Selasa, November 05, 2013
Catatan tentang Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan 2013
Sabtu, Oktober 13, 2012
Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat
![]() |
| Tentatif program |
| Dari kiri: Prof. Madya Ahmad Nawawi , Kak Salina Ibrahim, Saya, Dr Arbak Othman, Ustaz Zaid Akhtar, Encik Ainol Hasanal |
Nota kaki:
Terima kasih kepada Kak Salina Ibrahim untuk gambar-gambarnya.
Ahad, Julai 01, 2012
Puisi: Mengarak Janji Di Kota Peribadi
Untuk Sayembara Menulis Cerpen Dan Puisi Negeri Johor 2012 , saya telah menghantar satu puisi sebagai penyertaan. Cuba-cuba untuk menulis dengan kemampuan yang ada. Tarikh tutupnya ialah pada 31 Mac 2012.
Dan Alhamdulillah - semalam ialah Hari Penyampaian Hadiah bagi sayembara tersebut di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru.
Puisi
Mengarak Janji Di Kota Peribadi
Segerombolan rusuh yang terbebas
angkara lekanya gembala hati
rakus meragut hamparan tenang
langsung menghambat kita
yang sering memungkiri.
Pada tiap atur gerak
telah pudarkah segala tekad -
untuk membina empayar megah
di balik runtuhan sejarah duka,
hingga mudah kita menyimpang
menjauhi denai janji.
“Kota masyhur yang diimpi
adalah tempelan angan semata,
andai pedati sarat bongkah alasan
yang kau arak ke seluruh mandala.”
Sungguh, tiada kelesah yang paling pedih
selain tidak percayakan diri.
Bersama masa yang bersisa
kita kerah segala kudrat
menyusun bata demi bata
menjadi binaan teguh
yang membentuk kota,
yang mengotakan kata.
Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor.
Mac 2012
(Saguhati kategori umum, Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor 2012)
Rabu, Mei 02, 2012
Menyelongkar Malam
Puisi
Menyelongkar Malam
Kususuri lebuh maya
nan sarat suara sukma.
Sekumpulan manusia,
menggaul sebejana kata
dengan cacian ampuh
gelodak emosi amarah
atur fakta bercempera
untuk hidangan sekalian pembaca.
(Aku tidak semakin bestari,
malah kian keliru kerananya.)
Kugapai naskhah ilmu
tulisan cerdik pandai bangsa,
kunikmati segar wacana
sebagai bekal kelam malam.
Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor
Tunas Cipta April 2012
Rabu, April 25, 2012
Acheh; Keindahan Yang Tersembunyi.
Rabu, April 18, 2012
Seorang Merdeka
Isnin, Ogos 22, 2011
Azizi Hj Abdullah (1942-2011)

Selasa, Ogos 09, 2011
Kereta api

Ahad, Julai 31, 2011
Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) Kelapan 2011



Rabu, April 27, 2011
Senyuman lestari
Jumaat, Januari 28, 2011
Pusat Rujukan Persuratan Melayu


