Memaparkan catatan dengan label Diari harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari harian. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 17, 2010

Ipod Nano?





Saya tahu tentang peraduan ini - tetapi sedikit pun tidak saya teringat akannya ketika mahu membeli 2 buah buku dari bookcafe.


Untuk menyertai pertandingan ini, orang ramai harus membeli buku keluaran PTS dengan kadar minimum RM30 di kedai-kedai yang mengambil bahagian.


Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan ini, sila klik di sini.


2 buah buku yang saya beli itu bernilai RM32. Jadi - saya layak untuk mendapat sekeping kad SMS untuk menyertai peraduan ini.


Untung-untung boleh menang hadiah mingguan!





Pada suatu pagi (ketika kelam-kabut kerana sudah lambat ke tempat kerja), saya 'terkejut beruk' kerana mendapat mesej daripada PTS melalui telefon bimbit.

Saya sendiri pun sebenarnya sudah lupa yang saya pernah sertai pertandingan itu.



Alhamdulillah.

Cuma sekarang masih berfikir - hendak pakai sendiri atau hendak jual saja?



Jumaat, November 26, 2010

Entri setelah sekian lama tak kemaskini blog.


Untuk mendapatkan kad ini, anda perlu membayar RM1265.00.
Pandai betul engkau berniaga dengan rakyat.








21 November 2010. Saya telah menyertai Larian Keputeraan 2010 di KipMart Kota Tinggi sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.



Untuk kategori Remaja Lelaki (13-21 tahun), larian adalah sejauh 7Km.



gambar yang telah ditangkap oleh pihak penganjur.sumber: facebook



Menamatkan larian di tempat ke-11. Masih cergas walaupun dah lama tak bersenam secara konsisten. Boleh cuba lagi tahun depan (kalau umur masih panjang)





Saya belajar banyak daripada alam & manusia.




notakaki: bila dah lama tak menulis blog, menaip entri ini terasa amat janggal.





Jumaat, Ogos 20, 2010

Mencari asyiknya kartun


Kira-kira 9 tahun yang lalu - sewaktu berada di darjah 5, seorang guru saya pernah berkata kepada warga kelas.


" Awak tak payah la nak tengok sangat cerita-cerita kartun tu. nanti masa awak dah besar, cerita tu masih ada lagi. contohnya, macam kartun Doraemon tu - masa cikgu kecik cerita tu ada. sekarang ni ada lagi kan kartun tu? hah, masa awak besar, awak tengok la puas-puas."





masihkah kau ingat?



Mungkin cikgu saya ini mahu menekankan tentang pentingnya persediaan menduduki UPSR pada tahun hadapan. ataupun, beliau sengaja mahu berborak-borak kosong berkongsi pengalaman hidup.



Saya yang ketika itu masih naif (sekarang pun masih naif) mendengar tanpa membantah. tapi kegilaan terhadap kartun tetap ada.



Hari ini - saya menonton kembali kartun-kartun yang menjadi pernah menjadi kegilaan dahulu.



Kalau selalunya saya berharap agar diberi masa senang-lenang yang panjang, kali ini saya mempunyai banyak cara untuk membunuh masa. Cuti saya berkemungkinan besar akan bersambung hingga Januari 2011.


Menonton kartun pada usia kanak-kanak dan menonton kartun pada usia menjelang 20-an, rupa-rupanya tidak memberi nikmat yang sama.


zaman kanak-kanak hanya sekali - dan pendek pula. ( begitu juga dengan zaman-zaman yang lain)


Setiap kali saya menonton kartun, kata-kata cikgu saya itu akan menari-nari di gegendang telinga.


oh.mujur saya tidak menuruti kata beliau.


Isnin, Julai 12, 2010

Travelog si perayau


4 Julai 2010 / Ahad



Selesai mengikuti satu program yang berlangsung selama dua hari di Setiawangsa, saya mula beransur ke KL Sentral sekitar jam 6 petang - dengan tujuan membeli tiket keretapi untuk pulang ke Johor.


Jadual perjalanan keretapi saya teliti – dan sesudah mengambil kira beberapa faktor berkaitan, saya membeli tiket untuk perjalanan jam 10.30 malam, keesokan harinya.



Kira-kira jam 8.15 malam, saya berada di sebuah restoran berhampiran Masjid Jamek. Sedang saya enak menikmati hidangan, saya ternampak kelibat Aidil Khalid lalu di ruang pejalan kaki. Pantas saya meluru kepadanya. Rupa-rupanya beliau juga mahu ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur – untuk menyaksikan teater tradisional mak yong.



Menurut tentatif, teater akan bermula pada jam 8.30 malam. Ainunl Muaiyanah hadir sekitar jam itu bersama Hani Salwah Yaakup. Kemasukan untuk menyaksikan teater ini adalah percuma tetapi penonton harus mendapatkan pas masuk terlebih dahulu untuk nombor tempat duduk.



Pementasan malam itu mempersembahkan sebuah teater yang bertajuk Raja Besar Ho Gading. Berdasarkan buku program, mak yong dipercayai wujud pada abad ke-19 dan pada tahun 1920-an, dan ia dipentaskan sebagai pementasan DiRaja di bawah naungan Kesultanan Kelantan. Oleh kerana itu, persembahan dipentaskan dalam dialek Kelantan – maka banyak istilah-istilah yang saya tidak faham. Walaubagaimanapun, ia tetap sebuah pementasan yang menghiburkan.



