Memaparkan catatan dengan label IPG. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IPG. Papar semua catatan

Isnin, November 11, 2013

Ulasan buku : Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang






Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang (SBPUBK) ialah himpunan artikel tulisan sdr. Zul Fikri Zamir berkaitan kritikan terhadap pendidikan, politik dan sosiobudaya. SBPUBK diterbitkan oleh DuBook Press dengan kata pengantar oleh Faisal Tehrani. 



Saya mengenali susuk nama penulis sebelum buku ini dilancarkan, melalui rencana-rencana yang disiarkan di portal berita The Malaysian Insider. Justeru, beberapa artikel beliau di dalam SBPUBK telah pun saya baca sebelum ini. Ketika video peristiwa Kak Sharifah Zohra Listen berjejeran di garis masa media sosial, sdr Zul Fikri menulis sebuah artikel di portal Projek Dialog dan artikel tersebut mendapat respon yang cukup hangat daripada pembaca.



Tajuk buku yang catchy - memungkinkan khalayak tertarik untuk terus membelek dari kulit ke kulit. Tulisannya dibahagikan kepada empat tema iaitu Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik & Sosial dan Kritik Teater. Membaca pada judul bukunya - pasti ramai yang menyangka bahawa buku ini berkisar tentang sistem pendidikan formal semata, walhal penulis membawa pembaca merenung sisi-sisi lain kehidupan yang turut memberi kesan kepada pemikiran dan tindakan. Contohnya, kritikan terhadap jati diri, budaya berfikir generasi Y; dan betapa teknologi  yang memudahkan tak semestinya memandaikan pengguna. 



Hal pendidikan merupakan perkara besar yang memiliki daya tarikan untuk terus dibincangkan; dan boleh dilihat dari kaca mata yang pelbagai - sama ada di pihak pemerintah yang menerima mandat, kementerian & jabatan bertanggugjawab, guru-guru pelaksana dasar,  murid-murid (tikus putih?), ibu bapa, pihak industri, masyarakat dan pelbagai lagi. Semua pihak mempunyai sudut pandang tersendiri untuk menyuarakan pandangan. 



Intipati utama buku ini  dapat disimpulkan pada perenggan berkenaan fungsi mahasiswa. Penulis percaya bahawa ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian, graduan paling bermanfaat ialah graduan yang kembali kepada masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah negara. Seterusnya, penulis menyarankan pembaca agar menghayati fungsi sebenar mahasiswa - iaitu melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan diri dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan tertindas. 



Selaku penghuni dunia pendidikan, saya melihat kewajaran pada premis yang dikemukakan. Pengalaman selama 7 tahun di dalam organisasi arus perdana (baca: main stream) di 3 institusi pendidikan telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, bekerja dan bercampur dengan dengan pelbagai jenis manusia - dari pelbagai ragam, latar belakang, kecenderungan, jalur pemikiran dan seumpamanya. 



Dan lazimnya, apa yang saya cari daripada pertemuaan-pertemuan ini ialah manusia yang mampu untuk menyatakan sikap, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tak mementingkan diri dan berfungsi di dalam komuniti. 



Tujuan pendidikan - pada pandangan saya; ialah melahirkan manusia yang memiliki cita-cita dan obsesi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Berdasarkan pemerhatian - terdapat kecenderungan dalam kalangan graduan 'Universiti facebook & twitter' (baca: pengguna tegar media sosial) untuk tidak menggemari perbahasan berat, tidak membaca secara kritis, gagal membaca di dalam konteks dan hanya lincah menulis di papan kekunci. Walhal - medan buat lebih luas daripada medan cakap. Dan lebih malang lagi, media sosial menjadi satu-satunya jendela untuk mereka melihat dunia. 



Pendidikan tanpa penerapan nilai dan pemujaan pada material cuma akan melahirkan warganegara tanpa jiwa. Saya percaya kepada peranan agama, bahasa, sastera, budaya, falsafah dan sejarah untuk membentuk insan yang miliki jati diri dan memahami makna kehidupan. Malangnya, andai cuma perkara-perkara yang ditanya di dalam peperiksaan yang menjadi rutin harian, adakah kita miliki peluang untuk mendalami dan merenung dalam-dalam ke dalam diri - apakah sebenarnya akar jati diri ini?



Kerana itu sebenarnya terdetik kerisauan; tatkala melihat angka statistik-statistik yang mencanak naik dalam kalangan warga muda. Contohnya; peratusan kes penceraian, kes kesihatan mental, kes jenayah juvana serta kes muflis. Adakah sebenarnya pendidikan kita gagal membentuk insan?



Selain soal pendidikan, sdr Zul Fikri dalam SBPUBK turut menyuarakan pandangannya berkenaan hal-hal politik semasa - terutama pada bab politik dan sosial. Antara yang disentuh isu air di Selangor, BERSIH 3.0, kejatuhan mata wang Euro di Eropah dan kontroversi Mat Indera. 



Saya percaya bahawa masa depan yang mencabar ialah milik kita semua. Tugas mengurus Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, taraf sosioekonomi dan jalur pemikiran - suatu hari nanti akan diserahkan jua pada generasi hari ini. Terlalu banyak jurang yang perlu dirapatkan. Saya masih percaya pada peranan politik (walau kadang-kadang skeptikal), dan dalam masa yang sama NGO dan masyarakat sivil perlu berperanan mengisi ruang ketiga.



Seperkara yang menarik perhatian saya ialah keprihatinan penulis untuk menyuarakan pandangannya terhadap sistem di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang pernah beliau duduki. Walaupun sesetengah pandangan penulis agak liar dan buas, saya menganggap bahawa kritikan tersebut lahir daripada kaca mata graduan IPG yang ingin melihat sistem IPG sentiasa ditambah baik dan penaiktarafannya tidak bersifat kosmetik semata-mata.


Dua artikel yang agak vokal berkenaan IPG boleh dibaca di sini dan di sini.


Dalam sesetengah isu yang diketengahkan, saya berpandangan bahawa contoh kes yang diberikan hanya berlaku di sebilangan kampus dan tidak mewakili keseluruhan sistem IPG. Berdasarkan perbincangan bersama pimpinan di beberapa IPG, saya dapat membuat kesimpulan bahawa gaya kepimpinan pihak atasan akan mempengaruhi corak perjalanan di kampus. Bukan semua IPG peraturannya ketat dan bukan semua HEP menghalang buat begitu dan begini.   



Pun begitu, saya bersetuju dengan penulis dalam beberapa perkara, terutama tentang idealisme yang perlu dimililki oleh IPG. IPG perlu segera menjalani perubahan setaraf dengan misinya -  Melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia.



