Memaparkan catatan dengan label Rawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rawak. Papar semua catatan

Khamis, Jun 13, 2013

Ada apa dengan kembara?


Saya baru beberapa hari pulang dari bandar metropolitan Thailand, Bangkok. Kembara backpacker bersama teman-teman. Oleh kerana faktor kewangan yang terhad, kami ke sana cuma untuk 4 hari 3 malam sahaja. Tidak dapat hendak berlama-lama melihat negeri orang.




Tempoh masa 4 hari itu tentu saja terlalu singkat jika hendak dibandingkan dengan tempoh saya menetap di tanah air sendiri. Pun begitu, tetap banyak ibrah yang dapat dipungut tika berkelana ke wilayah asing.


Saya pernah menjejakkan kaki ke 8 buah negara. Untuk backpackers - cuma di sekitar ASEAN -  Aceh (Indonesia), Vientiane (Laos), Nong Khai, Hatyai, Bangkok (Thailand), Singapura,  Arab Saudi - umrah , London - Kembara Penulis Muda ITBM-PENA (United Kingdom), Dubai & Qatar (sekadar di lapangan terbang untuk transit). Setiap satunya memberi pengalaman yang berbeza dan mengujakan.


Aceh

Ketika di bangku sekolah, antara novel yang pernah diuliti ialah Enrique Mengundang Jauh, finalis Hadiah Sako 2 - tentang Panglima Awang yang belayar mengelilingi dunia. Terinspirasi dari situ, saya berazam untuk kembara melihat negeri orang. Kalau tidak melalui kembara secara fizikal, sekurang-kurangnya dengan 'kembara' melalui pembacaan.


Pasport merah untuk 5 tahun yang pada awalnya dibikin sebagai prasyarat permohonan universiti UK (yang kemudiannya saya akur tidak lepas syarat minimum) terasa sia-sia jika dibazirkan kosong begitu saja. 


Kembara pertama saya ke ranah asing adalah ke negara jiran yang dihubungi oleh tambak Johor. Seorang kawan meminta saya menyambutnya di Changi Airport - usai kembaranya menjelajahi Borneo. Singapura mungkin tidak terlalu asing buat saya. Beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) rakyat Johor menyeberanginya setiap hari untuk bekerja di sana. Saya ke sana seorang diri cuma dengan menaiki bas awan daripada Terminal Larkin, Johor Bahru. Urusan imegresen & komunikasi tidak terlalu rumit. Singapura - negara yang 'mesra pelancong'. Tidak sukar untuk membaca papan penunjuk jalan . Saya membaca peta dan menaiki MRT ke bahagian timur pulau, sambil mata meliar memerhatikan persekitaran.




Begitulah berikutnya - kembara saya melihat negeri yang pernah dibadai tsunami - Aceh selama seminggu pada Disember 2011, perjalanan rohani semasa mengerjakan umrah pada Jun 2012, kembara ke Laos pada Disember 2012, kembara memerhatikan apresiasi Barat terhadap ilmu, sejarah, budaya, sastera & buku di United Kingdom (Mac 2013) dan yang terbaru ke kota Bangkok yang padat. Setiap satunya meninggalkan kenangan yang tersendiri.


Kadang-kala saya merenung dalam-dalam. Sejauh manakah kembara ini berjaya mencorak persepsi diri? Ada apa sebenarnya pada sebuah kembara?


Premis saya mudah - kita akan jumpa apa yang kita cari.


Setiap manusia - faktor yang menolaknya ke hadapan berbeza-beza. Ada yang mengembara untuk bercuti dan bersantai-santai. Mungkin juga untuk memerhatikan budaya & sejarah. Mungkin juga untuk membeli-belah dan seribu satu motif yang lain. Terpulang pada diri sendiri. Motif inilah yang kemudiannya akan melorongkan perjalanan kembara.


Sama seperti dengan persoalan - ada apa dengan sekolah? Ada yang ke sekolah cuma untuk mengumpul deretan 'A'. Sedangkan mereka boleh mengaut lebih daripada itu - seperti kemahiran sosial, keseronokan meneroka ilmu, kemahiran mengurus realiti, membina daya kepimpinan dan pelbagai lagi. Segalanya bermula dengan premis - kita akan jumpa apa yang kita cari. 


Atau mungkin saya sebenarnya terpengaruh dengan pandangan Stephen Covey? - begin with the end in minds.


Dan kemudiannya saya terkenang pula pada kata-kata Sasterawan Negara Arena Wati - "Suatu pengembaraan dianggap gagal kalau kita tidak mendapat apa-apa yang kita cari. Tetapi itu tanggapan yang salah. Tidak ada pengembaraan yang sia-sia. Cuma kau tidak faham, bahawa sesuatu yang kaujumpa dalam perjalananmu. Ada kalanya lebih baik daripada apa yang kaucari.”


Melalui pengalaman peribadi - kembara (backpack ke luar negara, terutamanya) mencorak diri dalam beberapa cara.


Pertama, dengan melihat bagaimana budaya & sejarah membentuk bangsa-bangsa di dunia ini. Keluar dari kepompong selesa Muslim Melayu di tanah air sendiri - dan cuba untuk memahami perbezaan & persamaan. Saya selalu percaya bahawa - kita akan menjadi lebih lekas matang apabila mengurus perbezaan, berbanding dengan mengurus persamaan.


Saya perlahan-lahan kagum dengan upaya muslim yang menjadi minoriti dengan sesetengah negara yang dilawati (muslim di Laos cuma 0.01%), sedang muslim di negara sendiri masih leka tidak sedar untung rugi diri.


Melalui kembara, kami berjumpa dengan lebih ramai manusia daripada latar yang berbeza-beza. Kami menemui kemiskinan yang melata dari kota hingga ke desa. Tentang jurang. Tentang marhaen. Tentang kapitalis. Tentang hati budi. Tentang tertib budaya.


Kembara menemukan kami dengan peristiwa kecil yang membawa makna besar. Kisah Pak Agus yang banyak membantu semasa di Aceh, kisah  Kak Ani yang mengusahakan Makan Cafe di Portobello Road, kisah komuniti muslim di Laos dan seribu satu cerita lain.


Kembara ke UK

Melawat ke muzium akan menemukan kita dengan jawapan bagi persoalan mengapa budaya mereka begitu dan begini. Betapa - keadilan akan tetap menjadi tunggak kegemilangan tamadun.


