Memaparkan catatan dengan label Kolej Yayasan UEM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kolej Yayasan UEM. Papar semua catatan

Selasa, Mei 08, 2012

Tentang harapan


(1)

Hari ini -  tempat saya belajar dikunjungi oleh pelajar yang datang untuk temuduga Kursus Perguruan Lepasan SPM (KLSPM). Pelajar-pelajar ini saya perhatikan -  ditemani oleh keluarga masing-masing.


(2)

DALAM kehidupan yang baru hendak mendaki angka awal 20-an ini, ada beberapa kata-kata daripada orang sekeliling yang sering bersipongang di dalam jiwa saya. Kata-kata ini sering sahaja berngiang-ngiang di cuping telinga dan membuatkan saya selalu bermenung panjang.


Antaranya adalah kata-kata daripada seorang guru saya semasa mengikuti satu kem motivasi sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)


“Apabila kamu sudah berkahwin dan menjadi bapa, barulah nanti kamu memahami bagaimana perasaan seorang bapa.” Tutur guru saya itu di hadapan pelajar tingkatan 5 yang sedang menghitung hari untuk menduduki SPM.


Saya yang ketika itu baru berusia 17 tahun hanya mengangguk tanpa menghadam kata-kata penuh makna tersebut. Kem motivasi anjuran pihak sekolah itu tamat setelah 3 hari dilangsungkan dan kami meneruskan rutin pembelajaran seperti biasa sehinggalah hari terakhir SPM.



Kenangan Tahun 2007


Seiring dengan pertambahan usia dan kematangan fikiran, saya mula faham bahawa sesetengah perkara yang kita pelajari pada hari ini hanya akan mampu kita fahami beberapa tahun kemudiannya. 


Saya berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di salah sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di selatan tanah air. Berada di peringkat pendidikan yang lebih tinggi selepas SPM memberi saya ruang untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat yang beraneka karenah dan pandangan alam.


Semasa di IPG, saya pernah beberapa kali diamanahkan sebagai ahli jawatankuasa sambutan semasa hari pendaftaran pelajar baru. Tanggungjawab yang perlu saya laksanakan ialah menyambut pelajar dan ibu bapa yang tiba untuk mendaftar. Saya perlu untuk memastikan tetamu yang tiba berasa seronok di tempat baru dan dapat menyelesaikan segala urusan dengan lancar. 


Saya sedar bahawa ada sejalur cahaya harapan pada wajah ibu bapa ini. Mereka datang mendaftar bersama segunung pengharapan agar anak-anak mereka bisa dilentur menjadi manusia yang bermanfaat kepada masyarakat. Di penghujung hari pendaftaran, ibu bapa lazimnya akan meninggalkan anak mereka di kolej kediaman bersama kata-kata yang berbumbukan amanat dan harapan.


Misalnya, “Belajar rajin-rajin” ataupun “Solat jangan tinggal.”  


Interaksi ini walaupun ringkas namun tetap mengandungi kata-kata penuh makna. Ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Pada detik-detik beginilah, butir perkataan yang diucapkan oleh guru sekolah saya dahulu kembali muncul di kotak fikiran.


Seorang anak akan lebih memahami bagaimana perasaan seorang bapa apabila dia sendiri menjadi bapa. Apabila si anak memasuki fasa-fasa baharu di dalam kehidupannya, misalnya, memasuki tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi – seorang bapa akan sentiasa mengharapkan anaknya akan segera dapat menyesuaikan diri dan dapat menjadi menjadi manusia yang lebih baik.


Situasi yang hampir sama juga dapat saya rasai semasa menjadi fasilitator kem-kem motivasi cuti sekolah untuk para pelajar sekolah rendah. Ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka yang ligat-ligat kepada barisan fasilitator dengan wajah penuh harapan agar anak mereka memperolehi sesuatu yang bermanfaat dan berubah menjadi manusia yang lebih baik.




Pada wajah mereka, ada sebongkah harapan yang harus kami galas.


(3)

Kadangkala, perlu untuk kita menekan butang pause di dalam diri – berhenti sejenak, menarik nafas dalam-dalam, beristighfar dan kembali merenung harapan yang disandarkan oleh keluarga. Sebagai remaja yang darah mudanya sedang membuak-buak kepanasan, bukanlah satu kewajaran buat kita untuk bertindak semberono tanpa berfikir panjang. Nikmat usia muda harus digunakan sebaiknya dengan mempersiapkan diri untuk membina keluarga dan ummah yang bervisikan akhirat agar kelangsungan generasi yang beriman dan bertakwa akan dapat diteruskan.


Harapan paling besar ibu bapa kepada anaknya ialah anak tersebut akan dapat menghulurkan ‘talian hayat’ apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini ; sepertimana yang diungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."


Tepuk dada, sukat usaha. Sejauh mana kita memenuhi harapan mereka?


Rabu, April 27, 2011

Teman



Teman
aku menulis ini
kerana terlalu rindu
pada persetiaan kita
dan harum hamparan musolla.









Saat-saat terakhir sebagai penghuni P-30-B, Kolej Yayasan UEM



Rindu KYUEM
sangat.


Rabu, Mac 30, 2011

Atur



Sekali lagi saya gagal konsisten dalam mengemaskini blog - sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Sepertimana kita tidak mampu ke masa lepas, begitulah jua saya yang sudah terlepas beberapa perkara penting dalam kehidupan.

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both.
- Robert Frost, The road not taken


Maka saya sudah terlepas untuk menulis hal-hal seharian saya yang selalu singgah di deria. Mencucuk dan mengganggu.


Pernahkah kalian mengulangi rutin sehari-harian, setiap hari, tujuh hari seminggu - hingga berasa bosan.


atau pernahkan kalian berasa takut untuk bertentang wajah dengan hari besok. ketakutan ini sangat membunuh.


Betapa kita perlu selalu berfikir tentang hidup (dan kehidupan selepas hidup) - kerana mengikut tanpa fikir amat tidak cool. sama seperti ketakutan yang tidak cool.