Pada pandangan saya, ada beberapa cabaran yang dihadapi oleh IPG, ataupun lebih tepat lagi mahasiswa di IPG. Pertama, pengambilan terus mahasiswa daripada sekolah selepas SPM - mungkin menyebabkan IPG sejak sekian lama masih terikut-ikut pada budaya di sekolah/asrama. Ini disebabkan mereka tidak dapat menjenguk ke persekitaran luar bidang pendidikan. Yang kedua, kekangan kuliah yang padat daripada pagi hingga ke petang menyebabkan mahasiswa letih dengan rutin seharian. Yang ketiga, jaminan penempatan selepas tamat pengajian (walaupun ada polemik mengatakan begitu dan begini) yang mungkin menyebabkan mahasiswa bersikap ala kadar dan tiada inisiatif untuk memajukan diri. Mana-mana program/projek yang tidak terkandung di dalam pra-forma/silibus amat sukar untuk mendapat khalayaknya. Betapa kadang-kadang, kehidupan berorientasikan markah ini menyerabutkan.



Saya tidak pernah belajar universiti. Pengalaman melihat 'dunia luar' saya sebelum ini mungkin cuma di sebuah kolej persediaan di Selangor pada tahun 2008-2010. Maka tidaklah dapat saya membuat pertimbangan yang setara untuk membanding bezakan sistem IPG dan universiti.



Kepada teman-teman daripada IPG yang membaca tulisan ini, anggaplah tulisan yang dikemukakan sebagai satu cabaran untuk mempertingkatkan potensi diri. Tempoh masa latihan selama 5 tahun setengah secara relatifnya sememangnya pendek jika hendek dibandingkan dengan usia perkhidmatan yang boleh menjangkau lebih 30 tahun nanti. Namun tempoh persediaan ini amat penting untuk membina diri. Bagaimanakah agaknya pendidik yang kontang fikirannya mampu mengalirkan empangan intelek untuk ditadah oleh anak muridnya yang dahagakan ilmu?



Sistem menjadi penjara kerana kita yang kadang-kadang memilih untuk memenjarakan diri. Peluang terbentang luas tetapi yang kita lakukan cuma menelurkan alasan untuk sebuah eskapisme. Betapa - kerja mengubah sudut pandang ini bukan satu tugas yang senang. 



Membaca Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang - fikiran saya terkenang-kenang kepada beberapa bahan bacaan. Mungkin boleh disyorkan sebagai bahan tambahan. Untuk buku, saya terkenang pada buku Minda Tertawan tulisan Raja Ahmad Aminullah dan Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad tulisan Dr Riduan Mohd Nor. Juga pada pengisian kuliah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.



Untuk bahan bacaan di internet, saya sarankan dua artikel tambahan. Pertama - artikel 'Timbunan Mayat pada Hari Konvo' di MarwanBukhari.com dan 'Sindrom Mediocrity Dalam Sastera' tulisan SM Zakir. 



Saya percaya bahawa kita miliki banyak cara dan alternatif untuk bertindak. Telah saya pilih jalan saya sendiri. Apalah gunanya berterusan menyumpah kegelapan, tapi diri sendiri tak mampu menyalakan cahaya untuk menerangi persekitaran.


Indoktrinasi di mana-mana. Bezanya cuma, kita pilih untuk jadi mangsa yang bagaimana?

Khamis, Oktober 10, 2013

Catatan tentang program khidmat masyarakat


Beberapa minggu yang lepas - saya mengikuti (ataupun lebih tepat - menguruskan) program khidmat masyarakat di Kampung Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor. Program ini untuk memenuhi tuntutan kursus Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan. Pensyarah memberikan kebebasan kepada kami dalam banyak perkara - dari aspek pemilihan tempat, aturan aktiviti, belanjawan dan seumpama dengannya.


Alhamdulillah - salam perkenalan yang dihulur oleh Encik Azmi - setiausaha JKKK Kampung Tanjung Sedeli, yang juga ahli rombongan saya sewaktu di tanah suci sewaktu Jun 2012 sangat banyak memudahkan kerja. Bermula dengan sesi kunjungan ke rumah beliau untuk mengemukakan cadangan program, tinjauan tapak, gerak atur kerja dan sebagainya telah kami lakukan bersama.




Sepanjang di IPG kampus Tun Hussein Onn, ini merupakan kali keempat saya mengikuti program khidmat masyarakat - yang mungkin berbeza daripada segi nama, modul dan konsep namun tetap sama matlamatnya. Bermula dengan di Kampung Sungai Bunyi, Pontian (2011), Felcra Sekijang, Segamat (2012), Kampung Johor Lama, Kota Tinggi (Jun 2013) dan Kampung Tanjung Sedeli, Kota Tinggi (September 2013). Pelbagai posisi telah diduduki - dari peserta, urusetia, ajk kerja dan sebagainya.




Sepanjang 4 kali berprogram, pelbagai modul telah dijalankan. Antaranya - keluarga angkat, malam kebudayaan, gotong-royong, program bersama pelajar sekolah, sukan bersama penduduk kampung, sumbangan kepada keluarga yang memerlukan dan sebagainya.


Yang paling menarik - saya kira, ialah sumbangan kepada keluarga yang memerlukan. Dengan bantuan daripada JKKK yang mengenalpasti rumah dan keluarga, kami berjalan membawa barang sumbangan berbentuk barangan dapur - mengetuk pintu rumah, menghulur salam perkenalan dan menyerahkan sumbangan tersebut.


Pelbagai ragam yang menginsafkan dapat dilihat. Tentang kesunyian warga emas, tentang kedaifan penghuni teratak, tentang sengsara anak berkeperluan khas, tentang kegigihan warga desa mencari rezeki demi menyambung hayat dan seribu satu  lagi wajah yang miliki cerita tersendiri.




Kembali kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan kita tentang realiti yang berlaku di akar umbi. Sebesar-besar masalah kita, besar lagi masalah mereka.  Dan perkara yang selalu menangkap di deria saya ialah realiti kemiskinan yang melarat di kota dan desa.


Semalang-malang kemiskinan harta, malang lagi jika miliki kemiskinan jiwa.


Dan sebagai orang muda, persiapkanlah diri dengan keupayaan untuk menampung apa yang kurang di sini sana. Semuanya bermula dengan titik kesedaran yang masyarakat sedang memerlukanmu.


Hidup bukan untuk diri sendiri semata, tetapi juga untuk manusia lain.





Kata Pak Hamka - "Peluang yang besar itu datang secara tiba-tiba. Datang tidak menentu masa. Datang disaat kita kesempitan atau kesusahan. Nilailah peluang itu dengan secara bijaksana. Rebutlah peluang yang besar itu, kerana peluang yang besar itu boleh berlalu dengan tiba-tiba. Jangan jadikan seribu alasan untuk tidak merebut peluang yang besar itu."

Jumaat, Mei 31, 2013

Catatan-catatan yang tertangguh


Macam-macam yang berlaku semenjak Mac 2013 sehingga hari ini, sehingga blog ini bersawang kerana tidak dikemaskini.


Bermula dengan Pilihan Raya Kampus untuk Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Kejohanan Olahraga Tahunan, Kembara Penulis Muda ke UK, praktikum dan hal-hal lain.


Kejohanan Olahraga Tahunan berlangsung pada 4-6 Mac 2013 dan saya menggalas amanah sebagai pengerusi unit perbarisan, persembahan, pembukaan dan penutup. Tugasan yang menyita agak banyak masa dan memerlukan perancangan rapi.