Jam 10.45 malam - pementasan tamat dan saya beransur pulang ke rumah rakan (Hannan) yang terletak di Gombak.



5 Julai 2010 / Isnin


Barangkali kerana keletihan kerana berjaga lewat malam pada hari sebelumnya, saya hanya memulakan aktiviti selepas Zohor.



Beg saya simpan di KL Sentral – kemudian mulai berjalan mencari arah untuk ke destinasi seterusnya. Menurut pegawai Muzium Negara yang telah saya hubungi, pengunjung yang ingin ke sana boleh berjalan kaki daripada KL Sentral dalam jarak perjalanan kurang 1000 meter – dan ternyata benar, ada papan tanda penunjuk arah bagi pejalan kaki daripada KL Sentral yang mahu ke Muzim Negara.



Bayaran masuk ke Muzium Negara adalah RM2.00 untuk setiap satu galeri – dan ada dua ruang galeri berbayar. Yang pertama ialah ruang galeri utama ( di mana pamerannya tetap) dan ruang galeri khas ( di mana pameran berubah-berubah). Tika kunjungan saya, galeri khas sedang menganjurkan pameran misteri keranda – di mana keranda-keranda mengikut kepercayaan etnik dan agama di Malaysia dipamerkan. Sekitar tahun 2002, saya pernah mengikuti rombongan sekolah ke Muzium Negara dan tika itu galeri ini sedang menganjurkan pameran mistik dan hantu.



Untuk ruang galeri utama, ia dibahagikan kepada empat galeri iaitu sejarah awal ( galeri A), kerajaan-kerajaan Melayu ( galeri B), era kolonial (galeri C) dan Malaysia kini (galeri D).



Secara keseluruhannya, melawat ruang galeri utama bagi saya adalah hanya bagai menatap buku-buku teks sejarah sekolah menengah. Tidak ada maklumat baru yang menarik perhatian saya.



Lihat susunan tema galeri, iaitu sejarah awal – kerajaan Melayu – era kolonial dan Malaysia kini telah dihurai di dalam buku teks sejarah sekolah menengah.



Menariknya di Muzium Negara, elemen 1Malaysia telah disuntik di dalam ruang galeri - di mana telah ada pameran berkenaan 1Malaysia di galeri D.



Walaubagaimanapun, ada beberapa pada sudut pameran yang saya kurang berpuas hati. Contohnya, di galeri D yang mempamerkan tentang kemerdekaan negara. Hanya parti politik, UMNO-MIC-MCA sahaja yang dipamerkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Bagaimana pula dengan parti politik berhaluan kiri?



Menurut buku Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan kewarganegaraan ( Prentice Hall), Halaman 51:


Di sekitar awal tahun 50-an pula, kebanyakan ketua parti politik yang radikal dan dianggap Biritish sebagai berfahaman komunis dan sosialis telah dipenjarakan, dan ada yang lari ke negeri lain seperti Indonesia dan China. Terdapat juga di antara mereka yang berjuang secara gerila, dan berpusat di dalam hutan di negara ini. Namun kita perlu adil dengan mereka, walaupun nama-nama mereka tidak tercatat dalam sejarah tanah air sebagai pejuang yang turut menghasilkan kemerdekaan tetapi pada hakikatnya perjuangan mereka juga bukannya sedikit dalam menghalau penjajah daripada negara kita. Tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob dan ramai lagi telah merengkok dalam penjara dalam tempoh yang lama demi menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Mereka terpaksa hidup bersusah payah, dan mengorbankan tenaga dan wang ringgit demi perjuangan tersebut. Walaupun mereka bersifat radikal dan bertindak sebagai pembangkang kepada British namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, pengorbanan seperti ini sangat bermakna dalam member satu perjuangan kental dan tak bersifat pak turut. Tentangan mereka menjadi check & balance kepada golongan yang bekerjasama dengan British untuk membuat desakan yang lebih menguntungkan bagi negeri yang bakal merdeka.




Jelasnya di sini – perjuangan parti berhaluan kiri tidak wajar kita lupakan. Saya pernah membaca sebuah buku yang bertajuk Islam Melayu Komunis – yang menghimpunkan wawancara bersama 3 orang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang Melayu Islam. Semangat ingin tahu saya timbul apabila saya difahamkan bahawa fahaman komunis tidak percaya kepada Tuhan – jadi mengapa ada orang Melayu yang menyokong fahaman ini – sehingga terbentuknya Rejimen ke-10 PKM?




Bermula daripada PKM, melalui pembacaan - saya mula menemui maklumat lanjut berkenaan parti berhaluan kiri yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf, Malaysia Democratic Union dan lain-lain – juga nama-nama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob banyak lagi – juga istilah-istilah seperti Perlembagaan Rakyat, Hartal dan lain-lain.




Mereka semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.




Selepas puas melawat Muzium Negara, saya bergerak pula ke Muzium Polis. Muzium Polis terletak tidak jauh daripada Muzium Negara, kira-kira 1.5 KM sahaja. Sekiranya tidak berjalan daripada Muzium Negara, stesen tren paling hampir adalah stesen pasar seni – di mana saya perlu berjalan melintasi stesen KTM Kuala Lumpur untuk sampai ke Masjid Negara (kira-kira 800 meter jaraknya) . Muzium Polis terletak berhampiran dengan Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam. Oleh kerana Muzium Kesenian Islam telah saya lawat pada tahun 2009, maka saya mahu mencuba yang lain pula.



Walaubagaimanapun- saya kurang bernasib baik kerana muzium ini tutup pada hari Isnin. duh – lain kali kena cari masa datang melawat sini lagi.