Dengan memahami sejarah, kita akan mengetahui apa yang berlaku pada masa silam - seterusnya lebih mudah untuk menguruskan realiti hari ini dan merencana masa depan.


Kedua, kembara memberi peluang kepada kami untuk berdikari, terutamanya untuk backpack. Kami cuma pergi dengan panduan & bacaan daripada internet. Kami merancang sendiri tentatif kembara (dengan kewangan yang terhad), merencana strategi,  menempah penginapan (hostel bajet pastinya), mencari komuniti muslim dan sebagainya. Adrenaline kami merembes pantas, tapi ia debar yang padat nikmat.


Vientiane & basikal


Berada di wilayah asing - kami meletakkan diri dalam keadaan bahaya dan serba tidak pasti.  Ia mengajar kami untuk berhati-hati dan tidak cepat menaruh percaya.


Bukan semuanya indah sepanjang kembara. Ditipu, sesat jalan, kepenatan, kuntilanak di Pulau Sabang, masalah komunikasi dan pelbagai lagi. Namun, detik-detik sebeginilah yang menjadi lelucon sesudah pulang ke tanah air. 


Ketiga, saya kira kembara memberi ruang seluas-luasnya untuk mengenali hati budi teman-teman sepanjang kembara. Kembara berkumpulan memberi peluang untuk sinergi. Maka sukar untuk disorok - tentang bagaimana reaksinya apabila berhadapan dengan tekanan masalah, tentang keprihatinannya, tentang kematangannya, tentang kecenderungannya, tentang tanggungjawabnya dan pelbagai lagi sikap yang bakal terserlah tika bermusafir bersama.


Saya juga pernah menulis tentang manfaat kembara dalam entri pada Mei 2012.


Begitulah serba sedikit pandangan saya yang masih tidak lebar langkahnya ini tentang kembara. Masih belum celik mata hati ini dan deria masih belum tajam sepenuhnya.



Malaysia Pancake (apam balik) di London

Kata pepatah - hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Pada akhirnya saya kira - tujuan kembara harus kembali bermanfaat kepada ummah & tanah air sendiri. Kita boleh terus membanding-bandingkan, tetapi pada akhirnya kita kembali sedar bahawa sekadar membandingkan tanpa berusaha merealisasikannya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kita perlu memikirkan bagaimanakah caranya untuk berbakti membangunkan kota pertiwi.


Lazimnya - dalam galak teman-teman mengetik butang kamera tika berada di tempat menarik - saya tertanya sendiri di dalam hati - sebelum ketiadaan kamera, apakah yang pelancong/pelawat lakukan tika berada di tempat sebegini?

Selasa, November 20, 2012

Bingkisan 2012


Cuti semester sudah bermula kira-kira seminggu dan masih berbaki 6 minggu. Kehadiran cuti panjang ini memberi bermakna - saya mempunyai lebih banyak masa untuk keluar daripada rutin kuliah dan melakukan aktiviti bebas.


Membaca kembali azam yang dipasakkan tika melangkah ke tahun baru, sambil menoleh 11 bulan yang telah berlalu, saya rasakan ada banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki.


Tahun 2012 - saya kira tahun yang agak padat dan bermakna, namun kelesuan masih menghantui.





Daripada aspek penulisan, sebanyak 9 karya menembusi media - meliputi 3 rencana, 4 puisi dan 2 cerpen, selain sebuah puisi memenangi Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012. Jumlah ini saya kira masih jauh dari sasarannya, gara-gara kelesuan minda dan kemalasan untuk berfikir secara kreatif & kritis (kemandulan minda?)


Sepanjang tahun 2012, saya melanggan 4 buah majalah (Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Libur) , selain membeli buku, novel dan majalah-majalah lain (Dewan Sastera, Milinea Muslim, Solusi) bergantung kepada isu yang ditampilkan. Adapun (antara) kelemahan ketara saya ialah kegagalan untuk habis membaca sebahagian buku tersebut dan melakukan pembacaan secara lebih kritikal. 


Mungkin - kegagalan saya ini ada kaitannya dengan kepadatan jadual hidup sepanjang 2 semester ini. Saya mewakili kampus ke Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia pada April 2012. Selain itu, hujung-hujung minggu selalu terisi dengan aktiviti anjuran NGO dan lain-lain. Saya mengemudi Exco Pendidikan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2013 dan beberapa program telah kami anjurkan.


Ketika cuti pertengahan semester, Alhamdulillah - saya berpeluang mengerjakan umrah dan ziarah Madinah. Satu perjalanan rohani yang punyai ceritanya yang tersendiri.


Sekiranya tahun 2011 diakhiri dengan kembara ke Banda Aceh, Indonesia - InsyaAllah, sebagai penutup tahun 2012, saya sedang merancang kembara ke salah satu ibu negara di Asia Tenggara. 


Terima kasih kepada diari yang sering menjadi ruang untuk saya mencongak strategi dan mengatur perancangan. Saya percaya - hidup perlukan matlamat agar kita dapat mengambil langkah yang padu untuk memenuhi impian peribadi, selain agar hidup terasa lebih berisi dan bukan berlalu tanpa membawa sebarang erti. 


Menjelang tahun baru, ada beberapa perkara perlu saya fikirkan bagi memaknakan tahun 2013. Lompong-lompong perlu diisi. Langkah perlu diperkemas dan momentum perlu ditingkatkan. Masih terlalu jauh diri ini jikalau hendak dibandingkan dengan penanda aras yang lain.


#Tekad2013. Anda tentukan.

Khamis, Oktober 18, 2012

Seminar Memartabatkan Karya Agung : 400 Tahun Sulalatus Salatin


Sebelum saya berkelana ke Banda Aceh, Indonesia pada Disember 2011 - salah satu perkara yang saya lakukan adalah melakukan kajian serta pembacaan ringkas mengenai sejarah tempat yang hendak dilawati.


Saya agak teruja apabila mengetahui bahawa Tanah Rencong memiliki hubungan yang akrab dengan tanah tumpah kelahiran saya - Kota Tinggi, Johor.


Bendahara Tun Sri Lanang (1565-1659) dilahirkan di Bukit Seluyut, Kota Tinggi. Tun Sri Lanang menjadi Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah III. Tindak tanduk Johor yang berbaik-baik dengan Portugis dan Belanda telah menyebabkan Johor diserang oleh Aceh (Perang Batu Sawar) pada tahun 1612. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Sri Lanang dan pembesar-pembesar serta 20,000 orang Johor dibawa ke Aceh.