Mari diatur kembali apa yang hancur.



Pssssssst:

Puisi Senyuman Lestari disiarkan di Tunas Cipta Mac 2011. Moga ia menjadi permulaan yang baik untuk tahun ini. InsyaAllah.



Isnin, Jun 21, 2010

Graduasi






Secara rasminya sudah jadi alumni Kolej Yayasan UEM ( Julai 2008 - 19 Jun 2010)





















Pelajar tajaan KPM (batch 11) di KYUEM




menjadi penghuni P-30-B untuk saat-saat terakhir




DOE - April 2010



Muslim Youth Camp ( September 2009)


Housetrip




Bangsawan Diamond - Februari 2010




Diamond's HICOM ( 2009-2010)



Rabu, Jun 16, 2010

Antara warisan dan pilihan





Berada di sebuah institut pengajian tinggi selepas menikmati zaman persekolahan yang panjang telah menemukan saya dengan dengan pelbagai jenis ragam manusia - yang terdiri dari pelbagai susuk latar sosioekonomi, fahaman agama, cara berfikir, kecenderungan dan seribu satu faktor lain.


Kepelbagaian ini pada saya secara peribadinya boleh dilihat pada sudut pandangan yang pelbagai juga.



Oleh kerana sebelum ini saya bersekolah di institusi pendidikan yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka pergaulan saya bersama bangsa lain adalah agak terhad. Tidak dapat tidak - pergaulan terhad ini akan merencatkan pembangunan sosial negara majmuk seperti Malaysia kerana anak-anak muda dari pelbagai kaum inilah yang diharap akan membangunkan negara tercinta kita ini satu hari nanti.



Membiarkan pembinaan tembok-tembok perkauman akan menyebabkan kita terus menerus bersetuju dengan 'Dasar Pecah & Perintah' janaan penjajah - yang pada pendapat saya ibarat menunggu meletusnya bom jangka.



Maka - saya merasakan bahawa betapa pentingnya generasi muda terus berdialog dan saling bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana cara mereka melihat sesuatu isu.



Kepelbagaian jalur latar belakang - dan pengalaman yang dikutip usai belasan tahun kehidupan pastinya akan memberi buah pemikiran yang segar - untuk kita nikmati sama-sama perbezaan itu.



Berada dalam komuniti yang semuanya muslim - bagi saya - seperti mana setiap apa pun di dunia ini - akan memberi pro dan kontranya yang tersendiri. Kita mungkin akan berada dalam zon selesa kerana tiada apa-apa yang menjadi mangkin untuk mencabar pemikiran kita - dalam erti kata lain, kita terperangkap di dalam Islam warisan.


Sebaliknya - berada dalam sebuah komuniti yang terdiri daripada pelbagai latar kepercayaan - akan menyebabkan kita lebih reaktif dan menghargai iman yang kita miliki.


Contohnya - sepanjang dua tahun kami di sini, kawan-kawan non muslim pernah bertanya kepada kami (dalam suasana yang tenang) tentang kepercayaan umat Islam. Contohnya - Al-Quran tidak lagi releven pada abad ini kerana kitab itu telah ditulis sejak sekian lama. Juga berkaitan hukuman hudud yang pada mereka terlampau kejam - juga tentang dikriminasi wanita selain beberapa isu lain.



Pertanyaan-pertanyaan seperti ini pada pandangan peribadi kamu merupakan mangkin untuk kami lebih giat mendalami dan memahami ilmu Tuhan.



Benar - iman tidak akan dapat kita tanggapi dengan lima pancaindera utama manusia. Jikalau kita menafsir kehidupan akhirat dengan pandangan mata - kita tidak akan percaya kerana kita tidak pernah melihat kehidupan akhirat dengan menggunakan dua biji mata ini. Kita melihat kehidupan akhirat dengan pandangan iman ( yakni percaya dengan hati, membenarkan dengan lidah dan beramal dengan perbuatan)




Kita harus dan perlu mengubah identiti daripada Islam warisan kepada Islam pilihan. Islam pilihan itu pastinya akan hadir seiring dengan kefahaman mengapa kita melakukan sesuatu perkara itu - bukannya kita melakukan sesuatu perkara itu kerana orang lain membuatnya -juga bukan kerana ikut-ikutan apatah lagi paksaan.







Petikan daripada gambar di atas:


"..kamu belum benar-benar beriman sehinggalah kamu persoalkan iman yang ada pada kamu itu.. - Abu al-Hassan al-Asy'ari "

Talk: Apa maksud saya menjadi muslim? oleh Ustaz Hasrizal Jamil pada Muslim Youth Camp 2009.




Generasi muda abad-21 - pada pandangan saya- seharusnya lebih terkedepan dalam menangani soal perbezaan serta lebih terbuka (dan tidak prejudis) untuk berdialog - dengan lebih fokus pada titik persamaan.


Islam warisan harus kita ubah kepada Islam pilihan.



Anda tentukan!




Sabtu, Jun 12, 2010

A-Level tamat




Semalam ( 11 Jun 2010) -jam 1 petang telah tamatlah peperiksaan A-Level bagi pelajar KYUEM - khususnya senior. Economics Paper 3 adalah kertas terakhir yang diduduki oleh pelajar KYUEM bagi peperiksaan sesi Mei/Jun 2010.



Alhamdulillah- saya selesai menjalani peperiksaan yang berterusan selama 6 minggu itu dengan jayanya.


Result? Entahlah. Peluang kabur-kabur juga. Sudah buat yang terbaik - tawakal dan redha sajalah. Harus tunggu bulan Ogos ini untuk keputusan.


Result IELTS sudah lepas. Harap-harap A-level tidak kandas.


Hari graduasi akan disempurnakan pada 19 Jun 2010 - juga itu hari terakhir kami sebagai pelajar KYUEM. Selepas ini sudah jadi alumni - super senior.