Isnin, Mei 03, 2010
Istimewa 3 Mei
Apakah yang istimewa pada 3 Mei 2009?
Hari ini 3 Mei 2010, sudah genap setahun masa berlalu.
Hari ini genap sudah setahun puisi pertama saya disiarkan di media. Bermakna sudah setahun saya menulis secara (separa) serius.
Kalau kau fahami bahasa rindu telah disiarkan di Mingguan Malaysia pada 3 Mei 2009. Puisi ini saya tulis semasa saat-saat 'tertekan' menghadapi peperiksaan AS Mei/Jun 2009.
Kalau hendak dibandingkan dengan rakan-rakan penulis , sudah pasti saya tidak seaktif rakan-rakan Minggu Penulis Remaja 2009 (MPR 2009) yang lain. Cemburu juga lihat karya mereka disiarkan saban bulan.
Saya masih mengumpul momentum.
Saya ada satu azam. Saya sangat suka baca ruangan reviu tulisan S.M. Zakir dalam majalah Milinea Muslim. Saya harap saya mampu untuk menulis sebegitu rupa juga satu hari nanti. Sungguh analitikal dan kritis.
Contohnya dalam majalah Milinea Muslim Mac 2010, beliau mengulas pemenang Filem Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-67, Avatar.
" Avatar membawa orientalisme kolot dunia Barat dengan kepercayaan 'white mens burdens' dan 'self and others'nya. Segala masalah dan penyelesaian di dunia ini bahkan sehingga ke planet Pandora yang sejauh 4.3 tahun cahaya dari bumi itu terletak di bahu bangsa kulit putih. Ia mengulangi propaganda superioriti kulit putih seperti dalam cerita Tarzan, King Kong, Superman, Batman dan sebagainya. "
Saya harap satu hari nanti reviu saya hasil bedahan buku dan filem juga akan mendapat tempat di media. InsyaAllah.
Oh! Peperiksaan betul-betul just around the corner!
Nah, saya turunkan kembali puisi yang pernah saya tulis pada saat-saat 'ketakutan' ini, setahun yang lepas.
Kalau kau fahami bahasa rindu
pasti pengertian ini milikmu,
kerana aku insan perindu
yang menagih damai di lubuk hatiku
kala gelora membadai kalbu.
Telah ku lakar segala rahsia
di kanvas jiwa terlukis rasa
pabila hati mula membentak
tingkah berubah menongkah fitrah
pijat pesimis merasuk nurani
menyedut segala semangat duniawi
senyuman hambar yang ku lontar
petanda damai semakin pudar.
Aku rindu jiwa yang kental
diri yang teguh walau dicabar,
tidak mengalah di waktu sukar
biar bernafas di tengah lumpur
tetap tegar menjadi penyabar.
Aku masih menanti damai
mengharap rindu akan menghilang,
walau ku tahu hakikat kehidupan
rindu itu satu kurniaan
buat manusia yang hilang ketenangan
apabila terputus rahmat Tuhan.
Syukri Sapuan
Senja
Lembah Beringin, Selangor.
April 2009.
Jumaat, Mac 26, 2010
Sembang buku

Buat yang masih ada kelapangan masa, silalah hadir ke PBAKL di PWTC. Ia akan diadakan sehingga hujung minggu ini ( 28 Mac 2010, Ahad)
Isnin ( 29 Mac 2010), sudah mula kelas balik. Seminggu selepas itu, saya akan menduduki peperiksaan percubaan. fuhh~
Semalam saya ke bandar Johor Bahru-hendak buat pasport. Kepada sesiapa yang ingin tahu mengenai cara-cara berurusan dengan pihak imigresen untuk urusan pasport, seorang sahabat saya ada menulis prosedur tersebut di laman blognya-how to make passport for dummies.
Terlanjur sudah ke bandar Johor Bahru, saya singgah di City Square. Kemudian menonton filem Daybreaker. Secara jujurnya saya memilih filem ini kerana tertarik dengan posternya, terutamanya perkataan 'in 2019, the most precious natural resource...... is us'

Dan selepas menonton, filem ini biasa-biasa saja. cet~
Kemudian saya ke MPH City Square. Setelah puas membelek-belek, termenung, berfikir, mengira bajet dan seumpama dengannya, saya membeli 2 buah buku.
Buku pertama ialah novel awal remaja, otai tulisan Ilyani Alias yang juga rakan MPR 2009. Tahniah kepada beliau yang telah berjaya menerbitkan novel bersama PTS-one? Hmm, giliran saya pula bila ya?
Kemudian, saya turut membeli novel syahadah gadis ateis tulisan Imran Haaz. Sebuah novel yang menarik pada pandangan saya. Saya sudah habis baca malam tadi, tapi tidak mempunyai kerajinan untuk membedah buku ini. Maka saya perturunkan saja komentar-komentar yang terdapat di belakang kulit buku ini.

"Padat tetapi menarik. Emosi tetapi berintikan dalil. Inilah novel wacana Islami yang jarang-jarang sekali sekali kita temui dalam dunia persuratan tanah air." Zaid Akhtar, novelis Salju Sakinah.
"Bukan novel biasa, bukan buku soal jawab agama yang tipikal. Syahadah gadis ateis adalah manual bahasa mudah seorang muslim yang diekstrak dari manual agung Al-Quran. buku pemantapan akidah yang dipermudahkan cara penyampaian ini adalah bacaan wajib bagi setiap Muslim tanpa mengira umur, kedudukan, pangkat dan tingkatan ilmu." Nur Zarawati binti Mohd Zain, pengarah urusan Zaratech Enteprise.
Pengarang banyak menyelitkan dalil-dalil yang diperoleh daripada Al-Quran, di samping menggunakan bahan daripada Bible dan kitab-kitab agama lain sebagai perbandingan. Saya merasakan seolah-olah sedang berada dalam kuliah Friendly Comparative Religion (FCR) sewaktu membaca buku ini.
Selain itu, buku lain yang sempat saya beli & baca pada cuti dua minggu ini ialah novel awal remaja tulisan Hilal Asyraf, remaja mulia. Ini ialah novel pertama karya penulis muda ini yang sempat saya baca. NOvel ini menampakkan kebijaksanaan pengarang memasukkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seorang pelajar sekolah. Sangat menarik saya kira. Saya akan cuba untuk membaca novel-novel beliau yang lain, seperti VT & terasing.