Dan kebetulan - ketika saya ke Banda Aceh, "Seminar Ketokohan Tun Sri Lanang Dalam Sejarah Dua Bangsa" sedang berlangsung di Samalanga, Aceh. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Gabenor/Raja/Uleebalang Samalanga yang pertama dan menjadi Penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Aceh pada tahun 1613-1659.


Papan Iklan Seminar

                                               
Walaubagaimanapun, saya tidak berkesempatan ke seminar tersebut atas faktor kekangan bajet dan jarak. Jarak daripada Banda Aceh ke Samalanga adalah kira-kira 177 KM.


Salah satu peninggalan besar Tun Sri Lanang buat kita adalah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tun Sri Lanang merupakan penyusun dan pengarang buku tersebut. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka


Belajar daripada sejarah membuatkan atur langkah kita lebih terarah.


Pada 13 Oktober 2012, bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kota Tinggi - telah diadakan Seminar Memartabatkan Karya Agung: 400 Tahun Sulalatus Salatin. Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor & Kota Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Arkib Negara Cawangan Johor dan Persatuan Penulis Johor.


Saya hadir ke seminar ini sebagai peserta.






Seminar kali ini membariskan SN Muhammad Haji Salleh sebagai penyampai ucaptama (Genius Tun Sri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin) dan pembentangan 5 kertas kerja. 


Kertas kerja 1 - Kegemilangan Empayar Melayu Melaka dan Sulalatus Salatin dalam Peradaban Malaysia
Kertas kerja 2 - Pemikiran Global Dalam Sejarah Melayu
Kertas kerja 3 - Kepentingan Pengorbanan dalam Pembentukan Bangsa : Satu Sorotan dalam pemikiran dan penulisan Sulalatus Salatin.
Kertas kerja 4 - Bicara Buku ; Air Mata Raja - Jejak Waris Istana Melaka
Kertas kerja 5 - Waad, Wasiat dan Nasihat dalam Sulalatus Salatin: Iktibar Untuk Kepimpinan Melayu



Menghadiri seminar ini telah membuka mata saya untuk meneliti Sulalatus Salatin sebagai salah satu cara menyelidik sejarah bangsa yang telah melalui satu susur sejarah yang panjang. Yang menjadi arus Sulalatus Salatin ialah gerak nasib manusia dalam sejarah, gerak naik turun bangsa, jalur-jalur zaman yang mewarnakan manusia dan kerajaan.


Tun Sri Lanang hidup hampir sezaman dengan Sasterawan Inggeris, William Shakespeare (1564-1616). Pada tahun 2002,  UNESCO telah mengiktiraf tiga koleksi agung negara, iaitu Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat Menyurat Sultan Kedah sebagai warisan dunia dan didaftarkan dalam 'Memory of the World Register'.


Pengkisahan dalam Sulalatus Salatin bermula dengan Asal Usul Raja-Raja Melayu dan disusun secara kronologi sehingga bab Melaka Ditakhluk Portugis.


Moga dengan menyelak kembali lembaran sejarah, kita bisa menjadi manusia yang kukuh jati dirinya.

Sabtu, Oktober 13, 2012

Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat


Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)  peringkat Negeri Johor bagi tahun 2012, salah satu aktiviti yang diadakan ialah Program Semarak Sastera : Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat pada 9-10 Oktober 2012. Program ini diadakan dengan usaha sama antara UiTM Cawangan Johor, DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Daerah Segamat.


Perkenalan saya dengan Encik Ainol Hasanal, pensyarah berjiwa besar dari UiTM Segamat dalam satu bengkel penulisan terus berlanjutan hingga ke hari ini. Sekitar Julai yang lalu, Encik Ainol menghantar mesej kepada saya; meminta saya untuk membicarakan tentang untuk puisi ataupun cerpen daripada kaca mata penulis muda.


Dan saya mengambil sedikit masa untuk berfikir tentang tawaran tersebut - kerana menyedari betapa diri yang masih terlalu pucuk sifatnya. Setelah mendapatkan pandangan rakan-rakan seangkatan, saya bersetuju untuk menerima peluang dan cabaran tersebut.  






Alhamdulillah - perkongsian saya pada hari kedua telah selamat dilaksanakan. Seperti yang dikehendaki oleh Encik Ainol, saya cuba untuk membicarakan tentang puisi daripada kaca mata anak muda yang tidak lahir daripada rahim sastera; tetapi memiliki kecenderungan terhadap sastera. Saya meletakkan diri sebagai seseorang yang sedang dan masih lagi belajar; bahana masih terlalu tohor pengetahuannya dalam lautan ilmu.  






Saya menulis sebuah makalah (kalaulah layak dinamakan sebagai makalah) bertajuk 'Menguak Jendela Puisi: Satu Pengalaman Peribadi' untuk memantapkan perkongsian saya. Dalam makalah tersebut - saya menulis tentang dua persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya suatu ketika dahulu - iaitu; Mengapa saya menulis puisi? dan Bagaimana saya menulis puisi?



Untuk persoalan; Mengapa saya menulis puisi? - saya senaraikan tiga pandangan peribadi, iaitu nilai estetika, menggugah pemikiran dan penerapan nilai positif. 


Untuk persoalan; Bagaimana saya menulis puisi? - saya menceritakan dengan serba ringkas tentang proses kreatif puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi yang memenangi hadiah Saguhati, Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012 dan puisi Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim Kelapan 2011: Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Puisi)


Tentatif program


Terima kasih kepada sidang hadirin yang sudi meluangkan masa. Saya akui terdapat beberapa kelemahan pada pembentangan kali pertama ini. Namun, langkah sulung ini memberikan satu suntikan motivasi buat saya untuk sentiasa mencabar diri dan mengatur alur fikir.


Entah sampai bila kita akan menggunakan usia masih muda sebagai alasan untuk tidak berbuat itu dan ini. Harapan saya hanyalah kualiti karya yang saya hasilkan akan menanjak seiring dengan umur yang meningkat. Perjalanan ini masih panjang dan perlu saya rintis perlahan-lahan.