Saya ada seminggu untuk habiskan masa-masa terakhir di kolej ini. Alahai - cepatnya dua tahun berlalu.




countdown trial & exam. cepat betul masa berlalu




Focus - keep your goal in view, don't look back



pasti akan merindui meja study ini.uhuk2





Quote dari poster ini yang selalu buat saya tidak mahu cepat mengalah


stetement of entry, juga label meja ( yang 'dihadiahkan' oleh exam department)



Isnin, April 12, 2010

Hari-hari akhir




" Never give up before you even try.

Nothing is really over until you stop trying.
Never say it's impossible before you pursue the way you think it's possible.
Never make yourself feel less worthy by comparing yourself with others.
Never allow obstacles to stop you.
COnfront and transform them to opportunities.
Believe in working hard towards your future.
Take a step at a time to reach your goals.
Always believe in yourself.
Your happiness is in your hands..for it you keep staying positive, you can make your dreams come true!"


~Quotation dari sebuah penanda buku.






Saya selalu sangka bahawa malam itu masa untuk manusia tidur.

Iyalah, memang secara fitrahnya malam memang sesuai untuk melelapkan mata. Siang tidak sesuai.


Saya mula tahu hakikat bahawa malam tidak semestinya dihabiskan dengan tidur, sewaktu berada di sekolah menengah, terutamanya semasa tahun-tahun akhir di sana.


Membuat pembetulan soalan peperiksaan chemistry sebanyak 9 kali (kerana dapat gred G9 semasa peperiksaan) merupakan pengalaman pertama saya berjaga sambil membuat kerja hingga ke subuh.


Kemudian malam juga digunakan untuk kami berlatih kawad kaki hingga jam 2 pagi (dan kemudiannya berjaya menang di peringkat kebangsaan) Esoknya kami tersengguk-sengguk beramai-ramai di kelas.


Juga malam selepas asrama light-off adalah waktu untuk saya memulakan kerja-kerja akademik, mengulangkaji apa yang patut. Iyalah masa orang lain sibuk prep, saya sibuk (ataupun buat-buat sibuk?) dengan kerja-kerja ketua pelajar.


Serius. sebenarnya saya rindu saat-saat stay up dengan kawan-kawan, terutamanya dengan Thalhah Zainal.


***



Hari ini 11 April 2010. Isnin. Tika ini jam laptop saya pukul 4.40 pagi.


Kalau menurut countdown yang saya kira, peperiksaan A-Level saya hanya tinggal genap sebulan saja lagi (30 hari). Sekarang di kolej saya musim trial. Sudah berlalu satu minggu, masih ada satu minggu yang lain.


Minggu lepas saya sudah duduki 7 papers, minggu ini mahu habiskan 6 lagi.


Serius. Saya risau sebenarnya. Sudah pasti saya mahu lakukan yang terbaik untuk peluang terakhir ini. Saya mahu ke Sheffield, ataupun Liverpool.


Oleh itu saya mesti fokus untuk hari-hari terakhir ini. Kurangkan masa tidur, fokus pada kelemahan-kelemahan. Lebihkan masa untuk mengulangkaji pelajaran, jadi lebih serius.


Yang berlalu biarkan berlalu, yang mendatang ini kita hadapilah dengan cemerlang. Jangan malu berhadapan dengan kegagalan, tetapi malulah jika tidak bangkit daripada kegagalan.


Memetik tulisan daripada sebuah buku, sekiranya anda fikir anda akan kalah, anda sebenarnya telah kalah. maka jadilah optimistik. Orang tabah memulakan perjalanan menuju kejayaan ketika orang lain sudah berputus asa.


Saya yakin saya boleh, sejarah telah membuktikan.


Semasa tingkatan 5 dahulu, ranking saya pernah jatuh teruk. Ketika itu memang musim 'sibuk', selalu tiada di sekolah & kelas. Hampir semua subjek sains gagal, dapat G9 - cikgu marah-marah.


" Ketua pelajar pun fail chemistry." Jerkah guru tersebut.


Tapi saya boleh bangkit juga bukan? Kali ini saya juga boleh bangkit. Pedulikan kata-kata orang lain. Setiap orang diuji dengan cara yang berbeza-beza. Soalnya, bukan apa yang dilihat tapi bagaimana cara kita melihat.



Untuk hari-hari terakhir ini, saya yakin saya juga boleh.



.

.


.

.

.



Pure Mathematics 1 / Statistics 1 / Pure Mathematics 3 / Mechanics 1

Economics Paper 1 / Economics Paper 2 / Economics Paper 3 / Economics Paper 4

Physics Paper 1 / Physics Paper 2 / Physics Paper 3 / Physics Paper 4 / Physics Paper 5


.

.

.

nota kaki:
ada menonton sebuah filem yang menarik baru-baru ini, 3 idiots. Mengidam untuk 'membedah filem itu, tapi tidak punya kelapangan masa. Nanti selepas peperiksaan ya?

baca berkenaan filem 3 idiots di wikipedia.



Two roads diverged in a yellow wood / And sorry I could not travel both - Robert Frost, The Road Not Taken.




Khamis, Mac 04, 2010

Hatiku milik siapa?





Menjadi moderator pada forum yang bertajuk 'Hatiku Milik Siapa?' barangkali merupakan antara aktiviti-aktiviti terakhir saya di kolej ini.

Forum tersebut merupakan antara pengisian KIWEE 2010 ( KYUEM ISLAMIC WEEK) dan telah membariskan Xifu Nasir, Ustaz Ghazali & Ustazah Husna sebagai ahli panel. Terima kasih dan syabas kepada ahli jawatankuasa program yang telah bertungkus-lumus membantu menjayakan program.


Pada kiraan saya, menjadi moderator pada malam tersebut juga merupakan antara aktiviti terakhir saya sebagai Muscom 2009/2010. Sehari selepas forum itu berlangsung, telah diadakan majlis serah tugas kepada Muscom 2010/2011.


