 36 buah novel. (Sumber)






Antara novel beliau yang pernah saya baca ialah Seorang Tua di Kaki Gunung, Tukcai, Wi dan William, Memoir Seorang Guru, Harga Sebuah Maruah, Zikir Rindu dan Daerah Beta.


Saya pernah menulis tentang Wi dan William, Daerah Beta dan Memoir Seorang Guru di dalam blog ini.


Novel Seorang Tua di Kaki Gunung merupakan antara novel yang saya minati. Pak Azizi menulis pertentangan di antara desa & kota serta tua & muda - yang amat membekas.


Begitu juga cerpen Pendoa yang Ikhlas yang saya anggap sebagai antara cerpen terbaik yang pernah saya baca. Ahh - Pak Azizi memang bijak mempermainkan perasaan pembaca.


Dan tidak dilupakan buku-buku terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tulisan Pak Azizi yang menyentuh permasalahan rakyat marhaen.


Luka rakyat bukan sebuah cerita, bukan sebuah rakaman tetapi lebih kepada pernyataan. Ia adalah sebuah dunia yang direnyuk lanyak oleh mereka yang memiliki kuasa, keberadaaan tetapi dirasuk oleh tarbiah ketamakan di mana kejujuran dianggap sebagai keterbelakangan, kesolehan dianggap sebagai kebodohan, kerakusan, penipuan, kesonglapan dianggap sebagai kemajuan teknologi dan kelicikan itu dianggap sebagai kemenangan, kebrutalan dianggap sebagai kepahlawanan, kewiraan. Dunia Luka Rakyat adalah hasil daripada moralis yang terbalik, pahlawan adalah penjarah, politikus adalah penipu dan pengampu, penguasa adalah perompak. - petikan blurp Luka Rakyat (Azizi Hj Abdullah. Terbitan CAP)



Pak Azizi Hj Abdullah merupakan penerima SEA Write Award bagi tahun 1988. (dan selayaknya saya kira sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara)


Bagi mereka yang ingin tahu bagaimana Pak Azizi menulis, disarankan agar membaca Kuras-Kuras Kreatif (DBP:2007). Buku ini merupakan satu usaha untuk merakamkan kembali olahan dan garapan karya-karya kreatif beliau dari tahun 1970 hingga 1999.


Semoga Pak Azizi tenang di Negeri Abadi.

Selasa, Julai 26, 2011

Tentang buku & filem


"Jangan menjadi orang yang sekadar beratur membeli tiket, membeli pop-corn dan sekadar duduk di dalam panggung. Menonton sekadar mahu melihat apa yang boleh menghiburkan.

Jadilah orang yang duduk di dalam panggung dan menaakul cerita. Berhibur, berhibur juga. Tetapi apa yang terisi dalam jiwa. Jadilah seorang yang menghadam filem, bukan sekadar menonton filem.

Filem kita wajah kita.

Jika sekadar menonton, dapatkah kita mengenal wajah kita?"





Kata orang - kita adalah apa yang kita baca dan kita tonton. Buku yang dibaca dan filem yang ditonton akan serba sedikit menentukan corak pemikiran diri.


Begitulah juga pendapat saya.


Saya bersetuju dengan pendapat sdr. Shamsul Amin seperti mana petikan blog di atas. Untuk menjadi seseorang pembaca/penonton yang lebih baik, saya kira tidak cukup bagi kita dengan sekadar memberi komen best-menarik ataupun tak best - bosan.


Kita perlu untuk pergi beberapa tapak ke hadapan dengan menaakul dan berfikir - apakah yang menyebabkan sesuatu buku/filem itu berkualiti. Jangan menjadi pembaca/penonton yang pasif.


Bagi sesetengah orang - mereka akan memberi label sesuatu filem itu best apabila ia sarat dengan action. Maka, filem-filem berkos tinggi seperti Transformers, Iron Man, X-Men dan seumpama dengannya akan menjadi pilihan.


Di satu pihak yang lain, mereka menganggap bahawa sesebuah filem itu tidak semestinya sarat dengan action untuk diklasifikasikan sebagai best. Cukup dengan tema dan persoalan yang kuat.