Dari kiri:
 Prof. Madya Ahmad Nawawi , Kak Salina Ibrahim, Saya,
Dr Arbak Othman, Ustaz Zaid Akhtar, Encik Ainol Hasanal


Nota kaki:
Terima kasih kepada Kak Salina Ibrahim untuk gambar-gambarnya.

Jumaat, Julai 20, 2012

Bukan semua orang perlu jadi pelawak



Melihat kepada tajuk-tajuk filem Malaysia yang berada dalam senarai tayangan untuk tahun 2012, filem yang bergenre komedi kelihatan agak dominan. Wilayah komedi di Malaysia kelihatan semakin melebar dengan usaha daripada syarikat penerbitan swasta yang menerbitkan pelbagai rancangan yang berkonsepkan komedi. Tahniah atas usaha untuk menonjolkan sisi-sisi kreatif anak tempatan.


Walaubagaimanapun, penonjolan komedi yang mengangkat unsur kesengalan -  sedikit meresahkan saya. Begitu juga filem-filem yang mengajak penonton untuk berfikir secara mudah ataupun simplistik, dan mengelakkan kompleksiti serta menjalani rutin tanpa soal.


Sebagai seorang lelaki yang saya rasa agak kering unsur kecindannya, saya tidaklah 'memusuhi' pelawak. Tidak sama sekali. Sebagai seorang manusia berjiwa, unsur jenaka tetap menjadi sesuatu yang menarik perhatian kita semua.


Namun - apa yang sedikit menggusarkan saya ialah 'cakap-cakap' yang mewujudkan dikotomi yang membahagikan kelompok manusia kepada dua - skema dan tidak skema.


Kita menjadi dewasa dengan cara masing-masing dan akhirnya mewujudkan persepsi tersendiri tentang cara mentafsirkan kata. 


Betapa hidup sepatutnya perlu saling melengkapi - kerana kita tidak memiliki sepenuh ruang dan masa untuk menjadi semua orang. Tetaplah berjuang pada ruang dan kapasiti masing-masing untuk membina dunia impian kita.


Betapa kita akan belajar banyak - saat mengurus realiti di lapangan.


Semoga kita dapat mengenalpasti titik mula serta titik akhir dalam kembara diri masing-masing; tidak menjadi 'titik yang tergantung' - tanpa hala tuju. 


Selamat bersinergi.

Isnin, April 02, 2012

Kita dan persepsi


Sebagai seorang manusia, cara bagaimana kita melihat sesuatu isu ataupun perkara - tidak dapat tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang berada di persekitaran.


Misalnya, masyarakat sekeliling dan norma yang dianutinya, buku yang dibaca, filem yang ditonton, orang yang dijumpai dan peristiwa yang dialami.


Saya secara peribadi - percaya bahawa manusia bersifat dinamik; iaitu mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan. Manusia mampu berubah. Soalnya - mahu ataupun tidak.


Adakah kita mahu melihat dunia pada satu sudut semata atau memilih untuk meninjau pada sudut-sudut berbeza - cuba mengerti dengan sebenar-benarnya.


Soalnya - adakah kita mahu terus menerus mendirikan tembok, ataupun keluar daripada ranah keselesaan - dan membina jambatan. Kita sendiri yang memilih.


Pada usia yang meniti angka 21 tahun, saya kira - salah satu pengalaman berharga yang membenarkan saya melihat dunia pada sisi berbeza adalah semasa bekerja selama 3 bulan di sebuah restoran makanan segera.


Saya bekerja sebagai pekerja di bahagian Front of House, Restoran Pizza Hut Kota Tinggi, ataupun lebih mudah disebut sebagai krew servis. Tugasnya; sebagai pekerja yang mengambil pesanan, mengemas meja, menyusun atur susunan sudu dan garpu, mengutip bayaran dan segala-galanya yang berkaitan dengan pelanggan.


Gaji semasa bekerja di sinilah yang saya gunakan untuk membuat lesen memandu dan membiayai kembara ke Aceh, Indonesia.


Daripada segi gaji, kadar RM3.50 untuk sejam tidaklah begitu lumayan berbanding kepenatan bekerja dan keletihan melayan kerenah pelanggan - namun, pengalaman melihat ragam masyarakat daripada kaca mata berbeza adalah sesuatu yang bernilai buat saya.


Dimarahi pelanggan, bekerja di bawah tekanan, menempuh 'politik' tempat kerja dan seribu satu kisah yang lain. Urgh. Tiba-tiba saya rindu pada saat-saat itu.


Saya cuba mencari-cari juga foto semasa memakai uniform kerja, tetapi tidak dijumpai. Hanya gambar di bawah inilah satu-satunya gambar yang ada. Foto - kad komen prestasi kerja daripada pengurus restoran yang diletakkan di sebelah mesin punch card.




Sepanjang 3 bulan itu, saya berpeluang bersemuka dan melihat sendiri realiti masyarakat Malaysia - bagaimanakah tahap hubungan antara etnik, jurang antara tua dan muda, cara masyarakat berfikir, team work dan seribu satu dapatan lain yang saya sisip kemas di dalam ruang persepsi.


Tidak dapat tidak - cara kita menghalakan persepsi dipengaruhi oleh peristiwa yang pernah dialami.


Kadang-kadang, saya berusaha untuk berada dalam kamar empati untuk memahami. Menerang, bukan menyerang. Dan saya juga cuba untuk tidak menjadi stereotaip dan menegakkan tiang jati diri sendiri. Dan impian saya; untuk melihat Malaysia yang lebih baik.


Kadang-kadang, saya terfikir juga akan kepentingan sinergi. Di mana; tindakan padu secara bersama-sama akan lebih berkesan berbanding dengan tindakan secara seorang diri. Setiap orang menghulurkan persepsi masing-masing dan menyumbangkan idea terbaik mereka. Dengan sinergi, kelemahan seseorang akan ditampung oleh kekuatan ahli kumpulannya yang lain. Soalnya - mampukah kita berlapang dada.


InsyaAllah - saya akan mula berkhidmat di sekolah pada tahun 2015, dan saya tidak sabar untuk melihat dunia pada sisi-sisi yang lain pula.


Jumaat, Februari 03, 2012

Impian

Pernah salah seorang guru kami berkata; Kamu semua masih muda. Oleh itu, jangan terlalu cepat melatah dan cepat menghukum orang lain.


Begitulah lebih kurang bicaranya.