Oh ya. apa yang saya dapat semasa menjadi jawatankuasa Muscom?


Banyak. Sangat banyak.


Muscom membantu saya membina kerangka pemikiran yang lebih mantap.


Walaupun saya bukanlah yang terbaik untuk berada di kerusi tersebut, tapi saya sudah buat yang terbaik.


dan saya sebenarnya masih mencari di mana diri saya yang sebenarnya?


terima kasih kerana selalu memberi ruang kepada saya untuk menjadi pengacara-pengacara majlis kalian. saya rasa saya memang suka bercakap ( haha.walaupun aku bersetuju bahawa aku perlu lebih banyak berfikir daripada bercakap).


Saya bukan yang terbaik. Mungkin juga bukan yang paling berilmu.


Saya hanya buat apa yang saya yakin sahaja. ( maka, beri aku ruang)


Baiklah. selamat meneruskan perjuangan untuk Muscom 2010/2011.


Kalian adalah penyambung mata-mata rantai dakwah.








Selasa, Februari 02, 2010

Bangsawan 2010








Di Kolej Yayasan UEM, 'Bangsawan' merupakan acara tahunan yang akan menemukan keempat-empat house di sini.

Diamond.

Sapphire.

Topaz.

Garnet.


Bangsawan pada tahun ini akan berlangsung pada minggu depan, 10 Februari.


Sekarang semua ahli house sedang melakukan persiapan di saat-saat terakhir. Menyiapkan prop, memantapkan lakonan, menjahit baju dan perkara-perkara yang seumpama dengannya.


Kalau tahun lepas saya berlakon, tahun ini apa pula peranan saya?

.

.

.

.

.

.

.


Tunggu dan lihat.



Khamis, November 19, 2009

Semester yang hangat





Semalam di Great Hall, End Semester Dinner telah berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada individu-individu yang berusaha mengatur persiapan majlis ini.
.
.
.
Kami kian menghampiri penghujung Semester 3 bagi senior ( ambilan Julai 2008) dan bagi junior (ambilan Julai 2009), ini merupakan End Sem Dinner pertama mereka.
.
.
.
InsyaAllah, kolej akan mula bercuti pada 21 November 2009.
.
.
.
Ok.
.
.
.
Merenung kembali pada 3 semester yang telah berlalu, perjalanan terasa begitu singkat. Pejam celik, pejam celik, semuanya telah berlalu.
.
.
.
Semester depan merupakan semester paling penting buat senior, semester akhir kami. Peperiksaan A-Level yang menentukan sama ada kami fly ataupun tidak. Mungkin juga peluang terakhir kepada sesiapa yang mahu re-sit kertas AS.
.
.
.

Tadi baru je amik kalender kolej tahun hadapan. Mari kita buat countdown.
.
.
.
November 2009 – sekarang

Disember 2009

Januari 2010

Februari 2010- IELTS

Mac 2010

April 2010-Trial (5 April)


Mei 2010- A- Level mula ( 10 Mei)



Jun 2010- A-level tamat (11 Jun)

Hari terakhir senior sebagai pelajar KYUEM (19 Jun)
.
.
.
Moga kita semua dapat menempuh cabaran ini dengan penuh iltizam dan semangat.

InsyaAllah.


Sabtu, Oktober 31, 2009

Travelog



Lama sudah aku berfikir, mahu tulis atau tidak tentang perihal ini.


Kolej senyap sepi usai tengahari. Mungkin ramai yang pulang seperti hujung minggu yang kebiasaan. Mungkin juga saki-baki pelajar yang ada keletihan setelah bermati-matian mahu habiskan larian mini-maraton pagi tadi.


Hanya bunyi putaran kipas yang masuk ke gegendang telinga insan dilema ini.



Huh, tidak pula mahu dikata terlampau mendedahkan hal peribadi. Self-centered!



Proses menaakul solusi terbaik itulah yang aku pugar. Mempertimbangkan antara dua nilai yang kontradiktif.


Selagi engkau percaya terhadap apa yang diusahakan , maka teruskan ia saja sampai ke penghujung.


Percayalah bahawa manusia bukan objek homogen yang mudah dilentur. Perbezaan pendapat itu harus diraikan. Bukan begitu?


Diri ini bukan penulis diari yang tegar. Hanya di blog ini segala perjalanan hidup didokumentasikan. Lebih baik catatan ini ditulis, sebelum segala memori luput ditelan masa.



Maka, dengan itu travelog ini dimulakan.


***



ok. Tahun ini ku kira sebagai tahun terakhir aku terlibat dalam acara larian. Selepas ini, peluang untuk berlari & menang ku kira sudah tertutup.

Zaman pelajar kolej akan berakhir pada pertengahan tahun hadapan. Kemudian, ke menara gading pula aku menjejakkan kaki. InsyaAllah.


Maka, awal-awal lagi sudah aku menanam azam untuk mencuba yang terbaik dalam mini-maraton kolej sejauh 7.5km pada pagi ini. Tidaklah mengharap sangat untuk menang, sekadar mahu lakukan yang terbaik untuk sebuah penutup zaman kolej.


Tahun lepas aku mendapat nombor 8 kategori lelaki. Mungkin aku juga terkejut dengan pencapaian ini. Aku bukan jenis yang kuat bersukan.


Pelajar kolej aku tidak ramai. Lebih kurang 250 lelaki dan 250 perempuan saja.


Berbalik pada kisah mini maraton pagi tadi. Aku bermula dengan sedikit insiden, kaki terperosok ke dalam lubang semasa hendak mulakan larian. aduh.


Namun rasa sakit tersebut hanya terasa semasa sudah habis larian.


Sepanjang larian, aku berlari seperti kebiasaan saja. Mungkin aku susah sedikit mahu memecut, sudah lali dengan stail larian begini. Bertahan & bukan memecut. Bertahan & hanya berhenti di garisan penamat.


Jiwa aku mulai lemah apabila sorang demi seorang pelari memotong aku. Aku cuba kejar balik, tetapi aku sering gagal.