Pilihan Raya Kampus pada 20 Februari 2013 dan saya bertanding untuk kerusi Ahli Majlis Tertinggi. Bermula Mac 2013 sehingga sekitar Februari 2014, saya menduduki 'kerusi panas' Yang Dipertua (YDP) Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG kampus Tun Hussein Onn. Peluang dan ruang yang ada akan saya pergunakan sebaiknya untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman mengurus realiti. InsyaAllah.


Seperti mana pelajar semester 5 yang lain, kami akan menjalani praktikum selama sebulan. Sepanjang April, saya menjalani praktikum di SK Bindu, Batu Pahat, Johor. Berada di medan realiti yang sebenarnya memberi peluang kepada saya untuk memahami cabaran yang timbul dalam dunia pendidikan.


Cikgu praktikum di SK Bindu. Selepas menguruskan Kem Ikhtiar Hidup 



Kembara Penulis Muda ke United Kingdom. Ya, United Kingdom. 


Saya sebenarnya ketika mula-mula membaca iklan tawaran ini langsung tidak mahu menghantar borang permohonan, mengenangkan track record dalam dunia penulisan yang masih belum baik.





Beberapa hari sebelum tarikh tutup tamat, rakan penulis - Tuah Sujana menghubungi saya dan memujuk untuk mengisi borang tersebut. Apa salahnya mencuba, kan? - katanya begitu.


Saya terbuka hati dan menyediakan dokumen-dokumen yang dikehendaki.


Dari kiri: Encik Anuar (Pegawai ITBM), Hafizul Faiz, Tuah Sujana



Beberapa hari selepas tarikh tutup permohonan, saya menerima emel untuk panggilan temuduga di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


Dan akhirnya, Alhamdulillah - saya terpilih dalam kalangan 10 orang peserta untuk kembara ke United Kingdom. Satu peluang yang tak disangka-sangka akan tiba.


10 peserta dan 2 pegawai ITBM


Berada selama 10 hari di sana - saya memerhatikan tentang perkembangan sastera, budaya dan buku di barat. Penerimaan masyarakat di sana tentang sastera, budaya dan buku memang berbeza. 


Salah sebuah kedai buku. Besar & bertingkat-tingkat!


Buku tulisan Puan Nisah Haron - Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom & Dublin mungkin boleh memberi gambaran tentang persekitaran yang saya maksudkan.






Catatan peribadi saya tentang kembara ini akan saya usahakan dalam masa terdekat. InsyaAllah. Sesudah tamat kembara, setiap peserta perlu menyudahkan tugasan projek masing-masing.


Ada tugasan yang masih belum selesai.


Berlatarbelakangkan Big Ben


Selasa, November 20, 2012

Bingkisan 2012


Cuti semester sudah bermula kira-kira seminggu dan masih berbaki 6 minggu. Kehadiran cuti panjang ini memberi bermakna - saya mempunyai lebih banyak masa untuk keluar daripada rutin kuliah dan melakukan aktiviti bebas.


Membaca kembali azam yang dipasakkan tika melangkah ke tahun baru, sambil menoleh 11 bulan yang telah berlalu, saya rasakan ada banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki.


Tahun 2012 - saya kira tahun yang agak padat dan bermakna, namun kelesuan masih menghantui.





Daripada aspek penulisan, sebanyak 9 karya menembusi media - meliputi 3 rencana, 4 puisi dan 2 cerpen, selain sebuah puisi memenangi Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012. Jumlah ini saya kira masih jauh dari sasarannya, gara-gara kelesuan minda dan kemalasan untuk berfikir secara kreatif & kritis (kemandulan minda?)


Sepanjang tahun 2012, saya melanggan 4 buah majalah (Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Libur) , selain membeli buku, novel dan majalah-majalah lain (Dewan Sastera, Milinea Muslim, Solusi) bergantung kepada isu yang ditampilkan. Adapun (antara) kelemahan ketara saya ialah kegagalan untuk habis membaca sebahagian buku tersebut dan melakukan pembacaan secara lebih kritikal. 


Mungkin - kegagalan saya ini ada kaitannya dengan kepadatan jadual hidup sepanjang 2 semester ini. Saya mewakili kampus ke Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia pada April 2012. Selain itu, hujung-hujung minggu selalu terisi dengan aktiviti anjuran NGO dan lain-lain. Saya mengemudi Exco Pendidikan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2013 dan beberapa program telah kami anjurkan.


Ketika cuti pertengahan semester, Alhamdulillah - saya berpeluang mengerjakan umrah dan ziarah Madinah. Satu perjalanan rohani yang punyai ceritanya yang tersendiri.


Sekiranya tahun 2011 diakhiri dengan kembara ke Banda Aceh, Indonesia - InsyaAllah, sebagai penutup tahun 2012, saya sedang merancang kembara ke salah satu ibu negara di Asia Tenggara. 


Terima kasih kepada diari yang sering menjadi ruang untuk saya mencongak strategi dan mengatur perancangan. Saya percaya - hidup perlukan matlamat agar kita dapat mengambil langkah yang padu untuk memenuhi impian peribadi, selain agar hidup terasa lebih berisi dan bukan berlalu tanpa membawa sebarang erti. 


Menjelang tahun baru, ada beberapa perkara perlu saya fikirkan bagi memaknakan tahun 2013. Lompong-lompong perlu diisi. Langkah perlu diperkemas dan momentum perlu ditingkatkan. Masih terlalu jauh diri ini jikalau hendak dibandingkan dengan penanda aras yang lain.


#Tekad2013. Anda tentukan.

Rabu, Oktober 10, 2012

Memaknakan Merdeka


ESEI
Memaknakan Merdeka
Oleh Syukri Sapuan (PISMP Sains Ambilan Januari 2011)


        “Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari."


       Demikianlah menurut sebuah peribahasa Inggeris yang terkenal. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini bukanlah sebuah perjuangan yang baru dimulakan semalam. Selama 446 tahun lamanya daulat bumi watan ini bersilih-ganti dicemari penjajah asing  yang mengaut satu per satu hasil kekayaan tanah bertuah. Rembesan air mata suci serta titisan darah perajurit silih berganti mengalurkan jalan menuju pembinaan sebuah negara merdeka.


Generasi pasca merdeka sering digembar-gemburkan sebagai satu barisan generasi yang alpa dan kurang patriotik. Mereka dikatakan terus menghirup udara segar kemerdekaan sedari lahir dan tidak bersusah-payah menentang kolonialis rakus. Generasi ini perlu untuk disedarkan tentang makna sebenar kemerdekaan kerana di tangan merekalah nanti kesinambungan  hayat perjuangan akan diteruskan. Lebih-lebih lagi, tugas mengisi kemerdekaan itu jauh lebih mencabar berbanding untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan adalah amanah yang perlu dipertahankan kerana penjajahan mampu menyerkap manusia dengan penjajahan versi baru tanpa kita sedari.