Dalam hidup ini - tidak dapat tidak - persepsi, pandangan alam dan sistem nilai yang kita anuti dipengaruhi oleh persekitaran perjalanan hidup yang ditempuh, bahan bacaan yang dibaca, filem/drama/dokumentari yang ditonton, perbualan dengan orang lain yang kita jumpa, dan pelbagai faktor lain - yang memungkinkan kita melihat sesuatu isu/perkara itu pada sudut pandangan yang berbeza.


Sebenarnya - saya baru mula faham bahawa sesetengah perkara yang kita pelajari beberapa tahun yang lalu hanya akan mampu kita fahami pada hari ini - dek kerana ceteknya pengalaman hidup.


Dan dalam hidup ini - dalam kesibukan - kita perlu juga mencari masa untuk sekali sekala duduk merenung panjang akan hakikat kehidupan - melihat ke hadapan - di manakah agaknya diri kita berada ketika itu.


Sanggupkah kita terus menerus membiarkan roda kehambaran terus berputar - berlalu dan berlalu - pada tiap-tiap hari melewati tahun demi tahun. Atau kita memilih untuk keluar daripada ranah keselesaan dan menempuh satu jalan yang lebih mencabar.


Hidup biar dengan impian.


Khamis, Februari 02, 2012

Februari


Selamat datang Februari 2012.


Kata seorang guru saya ; jika kita berhadapan dengan masalah - duduk di atas masalah tersebut tidak akan menyelesaikannya. Malahan, kita yang akan berasa berat kerana terpaksa memikulnya ke sini sana.


Oleh itu - berusahalah menyelesaikan masalah itu sedikit demi sedikit dan jangan jadi manusia yang penakut.


Tahun 2012 sudah masuk ke bulan kedua. Januari sudah pun berlalu pergi meninggalkan diri. Dan seperti kebiasaannya, hari berlalu dengan sangat pantas.


Semester yang padat - dengan kelas pagi hingga petang pada kebanyakan hari. Di rak kayu, saya menambah koleksi buku-buku 'hutang' yang menanti masa untuk saya geledahi isinya. Dan saya perlu juga untuk mencuri-curi masa dan menangguhkan perkara-perkara kurang penting untuk mengambil masa membaca buku - merenung panjang pemikiran yang diangkat. Dan buku di pusat sumber juga perlu untuk saya belek daripada rak ke rak.


Begitu juga kerja mengkaji, merenung, mentafsir dan menulis yang selalu tertangguh. Perlu kembali berdisiplin dan diperkemaskan.


Sekarang adalah masa untuk merenung kembali kemajuan yang dicapai selepas sebulan azam 2012 digantung tinggi.


Adakah tahun ini sama seperti tahun sebelumnya? Ataupun tahun ini lebih baik lagi?


Anda tentukan.

Ahad, Januari 22, 2012

2012

Selamat datang tahun 2012 - pengemaskinian blog yang agak lewat.


Mencecah usia genap 21 tahun pada detik tahun baru masihi buat saya berfikir panjang tentang apa yang perlu saya lakukan sepanjang tahun ni.


Setelah meninggalkan angka belasan pada usia - apakah pertambahan nilai yang perlu saya pikul bersama tika meniti usia awal 20-an.


Memang - saya selalu membaca biografi-biografi orang hebat dan selalu mencapai kalkulator (kerana malas nak mencongak) untuk mengetahui pada usia bilakah mereka mula mendaki tangga demi tangga kejayaan. Itu legasi mereka, legasi saya kita bagaimana?


Hidup dalam dunia hari ini buat saya selalu pening bila fikir dalam-dalam. Tetapi pening kali ini adalah pening yang asyik.


Saya rasa - untuk tahun ini perlu untuk kita melipatkaligandakan bacaan, diskusi, menyelongkar khutubkhanah, mencabar kebiasaan, menulis, menulis dan menulis - kita selalu keliru antara real problem dan presenting problem.


Senang cerita - untuk tahun 2012, saya patut mula fikir sesuatu yang lebih serius.


(Entri ini terlalu random. Lama sangat tak menulis blog penyebab hilang rentak.)

Sabtu, November 12, 2011

Bahasa


Beberapa hari lagi, lesen memandu percubaan saya akan genap setahun. Ini bermakna - ada setahun lagi untuk saya menunggu bagi mendapatkan lesen memandu yang baru.


Adapun sebenarnya saya teringat pada peristiwa yang berlaku semasa saya dalam proses mendapatkan lesen memandu.


Individu yang ingin mendapatkan lesen memandu perlu menghadiri Kursus Pendidikan Pemandu (KPP) selama 5 jam.


Dan semasa menghadiri KPP inilah peristiwa tersebut berlaku.


Pengajar KKP kami naik angin apabila ada ramai individu yang tidak menumpukan perhatian semasa dia mengajar - malahan sehingga terang-terangan menunjukkan isyarat tidak minat dan tidur tanpa segan silu.


Kesudahannya - sesi-sesi akhir kursus tersebut dipenuhi dengan slot refleksi - di mana kami pula yang perlu berdiri di hadapan dan berkongsi kepada khalayak tentang dapatan ceramah yang telah didengar.


Kebetulan - semua yang hadir pada sesi KPP saya ialah orang-orang muda. Jadi, terpaksa jugalah kami patuh kepada arahan tuan penceramah yang lebih senior.


Dan sesi refleksi pun berjalan dengan individu seramai lebih kurang 20 orang bersilih ganti tampil ke hadapan.


Namun - apa yang menarik perhatian saya ialah ada di kalangan individu tersebut yang tampil ke hadapan dan termangu-mangu tidak tahu bercakap apa-apa - kerana faktor bahasa.


Mereka tidak menguasai atau tidak mahir menggunakan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris.


Adapun saya terbayang jugalah - bagaimana sekiranya kita berada dalam situasi 'terpaksa' untuk berhadapan bersama - tetapi tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa yang sama.


Contohnya - berlaku pelanggaran kecil di jalan raya (yang telah banyak kali saya saksikan). Dua buah kereta berlanggar. Tiada kemalangan jiwa berlaku. Kereta A kemek pada bahagian belakang kereta dan kereta B pula kemek pada bahagian hadapan.


Bagaimanakah reaksi antara kedua pemandu ini jika mereka keluar daripada kenderaan masing-masing dan ingin menyelesaikan masalah yang berlaku - tetapi tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa yang saling difahami.