Semasa di Muzium Negara, saya sempat mengambil brosur tentang maklumat muzium di Malaysia. Salah satu yang menarik perhatian saya ialah Muzium Kota Johor Lama. Seingat saya – saya pernah ke situ pada tahun 2006 tetapi tidak tahu apakah sejarah yang ada pada tempat itu. Tika itu - pergi untuk perkhemahan dan guru pengiring bawa kami ke situ.



Menurut brosur itu:

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor, kira-kira 27KM dari bandar Kota Tinggi. Kota ini terletak di atas sebuah tanjung yang dikenali sebagai Tanjung Batu di muara Sungai Johor. Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tebing Sungai Johor. Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan tanah di bahagian atasnya. Dengan terbinanya kota ini, Kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Portugis dan Acheh beberapa kali.



Di Kota Tinggi saja ada dua buah muzium sejarah.



Kalau diberi kesempatan masa, saya ingin melawat muzium-muzium itu sekali lagi.



Sepanjang siang, saya banyak berjalan ke sini sana.


Walaupun pada awalnya saya merancang untuk menghabiskan masa dengan membaca novel di gerabak keretapi, namun ternyata malam itu saya tertidur kepenatan. Sedar-sedar- kerlipan neon bandaraya Johor Bahru sudah menyentuh pandangan dan buat saya terjaga.



Sabtu, Julai 10, 2010

Comot


Pagi tadi saya lihat pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika - anjuran Kipmart Kota Tinggi. Pemenang tempat pertama menang basikal.



Budak-budak kecik umur 5-6 tahun mewarna dengan riang-rianya.



Dulu masa kecik-kecik, ibu selalu belikan majalah kawan. Masih ingat? Majalah saiz kecil - yang sekarang sudah diubah saiznya.



Dalam majalah itu ada satu peraduan mewarna. Hadiahnya saya tidak ingat - tapi saya teringin sangat nak menang.



Saya warna cantik-cantik lukisan yang disediakan - kemudian semasa dalam kereta saya bagi ayah.



"Ayah, boleh tolong hantarkan?"



Ayah saya ambil - kemudian dia tenung lukisan yang sudah diwarna penuh itu. Ayah gelak. Kemudian - simpan lukisan itu di dalam laci kereta.



Saya menanti dengan penuh harap.



Hari ini saya tahu kenapa nama saya tidak pernah disiarkan sebagai pemenang peraduan mewarna di majalah kawan.



Ayah tidak hantar borang saya kerana lukisan itu comot.



Khamis, Julai 01, 2010

Shah Alam jangan menggigit



sumber:google



Engkau baru sampai di tempat itu setelah dihantar seseorang. Tika kereta proton saga warna hitam mahu berhenti, seorang lelaki sebaya engkau melambai – itu sahabat! Engkau turun kereta, keluarkan barang yang dibawa, lantas terus berjabat tangan. Apa khabar kawan?



Beg kecil yang besar engkau bimbit - juga sandang, kemudian ikut menyusup bersama kawan. Senyap-senyap - kerana engkau mahu menginap secara haram yang halal. Kata kawan – buat seperti biasa. Engkau turutkan dan pengawal itu bagai tidak sedar (kerana kau berlagak seperti kebiasaan).




Engkau selamat jumpa tempat tidur beberapa malam, tapi yang belum selamat masih banyak.



Engkau pusing-pusing sendirian di pasaraya besar - juga perhati papan harga di setiap kedai makan. Engkau sambung bersiar, walau perut sudah lapar. Engkau buat kerja matematik di fikiran – engkau nekad tak mahu beratur di mesin pengeluaran. Sudahnya – engkau pulang ke bilik, makan bersama kawan. Engkau terkenang kata seseorang - makan seorang mengenyangkan, makan beramai menyenangkan. Engkau setuju, walau selalunya tidak.



Kawan engkau mulakan perbualan. Engkau tidak sama dengan kawan. Engkau datang dari kolej dalam hutan yang tidak perlu fikir duit belanja makan breakfast -lunch –dinner kerana duit makan sudah masuk dalam yuran pengajian. Engkau hanya perlu datang menatang talam biru dan pelayan-pelayan kaunter mencedok lauk seperti ketetapan pihak atasan ( walau kadang-kadang ada yang engkau kurang gemar)




Engkau tidak seperti kawan - yang bangun tidurnya perlu merancang – hari ini perlu makan di mana? Lunch hari ini di Rafi Bistrokah? Imtiyaz? Gerai tepian jalan? Kopitiam? atau McDelivery? (yang selalu buat kawan makan beriyani kosong pada akhir-akhir bulan).



Itu belum termasuk lambaian Mydin , juga ole-ole yang selalu buat kawan terpesong tujuan.



Engkau kerut dahi – bingung.




Engkau macam tidak tahu hidup di ibu kota tidak percuma. Mahu bergerak ke sini-sana perlu ada bayarnya – kerana mereka juga ada sesuatu untuk disara. Mereka juga manusia yang tersepit dengan sistem nilai yang keliru. Entah bila dan bagaimana mahu terlepas engkau juga tidak tahu dan tidak mengerti.



Engkau tidak boleh hidup di situ dengan nafsu besar yang tidak dicatu. Oh Tuhan! itu baru seorang. Belum dikira masa depan – kala anak-anak kecil mahu ini itu.



Engkau isi sepanjang malam di situ bersama kawan. Engkau berborak panjang, bergelak sakan – mengenang cerita zaman.