oh ya!
Saya juga dalam usaha untuk mendapatkan sebuah novel tulisan seorang lagi peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Perindu Pelangi tulisan Siti Munirah A. Rasyid.

Buku oh buku~
Buku-buku A-Level sedang menanti untuk kau habiskan, beberapa bulan sajn lagi untuk kau habiskan.

oh Fizik~
oh Ekonomi~
oh Matematik~
Isnin, Februari 01, 2010
Ada apa dengan MPR 2009?
MPR 2009: PERJALANAN KAMI MASIH JAUH
(versi yang masih belum dikemaskan oleh editor)
Oleh Syukri Sapuan
Minggu Penulis Remaja (MPR) sering dikaitkan sebagai satu gelanggang berbisa yang mengasuh tunas-tunas penulisan menjadi pengarang mapan. Program ‘perkampungan penulis muda’ ini dianggap sebagai program pengasuhan penulis yang paling dominan dan konsisten di Malaysia buat masa ini. Oleh kerana itulah, perasaan gembira dan teruja membuak di hati kami tatkala surat tawaran MPR 2009 tiba di peti pos kediaman. Ketika sampai di bangunan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) untuk hari pendaftaran, kami telah dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 2009 di Dewan Seminar DBP. Di sana kami berpeluang untuk beramah mesra bersama penulis-penulis lain yang bergraduasi daripada ‘Akademi MPR’.
Keistimewaan perhimpunan kali ini adalah ia berjaya mengumpulkan mantan-mantan MPR sejak tahun 1985, sekaligus menemukan penulis mapan dan penulis muda. Kami yang ketika itu duduk mendengar pengalaman mereka, berasa begitu bersemangat untuk pergi lebih jauh dalam dunia penulisan. Pengalaman-pengalaman yang dikongsi oleh para panelis telah meluaskan relung pemikiran kami tentang hala tuju arena penulisan, seterusnya memberi aspirasi kepada kami untuk menghasilkan karya yang tahan uji dan tidak lapuk dimamah waktu.
Biarpun begitu, kami sedar bahawa seorang penulis mapan tidak mungkin dilahirkan dalam tempoh sehari semalam walaupun penulis tersebut mempunyai bakat semulajadi. Penulis juga harus dibentuk dari aspek pemikiran, jati diri dan dilenturkan kesantunan berbahasa, serta dicerna kecendekiaan semasa dalam tradisi persuratan.
Dapatkan esei lengkap dalam Tunas Cipta Februari 2010.
Nota kaki: Tajuk asal yang saya cadangkan adalah 'Ada apa dengan MPR 2009?'
Khamis, Januari 28, 2010
MPR 2009: PERJALANAN KAMI MASIH JAUH.