     Indikator yang lazimnya digunakan untuk mengukur tahap patriotisme rakyat adalah bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan. Jika banyak deretan Jalur Gemilang yang berkibar megah, maka individu tersebut akan dikelaskan sebagai rakyat Malaysia yang patriotik. Tidak hairanlah sekiranya bulan kemerdekaan di negara kita akan dipenuhi dengan aktiviti kempen mengibar bendera. Namun, adakah kayu pengukur tahap patriotisme hanya terbatas pada skop yang sebegini kecil?


       Kehebatan sesebuah tamadun terletak pada manusia, bukan hasil ciptaannya. Apakah ertinya jika kita memiliki bangunan-bangunan pencakar langit yang serba moden, sedangkan pembangunan karakter insan yang berpekerti mulia tidak kita tumpukan. Barangkali yang akan terjadi adalah kita mampu untuk memiliki kemudahan awam kelas pertama, namun mentaliti masyarakat masih berada di kelas ketiga. Jenayah-jenayah kolar putih dan biru akan membarah kesan daripada pembangunan fizikal yang tidak seiring dengan pembangunan rohani. Kita hanya akan melahirkan ‘robot-robot’ yang bijak pandai namun kosong jiwanya. 


         Oleh itu, sistem pendidikan negara hendaklah diperkasakan agar Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk membina peradaban yang unggul. Apabila sistem pendidikan kita mampu untuk melahirkan individu yang bermentaliti kelas pertama, masyarakat Malaysia akan dikenali sebagai kelompok masyarakat yang produktif kerana memiliki nilai-nilai seperti menepati masa, berintegriti dan berdaya-saing. Hal ini sekaligus akan memacu Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi, sekaligus menjadikan kemerdekaan yang kita kecapi lebih bermakna. Nah, bukankah ini juga patriotik?


         Peribahasa Cina ada menyatakan bahawa, “Jika kamu merancang untuk satu tahun, tanamlah gandum. Jika kamu merancang untuk satu ribu tahun, tanamlah (didiklah) manusia.”


         Peribahasa ini tepat untuk menggambarkan bahawa manusia adalah faktor paling penting sekiranya kita ingin melakukan perubahan. Untuk mengubah sistem yang ada, maka ubahlah manusianya.


        Kemerdekaan yang sudah digapai selama lebih 5 dasawarsa ini akan lebih bermakna seandainya kita berjaya mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang utuh. Dunia pada hari ini adalah sebuah ruang yang sangat mencabar. Melalui media baru, budaya-budaya kuning menjadi produk merbahaya yang meracuni pemikiran generasi muda sekaligus merosakkan akar tradisi warisan leluhur. Serangan budaya baru ini turut dirasai di seluruh dunia, di mana anak-anak muda cenderung untuk melupakan tradisi bangsa mereka. Sebagai contoh, gadis-gadis muda di Jepun kurang berminat untuk memakai kimono, iaitu pakaian tradisional bangsa mereka. Generasi muda perlu diingatkan bahawa mereka perlu untuk mempunyai kefahaman yang jelas terhadap budaya yang mereka ikuti. Profesor Dr. Syed Naquib Al-Attas mengkritik orang yang tidak memahami budayanya sendiri dan dalam masa yang sama tidak memahami budaya Barat. Sarjana besar ini mengumpamakan golongan manusia sebegini sebagai tumbuhan teratai, di mana akarnya tidak menjejak ke dasar dan pucuknya juga tidak mencecah ke awan. Generasi muda perlu meneliti tradisi warisan leluhur agar identiti bangsa yang diwariskan akan kekal malar segar dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Seharusnya kita menjadi seperti buluh yang akar serabutnya padu mengenggam tanah.  Dengan adanya jati diri yang mapan, sekurang-kurangnya kita akan mampu untuk menangkis budaya kuning yang menerkam di setiap penjuru kehidupan.


           Perjuangan para negarawan untuk mendapatkan kemerdekaan pasti tidak akan bermakna seandainya anak muda hari ini terus menerus keasyikan membiarkan diri mereka dipasung mindanya untuk menyembah berhala hedonisme. Kemerdekaan yang dikecapi hanyalah pada luaran semata-mata, sedangkan penjajahan minda masih giat berlaku. Kesannya, generasi muda akan mengalami kecelaruan identiti, tidak bersikap patriotik serta tidak berjiwa merdeka. Harus diingat bahawa golongan belia merupakan golongan terbesar penduduk Malaysia. Golongan muda merupakan bakal penyambung mata-mata rantai perjuangan untuk mengisi kemerdekaan. Untuk melihat pemimpin masa depan negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Andai berkualiti generasi muda pada hari ini, berkemungkinan besar perjuangan kemerdekaan kita akan terus berlegar pada orbitnya. Generasi yang berkualiti adalah generasi yang mampu menukarkan cabaran menjadi peluang untuk digarap.


        Jika dilihat pada realiti hari ini, generasi muda sering dilabelkan sebagai golongan yang bermasalah. Generasi muda dipalitkan dengan dengan pelbagai isu. Antaranya ialah samseng, dadah, ragut dan zina. Antara faktor yang menyebabkan berlakunya hal-hal ini adalah akibat daripada kurangnya didikan agama yang mengakibatkan kekosongan jiwa, jahil dan tiada prinsip hidup. Para hukama sejak dahulu menegaskan bahawa satu-satu tamadun akan jatuh apabila akhlak masyarakatnya runtuh. Sekiranya dilihat pada situasi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu, akibat akhlak pembesar dan rakyat yang merudum, empayar Melayu Melaka tersembam di kaki Portugis pada tahun 1511.  Prinsip akhlak dan moral hendaklah diberi penekanan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Sekiranya akhlak dan moral sudah dimantapkan, barulah keamanan yang lebih baik akan kita kecapi. Apakah maknanya kemerdekaan sekiranya kita sendiri berasa tidak selamat untuk keluar pada waktu malam gara-gara berleluasanya kejadian jenayah? 


            Selaku generasi pasca merdeka, kita perlu segera sedar dan keluar daripada kepompong ‘pecah dan perintah’ tajaan kolonialis. Simfoni keharmonian yang dimainkan secara bersama oleh masyarakat majmuk yang berbilang bangsa di Malaysia pastinya akan terasa begitu lunak didengari andainya perpaduan yang menjadi resepi kejayaan kita selama ini dapat dicapai secara mutlak. Sekiranya masalah perkauman ini tidak dapat ditangani dengan berhemah, masyarakat akan melahirkan kebimbangan terhadap masalah perselisihan kaum yang mungkin berlaku dan ia boleh diibaratkan sebagai ancaman bom jangka yang menanti masa untuk meledak. Setiap warganegara harus memainkan peranan yang penting dalam mengawal sentimen perkauman dengan cara menghormati adat resam kaum lain serta bertoleransi apabila berdiskusi tentang urusan yang melibatkan hubungan kaum. Fokuslah pada titik persamaan yang wujud pada pendirian dan tidak bersandar pada perbezaan buah fikiran semata-mata. Biarkanlah api perkauman yang pernah marak pada 13 Mei 1969  padam buat selama-lamanya. Setiap daripada kita juga harus tekun menyelusuri denai sejarah kemerdekaan negara. Barang siapa yang tidak mengetahui sejarah masa lalunya akan sulit untuk memahami keadaannya sekarang. Di samping itu, dia juga akan sulit untuk merancang masa depannya. Dalam konteks sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan etnik, adalah perlu untuk kita memahami sejarah dan bertindak menterjemahkan kefahaman tersebut dengan cara menjadi warganegara Malaysia yang  mampu untuk menjadi agen penyatu masyarakat. Dengan cara ini, kemerdekaan yang kita cicip bersama akan menjadi lebih bermakna.