Beberapa malam di Shah Alam - engkau fikir tentang perbezaan. Engkau fikir tentang kelebihan dan kekurangan. Engkau fikir tentang realiti masa depan (masa depan yang akan terus menggigit).



Sekarang dan masa depan - ia akan terus menggigit (di mana-mana).





*Catatan perjalanan sempena ‘kunjungan hormat’ ke kediaman Thalhah Zainal di Kolej Cemara, INTEC pada 24 – 27 Jun 2010.





Isnin, Jun 28, 2010

Catatan (ringkas) Johor Bahru - Kota Tinggi


bandar Kota Tinggi - satu ketika dahulu



Dari Stesen Bas Larkin ke Kota Tinggi dengan bas henti-henti selalunya akan ambil masa selama satu jam. Tapi saya tahu bas tidak akan sampai dalam jangka masa itu. Bas akan ke pusat bandaraya dahulu, kemudian baru bergerak ke destinasi akhir – sudahnya selepas satu jam setengah baru saya akan sampai di tanah kelahiran.



Di depot bas – sementara menunggu bas bergerak, seorang penumpang bertikam lidah dengan pemandu bas di hadapan penumpang-penumpang bas yang lain. Puncanya? Kerana penumpang itu dakwa tempohari dia beli tiket dengan harga RM2.40 – sedangkan pemandu kata harga tiket itu RM2.70.



Entahlah. Penumpang itu bertekak kerana RM0.30. Tapi saya rasa memang harga tiket bas sekarang Memang sudah naik. Tiket yang saya bayar untuk naik bas itu harganya RM5.80 – dulu rasanya tak semahal itu. Begitulah –akhirnya nanti rakyat marhaen juga akan tersepit.



Tiba ke Kota Tinggi sekitar jam 9.30 malam. Mahu tahu apa yang buat saya terkejut? Kota Tinggi sudah ada McDonald. woha!



Selain itu, pengurusan pasaraya Famili Mart nampaknya bertukar tangan lagi. Sekarang Pasaraya Hwa Tai mengambil alih.



Sudah hampir 3 bulan tak pulang ke Kota Tinggi - apa lagi perubahan yang telah berlaku di daerah ini?





Sabtu, Jun 12, 2010

A-Level tamat




Semalam ( 11 Jun 2010) -jam 1 petang telah tamatlah peperiksaan A-Level bagi pelajar KYUEM - khususnya senior. Economics Paper 3 adalah kertas terakhir yang diduduki oleh pelajar KYUEM bagi peperiksaan sesi Mei/Jun 2010.



Alhamdulillah- saya selesai menjalani peperiksaan yang berterusan selama 6 minggu itu dengan jayanya.


Result? Entahlah. Peluang kabur-kabur juga. Sudah buat yang terbaik - tawakal dan redha sajalah. Harus tunggu bulan Ogos ini untuk keputusan.


Result IELTS sudah lepas. Harap-harap A-level tidak kandas.


Hari graduasi akan disempurnakan pada 19 Jun 2010 - juga itu hari terakhir kami sebagai pelajar KYUEM. Selepas ini sudah jadi alumni - super senior.



Saya ada seminggu untuk habiskan masa-masa terakhir di kolej ini. Alahai - cepatnya dua tahun berlalu.




countdown trial & exam. cepat betul masa berlalu




Focus - keep your goal in view, don't look back



pasti akan merindui meja study ini.uhuk2





Quote dari poster ini yang selalu buat saya tidak mahu cepat mengalah


stetement of entry, juga label meja ( yang 'dihadiahkan' oleh exam department)



Khamis, Mei 27, 2010

2 Syuhada - 1999





Terima kasih facebook yang menemukan aku dengan gambar ini - 11 tahun yang lalu.
Umur baru 8 tahun, sekarang dah 19 tahun.

*2 Syuhada 1999*
Sekolah Kebangsaan Kota Jaya- sekarang nama sekolah dah ditukar kepada SK Datuk Usman Awang



Kalian apa khabar?
=)


Isnin, Mei 03, 2010

Istimewa 3 Mei



Apakah yang istimewa pada 3 Mei 2009?


Hari ini 3 Mei 2010, sudah genap setahun masa berlalu.


Hari ini genap sudah setahun puisi pertama saya disiarkan di media. Bermakna sudah setahun saya menulis secara (separa) serius.


Kalau kau fahami bahasa rindu telah disiarkan di Mingguan Malaysia pada 3 Mei 2009. Puisi ini saya tulis semasa saat-saat 'tertekan' menghadapi peperiksaan AS Mei/Jun 2009.




Sepanjang setahun (Mei 2009-Mei 2010) ini, sebanyak 8 hasil tulisan saya telah berjaya menembusi media - 4 puisi, 2 cerpen dan 2 esei. Tulisan-tulisan ini disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Tunas Cipta, Dewan Siswa dan e@siswa.


Kalau hendak dibandingkan dengan rakan-rakan penulis , sudah pasti saya tidak seaktif rakan-rakan Minggu Penulis Remaja 2009 (MPR 2009) yang lain. Cemburu juga lihat karya mereka disiarkan saban bulan.


Saya masih mengumpul momentum.


Saya ada satu azam. Saya sangat suka baca ruangan reviu tulisan S.M. Zakir dalam majalah Milinea Muslim. Saya harap saya mampu untuk menulis sebegitu rupa juga satu hari nanti. Sungguh analitikal dan kritis.