Jiwa seorang juara sudah tiada!


Aku hanya mampu mengekor dengan ekor mata tatkala seorang demi seorang memintas. Hendah kejar tapi badan sudah rasa sangat penat. mental-block!


Sudahnya aku akhiri larian itu dengan angka yang biasa-biasa saja. Dalam lingkungan giliran 30-an pada firasat aku. Aku sudah lepaskan banyak orang memintas tatkala aku rasa tiada harapan untuk mengejar mereka yang dihadapan.


Aduhai syukri, bangkitlah!


Aku rasa jiwa aku semakin lemah. Bukti? Pagi tadi bangun pagi pun lambat. Lingkungan 6.30 pagi baru bangun. Sebenarnya aku sudah sedar sekitar jam 5 pagi, tetapi tetap mahu teruskan tidur berbanding menunggu peluang untuk berjemaah solat subuh di surau. Itu pun sudah dikira awal berbanding hari-hari yang biasa.


Bukankah ini petanda jiwamu lemah?


Baiklah, ambil ini sebagai pengajaran ya? Rancang sesuatu untuk menguatkan jiwa yang lemah. Manusia itu dilahirkan dengan keupayaan untuk terbang, mengapa memilih untuk merangkak ?



Pagi ini Topaz muncul juara lagi, tapi aku tetap bangga dengan Diamond.


Tahniah kepada Topaz dan para pemenang. Anda adalah juara pada hari ini, maka selayaknya aku mengakui bahawa kalian memang hebat.


Pencapaian pemenang top 10 tahun lepas ku kira semuanya merosot. Masing-masing tidak mempertahankan takhta. Junior memang ada potensi yang lebih hebat daripada kami. Tidak mengapalah, tahun lepas kan aku dah menang medal. tahun ini rezeki orang lain pula.


Tahun lepas Diamond juara mini maraton ini ya.



Inilah travelog ringkas untuk cerita tahun ini. selepas ini perlu fokus kembali pada peperiksaan. Kemudian, aku harap permohonan untuk ke Minggu Penulis Remaja anjuran DBP diterima. Itu sahaja azam dalam masa terdekat ini.



***



Hidup aku sekitar tahun 2003 hingga 2007 banyak mengambil latar sekolah menengahku yakni Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (kependekan: SAKTI). Pelbagai pengalaman pahit, manis, lucu, seram, gerun, penat, seronok dan yang sebagainya, di situla aku teguk segala gelas jiwa.


Catatan yang ingin ditulis ini adalah berkaitan dengan aktiviti-aktiviti sukan aku sepanjang di sana.


Lebih spesifik lagi, kegiatan sukan olahraga dan merentas desa.


Bagi aku, aktiviti sukan yang melibatkan larian seperti merentas desa dan lari jarak jauh adalah sebuah sukan yang individualistik. Sama seperti menulis. Berlari jarak jauh memberikan kepuasan ( dan kepenatan). kita tidak memerlukan orang lain secara langsung untuk membantu kita berlari. Kita boleh berlatih berlari sendiri-sendiri, bukan seperti bola sepak yang memerlukan semangat setiakawan & kesefahaman yang tinggi.


Menulis juga begitu. Kita boleh menulis apa saja yang kita mahu. tanpa pertolongan langsung daripada orang ramai. Individualistik bukan? Cuma jika mahu menulis ke tahap yang lebih tinggi, bimbingan orang berpengalaman tetap diperlukan.


Walaubagaimanapun, ini hanya pandangan peribadi aku yang bisa dibahaskan.


Baiklah, berbalik pada topik travelog.


Bumi SAKTI memberi jasa yang besar kepada aku dalam sukan larian jarak jauh ini. Ketika di tingkatan 1 (tahun 2003), aku menyertai buat pertama kali dalam aktiviti merentas desa ( di sekolah menengah aku dikenali sebagai Larian SAKTI).


Jarak trek bagi lelaki adalah 7km dan perempuan 5km.


Dan aku menang buat kali pertama. Tempat ke-5 kategori L13.


Tahun berikutnya, aku menyertai Larian SAKTI secara rutin. Tetapi tahun itu aku kalah. Mental block!


2005, aku berada di tingakatan 3. Tahun itu kembali bangkit. Aku berlari dan terus berlari. Hasilnya, tempat ke-4 kategori L15. Syukur kepada Tuhan!.



Apabila aku berada di tingkatan 4 ( 2006), aku perlu bertanding di kategori yang lebih tinggi yakni L18.

Aku jadi takut.

Bimbang pada saingan.

Aku ketika itu sebenarnya baru 15 tahun. ( aku lulus PTS tahun 2000, so muda setahun dari rakan-rakan yang lain)


Tapi sebenarnya mainan perasaan itu hanya bisik hati yang melemahkan jiwa. aku sedar dan aku berlari untuk mendapatkan yang terbaik.


Dan pada tahun itu aku mencapai pencapaian yang sebelum ini tidak pernah disangka.


tempat ke-2 kategori L18!


Syukur sekali lagi kepada Tuhan!


Tahun terakhir di SAKTI (2007), aku mencuba nasib sekali lagi.


Cuma untuk yang ini ada sedikit keistimewaan.



Pertandingan merentas desa peringkat daerah Pengerang diadakan lebih awal berbanding kejonanan peringkat sekolah.

maka, juara pada edisi Larian SAKTI pada tahun yang sebelumnya dipilih untuk mewakili sekolah.


8 orang bagi setiap kategori L15, P15, L18 & P18.


Sekolah aku jarang menghantar kontinjen untuk kejohanan ini. tidak tahu apa sebabnya. tahun ini dihantar pun kerana kami tuan rumah.


Aku turut berada dalam kontinjen itu.


dan aku berlari dan berlari.


Daerah Pengerang ini hanya kawasan yang kecil, serpihan daripada daerah Kota Tinggi. Pengerang bukan tergolong dalam 8 daerah di Johor. Maka, persaingan tidak begitu sengit.