           Tugas menegakkan rumah kemerdekaan ini bukannya satu kerja yang mudah. Lantainya disimbah air mata, dindingnya tertegak atas tulang-temulang, atapnya disulam dengan peluh dan keringat. Setiap seorang daripada rakyat Malaysia perlu sedar bahawa mereka juga memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa hadapan negara. Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya yang tersendiri pasti akan terlaksana seandainya setiap daripada kita sedar akan tanggungjawab berat yang tergalas untuk mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi yang seterusnya. Patriotisme harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukan sekadar pada ‘ritual’ mengibar bendera semata-mata. Kemerdekaan adalah peluang untuk menggunakan sumber-sumber yang dimiliki untuk membangunkan tanah air tercinta tanpa campur tangan kuasa asing. Memetik kata-kata Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas,


        “Persoalan kita bukanlah pada kurangnya sumber-sumber kewangan, material, spiritual, dan intelektual, melainkan yang lebih penting adalah keengganan kita untuk meletakkan setiap sumber yang kita miliki pada tempatnya yang benar dan tepat." 


           Adalah satu keperluan buat setiap warga Malaysia untuk menjadikan kemerdekaan yang kita miliki ini mempunyai rohnya yang  tersendiri. Adalah amat malang sekiranya kemerdekaan hanya disambut secara bersorak-sorai di Dataran Merdeka saban tahun tanpa kita memahami akan makna kemerdekaan yang sebenarnya.


           Di balik runtuhan kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka! 


Tempat Pertama, Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 2011,
Anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tun Hussein Onn




Sabtu, Oktober 06, 2012

Forum Merdeka: Orang Muda Tidak Patriotik?



Sekitar tahun 2009, saya pernah menulis sebuah esei berkaitan kemerdekaan - bertajuk 'Harapan Anak Malaysia' untuk Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan anjuran Dewan Siswa. Alhamdulillah, esei tersebut memenangi tempat pertama dan telah disiarkan dalam Dewan Siswa Ogos 2009.


Pada tahun 2011, saya menulis sebuah lagi esei bertemakan kemerdekaan - yang bertajuk 'Memaknakan Kemerdekaan' untuk Pertandingan Menulis Esei Kemerdekaan anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tun Hussein Onn. Alhamdulillah, esei tersebut memenangi tempat pertama. 


Sebagai seorang yang dilahirkan dengan terus menghirup udara segar kemerdekaan, saya cuba untuk menyatakan harapan terhadap kelangsungan kemerdekaan yang sedang kita warisi. 


Oleh itu, baru-baru ini - dalam Forum Kemerdekaan anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), IPG Kampus Tun Hussein Onn - saya cuba untuk menyahut cabaran dengan membicarakan tentang polemik 'Orang Muda Tidak Patriotik?' Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menjadi ahli panel dan penonton.





Saya melontarkan perspektif berdasarkan apa yang saya perhatikan. Dan saya secara peribadi mendefinisikan patriotik sebagai - keinginan yang tinggi untuk bersama-sama membina negara (baca: ummah) dan masa depan yang lebih baik.


Polemik 'Orang Muda Tidak Patriotik?' saya kaitkan dengan faktor generasi Y yang membesar dalam iklim dunia teknologi yang serba mudah dan segera. 


Kami turut membicarakan tentang  kepentingan sikap patriotik, ancaman dalaman yang dihadapi dan usaha yang boleh dipergiatkan untuk membina masa depan negara (baca: ummah) yang lebih baik. 


Saya berpandangan bahawa kita perlu kembali menguliti bahan-bahan sejarah untuk mencari jati diri. Lawatan ke tempat-tempat bersejarah tidak seharusnya sekadar cukup dengan sesi bergambar semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah kita perlu mencari 'roh keberanian pejuang.' Belajar daripada sejarah tidak bermakna kita mengundur tapak ke belakang, sebaliknya sejarah menjadi landasan untuk kita mara ke hadapan.


Saya cukup terkesan tatkala membaca bahan-bahan sejarah berkaitan perjuangan sesuatu bangsa, terutamanya dalam konteks Malaysia - susur galur perjuangan menggapai kemerdekaan daripada kolonialis rakus sejak ratusan tahun yang lalu. Ribuan jiwa telah terkorban untuk kemerdekaan kita ini.


Dalam pemerhatian saya juga, faktor jihad kurang diperkatakan apabila topik kemerdekaan dibicarakan. Soal nasionalisme lebih banyak ditekankan. Walhal - jihad dalam Islam adalah penyuntik energi perjuangan kemerdekaan untuk membebaskan diri daripada penjajahan kuffar.


Beberapa buah buku yan berada dalam koleksi saya - antaranya Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan (Riduan Mohamad Nor, Mohd Fadli Ghani), novel Nostalgia Padang (Dzulkarnain Ithnin) dan novel Tok Janggut; Pahlawan Kelantan (Abdul Latip Talib) - adalah buku yang mampu membangkitkan ingatan saya terhadap perjuangan kental para pejuang.


Bagi saya - adalah satu keperluan buat kita semua menjadikan kemerdekaan yang diwarisi ini memiliki rohnya yang  tersendiri. Adalah amat malang sekiranya kemerdekaan hanya disambut secara bersorak-sorai di Dataran Merdeka saban tahun tanpa kita memahami akan makna kemerdekaan yang sebenarnya. (Betapa apa yang lebih penting - bukan kehidupan di dunia semata, tetapi kehidupan di negeri abadi)


Persoalannya - sejauh mana kita sudi  menjadi penyelesai masalah dan bukannya sebahagian daripada masalah.

Ahad, Julai 22, 2012

Merayakan pembangunan lestari


Dalam pameran-pameran jualan rumah dan aset hartanah, saya perhatikan pihak pemaju sering menonjolkan dua unsur utama sebagai keistimewaan dan tarikan kepada pembeli.


Pertama, keselamatan. Misalnya; rumah di kawasan perumahan ini dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam dan CCTV.


Kedua, kelestarian alam. Misalnya; turut dibangunkan di kawasan perumahan tersebut sebuah taman tasik untuk para penduduk beriadah dan berekreasi. dan juga pokok-pokok yang serba menghijau akan turut ditanam.