Contohnya dalam majalah Milinea Muslim Mac 2010, beliau mengulas pemenang Filem Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-67, Avatar.

" Avatar membawa orientalisme kolot dunia Barat dengan kepercayaan 'white mens burdens' dan 'self and others'nya. Segala masalah dan penyelesaian di dunia ini bahkan sehingga ke planet Pandora yang sejauh 4.3 tahun cahaya dari bumi itu terletak di bahu bangsa kulit putih. Ia mengulangi propaganda superioriti kulit putih seperti dalam cerita Tarzan, King Kong, Superman, Batman dan sebagainya. "



Saya harap satu hari nanti reviu saya hasil bedahan buku dan filem juga akan mendapat tempat di media. InsyaAllah.


Oh! Peperiksaan betul-betul just around the corner!


Nah, saya turunkan kembali puisi yang pernah saya tulis pada saat-saat 'ketakutan' ini, setahun yang lepas.




Kalau kau fahami bahasa rindu


Kalau kau fahami bahasa rindu
pasti pengertian ini milikmu,
kerana aku insan perindu
yang menagih damai di lubuk hatiku
kala gelora membadai kalbu.


Telah ku lakar segala rahsia
di kanvas jiwa terlukis rasa
pabila hati mula membentak
tingkah berubah menongkah fitrah
pijat pesimis merasuk nurani
menyedut segala semangat duniawi
senyuman hambar yang ku lontar
petanda damai semakin pudar.


Aku rindu jiwa yang kental
diri yang teguh walau dicabar,
tidak mengalah di waktu sukar
biar bernafas di tengah lumpur
tetap tegar menjadi penyabar.


Aku masih menanti damai
mengharap rindu akan menghilang,
walau ku tahu hakikat kehidupan
rindu itu satu kurniaan
buat manusia yang hilang ketenangan
apabila terputus rahmat Tuhan.


Syukri Sapuan

Senja
Lembah Beringin, Selangor.
April 2009.

Isnin, Mac 29, 2010

PBAKL 2010



Akhirnya saya 'terpergi' juga ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di PWTC, walaupun pada awalnya tidak mahu ke sana.


28 Mac 2010, hari terakhir PBAKL 2010.

Bas Kota Tinggi-Kuala Lumpur bertolak pada jam 9 pagi. Kemudian saya selamat sampai di Puduraya sekitar jam 2.30 petang. Matlamat asal, mahu kembali ke kolej di Lembah Beringin dengan segera.


Telefon bimbit dikeluarkan. Ada mesej masuk.


" sorry syuk, aku bleh amik ko lepas maghrib"


Nah, di sini ada lebihan masa yang banyak. Di mana saya mahu melepak? Maka saya pun menuju ke PWTC, berlegar-legar di sana sehingga jam 7 malam.


Sudah pasti pesta buku itu amat menarik, tetapi seperti biasalah- bajet saya terhad!


Orang sangat ramai-ibu bapa, anak-anak muda juga rombongan sekolah mengisi segenap ruang dewan.


Siapa kata rakyat Malaysia tidak membaca?


Ini merupakan kali kedua saya ke PBAKL di PWTC. Kali pertama pada tahun 2007, ketika mewakili negeri Johor ke Pertandingan Anugerah NILAM peringkat kebangsaan. Ada satu slot untuk kami ke pesta buku.


Bila saya mahu habiskan baca buku-buku ini?






Oh, tunggulah selepas habis semua paper. Tidak lama lagi, 11 Jun 2010- Economics Paper 3


Sabar

Sabar

Sabar

.

.

.



Jumaat, Mac 26, 2010

Sembang buku





Setelah menimbang& mengambil kira tentang beberapa perkara, saya mengambil keputusan untuk tidak menghadirkan diri ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010.


Buat yang masih ada kelapangan masa, silalah hadir ke PBAKL di PWTC. Ia akan diadakan sehingga hujung minggu ini ( 28 Mac 2010, Ahad)


Isnin ( 29 Mac 2010), sudah mula kelas balik. Seminggu selepas itu, saya akan menduduki peperiksaan percubaan. fuhh~


Semalam saya ke bandar Johor Bahru-hendak buat pasport. Kepada sesiapa yang ingin tahu mengenai cara-cara berurusan dengan pihak imigresen untuk urusan pasport, seorang sahabat saya ada menulis prosedur tersebut di laman blognya-how to make passport for dummies.


Terlanjur sudah ke bandar Johor Bahru, saya singgah di City Square. Kemudian menonton filem Daybreaker. Secara jujurnya saya memilih filem ini kerana tertarik dengan posternya, terutamanya perkataan 'in 2019, the most precious natural resource...... is us'





Dan selepas menonton, filem ini biasa-biasa saja. cet~


Kemudian saya ke MPH City Square. Setelah puas membelek-belek, termenung, berfikir, mengira bajet dan seumpama dengannya, saya membeli 2 buah buku.


Buku pertama ialah novel awal remaja, otai tulisan Ilyani Alias yang juga rakan MPR 2009. Tahniah kepada beliau yang telah berjaya menerbitkan novel bersama PTS-one? Hmm, giliran saya pula bila ya?






Kemudian, saya turut membeli novel syahadah gadis ateis tulisan Imran Haaz. Sebuah novel yang menarik pada pandangan saya. Saya sudah habis baca malam tadi, tapi tidak mempunyai kerajinan untuk membedah buku ini. Maka saya perturunkan saja komentar-komentar yang terdapat di belakang kulit buku ini.