Pada usia kemerdekaan melampaui separuh abad, kita masih berpolemik soal bahasa. Kita masih tidak mampu untuk bertutur pada bahasa yang sama.


Ataupun - sememangnya inikah fitrah sebuah negara yang hendak menjadi matang?

Ahad, Oktober 16, 2011

Tentang meletakkan sikap


Antara perkara penting yang sedang saya fikir-fikirkan sekarang ialah meletakkan sikap, dan bagaimana saya pada 10 tahun akan datang?


Menurut tagline filem - tanpa keberanian, mimpi tidak bermakna. Kata saya pula - tanpa kesungguhan, impian tidak bermakna.


Dan bagaimana pula sekiranya dalam perjalanan menuju ke impian tersebut, kita terjatuh, terjatuh dan terjatuh lagi - lantas hilang semangat dan passion untuk terus maju?


Dan bagaimana pula sekiranya - semasa hendak meletakkan sikap tersebut - kita diusung dengan seribu satu perbezaan pandangan?


Bagi saya - antara cabaran bagi seorang generasi muda ialah perbezaan pandangan yang timbul di antara pelbagai pihak. Dan bagaimana kita hendak menangani semua itu?


Sungguh - saya rimas dan resah dengan fanatik sesetengah pihak yang hendak memenangkan idea mereka. Lebih-lebih lagi jika ia beremosi dan tidak bersandar kepada konsep ilmu.


Ataupun kita yang sebenarnya berdarah muda dan sukar untuk berlapang dada.


Kata seorang kawan - kita bergerak atas dasar kefahaman, bukan semangat. Menjadi manusia lalang memang mudah. Tetapi saya ialah lelaki perang yang sedang merusuh dadanya.


Bukankah kita sudah bersetuju untuk tidak bersetuju?


Kata Buya Hamka, kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapaknya penjajah.

Sungguh - engkau merasa kerdil kerana merasa kurang ilmu, kerana kurang membaca. Dan kekurangan ini buat engkau mahu terus berada di daerah selamat - mendiamkan diri.


Walhal - mendiamkan diri akan buat engkau terus dalam kitaran bebalisme, ketumpulan otak. atau kita yang telah hilang keupayaan untuk berfikir hal yang besar-besar?


Betapa sampai bila engkau hendak menjadi jurudengar dan jurufikir - bergeraklah untuk menjadi jurutulis dan jurubicara.


Dunia sedang memerlukan tenaga dan buah fikir anak muda. Tapi - anak muda yang bagaimana?


Khamis, September 29, 2011

Angka II


Sewaktu mula hendak menulis entri ini, saya terasa-rasa bahawa saya pernah menulis sesuatu tentang angka dan usia dalam entri sebelumnya.


Dan setelah diperiksa, ternyata telahan saya itu benar. Saya pernah menulis entri bertajuk Angka pada Januari 2011.


"Usia hanyalah angka. Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mengisi angka-angka tersebut." Kata guru sekolah menengah saya dahulu sewaktu mengiringi saya pulang daripada Pertandingan Anugerah NILAM peringkat negeri Johor 2007.


Dan Alhamdulillah, kemenangan dalam pertandingan peringkat negeri telah memberi peluangkepada saya untuk mewakili negeri Johor dalam Pertandingan Anugerah NILAM peringkat kebangsaan pada tahun 2007, bertempat di Kuala Lumpur.


Walaupun tewas dalam saingan peringkat kebangsaan, ia tetap sebuah pengalaman yang mengujakan. Dan sehingga hari ini, saya akan berasa semacam rendah diri jika menjadi alumni peserta pertandingan NILAM yang tidak terus membaca, atau sekurang-kurangnya menjadi seorang manusia yang malas berfikir, dan tidak mampu mengeluarkan pandangannya sendiri (berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai)


Dan itulah masalah saya.


Saya kadang-kadang seakan mahu bersetuju dengan teori sendiri bahawa manusia menjadi tertutup pemikiran kerana terlalu rendah tempat mereka berdiri. Oleh itu, mereka tidak melihat sesuatu daripada pada sudut pandangan yang luas. Bird view.


Kalau mereka berdiri di tempat yang lebih tinggi, menara misalnya, mereka akan dapat lihat sesuatu itu dengan lebih menyeluruh. Makanya, saya suka sekali jika kita memulakan melihat sesuatu itu daripada gambaran besar terlebih dahulu, sebelum turun ke gambaran-gambaran yang lebih kecil.


Setiap generasi ada cabarannya. Dan menurut seorang kawan, masalah kita pada hari ini adalah kemarau intelektual dalam banjiran graduan. Tentang apa itu definisi intelektual, tidaklah saya ketahui dengan sepenuhnya akan pengertiannya. Ketidakupayaan intelektual untuk mempengaruhi masyarakat adalah musibah buat kita.


Kata kawan itu lagi, kematian dan kehilangan tokoh-tokoh ilmuwan tidak diratapi dan dirasai oleh masyarakat (dan ditulis dalam ruangan yang kecil dalam akhbar), sedangkan kematian dan kehilangan figura-figura hiburan menjadi berita sensasi yang menggemparkan masyarakat (dan berita tentangnya mengisi penuh dada akhbar dan menjadi sebut-sebutan orang ramai berminggu-minggu lamanya)


Dan ketika angka-angka usia saya bertambah, apa yang perlu saya isi ke dalamnya?


Menjadi anak muda yang kurang pengalaman hidup - berdarah panas - gelojoh - tidak hemat - tidak taat - dan sering dilabel dengan pelbagai label (negatif) oleh masyarakat (warga tua) bukanlah satu rutin yang nikmat.


Dan kadang-kadang petikan kata orang Inggeris, Life Begin at 40 - selalu menari-nari di gendang telinga.


Bagaimana agaknya menjadi seorang lelaki pada usia 40 tahun? - Yang dibayangkan - emosi yang sudah stabil, kaya pengalaman, kewangan yang mulai stabil, sudah mencapai beberapa matlamat hidup dan beberapa lagi bayangan yang muluk-muluk.


Dan ketika usia sudah mendaki tangga 20, tika merenung dalam-dalam - pernahkan engkau menggeleng-geleng kepala - Istighfar - dan kemudian tergelak-gelak dan tersenyum sendirian mengenangkan kerja-kerja merepek yang pernah dilakukan - kesan daripada terlalu rendah tempat engkau berdiri dan kegagalan untuk melihat (meramal) masa depan.