Adapun saya sering terfikir; dua perkara inikah yang sebenarnya telah hilang dalam persekitaran kita? Rasa tidak selamat dek jenayah nan berleluasa - dan kurangnya prihatin kita kepada alam dek hidup yang serba tergesa-gesa.


Sejak akhir-akhir ini, isu tentang kelestarian alam sering berlegar-legar di fikiran saya - kesan daripada dua program berkaitan alam sekitar yang baru sahaja saya ikuti; Program Pendidikan Biodiversiti dan Bengkel Aktivis Alam Sekitar.


Program Pendidikan Biodiversiti :)


Program Pendidikan Biodiversiti di Pusat Pemuliharaan Burung Kuang, Jabatan Perhilitan Jemaluang, Mersing. Kami berkhemah selama 3 hari 2 malam. 


Seperti yang saya perkatakan dalam ucapan wakil peserta - kita terlalu sibuk menjalani rutin pada setiap hari, berasak-asak dengan hingar-bingar kota - sehingga terlupa untuk menjengah sisi-sisi lain kehidupan; iaitu meneroka hutan yang punya cerita dan rahsianya yang tersendiri.


Menjauhkan diri dari hingar-bingar kota - lantas menyusup masuk ke dalam rimba - menikmati alunan mesra unggas dan cengkerik, menghirup udara segar dari pepohon hijau dan bersahabat dengan alam.


Adakah kita masih lagi mahu mensinonimkan 'pembangunan' sebagai 'mendirikan bangunan demi bangunan' semata-mata?


duh, mahalnya harga pembangunan kita.


Barat - saya perhatikan; telah banyak menerapkan unsur kelestarian alam dalam filem-filem mereka. Misalnya, filem animasi Wall-E dan The Lorax yang menyentuh soal penjagaan alam sekitar secara tidak langsung.  


Betapa alam sekitar sering saja tunduk kepada desakan pembangunan dan kapitalis. Betapa kita sebenarnya perlu juga cakna tentang isu-isu alam sekitar. Betapa alam sekitar kita semakin tercemar dek kita yang tidak peduli.


Anda tentukan.




Candid. Sukarelawan di Zoo Negara (2009)


Di hadapan kandang badak air. Zoo Negara (2009)

Jumaat, Mei 25, 2012

Umrah


Alhamdulillah. Selesai sudah semester 3. Semester yang padat dengan pelbagai aktiviti dan sarat tanggungjawab.

InsyaAllah, saya akan berangkat untuk mengerjakan umrah & ziarah pada 26 Mei dan bakal kembali ke tanah air pada 8 Jun 2012. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang.


Jumaat, April 13, 2012

Pidato

Alhamdulillah - Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran 2012 antara Institut Pendidikan Guru - telah selamat berlangsung pada 8-10 April 2012 di Institut Integriti Malaysia.


Pemidato dikehendaki untuk menyampaikan pidato masing-masing pada dua slot - pidato teks (7 minit) dan pidato spontan (4 minit). Dan ini adalah kali pertama saya menyertai pertandingan seumpama ini.





Tahniah kepada sahabat-sahabat pemidato yang telah melangkah ke peringkat akhir dan menawan hati juri untuk memenangi pertandingan tersebut.


Bagi saya - walaupun tidak melangkah ke pusingan akhir - ia tetap sebuah pengalaman yang mengujakan. Dan banyak lagi kemahiran-kemahiran yang perlu saya perkemaskan. Pidato bukan sahaja satu seni pengucapan awam, bahkan juga melibatkan seni dan kemahiran berfikir.


Dan saya perlu segera keluar daripada zon selesa.

Khamis, November 03, 2011

Teori Kaunseling Al-Ghazali


Di dalam modul subjek Pembelajaran Sains Kanak-Kanak yang saya pelajari pada semester 1, salah satu sub-topik yang ada ialah Teori Pembelajaran Behavioris.


Apakah yang dimaksudkan dengan Teori Pembelajaran Behavioris?


Menurut Teori Pembelajaran Behavioris - belajar adalah perubahan tingkah laku sebagai hasil dari pengalaman. Belajar merupakan akibat adanya interaksi antara rangsangan dan respon. Seseorang dianggap telah belajar sesuatu jika dia dapat menunjukkan perubahan perilakunya.


Kata kunci yang penting di sini ialah ransangan dan respon.


Namun - yang menjadi persoalan di fikiran saya ialah teori-teori ini menggunakan haiwan sebagai model eksperimennya.


Teori Pelaziman Pavlov misalnya - menggunakan anjing sebagai model ujikajinya.

Teori Pelaziman Operan Thordike pula misalnya - menggunakan kucing sebagai model ujikajinya (Eksperimen Kotak Ajaib)

Teori Pelaziman Operan Skinner pula misalnya - menggunakan tikus sebagai model ujikaji.


Hal ini kelihatan begitu bertentangan dengan sasaran aplikasi teori pengajarannya yang sebenarnya - iaitu seorang guru akan mengajar seorang manusia.


Dan ini menyebabkan saya sedikit terawang-awang mencari titik justifikasi tentang kerelevenan teori-teori ini.


Adakah seorang manusia sama seperti haiwan? (yang digunakan sebagai model di dalam eksperimen) - sedangkan manusia itu berakal, dan haiwan sebaliknya.


Adakah tiada teori-teori pembelajaran daripada Timur? - yang bersesuaian dengan masyarakat Timur? Ataupun teori pembelajaran yang menggunakan manusia sebagai modelnya?


Dan begitulah persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran saya sejak akhir-akhir ini. Dan saya mencari-cari alternatif yang ada.






Buku Teori Kaunseling Al-Ghazali terbitan PTS Islamika Sdn Bhd tulisan Dr Yatimah Sarmani dan Dr Mohd Tajudin Ninggal serba sedikit telah memberi pencerahan dan alternatif kepada saya tentang pendekatan Islam/Timur dalam menangani kaedah pembelajaran.


Buku ini dipadankan daripada karya tesis Ijazah Doktor Falsafah Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.


Walaupun buku ini berkisar tentang teori kaunseling - dan yang pelajari/cari ialah teori pembelajaran - namun ia tetap saling berkait kerana teori pembelajaran juga berkaitan dengan cara menambat hat manusia.


Pada sari rangsang (blurb) ditulis,


"Nama-nama seperti Sigmund Freu, Carl Rogers, Albert Ellis dan Eric Berne terkenal dengan teori kaunseling dan psikologi yang menjadi rujukan kaunselor di seluruh dunia. Walaupun teori-teori Barat seperti psikoanalisis, humanistik, kognitif dan tingkah laku sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan huraian al-Ghazali, tetapi ia tidak bertitik tolak daripada akidah tauhid.


Teori Kaunseling al-Ghazali muncul dan berasaskan huraian sifat-sifat manusia. Kedatangan Imam al-Ghazali yang melakukan anjakan paradigma adalah bertepatan bagi melihat kaunseling daripada perspektif Islam."