"Padat tetapi menarik. Emosi tetapi berintikan dalil. Inilah novel wacana Islami yang jarang-jarang sekali sekali kita temui dalam dunia persuratan tanah air." Zaid Akhtar, novelis Salju Sakinah.


"Bukan novel biasa, bukan buku soal jawab agama yang tipikal. Syahadah gadis ateis adalah manual bahasa mudah seorang muslim yang diekstrak dari manual agung Al-Quran. buku pemantapan akidah yang dipermudahkan cara penyampaian ini adalah bacaan wajib bagi setiap Muslim tanpa mengira umur, kedudukan, pangkat dan tingkatan ilmu." Nur Zarawati binti Mohd Zain, pengarah urusan Zaratech Enteprise.



Pengarang banyak menyelitkan dalil-dalil yang diperoleh daripada Al-Quran, di samping menggunakan bahan daripada Bible dan kitab-kitab agama lain sebagai perbandingan. Saya merasakan seolah-olah sedang berada dalam kuliah Friendly Comparative Religion (FCR) sewaktu membaca buku ini.



Selain itu, buku lain yang sempat saya beli & baca pada cuti dua minggu ini ialah novel awal remaja tulisan Hilal Asyraf, remaja mulia. Ini ialah novel pertama karya penulis muda ini yang sempat saya baca. NOvel ini menampakkan kebijaksanaan pengarang memasukkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seorang pelajar sekolah. Sangat menarik saya kira. Saya akan cuba untuk membaca novel-novel beliau yang lain, seperti VT & terasing.





oh ya!


Saya juga dalam usaha untuk mendapatkan sebuah novel tulisan seorang lagi peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Perindu Pelangi tulisan Siti Munirah A. Rasyid.










Buku oh buku~

Buku-buku A-Level sedang menanti untuk kau habiskan, beberapa bulan sajn lagi untuk kau habiskan.




oh Fizik~

oh Ekonomi~

oh Matematik~


Ahad, Mac 14, 2010

My name is Khan






Oleh kerana tiket bas untuk saya pulang ke Kota Tinggi adalah pada pagi Ahad, maka saya perlu menumpang di rumah seorang rakan untuk semalaman.


Makanya, saya menumpang di rumah seorang sahabat, Burhan.


Malam tadi kami ( saya, Burhan & ahli keluarganya) menonton tayangan filem di Cap Square, filem My Name is Khan.


Filem ini bagus sekali, saya sangat suka menontonnya. Saya dapat melihat bagaimana situasi islamicphobia terutamanya selepas peristiwa 9/11.



Karan (pengarah filem) sejujurnya cuba bercerita tentang dilema seorang Islam bernama Rizvan Khan, yang mempunyai penyakit Aspergers sindrom (sejenis penyakit Autistik) yang dicurigai oleh bangsa Amerika. Rizvan dicop sebagai pengganas hanya kerana dia orang Islam dan peristiwa ini berlaku selepas kejadian hitam 9/11. ( Dipetik daripada mstar online)



Ulasan boleh dibaca di sini.


Entah bila saya juga mampu mengangkat tema-tema besar begini dalam tulisan-tulisan saya.






Khamis, Mac 04, 2010

Hatiku milik siapa?





Menjadi moderator pada forum yang bertajuk 'Hatiku Milik Siapa?' barangkali merupakan antara aktiviti-aktiviti terakhir saya di kolej ini.

Forum tersebut merupakan antara pengisian KIWEE 2010 ( KYUEM ISLAMIC WEEK) dan telah membariskan Xifu Nasir, Ustaz Ghazali & Ustazah Husna sebagai ahli panel. Terima kasih dan syabas kepada ahli jawatankuasa program yang telah bertungkus-lumus membantu menjayakan program.


Pada kiraan saya, menjadi moderator pada malam tersebut juga merupakan antara aktiviti terakhir saya sebagai Muscom 2009/2010. Sehari selepas forum itu berlangsung, telah diadakan majlis serah tugas kepada Muscom 2010/2011.


Oh ya. apa yang saya dapat semasa menjadi jawatankuasa Muscom?


Banyak. Sangat banyak.


Muscom membantu saya membina kerangka pemikiran yang lebih mantap.


Walaupun saya bukanlah yang terbaik untuk berada di kerusi tersebut, tapi saya sudah buat yang terbaik.


dan saya sebenarnya masih mencari di mana diri saya yang sebenarnya?


terima kasih kerana selalu memberi ruang kepada saya untuk menjadi pengacara-pengacara majlis kalian. saya rasa saya memang suka bercakap ( haha.walaupun aku bersetuju bahawa aku perlu lebih banyak berfikir daripada bercakap).


Saya bukan yang terbaik. Mungkin juga bukan yang paling berilmu.


Saya hanya buat apa yang saya yakin sahaja. ( maka, beri aku ruang)


Baiklah. selamat meneruskan perjuangan untuk Muscom 2010/2011.


Kalian adalah penyambung mata-mata rantai dakwah.








Isnin, Februari 15, 2010

Kosong



Cuti pun selalu datang menghimpit apabila tiba masanya untuk ia menerkam. Dan aku masih di sini.


Kosong. Kosong. Kosong.


Blog ini sudah lama tidak dikemaskini bukan? Serius. Aku gian untuk menulis entri panjang-panjang. Namun, apakan daya. Laptop sedang rosak. ' Terima kasih' kepada adik yang menghempaskan objek fragile tersebut.