Engkau selalu berada rendah diri kerana mengganggap engkau adalah seorang lelaki pengalah (loser), yang tidak punyai apa-apa bakat dan keistimewaan.


Betapa angka itu sedang engkau cuba isi sedikit demi sedikit, agar bila dewasa kelak - engkau menjadi seseorang yang memiliki.


Dan sepanjang hari ini - saya berharap (dan berdoa) agar PRU 13 diadakan lewat-lewat sedikit. 2 Januari tahun depan, saya mahu mendaftar sebagai pengundi. (1 Januari 2012 - Hari Ahad - Pejabat Pos tutup)


Ahh - lambatnya hendak mencicip angka 21 dan terlibat menentukan hala tuju negara.


Isnin, September 12, 2011

Tiga tahun


Alhamdulillah - hari ini merupakan ulangtahun ke-3 blog ini. Blog ini mula ditulis pada 12 September 2008, jam 7.24 pagi di P-30, Kolej Yayasan UEM.


Saya semacam berkira-kira untuk menukar alamat blog kepada nama yang lebih serius. syukrisapuan.blogspot.com - misalnya. Masih berkira-kira. Mungkin juga tidak.


Melihat kembali perkembangan gaya penulisan dan pemikiran - saya harap ia ada perubahan dari tahun ke tahun. Harap-harapnya.


Saya menulis apa yang saya suka. Blog saya suka hati sayalah mahu tulis apa. Tak gitu?


Saya tidak ada sebab musabab - kenapa saya pilih nama ranjaudunia sebagai alamat blog. Suka-suka saja. Nama ini timbul semasa sedang buat kira-kira matematik dalam kelas Miss Aida.


Entri paling banyak komen (setakat 3 tahun ini) ialah Tikus Putih Untuk Bapa. Entri yang cuba menyentuh soal PPSMI. Entah bila agaknya saya dapat menyambung kembali hikayat tersebut.


Baiklah. Selamat ulangtahun ketiga.


Selasa, Ogos 09, 2011

Kereta api


Selak-selak nota semasa Borak Buku dengan Encik Khair Ngadiron (Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia - ITNM) - dan saya terjumpa dengan beberapa catatan menarik.


Dalam menerima gelombang media baru - kata Encik Khair - kita memiliki 5 pilihan - dalam analogi kedatangan kereta api.

Ada sebuah kereta api yang sampai di sebuah bandar, dan kita memiliki 5 pilihan.


1. Kita naik dan jadi penumpang dalam tren tu.


2. Kita naik dan jadi pemandu dalam tren tu.


3. Kita cuba halang tren tu daripada terus bergerak.


4. Kita tak kisah dengan tren tersebut dan biarkan ia berlalu pergi.


5. Kita tak tahu-menahu pun di bandar tu ada tren.







Kita kelompok yang mana?



Khamis, Ogos 04, 2011

Makna


Kadang-kala, kita selalu terjerat di perangkap definisi.


Kadang-kadang (bahkan selalunya), definisi ataupun makna sesuatu perkataan bergantung kepada sistem nilai yang dimiliki. Dengan kata lain, bagaimana cara mereka melihat. Persepsi.


Contohnya - antara berlebihan (over) atau bersemangat, angkuh atau optimis, skema atau kemas (smart) - dipisahkan oleh satu garisan halus yang sukar untuk kita tafsirkan.


Kita mungkin mencuba untuk menjadi seorang yang bersemangat, tetapi dilihat sebagai berlebihan (over) oleh satu pihak yang lain.


Kita kadang-kadang - sering tidak mengunggapkan definisi istilah yang tepat pada tempatnya. Istilah ini tidak terhad kepada perlakuan dan reaksi semata-mata, bahkan meliputi perkara yang besar-besar.


Syed Muhammad Naquib Al-Attas dikenali sebagai pemikir lantang yang memperjuangkan perlunya penggunaan istilah yang tepat. Ini kerana penggunaan istilah yang salah sangat berpengaruh kepada minda masyarakat. (sumber)


Oleh itu, bagaimanakah caranya untuk kita memastikan kita menggunakan istilah yang tepat pada tempatnya yang betul?



"Persoalan kita bukanlah pada kurangnya sumber-sumber kewangan, material, spiritual, dan intelektual, melainkan yang lebih penting adalah keengganan kita untuk meletakkan setiap sumber yang kita miliki pada tempatnya yang benar dan tepat" -Syed Muhammad Naquib Al-Attas (sumber)


Anda tentukan.


Isnin, Julai 25, 2011

Ruang


"Bukankah engkau yang selalu mengajar aku untuk menjadi lebih berani?"


Tidak lagi sekarang. Berikan aku ruang dan aku akan lebih menghargai.


"Maksud kau?"


Fikirlah sendiri. Jangan jadi malas.


"Engkau sudah berubah."


Apa yang kau tahu tentang aku - hah?


"errrr...."

Jadi engkau hendak mengindoktrinasikan aku?



Sabtu, Mei 21, 2011

Bas


Ahad lalu - saya ke Kuala Lumpur untuk mengikuti Dialog Orang Muda (DOM). Dan DOM minggu itu membawakan tajuk : PPSMI Kembali : Reaksi Orang Muda. Panelnya terdiri daripada Sdr. Aidil Khalid, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal dan Sdr. Wan Mohd Aimran.


Tapi bukan cerita DOM yang ingin saya perihalkan di sini. Yang saya ingin tulis adalah kisah di dalam bas semasa perjalanan  ke Kuala Lumpur.


Begini - semasa di dalam bas, saya duduk berhampiran dengan seorang lelaki tua Cina. Dan kelihatan lelaki berumur lingkungan 50-an itu begitu ramah sekali orangnya.


Oleh kerana saya mula rasa perjalanan 3 jam itu begitu menjemukan - saya pun membuka topik perbualan bersama uncle tersebut.


Dan respon daripada uncle itu begitu baik sekali. Setiap pertanyaan saya akan dijawab dengan panjang lebar. Saya angguk-angguk dan senyum setuju saja.


Selepas lebih 30 minit mengangguk dan senyum setuju, saya pun terasa ingin mengheret perbualan tersebut ke medan yang lebih serius.


Saya jarang sekali mendapat peluang untuk mendengar pendapat daripada orang yang ruang hidup & sistem pandanganya berbeza. Asyik dengar pandangan daripada orang yang sama sistem hidupnya dengan diri kita pun tidak seronok juga. Kadang-kala mahu dengar juga yang lain-lain.