Cuma aku tetap gerun melihat saingan lawan yang kelihatan memiliki susuk tubuh atlet yang perkasa.


Tetapi kami tetap berlari.


Merentas kawasan bukit.


Berlari dan terus berlari.


Dan pada tahun itu aku buat pertama kalinya dalam hidup memperoleh pingat dalam kejohanan sukan peringkat daerah.


nombor 10 kategori L18.


Pingat disediakan untuk 15 peserta setiap kategori.


Kontinjen SAKTI menang besar pada tahun itu. Selain merangkul juara keseluruhan, 30 daripada 32 orang pelari berjaya membawa pulang pingat.


Cuma aku jadi sedikit kecewa kerana gagal menempatkan diri untuk mewakili daerah ke peringat negeri.

8 yang terpantas bagi setiap kategori akan ke peringkat yang lebih tinggi. antara aku dan 2 orang di hadapanku tidaklah sejauh manapun.


Namun, aku tetap menerima kenyataan itu dengan hati yang terbuka.


syabas kepada para pemenang!


Selepas pertandingan merentas desa peringkat daerah dilakukan, barulah kejohanan peringkat sekolah diadakan. Tika itu, pelari-pelari terbaik sekolah sedang berlari untuk kejohanan peringkat negeri.

Aku harap aku boleh gunakan kesempatan ini dengan sebaiknya.

Tetapi rupa-rupanya tidak begitu.


Aku cedera sewaktu sedang mendahului larian, dan hakikat yang perlu ditelan adalah ketewasan untuk Larian SAKTI pada tahun tersebut.



***


Kejohanan Olahraga SAKTI adalah acara sukan tahun sekolah selain daripada Larian SAKTI. Acara yang dipertandingkan adalah acara tipikal bagi kejohanan setiap sekolah. Acara balapan, lompat tinggi & lompat jauh.


Aku mula menyertai kejohanan pada tahun 2003. Acara 200m. Namun sekadar mampu berpuas hati di tempat ke-4 ataupun 5.


Tahun 2004 aku datang ke stadium hanya sebagai penonton.


Tahun 2005, aku bertanding untuk beberapa acara. 800m, 1500m dan 4x400m.


Aku berjaya menang pingat gangsa untuk acara 800m dan tewas dalam acara 1500m.

Kuartet kami menang pingat perak untuk 4x400m, namun aku rasa mereka berhak untuk mendapatkan emas kerana aku telah memperlahankan rentak larian bahana sudah penat berlari untuk acara-acara yang lain.


Tahun 2006, aku bertanding untuk acara 800m & 1500m.

Nasib aku sedikit baik, pingat perak untuk acara 800m namun tewas dalam acara 1500m.


Berbekalkan tiket kemenangan di peringkat sekolah, aku ke kejohanan olahraga peringat daerah. Aku bertanding mewakili sekolah untuk acara 800m dan 5000m ( atas tiket menang tempat ke-2 Larian SAKTI 2006)


Untuk kedua-dua acara ini, aku pulang dengan tangan kosong.


Aku sempat menghabiskan larian untuk acara 5000m dan melangkah ke final untuk 800m.



Tahun 2007, untuk tahun terakhir di SAKTI, aku bertanding untuk acara 800m.


Pingat perak sekali lagi.


Yang aku ingat ketika ini, pemenang pingat emas yang mendahului larian ini berjaya memecahkan rekod sekolah.


aku yang tertinggal hanya beberapa saat di belakang dia berasa begitu terkesima kerana terlepas peluang untuk meletakkan diri dalam senarai pemegang rekod peringkat sekolah.


takpelah. dah memang rezeki dia. aku berlapang dada dan bersyukur atas kurniaan.


Pada tahun itu, aku disenaraikan sekali lagi untuk mewakili sekolah dalam kejohanan peringkat daerah namun terpaksa ditolak kerana aku perlu mewakili negeri Johor dalam satu program lain.


***


Mengapa aku menulis semua ini?


Engkau pernah melalui sejarah kehidupan yang pelbagai. Jatuh, bangun, jatuh dan bangun kembali.


Maka, jikalau ditakdirkan engkau akan jatuh lagi kelak, imbaulah masa lalumu. Jiwa kental itu pernah kau miliki.


Dan engkau harus rintis perjalanan ini hingga ke penghujung. Penghujung yang abadi.


Kata pujangga, life is a jouney not a destination.


Bukankah terlalu banyak peristiwa yang bersifat untold story telah kau lalui?


Aku ingin kau belajar daripada semua sejarah ini.


Manusia bukan faktor yang homogen. Ia makhluk berjiwa.


Dan ranjau ini yang akan mematangkan jiwa.





***


Uh, travelog ini sudah menjadi begitu panjang.
berbelit.
caca marba.


cuma sekarang aku rasa aku akan bersara secara tidak rasmi dalam acara larian ini. Iyelah, selain daripada jogging petang-petang, mana ada lagi kejohanan untuk aku sertai.


haha. kau sudah besarlah. sedar diri sikit.


takpelah.

Mungkin selepas ini aku mahu latih anak-anak dan cucu-cicit aku untuk terus berlari dan berlari.

Biar kental jiwa mereka. kalah menang belakang kira.


Man, kamu sudah sedia?


Khamis, Oktober 29, 2009

Terhempas di Lembah Beringin.

Lewat maghrib, sekitar jam 8 malam, aku duduk di luar kawasan surau. Menghirup angin malam sementara menanti masuknya waktu Isyak.


Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi.


"bib...bib..bib.."


Petanda ada mesej yang tiba.


Punat yang berkaitan ditekan, lantas aksara terpapar.


" Royal Selangor Flying Club plane crasheh near Lembah Beringin Golf Club in Tg Malim, pilot believed seriously injured, no passengers on board" - The Star News Alert




Aik. ni dekat betul dengan kolej aku. Lembah Beringin ni tak lama besar mana pun, banyak rumah terbengkalai je. Apakah yang terjadi?