Sekarang semua objek mahu rosak. Telefon bimbit aku juga sedang rosak dengan kronik. Sudah tidak dapat digunakan kerana skrinnya pecah dan punat-punatnya sudah tidak dapat ditekan. (haha)


Entah bila lagi aku akan kembali menulis seperti dulu. Mencatatkan setiap definisi yang aku terjemah sendiri mengikut mata hati, bukan kerana aku orang lain.


Dan apakah rasanya apabila ikatan-ikatan itu aku leraikan? Aku tidak pernah mengerti, kerana aku selalu menjadi mereka. Kali ini, biarkan aku menjadi aku.



Oh ya, sudahlah. Mari bicara hal lain.


Cuti (selama 4 hari) ini, aku sudah berjaya habiskan dua buah novel. Sudah lama tidak luangkan masa dengan khusyuk membaca bahan-bahan begitu.


Aku jadi suka dengan perkhidmatan ujanailmu.com.my. Lain kali mahu beli buku di situ lagi.


' Panggil aku melaju' dan 'harga sebuah maruah'.


Serius. Sangat seronok membacanya.


'Panggil aku melaju' ada kekuatannya yang tersendiri. Sangat banyak persoalan dan falsafah yang diangkat di dalamnya. Antaranya tentang hala-tuju Bahasa Melayu, sejarah asal bangsa Melayu dan banyak lagi. Pengarang bijak. Dia mampu menyelitkan persoalan dan falsafah di mana-mana sahaja sehingga aku sering termenung memikirkannya.


'Harga sebuah maruah' tulisan Azizi Haji Abdullah juga tidak mengecewakan. Aku suka membacanya. Ditambah pula dengan metafora yang indah-indah. Ouh, aku jadi cemburu dengan kehebatan pengarang bermain dengan metaforanya.

Ingat ya, harga sebuah maruah tidak akan mampu dibeli dengan wang ringgit.

.

.


.


(hahaha)

Aku tidak tahu apa yang aku tulis ini. Kosong bukan?
Sekadar mahu memenuhkan kembali blog yang sudah bersawang dan tidak berisi dengan bahan-bahan bermanfaat.


Ingin kembali menulis.

Menyiapkan kembali manuskrip yang terbengkalai ( yang sudah merengek-rengek minta disambung)



tapi nantilah dahulu ya?

Trial kurang daripada 50 hari.


Mahu ke Sheffield ataupun tidak?


Mahu!


=)


Selasa, Februari 02, 2010

Bangsawan 2010








Di Kolej Yayasan UEM, 'Bangsawan' merupakan acara tahunan yang akan menemukan keempat-empat house di sini.

Diamond.

Sapphire.

Topaz.

Garnet.


Bangsawan pada tahun ini akan berlangsung pada minggu depan, 10 Februari.


Sekarang semua ahli house sedang melakukan persiapan di saat-saat terakhir. Menyiapkan prop, memantapkan lakonan, menjahit baju dan perkara-perkara yang seumpama dengannya.


Kalau tahun lepas saya berlakon, tahun ini apa pula peranan saya?

.

.

.

.

.

.

.


Tunggu dan lihat.



Jumaat, Januari 01, 2010

Mencecah 19





01/01/10 * angka cantik*


Hari ini sudah 19 tahun.


Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua orang yang berjasa dalam hidup ini.


Tahun hadapan sudah melangkah ke usia baru, ke angka-angka 20-an pula. *InsyaAllah*


Maka sudah pasti ada beberapa perkara penting yang ingin saya capai.


Apakah perkara-perkara tersebut?






Sudah pasti saya menginginkan sebuah kehidupan yang lebih baik.


Pemikiran yang lebih analitikal dan kritikal.


Kemahiran menulis yang lebih mantap.



Mahu berjaya masuk ke menara gading.


Belajar daripada kegagalan


Lebih tabah dan cekal.


Belajar dengan memerhatikan manusia dan alam.



dan banyak lagi sebenarnya.



*woho~ saya sudah 19 tahun! perlu jadi lebih matang, tapi saya mahu jadi gila-gila *



* jumpa di kotak emel pagi tadi. terima kasih kepada pengirimnya =) *



Isnin, Disember 07, 2009

Mendepani zaman




Baru-baru ini saya berkesempatan ke rumah seorang sahabat di Skudai. Saya tidak melepaskan peluang untuk meletakkan bandaraya Johor Bahru sebagai salah satu destinasi kunjungan.


Semasa di MPH City Square, Johor Bahru, saya telah membeli beberapa buah buku.


Antaranya:


gambar diambil daripada blog


Salah satu sebab mengapa saya tertarik untuk mencapai buku ini (versi Bahasa Melayu sahaja) daripada raknya adalah kerana pengarang buku ini adalah alumni kolej saya (Kolej Yayasan UEM).


Y.B. Nik Nazmi Nik Ahmad, 26, telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor pada 8 Mac 2008. Beliau merupakan calon termuda yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Sejurus selepas itu beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Petikan daripada halaman biodata blog beliau.




Y.B. Nik Nazmi. sumber:google



Saya baru sahaja menamatkan pembacaan petang tadi.


Meneliti satu persatu buah pemikiran wakil rakyat PKR ini sedikit sebanyak membuatkan saya mengerut dahi- memikirkan kelangsungan setiap idea yang hendak disampaikan.


Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan buku ini.



Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian yang utama iaitu:



1. Paradigma Politik Baru


* Punca 8 Mac 2008: Jalan ke Depan?

* Politik Baru

* Mengapa Keadilan?