Dan pada bahagian pengenalan ditulis begini,


"Pengaplikasian teori kaunseling Barat ke atas budaya masyarakat Timur khususnya masyarakat Islam bukan sesuatu yang ideal. Sering kali berlaku salah tanggapan terhadap masyarakat Timur apabila kaunselor yang berasal daripada Barat mengaplikasikan sepenuhnya teori daripada Barat. Salah tanggapan juga berlaku walaupun kaunselor yang mengamalkan teori kaunseling Barat ke atas masyarakat Timur itu berasal daripada bangsa Timur. Teori dan dan model Barat itu sendiri kadang-kala menimbulkan pelbagai dilema di kalangan pengamal Barat.


Antara contoh yang dikemukakan oleh Malik Badri adalah berkaitan dengan Teori Tingkah Laku Skinner. Teori ini berasaskan pemerhatian tingkah laku haiwan. Aplikasi teori ini kepada manusia menjadikan kaunselor seolah-olah berada dalam 'lubang biawak'. Ini kerana skop analisa pada manusia disempitkan dengan memberi tumpuan hanya pada aspek tingkah laku sahaja."


Teori Kaunseling Al-Ghazali banyak merujuk kepada kitab Ihya' Ulumuddin - karya agung pemikir itu. Al-Ghazali terkenal sebagai salah seorang tokoh tasawuf. Oleh sebab itu, model kaunseling yang berasaskan karya beliau secara tidak langsung mengambil pendekatan tasawuf.


Bagaimana merealisasikan huraian pada manusia menurut al-Ghazali dalam proses kaunseling?


Menurut buku ini,

"Kaunselor Muslim perlu mempunyai ilmu Islam walaupun tidak mempunyai ilmu secara mendalam, sekurang-kurangnya mengetahui prinsip-prinsip asas dan cenderung mempertingkatkan diri. Dicadangkan supaya kaunselor yang mahu mengamalkan model ini membaca Ihya Ulumuddin terlebih dahulu. Dengan itu, kaunselor mempunyai kefahaman yang lebih mendalam berkenaan jenis-jenis penyakit hati yang membawa banyak masalah dalam kehidupan manusia serta kaedah-kaedah mengubatinya.


Namun begitu, model ini tidak dikatakan sebagai satu-satunya model kaunseling Islam. Penekanan terhadap huraian al-Ghazali sebagai salah satu mazhab dalam model-model kaunseling Islam; sama seperti pelbagai mazhab dalam kaunseling Barat yang terdiri daripada pendokong kognitif, tingkah laku, kemanusiaan dan sebagainya. Mungkin ada pengkaji atau pengamal kaunseling Islam lain yang cenderung menggunakan huraian Ibnu Taymiyyah, Ibnu Rusyd, Al-Farabi dan sebagainya. Ini kerana perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam asalkan adab-adabnya dipelihara."


Teori Kaunseling al-Ghazali tidak menggunakan haiwan, manusia ataupun sebarang objek sebagai model. Ia kembali kepada Al-Quran dan tujuan penciptaan manusia.


Buku ini wajar dibaca oleh si pencari pendekatan alternatif dalam teori kaunseling dan pembelajaran.


Di dalam Ihya' Ulumuddin ada disebut,"Ilmu pengetahuan itu adalah barang yang hilang daripada tangan seorang Mukmin yang harus dipungut di mana sahaja diperolehinya dan harus diucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang membawanya."


Memetik petikan dalam buku ini - Menerima sesuatu perlu dengan ilmu dan menolak sesuatu juga memerlukan ilmu. Ia bukan berdasarkan prasangka dan ikutan semata-mata. Ilmu penting dalam kehidupan manusia. Mengikut al-Ghazali,"Kekhususan manusia dibanding haiwan ialah ilmu. Manusia menjadi mulia kerananya."


dan begitulah Teori Kaunseling ini dibina.





Bercakap soal pendidikan - saya tertarik benar dengan pandangan daripada seorang sahabat.


Katanya - Pendidikan kita terlalu kurang proses, yang ada adalah hamburan input.

[copy paste]

Contohnya, pendekatan pendidikan kita banyak dilambakkan dengan input dengan harapan para pelajar akan dapat menghasilkan output sebagaimana yang dikehendaki.

tetapi, kita kurang sangat bicara isu proses.

contoh - sejarah.

kita belajar fakta bertimbun [input]. outputnya, para pelajar jadi patriotik, sayangkan negara etc [output]. tapi macam mana dengan fakta berkenaan nak hasilkan orang patrotik tidak dibincangkan apatah lagi diuji dalam peperiksaan.

yang ada dalam periksa, uji input bukannya proses. kalau uji input, buat apa. patutnya uji proses, baru boleh nilai sama ada kita mampu hasilkan pelajar yang patrotik atau tidak [output].

patutnya soalan sejarah - pada pendapat anda, patutkah Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511? atau apa pengajaran yang anda dapat daripada kisah Tuk Janggut dalam perjuangan kemerdekaan dari perspektif perjuangan agama.

Soalan berbentuk uji proses sebegini rasanya langsung tak dak dalam sistem pendidikan. Yang ada ialah - bilakah Melaka jatuh? Tok Janggut pejuang di negeri mana? All these input questions! not process!

So, we are always missing something when process is ignored.

Wallahu'alam


Jumaat, September 09, 2011

PBS 2


Saya pernah menulis tentang Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) untuk semester 1 di sini dan di sini.


Dan untuk semester 2, saya telah menjalani PBS di SK Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor. Ini gambar-gambarnya.













Rabu, Ogos 24, 2011

Teselasi


Ada satu entri pada tahun 2010 yang ada kaitan dengan apa yang hendak saya tulis hari ini. Entri bertajuk Comot ditulis pada 10 Julai 2010.


Adapun entri ini bukanlah sambungan pada ceritera tersebut. Cuma ada sangkut paut sedikit sahaja.


Setelah hampir lebih kurang 3-4 tahun tak pegang pensil warna, hari ini mahu mewarna kertas lukisan dengan corak geometri teselasi buat engkau tersenyum sorang-sorang.


Janggal. Nostalgia. Betapa menjadi kanak-kanak yang kaya imaginasi itu adalah nikmat yang padat.


Ini tugasan kursus Literasi Nombor. Nak tahu apa itu teselasi? Google sendiri.




Rabu, Mei 11, 2011

PBS 1 (entri kedua)



Sambungan entri PBS 1.


Yang saya selalu terlintas bila nampak pelajar ramai-ramai adalah adakah mereka akan dapat pekerjaan bila sampai masanya kelak. atau mampukah kerajaan/swasta sediakan pekerjaan untuk mereka.

atau sebenarnya kekayaan itu akan kekal juga pada yang kaya. yang kaya bertambah kaya dan yang melarat semakin melarat.



Ketika menjalani PBS, yang selalu saya teringat bila hendak berkata "jangan!/tidak!/diam!" ketika budak-budak yang sedang nakal dan bising amat adalah petikan pendek ini:


Ketika kanak-kanak kecil, kita menanti dengan sabar dan berharap mereka akan berdiri dan bercakap. Kita berharap bayi akan segera mampu berjalan dan mengeluarkan perkataan pertama mereka.