Aku mendongak ke langit tatkala bunyi kipas helikopter kedengaran sayup-sayup. Ada sebuah helikopter terbang rendah, sedang meninjau-ninjau di sekitar kawasan belukar di depan kolej.



Beberapa minit kemudian, bunyi siren mengisi sunyi malam. Beberapa buah kereta polis dan ambulan kelihatan menuju ke kawasan belukar di depan kolej.


Erk, sebenarnya bukan belukar, tapi lot-lot rumah terbengkalai.


Sekarang ni tak pasti lagi apa yang berlaku. Cuma tadi ada bukak NST online & Malaysian Insider, berita ini ada dilaporkan.


Katanya berlaku sekitar jam 6.30 petang tadi. Wallahualam.


Aku harap semuanya selamat.


Laporan dari Bharian






Lembah Beringin yang permai. Sumber dari google

Rabu, Oktober 28, 2009

The Duke of Edinburgh's Award (Doe)

.
.
.

"The Duke of Edinburgh's Award, is a programme of activities that can be undertaken by anyone aged 14 to 25, regardless of personal ability. DofE programmes can on average take anywhere between 1 year and 3/4 years to complete, depending upon the route taken, and around 275,000 participants are taking part in the Award Programme at any time in the United Kingdom. It began in the United Kingdom and is popular in the Commonwealth. The Award is also run in other countries by the International Award Association."

Dipetik daripada wikipedia.

.
.
.

syawal bersama kompas dan petanya




Untuk entri ini, mahu gunakan gaya bahasa yang biasa-biasa saja.



Hujung minggu yang lalu, aku dan rakan-rakan telah ke ekspedisi trial doe di Kerling. Ekspedisi ini merupakan salah satu daripada komponen-komponen doe, selain daripada skill, khidmat komuniti dan kegiatan fizikal.


Untuk ekspedisi siri ini, seramai 17 orang terlibat, berjaya membentuk 4 kumpulan. Kami semua di bawah pengawasan Mr Jailani.




ok. Ini ahli kumpulan aku. Mula-mula cukup 6 orang. tapi sorang dah drop & sorang lagi migrain, maka tinggal kami berempat saja.

Dua orang yang di kanan tu adalah, Atiqah-yang prihatin dan Herda-yang gigih. Mereka berdua orang Seremban. Dua-dua scholar BNM.

Then, yang baju kuning tu Syawal-yang perkasa. Scholar Yayasan Terengganu, medic.


Yang baju maroon tu akulah. Aku tak boleh nak judge diri sendiri, maka takde label untuk diri aku sendiri. Tapi ahli kumpulan aku kata aku sarkastik. ok. next expedition aku cuba jadi pendiam. haha.





Hari Sabtu lepas kelas, jam 2.10, kami bergerak menaiki bas ke drop point yakni sebuah kawasan ladang. Then, kami perlu berjalan kaki ke Kolam Air Panas Kerling berpandukan arahan yang diberi pada kertas instruction. Basically, yang ni tak susah sangat pasal tenaga pun masih banyak lagi. Then, jalan kat atas tar, takde nak kena baca bearing, dan masih bersemangat. Cuma panas sikit la pasal matahari agak terik.

Kami sampai kat kawasan perkhemahan dalam jam 4.30 petang. Hujan masa nak sampai tu. Mujur ahli kumpulan aku yang perempuan kesemuanya prihatin-prihatin belaka, diorang dah beli baju hujan. Terima kasih.



Kawasan perkhemahan tu adalah sebuah kawasan rekreasi. Ada kolam air panas, pastu ada sungai mengalir. Masa kami sampai tu ada beberapa keluarga sedang mandi-manda di kawasan tersebut. Aku cam nak dapat idea untuk menulis je masa tu, tapi tak sempat la plak nak catat. Hilang gitu je idea tersebut. ceh.


Tunggu teduh dulu, kemudian baru kami mendirikan khemah.Dah siap urusan khemah dan solat, semua orang pun buat aktiviti masing-masing. Majoriti yang perempuan siap sedia masak untuk makan malam. Yang laki plak main air kat sungai. haha.

Setiap kumpulan dibekalkan dengan dua bunsen burner untuk memasak. Kumpulan aku telah memasak makanan yang sangat istimewa dan lazat. Apakah ia? yang tu kena tanya tukang masak kumpulan kami.


Bakal-bakal doktor sedang menunjukkan skill merawat pesakit.




Menjelang jam 8 malam, langit bertukar menjadi mendung. Hujan lebat mencurah-curah. Semua lari masuk ke dalam khemah.

Selepas setengah jam, hujan berhenti.

Aku keluar dari khemah. Melepak kat luar khemah dengan dak-dak laki yang lain.

Kemudian kami mengumpulkan kayu-kayu api yang tak berapa basah, cuba menyalakan unggun api. Berhasil! Api berjaya dinyalakan. Yeah~

Malam itu terasa begitu panjang. takde apa yang boleh dibuat. kami melepak di sekitar unggun api. borak kosong saja. Yang muslimah plak duk dalam khemah.


Unggun api padam dalam jam 12 malam, apabila tiada lagi kayu sebagai bahan bakar. Orang ramai mula masuk tidur. Aku tak dapat tidur lena malam itu. penangan kopi radix.haha.


Aku tidur pastu terjaga. tidur & terjaga setiap setengah jam. Ntah hape ntah. slalu kat bilik nyenyak je. Hujan turun lagi sekitar jam 3 pagi, aku sempat bangun & keluar dari khemah untuk menyelamatkan kanvas dan kasut yang terdedah.




ok. Pagi ahad kami bangun jam 6.00 pagi. pukul 8 Mr J & Mr Hanson dah suruh siap-siap untuk gerak. Maka perlu bangun awal untuk mandi dan masak-masak.