2. Ke Arah Merakyatkan Ekonomi

* DEB: sebuah penilaian semula

* GLC, Orang Melayu dan Perniagaan

* Merakyatkan Ekonomi: Pengalaman Selangor





3. Persoalan Pendidikan

* Dasar Pendidikan Dinamik & Adil

* Bahasa-bahasa Lain: Isu pendidikan Vernakular

* Projek Mentari




4. Islam dalam sebuah masyarakat majmuk

* Meraikan Warisan Wasatiyyah Kita

* Tiada paksaan: Masyarakat Bukan Islam dan Islam di Malaysia


5. Revolusi sosial

* Perkahwinan dan Kehidupan Berumah Tangga

* Dilema Generasi Muda

* Seri Setia- Sekilas Pandang


Kesimpulan: Impian Bernama Malaysia.



Saya sebenarnya agak tertarik ( dan sedikit tersentak) pada satu perenggan dalam buku ini.

Di bawah tajuk Dasar Pendidikan Dinamik & Adil


" Sebilangan IPTS telah banyak menyumbang dalam mengangkat mutu pendidikan negara. Namun, akibat tersedianya tempat-tempat di IPTA dan biasiswa, di samping kedudukan sosioekonomi mereka, bilangan mahasiswa Melayu di IPTS adalah kecil. Kesannya, kewujudan IPTS ini melengkapkan pengasingan sosial dalam sistem pendidikan- sekolah vernakular yang berbeza di peringkat rendah, sistem pra-universiti berbeza dan akhirnya sistem IPT berbeza- yang memisahkan orang Melayu daripada orang bukan Melayu."


(halaman 80)


Sesuatu yang sebenarnya telah saya terlepas pandang!


Klik untuk ke entri berkaitan buku ini di blog YB Nik Nazmi.



nota kaki:

1. terjumpa satu artikel menarik tentang bahaya ekonomi kapitalis. sesuatu yang menarik untuk difikirkan.



2. mengidam untuk mengulas setiap buku yang dibaca semasa cuti semester. antaranya: kuasa berfikir kreatif (sedang baca), biografi Dr Burhanuddin Al-Helmy, Law of Attraction (kuasa tarikan) dan I.S.A. (Ia Sah Aniaya).



Sabtu, Disember 05, 2009

Teringat

Tadi saya 'bersiar-siar' di facebook, terjumpa pula beberapa benda menarik.

Gambar diambil tanpa kebenaran daripada halaman facebook Azimah.





Teks bacaan doa untuk perhimpunan rasmi sekolah setiap hari Isnin. Saya pernah ditugaskan untuk membaca doa ini semasa Tingkatan 2 & 3. Untuk pertama kali baca kat depan semua orang, jadi memang sangat gementar melihat ratusan mata yang memandang. Kaki mengigil-gigil (haha) & bacaan tersasul-sasul. Doa ni pun panjang sangat (saja bagi alasan,haha).





Bacaan ikrar pelajar akan dibacakan setiap perhimpunan Isnin & diketuai oleh Ketua Istiadat Perhimpunan (K.I.P). Saya pernah menjadi K.I.P. semasa tingkatan 4 & 5.

Sebenarnya saya jarang (ataupun tak pernah) dapat baca ikrar ni dengan betul. K.I.P. kena hafal ikrar ni, maka saya yang gementar ni mesti ada salah sikit-sikit. tambah perkataan sendiri la, tukar susunan ayat la dan apa-apa entah lagi (haha). Setiap kali nak mula baca ikrar dan melangkah ke depan, hati saya akan berbisik, 'cool syuk, cool'. (haha)

tapi saya dapat membaca ikrar pembukaan Hari Anugerah Kecemerlangan SBP 2007 di depan Tengku Mahkota Johor dengan baik. belajar daripada kesilapan semasa perhimpunan rasmi sekolah barangkali?





Papan nama Dewan Sri Penawar, kategori pemimpin pelajar. maaf! Kamera beresolusi rendah dan jurukamera tidak profesional.


Khamis, November 19, 2009

Semester yang hangat





Semalam di Great Hall, End Semester Dinner telah berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada individu-individu yang berusaha mengatur persiapan majlis ini.
.
.
.
Kami kian menghampiri penghujung Semester 3 bagi senior ( ambilan Julai 2008) dan bagi junior (ambilan Julai 2009), ini merupakan End Sem Dinner pertama mereka.
.
.
.
InsyaAllah, kolej akan mula bercuti pada 21 November 2009.
.
.
.
Ok.
.
.
.
Merenung kembali pada 3 semester yang telah berlalu, perjalanan terasa begitu singkat. Pejam celik, pejam celik, semuanya telah berlalu.
.
.
.
Semester depan merupakan semester paling penting buat senior, semester akhir kami. Peperiksaan A-Level yang menentukan sama ada kami fly ataupun tidak. Mungkin juga peluang terakhir kepada sesiapa yang mahu re-sit kertas AS.
.
.
.

Tadi baru je amik kalender kolej tahun hadapan. Mari kita buat countdown.
.
.
.
November 2009 – sekarang

Disember 2009

Januari 2010

Februari 2010- IELTS

Mac 2010

April 2010-Trial (5 April)


Mei 2010- A- Level mula ( 10 Mei)



Jun 2010- A-level tamat (11 Jun)

Hari terakhir senior sebagai pelajar KYUEM (19 Jun)
.
.
.
Moga kita semua dapat menempuh cabaran ini dengan penuh iltizam dan semangat.

InsyaAllah.


Related Posts with Thumbnails