Ahh - saya sebenarnya teringat pada tayangan filem semasa kelas bahasa Inggeris di tingkatan 5 dahulu. Guru saya, Mr Azman menayangkan kepada kami filem Cast Away, cerita tentang seorang lelaki sibuk yang terdampar di sebuah pulau yang sunyi selepas kapal terbangnya terhempas.


Selepas menonton, guru saya itu meminta kami semua untuk menjawab soalan-soalan dan mengeluarkan pendapat masing-masing tentang filem tersebut. Ada pelbagai versi jawapan yang diberi.


Bukan apa yang dilihat - tetapi bagaimana kita melihat akan menentukan apa yang dilihat. Who we are will determine what we saw.


Daripada situlah saya mulai belajar - bahawa kita perlu untuk menjadi pembaca/penonton yang aktif - yang tidak sekadar membaca/menonton - bahkan menghadam apa tersirat. Bak kata pepatah Inggeris, read between the lines.


Begitu juga dengan pengajaran Komsas di sekolah menengah. Ia sepatutnya tidak menjadi terlalu kaku - murid perlu menghayati dan menghadam.


Bukan sekadar membaca daripada skema pemarkahan dan menulis kembali jawapan di kertas soalan seperti menjawab soalan pada subjek-subjek yang memerlukan hafalan semata-mata.


Tentang buku pula.


Setahun dua ini, saya menjadi lebih teliti semasa membelek buku sebelum buku itu dibeli.


Pada saya, selain tajuk buku - nama pengarang, penerbit, tahun cetakan dan bilangan cetakan juga mempengaruhi samada saya berminat ataupun tidak untuk membeli.


Jikalau dahulu, saya membeli hanya berdasarkan tajuk dan tema buku. Namun pada hari ini, saya mula membeli berdasarkan kreadibiliti penulisnya.

Buku yang diulang cetak beberapa kali juga mempunyai tarikannya kepada saya untuk dibeli. Penerbit yang berbeza mempunyai polisi penerbitan yang berbeza.


Setiap orang mempunyai selera yang berbeza. Dan beginilah selera saya.



Rabu, Julai 20, 2011

Spiritual Reading : Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca







Kadang-kadang - saya terfikir juga, mengapa perlu untuk kita membaca? Dan apakah keperluan untuk saya menghabiskan masa dengan membaca. Soalan ini kadang-kadang melintas di fikiran apabila melihat deretan koleksi buku di rak.


Buku Spiritual Reading tulisan Dr. Raghib As-Sirjani, serba-sedikit mampu memberikan pencerahan terhadap persoalan-persoalan ini.


Pada bahagian pengantar penerbit, ditulis begini:

Dewasa ini, pelbagai pemikiran dan informasi tersebar dengan begitu cepat. Keadaan tersebut menyebabkan setiap orang daripada kita harus bersedia untuk menyesuaikan diri dengan ledakan informasi ini.

Sayangnya, keadaan umat Islam selalu bagaikan umat yang terlambat memperoleh, mengkaji dan menghasilkan informasi. Tidak hairanlah jika umat ini mengalami kemunduran yang sistematik dalam pelbagai hal, sehingga menjadi objek daripada badai informasi yang cenderung menghancurkan struktur moral dan akhlak.

Buku ini cuba menghadirkan kembali spirit umat Islam yang pernah memimpin peradaban dunia selama lebih dari 300 tahun yakni sebagai umat yang memimpin arus informasi dunia melalui budaya membaca.


Buku setebal 183 muka surat ini cuba menjelaskan peranan budaya membaca sebagai konsep hidup dan persoalan mengapa harus kita membaca. Turut dimuatkan 10 cara untuk menumbuhkan minat membaca.


Saya tertarik pada isi di bab Ajarkan Membaca, Maka Tawanan Dimerdekakan: Pengajaran dari Perang Badar.

Saya petik sedikit di sini:


Jika kita membuka lembaran sirah Rasulullah SAW, kita akan menemui persepsi lain yang sangat indah dan sangat berbeza antara masa itu dengan masa setelahnya, bahkan dengan zaman sekarang. Peristiwa tersebut ialah tentang tawanan pada Perang Badar.