Ekpedisi pagi tu lebih mencabar berbanding yang sebelumnya. Kami perlu meredah belukar-belukar, ladang kelapa sawit, estet, dan jalan yang tak bertar sambil membaca bearing. Tapi Mr Hanson ada guide jalan sikit. so, ok la jugak pasal ni masih trial, belum yang betul-betul punya.


Ekspedisi pagi itu ambil masa selama lebih kurang 5 jam berjalan kaki.


Dalam jam 1.30 petang, kami sampai ke checkpoint yang seterusnya, yakni tempat drop point semalam. kami lunch di situ. Ada satu lagi seksyen yang kena habiskan yakni perlu jalan balik ke kolej sejauh 7 KM.


kumpulan aku kata gambar ni poyo, tapi x kisahlah. aku nak letak gak.haha



Untuk seksyen yang terakhir ni pun mencabar jugak. Jalan kaki pulang kolej sejauh 7KM, matahari terik atas kepala. Memikul beg yang berat dengan saki baki tenaga yang ada.


Alhamdulillah, semua selamat sampai ke kolej. Kumpulan aku sampai dalam pukul 3.40 petang. Lebih kurang 1jam 30 minit dari drop point tu. teori yang kami gunakan adalah 15 minit untuk setiap 1 km.





ni masa mula-mula pergi, on da way ke drop point



Secara kesimpulan, aktiviti ni memang agak mencabar fizikal dan mental. Memang penat. Ada beberapa orang yang injured, contohnya melecet dan sakit kaki. but, aktiviti ni memang best bagi mereka yang sukakan cabaran. Bila lagi nak dapat peluang berjalan 25Km & berkhemah dengan kawan-kawan?



periksa khemah sebelum pergi bertolak


Rabu, Oktober 21, 2009

Dilema mel elektronik



Kelas matematik hari ini dibatalkan, maka saya bercadang untuk ke Resource Centre sepanjang waktu blok tersebut untuk melakukan sedikit tugasan.


Usai solat zohor, saya duduk rehat sebentar di bahagian belakang surau. Bercadang mahu melelapkan mata sebentar.


Sedang saya membiarkan fikiran menerawang entah ke mana, tiba-tiba saya teringat sesuatu.



Tentang emel saya.



Saya memikirkan mengapa email yang saya hantar sejak bulan september tahun ini tidak mendapat balasan daripada si penerima.


Maka, saya pun membuat kaitan mudah bahawa ia disebabkan mel elektronik saya mengalami masalah.



gambar dari google

Aduh.


Saya congak-congak sendiri. Ada kira-kira 20 email kesemuanya yang telah saya hantar sepanjang september-november.


Salah satu daripadanya adalah ke editor halaman kreatif, Berita Harian.


Selain itu, ada juga email berkaitan draf berkaitan projek yang saya rancang bersama rakan-rakan sekolah.


Patutlah tidak dapat balasan. huh!. pantas saya menyalahkan yahoo dalam hal ini.


Hati saya jadi tidak sedap. Saya jadi sedikit gopoh untuk membuktikan kesilapan yahoo. maka saya berhajat untuk pulang ke bilik sebentar. mahu periksa dengan segera.


saya buka akaun email kotapertiwi@yahoo.com


Kemudian, saya hantar satu email kosong ke email lama saya yang sudah tidak aktif yakni syuk_inventor@yahoo.com


saya logout dan login ke akaun yang email yang satu lagi. mahu membuktikan hipotesis saya benar.



Setibanya di akaun email lama saya. huh. ada selonggok email di sana. Kebanyakkannya SPAM.



Dan saya mencari email kosong saya tadi.



Oh. lega!


Rupa-rupanya akaun email kotapertiwi@yahoo.com masih berfungsi. ada email saya di sana.


Bagi menyedapkan lagi hati, maka saya meminta pertolongan daripada dua orang rakan yang sedang online ym untuk pastikan email saya betul-betul berfungsi.


"Apa email ko? aku nak mintak tolong sikit. tolong tengokkan email aku sampai ke tak". saya menaip di ruangan mesej.


Alamat email diberi dan saya menghantar email ringkas kepada mereka.

"kalau dapat sila reply"


Dan buat beberapa minit hanya bunyi kipas yang mengisi ruang sela bilik ini. saya kaget sendiri menantikan respon mereka.


saya refresh2 internet dan selepas beberapa saat.



Inbox(2)


Fuh. Alhamdulillah. Mel elektronik saya masih berfungsi!


nota kaki:
pengajaran yang saya dapat daripada peristiwa ni adalah saya harus sedaya-upaya membalas email-email orang lain (email yang berkaitan saja) bagi memastikan mereka tidak tertanya-tanya seperti yang saya alami hari ini!


Jumaat, Oktober 16, 2009

Titipan malam


Kata Tiara Jacquelina dalam filem Puteri Gunung Ledang:


Setiap orang punya impian, impian itu yang bisa meneruskan kehidupan ini.



Hari ini dateline hantar UCAS bagi pelajar non-medic & non-oxbridge. Saya baru saja hantar UCAS tersebut petang tadi.


Saya sendiri punyai impian.


Impian saya adalah untuk mendapatkan tawaran daripada universiti-universiti yang saya pohon itu.



Pada September/Oktober tahun depan, saya mahu sambung belajar di peringkat yang lebih tinggi.


Tahun depan, saya mahu mulakan lembaran baru dalam kehidupan di bumi asing.


Saya ingin menggenggam Ijazah Sarjana Muda Fizik, menjelang tahun 2013.


Universiti yang saya pohon adalah:

1. Lancaster University

2. University of Leeds

3. University of Liverpoool

4. University of Sheffield

5. University of York



Saya mahu bangkit daripada tidur setiap hari dengan keinginan yang membuak-buak untuk menunaikan harapan dan memenuhi impian, bukannya dengan sebuah keterpaksaan.


Yakin.




Ahad, Oktober 11, 2009

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KYUEM anjuran Ajk Musolla As-Saad.


























Related Posts with Thumbnails