Lalu saya pun bertanya kepada uncle tersebut hal-ehwal politik negara - sebelum saya tujukan soalan sebenar yang ingin saya tanyakan.


Begitu-begini-begitu-begini-begitu-begini. Begitulah jawapan uncle tersebut. Bersemangat.


Kemudian saya tanya lagi - Apa pendapat uncle tentang parti politik yang bawa gagasan Islam?


waaah. respon spontan uncle tersebut.


kenapa uncle?


Kalau parti itu perintah negara, ekonomi kita akan jatuh merudum. pelancongan kita nanti teruk!


kenapa pulak uncle?


Parti itu bila perintah negara, dia akan haramkan judi, arak & pelacuran. You tengok macam Singapura. Ekonomi dia baik pasal apa? Pasal sana ada banyak tempat-tempat entertainment. Pelancong-pelancong banyak duit datang daripada luar datang mahu cari entertainment. Kalau haramkan 3 benda tu, ekonomi kita tak boleh berkembang.


Jadi kalau nak majukan ekonomi, kita kena bangunkan 3 industri tu ke?


Ye la. Baru pelancong datang ramai.


Tapi sebenarnya bila Islam datang haramkan 3 perkara tu, isteri-isteri banyak suka. Pasal itu benda pun bukan baik sebenarnya. kehkehkehkeh. uncle itu gelak.


Mungkin gelakkan diri sendiri. Mungkin.


Rabu, Mei 11, 2011

PBS 1 (entri kedua)



Sambungan entri PBS 1.


Yang saya selalu terlintas bila nampak pelajar ramai-ramai adalah adakah mereka akan dapat pekerjaan bila sampai masanya kelak. atau mampukah kerajaan/swasta sediakan pekerjaan untuk mereka.

atau sebenarnya kekayaan itu akan kekal juga pada yang kaya. yang kaya bertambah kaya dan yang melarat semakin melarat.



Ketika menjalani PBS, yang selalu saya teringat bila hendak berkata "jangan!/tidak!/diam!" ketika budak-budak yang sedang nakal dan bising amat adalah petikan pendek ini:


Ketika kanak-kanak kecil, kita menanti dengan sabar dan berharap mereka akan berdiri dan bercakap. Kita berharap bayi akan segera mampu berjalan dan mengeluarkan perkataan pertama mereka.


Tetapi apabila kanak-kanak ini sudah besar sikit dan masuk ke sistem persekolah, kita selalu gunakan perkataan "Awak diam!", "Jangan buat macam tu!", "Awak duduk diam-diam!"


Ironi disitu.


(Maaf kalau makna tak sampai. Saya baca petikan pendek tersebut(asalnya bahasa Inggeris) suatu ketika dahulu dan tafsirkan semula dalam gaya sendiri)


Atau adakah larangan-larangan yang pelbagai itu buat mereka berasa takut menjadi aktif dalam kelas dan produk akhirnya ialah pelajar yang pasif dan tidak kritikal dalam menghadapi sesuatu perkara?





Jumaat, April 01, 2011

Kita



Baru selesai menonton sebuah video dan membaca segala komen-komen di Youtube.


Ternyata selepas merdeka selama 54 tahun, banyak perkara yang belum kita selesaikan lagi. Banyak perkara yang kita simpan dan saling mencurigai.

Di mana silap kita? Mungkin tersilap memilih?

Ada satu artikel daripada sebuah majalah yang amat memberi kesan kepada saya. Milinea Muslim tapi tak pasti keluaran yang mana satu. Ada kat rumah. Tak bawak banyak majalah ke kolej kediaman. Kalau tak silap, artikel tu ditulis oleh Prof Emiritus Khoo Kay kim.


Rumusan ayat pada artikel tersebut:
Kalau kita ingin memperkatakan tentang Satu Malaysia, dan fokus kita ialah perpaduan - apa yang perlu ditekankan dalam pendidikan kita ialah tentang sejarah. Bukannya Sains sebagai asas.


Dan hasil google saya sebentar tadi telah jumpa satu petikan akhbar yang ada utarakan pandangan Prof Emiritus Khoo Kay Lim. Klik untuk baca.


Kita perlu akui pada hari ini ramai orang tidak faham sejarah ( mungkin termasuk juga saya). Ataupun bersifat selektif dalam membaca sejarah. Pepatah Inggeris, sejarah ditulis oleh orang yang menang.


Dalam sebuah negara multi-kaum seperti Malaysia - yang pernah hidup dalam sistem pecah & perintah oleh penjajah (dan barangkali masih diteruskan hingga ke hari ini), peranan sejarah adalah amat penting.


Sejarah adalah asas untuk kita memahami setiap sesuatu yang berlaku.


Atau adakah kita telah dilencongkan pemikiran untuk memikirkan sejarah-sejarah ini oleh segala bahan hiburan, nyanyian, lawak, hantu, hal remeh-temah, gosip, harta, khurafat dan seribu macam benda yang lain - sehingga kita menjadi malas untuk membaca dan bersifat kritikal. Atau yang sebenarnya kita ini terlalu selesa?



Rabu, Mac 30, 2011

Atur



Sekali lagi saya gagal konsisten dalam mengemaskini blog - sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Sepertimana kita tidak mampu ke masa lepas, begitulah jua saya yang sudah terlepas beberapa perkara penting dalam kehidupan.

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both.
- Robert Frost, The road not taken


Maka saya sudah terlepas untuk menulis hal-hal seharian saya yang selalu singgah di deria. Mencucuk dan mengganggu.


Pernahkah kalian mengulangi rutin sehari-harian, setiap hari, tujuh hari seminggu - hingga berasa bosan.


atau pernahkan kalian berasa takut untuk bertentang wajah dengan hari besok. ketakutan ini sangat membunuh.


Betapa kita perlu selalu berfikir tentang hidup (dan kehidupan selepas hidup) - kerana mengikut tanpa fikir amat tidak cool. sama seperti ketakutan yang tidak cool.


Mari diatur kembali apa yang hancur.



Pssssssst:

Puisi Senyuman Lestari disiarkan di Tunas Cipta Mac 2011. Moga ia menjadi permulaan yang baik untuk tahun ini. InsyaAllah.



Related Posts with Thumbnails