Saat itu Rasulullah SAW meminta dari tawanan orang musyrik yang ingin menebus dirinya agar mengajar cara membaca dan menulis pada sepuluh orang Muslim.

Ini merupakan satu hal yang sangat aneh. Apalagi saat itu masih banyak orang yang buta huruf. Namun, membaca, menulis dan belajar merupakan keperluan utama bagi mana-mana umat yang ingin membangun, maju dan meningkat.

Jika kita lihat keadaan Muslimin saat Perang Badar, kita akan mendapati bahawa sebenarnya mereka memerlukan harta kekayaan serta memerlukan penjagaan terhadap para tawanan untuk menekan Quraisy, atau menjaga mereka dengan tukar-menukar jika terdapat Muslim yang ditawan.

Tetapi, Rasulullah SAW melihat ada yang lebih penting daripada itu semua, yakni mengajarkan orang Islam membaca. Hal ini merupakan titik perhatian yang sangat penting dalam fikiran Rasulullah SAW. Beliau ingin membangunkan umat Islam dengan bangunan yang sempurna sehingga para sahabat memiliki kemampuan berbahasa yang lebih unggul daripada musuh-musuhnya.


Melalui buku ini- pengarang cuba menghubung-kaitkan budaya membaca dengan ketamadunan Islam. Sebagai seorang pembaca - buku ini dapat memberi satu rangsangan motivasi - sekurang-kurang untuk menjawab persoalan - mengapa kita harus terus membaca sesuatu di luar orbit silibus pembelajaran di IPT.


Saya teringat pada tulisan di blurb buku Risalah Untuk Kaum Muslimin tulisan Syed Naquib Al-Attas,


Sedang kaum Muslimin di merata dunia menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang semakin meruncing, Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan Profesor Al-Attas yang cukup berdaya asli dalam maksud membimbing Kaum Muslimin agar terpimpin ke jalan yang benar. Sebab utamanya terjadinya keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini menurut beliau adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri mengenai Islam secara yang menyeluruh iaitu Islam sebagai agama yang sebenarnya yang mampu melahirkan peradaban yang luhur lagi agung yang mampu menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang tiada taranya dalam sejarah manusia. Kejahilan mengenai Islam itulah yang telah melenyapkan kesedaran akan tanggungjawab individu dan kaum Muslimin terhadap amanah, ilmu dan akhlak dan seterusnya memerangkap mereka dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu dan penyelewengan amal hingga mereka terus terbelenggu pada rantai penjajahan pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masa kini.

Kejahilan masyarakat berpunca daripada kurangnya tradisi ilmu.


Menurut buku Gerakan Pelajar-Mahasiswa tulisan Mustaffa Kamil Ayub (Presiden PKPIM 1986-1989) - tradisi ilmu hadirnya daripada budaya menyelidik, menganalisis dan menulis.

Budaya menyelidik, menganalisis dan menulis terhasil daripada budaya berbincang/musawwarah.

Budaya berbincang pula merupakan rentetan daripada wujudnya budaya berfikir.

Budaya berfikir akan hadir selepas wujudnya budaya membaca.



Oleh itu, membacalah - untuk hidup yang lebih bermakna. Membaca itu cool.


Jumaat, Januari 21, 2011

Wi & William


Cuti Hari Thaipusam tahun ini saya habiskan dengan membaca novel Wi & William tulisan Azizi Hj Abdullah.


Sebelum ini saya pernah membaca beberapa novel tulisan penulis yang sama. Antaranya Seorang Tua Di Kaki Gunung, Zikir Rindu, Memoir Seorang Guru, Daerah Beta, Harga Sebuah Maruah.


Seperti novel-novel beliau yang pernah saya uliti, Tuan Azizi Hj Abdullah memiliki lenggok bahasa yang indah dan mampu menyampaikan sesuatu (satiranya) dengan berkesan.


Saya tertarik untuk membaca novel ini setelah membaca rencana di majalah Dewan Sastera (edisi tahun 2005) mengenai Tuan Azizi Hj Abdullah. Lantas- saya ke rak novel Melayu dan Wi & William yang pertama menangkap pandangan mata.