Tetapi apabila kanak-kanak ini sudah besar sikit dan masuk ke sistem persekolah, kita selalu gunakan perkataan "Awak diam!", "Jangan buat macam tu!", "Awak duduk diam-diam!"


Ironi disitu.


(Maaf kalau makna tak sampai. Saya baca petikan pendek tersebut(asalnya bahasa Inggeris) suatu ketika dahulu dan tafsirkan semula dalam gaya sendiri)


Atau adakah larangan-larangan yang pelbagai itu buat mereka berasa takut menjadi aktif dalam kelas dan produk akhirnya ialah pelajar yang pasif dan tidak kritikal dalam menghadapi sesuatu perkara?





Rabu, Mac 30, 2011

Atur



Sekali lagi saya gagal konsisten dalam mengemaskini blog - sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Sepertimana kita tidak mampu ke masa lepas, begitulah jua saya yang sudah terlepas beberapa perkara penting dalam kehidupan.

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both.
- Robert Frost, The road not taken


Maka saya sudah terlepas untuk menulis hal-hal seharian saya yang selalu singgah di deria. Mencucuk dan mengganggu.


Pernahkah kalian mengulangi rutin sehari-harian, setiap hari, tujuh hari seminggu - hingga berasa bosan.


atau pernahkan kalian berasa takut untuk bertentang wajah dengan hari besok. ketakutan ini sangat membunuh.


Betapa kita perlu selalu berfikir tentang hidup (dan kehidupan selepas hidup) - kerana mengikut tanpa fikir amat tidak cool. sama seperti ketakutan yang tidak cool.


Mari diatur kembali apa yang hancur.



Pssssssst:

Puisi Senyuman Lestari disiarkan di Tunas Cipta Mac 2011. Moga ia menjadi permulaan yang baik untuk tahun ini. InsyaAllah.



Khamis, Februari 24, 2011

Kelas pertama



Adapun kali terakhir saya menjadi pelajar sekolah menengah ialah kira-kira 4 tahun yang lalu - maka tidaklah saya ketahui sangat tentang apa yang sedang berlaku di sekolah menengah saya itu ketika ini.


Cuma sewaktu tahun-tahun akhir saya di situ - pengetua kesayangan kami itu sibuk benar memperkenalkan visi menjadikan kami sebagai pelajar berminda insan kelas pertama.


Tentang apa itu definisi pelajar berminda insan kelas pertama - saya sendiri pun tidak tahu hendak menerangkan bagaimana rupa bentuknya.


Yang saya pasti - insan kelas pertama itu pastinya ada kaitan dengan yang muluk-muluk.


Cuma pagi ini ketika saya bangun hendak siapkan diri untuk kelas - apabila nampak sinki tandas kolej kediaman bertakung - saya tahu bahawa ini mesti kerja orang tidak berminda kelas pertama.


Apakah logiknya jika saki-baki nasi dicurah terus ke dalam sinki semasa rice cooker hendak dibasuh. Tersumbatlah jawapannya.


Kemudian - esok pagi tunggu cleaner datang untuk bersihkan. dan esok awal-awal pagi saya akan jumpa lagi.


Anda tentukan.


Ahad, Februari 13, 2011

Kepada media & kita



Satu fakta yang tidak dapat kita nafikan ialah - tahap perhubungan kaum di Malaysia masih perlu dipertingkatkan lagi. Maksud saya - ia boleh berada pada tahap yang lebih baik lagi.


Walaupun iklan-iklan siaran kerajaan sering memaparkan yang muluk-muluk tentang perpaduan kaum, namun kita sendiri sebenarnya tahu di mana tahap kita selepas 54 tahun mengecapi kemerdekaan.


Kita masih belum memahami antara satu sama lain.


Merujuk kepada entri sebelum ini, ada yang bertanya kepada saya apakah 'masalah teknikal' yang berlaku sehingga saya perlu bertukar IPG.


Di Johor Bahru, hanya ada opsyen Sains dengan minor bahasa Cina. Kesemua ahli kelas saya ialah pelajar Cina kerana kelas tersebut disasarkan untuk mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (sjkc). Maka saya perlu ditukarkan ke Batu Pahat untuk opsyen Sains bersama minor yang lebih sesuai.


dan kekallah saya di Batu Pahat hingga ke hari ini.


Walaupun hanya berada di Johor Bahru selama seminggu, namun saya tetap memperoleh satu pengalaman baru yang menarik. Saya dapat bergaul dengan ahli kelas yang kesemuanya berbangsa Cina (kebanyakannya daripada Sabah & Serawak)


Menurut ahli kelas saya itu, mereka teruja menerima saya kerana mereka tidak ramai (dan ada juga yang tidak ada langsung) kawan berbangsa Melayu.


Hanya satu perkara yang buat saya rasa pening ketika itu - kesemua ahli kelas saya suka cakap bahasa Cina sesama sendiri dan saya tidak faham sepatah pun dari apa yang mereka perkatakan.


Saya mungkin tidak akan dapat melupakan saat-saat berkunjung sambil bertukar pandangan di bilik salah seorang daripada mereka.


Kami berbual panjang pada malam itu mengenai banyak perkara. Daripada peraturan asrama, tugasan kuliah, tempat makan yang sedap, bolasepak, politik hinggalah kepada teologi.


Berbekalkan pengetahuan ringkas melalui bacaan berkenaan Kristian, saya bertanya kepada kawan baru saya ini bermacam-macam perkara tentang hal yang berkaitan.


dan begitu juga dengan dia - bertanya kepada saya tentang Islam.


Menurut dia - dengan jumlah kawan beragama Islam yang hampir tiada, dia hanya mengetahui tentang Islam melalui akhbar aliran perdana. Itupun melalui isu di muka hadapan akhbar seperti Syiah, poligami, fatwa dan sebagainya.


Oleh itu - saya memang tidak boleh menyalahkan dia apabila ini jawapan yang saya terima ketika meminta pandangan tentang orang Islam.


"Orang Islam selalunya baik-baik. Tapi kan kalau satu kawasan itu ramai sangat orang Islam, kat situ nanti orang kahwin ramai (poligami). So kalau Islam average tu lagi bagus pasal dia biasa-biasa saja."


Islam yang dia faham melalui pembacaan adalah poligami semata-mata. Barangkali - dia hanya memindahkan pembacaan ke bentuk buah pemikiran.


Memandangkan akhbar aliran perdana sebenarnya menjadi sumber rujukan non-muslim untuk mengetahui tentang Islam, saya merasakan bahawa permainan isu politik dan pembantaian parti politik yang mendukung gerakan Islam (tanpa memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan pendirian yang sebenarnya) di dada akhbar akan membuatkan pihak non-muslim yang ingin mengetahui tentang Islam ini bertambah keliru.


Dalam masa yang sama, kita sebagai muslim tidak mahu mempamerkan akhlak acuan agama sehingga mereka (non-muslim) gagal menangkap kemas pengertian Islam yang sebenarnya.


Mereka keliru dan jurang terus melebar.



Related Posts with Thumbnails