Wi & William mendapat tempat ketiga dalam Hadiah Sako 1 anjuran Utusan Publication pada tahun 1995.


Di belakang kulit buku, ditulis laporan ringkas Laporan Panel Hakim,


" Temanya amat terkini, iaitu usaha sama antara seorang Melayu dengan seorang usahawan berketurunan Cina yang canggih tetapi ikhlas..."

"...dua isu, penekanan terhadap peri perlunya pendidikan kepada orang Melayu di desa seperti di pulau di mana kisah ini berlaku dan, kedua, pemecahan perniagaan secara alibaba itu sentiasa negetif sifatnya."


Membaca Wi & William membuatkan saya teringat kepada Harga Sebuah Maruah - kedua-dua tulisan penulis yang sama. Kedua-dua mengangkat persoalan yang hampir sama.


Harga Sebuah Maruah, mengusap rindu rasa dan kecintaan petani kepada tanah mereka, kerana tanah adalah segala-galanya. (petikan blurb)


Wi & William pula asalnya ada sebuah cerpen yang dikembangkan. Menurut Tuan Azizi Hj Abdullah dalam Kuras-Kuras Kreatif,


"cerpen wi terhasil ketika saya (Azizi Hj Abdullh) terkandas hendak pulang dari Langkawi....Secara berseloroh saya katakan kepada teman saya yang saya akan buat cerpen tetapi tidak ada rancangan tentang tema. Cuma ketika itu sedang heboh tentang penduduk Langkawi yang mendapat durian runtuh hasil jualan tanah pusaka dan ramai pula yang menjadi papa akibat tidak tahu menguruskan wang yang mereka dapat. Selain itu perkara yang hangat diperkatakan pada waktu itu ialah nasib oleh Melayu Langkawi yang tersepit di celah-celah pembangunan."


Wi ialah anak kepada Usin, penduduk asal sebuah kepulauan (Langkawi?). Kawan Usin, Ah Fok memiliki seorang anak bernama William yang sebaya dengan Wi.


Perjalanan novel ini banyak digerakkan oleh Wi, William dan Usin. Usin memiliki sebidang tanah - dan di sebelah lot tanah itu ingin didirikan sebuah hotel peranginan. Konfliks berkisar pada tanah milik Usin itu.


"Mereka tak sedar, jarang berlaku orang yang jual tanah dapat beli tanah. Macamlah orang jual maruah, tak ada dapat beli maruah pula!" (halaman 112)


"Tanah pak su ni, sama nasib macam tanah arwah bapa dulu jika tidak dibangunkan. Ingat, ini bukan jual. Tanah arwah mesti dibangunkan, diproses pulih baik menjadi tanah baru yang mengeluarkan hasil yang sama sekali jauh daripada sangkaan zaman dulu, bahawa tanah hanya menghasilkan pada dan tanaman, tidak yang lain!" (halaman 274)


Daripada segi kekuatan - pada pandangan saya, Seorang Tua Di Kaki Gunung masih lagi novel terbaik Tuan Azizi Hj Abdullah yang pernah saya baca.


Cuma daripada satu sudut - pada pandangan peribadi saya - novel ini tidak sesuai dijadikan bahan bacaan komponen sastera sekolah. Bimbang pula akan dimanipulasi oleh pembaca (politikus?) yang tidak matang - seperti mana yang dihadapi oleh Interlok. Alahai!


Rabu, Julai 14, 2010

Daerah Beta


Hanya selepas beberapa bulan sesudah menerima cenderamata ini, barulah saya dapat mencari masa yang sesuai untuk menghabiskan pembacaan.


Novel Daerah Beta tulisan Azizi Hj Abdullah telah saya terima semasa kunjungan ke Menara DBP bersama para peserta MPR 2009.


Menurut Azizi Hj Abdullah ini dalam blognya,

"Daerah Beta diangkat dari kejadian benar, bagaimana sekumpulan rakyat di mana satu ketika dulu pihak kilang cuba menanam radioaktif ditempat mereka. Mereka bantah sehingga terjadi satu demonstrasi yang sangat hebat. Gas dan water canon menjadi mandian. FRU jadi pagar dan mahkamah tempat mengadu."






Daerah Beta menceritakan tentang perjuangan penduduk Kampung Baharu Bukit Marah untuk membantah penerusan operasi kilang Anak Rumpai Asian (ASA) yang disyaki menghasilkan sisa-sisa radioaktif dan tidak melupuskannya dengan cara yang selamat sehingga mencetuskan masalah kesihatan kepada penduduk.


Sebelum saya membaca novel ini - saya terlebih dahulu telah membaca buku Lawan tetap lawan : kisah perjuangan rakyat menuntut keadilan yang menyorot kisah perjuangan rakyat daripada era 60-an hingga 90-an.


Salah satu bahagian di dalam buku itu menceritakan tentang peristiwa mogok anti-radioaktif di Bukit Merah, Perak sekitar lewat 80-an hingga awal 90-an.


Menurut buku tersebut;

"Operasi kilang Asia Rare Earth (A.R.E) yang menghasilkan sisa radioaktif di kawasan Bukit Merah, Perak pada tahun 1985 telah mencetuskan satu pergerakan rakyat yang berlanjutan selama kira-kira satu dekad. Pihak penduduk semakin terdesak apabila kerajaan tidak mahu mengambil sebarang tindakan atas pihak kilang tersebut tetapi mengatakan bahawa kilang itu selamat dan tidak mengancam kesihatan penduduk di situ.


Lantaran itu, penduduk mencari jalan penyelesaian di mahkamah dan juga di luar mahkamah. Antara tahun 1985 hingga 1987, penduduk di sekitar Bukit Merah telah melancarkan beberapa demonstrasi. Demonstrasi besar yang melibatkan 20,000 penduduk telah dilancarkan pada 12 April 2987. ISA juga telah digunakan untuk menahan semua penghuni yang mengetuai bantahan pembuangan sisa radioaktif."


Rentetan peristiwa yang ditulis dalam buku tersebut sangat mirip dengan kronologi cerita di dalam Daerah Beta - maka saya beranggapan bahawa kisah perjuangan rakyat di Bukit Merah itulah yang diangkat oleh Azizi Hj Abdullah.


Hasil pencarian saya di internet, laman blog Menentang Sisa Radioaktif turut menulis tentang kronogi penuh kejadian Asian Rare Earth di Bukit Merah. Saya jamin - ia menarik untuk dibaca.



Membaca novel ini turut mengingatkan saya tentang artikel bertajuk 'Kenapa nak boikot? kenapa nak demo? yang ditulis Akmal Amri dalam laman blognya. Menurut beliau, demonstrasi jalanan mempunyai 2 fungsi utama, iaitu untuk mendidik dan bersuara. Baca artikel penuh daripada blog beliau untuk mengetahui hujah-hujah yang dikemukakan.



Novel Daerah Beta - pandangan saya adalah sebuah novel yang berbaloi untuk dimiliki. Ia adalah sebuah karya yang membuka semula lembaran sejarah mengenai kisah perjuangan rakyat yang kian dilupakan.




Isnin, Jun 14, 2010

Goodreads - laman jaringan sosial untuk pencinta buku.






Buat mereka yang berminat dengan buku, serta ingin bertukar-tukar pandangan berkenaan buku yang sedang dibaca - saya ingin mengesyorkan satu laman jaringan sosial.


Layari dan mendaftarlah di www.goodreads.com. Saya pasti ia akan memberi banyak manfaat kepada anda.





Akaun goodreads saya. dah lama tak dibuka.





Group Goodreads Malaysia
Deskripsi

Tempat ulat-ulat buku Malaysia berkumpul, bertukar pendapat mengenai buku-buku yang telah dibaca, sedang dibaca dan bakal dibaca serta berbincang segala hal yang indah (atau sebaliknya) berkaitan dunia buku.

"Kutip semula semangat membaca yang pernah hilang, atau kobarkan lagi yang sudah menyala biar terang."

Turut mengalu-alukan pembaca antarabangsa / serantau yang meminati buku-buku Malaysia, terutama dari Brunei, Indonesia, selatan Thai dan Singapura.




nota kaki: jumpa anda di sana!





Related Posts with Thumbnails