Alhamdulillah.
Esei saya yang bertajuk “ MPR 2009: PERJALANAN KAMI MASIH JAUH” telah disiarkan dalam majalah Tunas Cipta Februari 2010.
Terima kasih kepada editor Tunas Cipta yang sudi menyiarkan tulisan saya itu, juga kepada urus setia MPR 2009 yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis tentang peristiwa tersebut.
Sebarang komen berkaitan tulisan tersebut amatlah saya alu-alukan.
Jangan lupa untuk dapatkannya di pasaran. =)
Isnin, Disember 28, 2009
MPR 2009
dan berfikir, di manakah letaknya keistimewaan program tersebut?
pada lokasinya (yang selesa) kah?
pada pesertanya (yang manis-manis) kah?
pada barisan tenaga pengajar (yang berpengalaman) kah?
atau
pada urusetianya (yang baik hati & membekalkan kami dengan biskut setiap malam) kah?
Saya menarik nafas dalam-dalam, dan kemudian membawa kembali memori lama hadir menemani malam.
Di manakah Mirul Mudin?
Sehari sebelum hari pendaftaran MPR 2009 di Menara DBP, saya sudah tiba di Kuala Lumpur. Saya menumpang semalaman di rumah seorang rakan.
Maka ketika bas DBP membawa kami daripada Menara DBP ke Port Dickson, sudah pasti perasaan saya bercampur baur. Resah, gembira, teruja, segan dan segala perasaan lain bergolak di belanga rasa.
Program kami di sana dimulakan dengan sesi bersama SN Dato' Anwar Ridhwan. Saya berkesempatan bmengemukakan soalan kepada beliau semasa sesi soal jawab.
Assalamuaikum, Dato', apakah tema dan persoalan yang sering dato' angkat semasa dato' berada pada usia kami?
Dan SN Dato' Anwar Ridhwan pun menjawab dengan tenang, membawa malam pertama kami di sana berlalu pergi.
Hari kedua dimulakan dengan sesi suai kenal. Saya kira tidak ada apa-apa yang begitu mencuri tumpuan dalam slot ini, selain daripada berkenalan bersama-sama dengan peserta yang lain (yang kemudiannya kami menjadi begitu akrab!).
Sesi seterusnya adalah ceramah genre puisi bersama Prof Rahman Shaari, diikuti ceramah genre cerpen/novel daripada Tuan Nurizan Raja Yunus.
Sebanyak 8 slot diperuntukkan oleh pihak DBP untuk ruangan bengkel penulisan puisi/cerpen/novel. Slot-slot ini berada di bawah bimbingan 4 orang fasilitator berpengalaman iaitu Tn Hj Shamsudin Othman, Cik Khairunnasriah Abdul Salam, bonda Zaharah Nawawi dan Puan Salmiah Ismail.
Saya tidak berniat untuk mengulas lebih lanjut tentang pengisian setiap slot, memandangkan saya telah memberi satu pandangan analitikal (konon-kononnya) dalam esei yang sudah saya hantar petang tadi.
Saya belajar banyak daripada bengkel-bengkel ini. Batapa sebuah karya itu perlu mempunyai jiwa dan roh, dan tidak dibiarkan kosong.
Bengkel-bengkel ini memberi kami satu peluang yang praktikal untuk belajar kaedah menukangi karya. Karya-karya kami sebelum ini dibedah satu persatu. Adeh.
Walau apapun, saya harus berterima kasih kepada ahli kumpulan saya (kumpulan A Samad Said) kerana menjadikan kumpulan yang saya duduki seronok dan diingati.
Selain sesi bengkel, terdapat juga ceramah daripada Editor Dewan Sastera (Puan Rozninah Abd Azib) dan ceramah penerbitan daripada En Abd Rahim Omar (Editor di DBP).
Kami juga belajar banyak perkara daripada dua slot ceramah tersebut.
.
.
.
Siang Rabu kami menghabiskan banyak masa di Menara DBP. Awal-awal pagi lagi sudah bergegas keluar daripada bilik untuk menempuh perjalanan ke Kuala Lumpur.
Pagi itu kami melawat Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) yang terletak di Menara DBP.
Rupa-rupanya di sana ada banyak buku dan himpunan koleksi majalah.
Seterusnya, kami dibawa melawat sidang editor bahagian majalah DBP di tingkat 20. Kehadiran kami ke sana telah memberi satu pendedahan baru untuk melihat dunia penulisan itu dalam skop yang lebih luas lagi.
Kami kemudian ke Majlis Penyampaian Hadiah Galakan Tunas Remaja 2008 (yang juga diadakan di bangunan yang sama), sebelum menghadiri taklimat korporat daripada pihak DBP.
Jam 5 petang, kami bergerak pulang ke Port Dickson.
.
.
.
Saya terlupa untuk menceritakan sesuatu.
Begini.
Semasa malam Isnin, pihak urus setia & fasilitator telah memaklumkan kepada kami untuk melaksanakan satu tugasan.
Setiap peserta diminta untuk menyiapkan sebuah cerpen ataupun tiga buah puisi sepanjang kami berada di sana. Karya tersebut hendaklah dihantar pada malam Rabu.
Saya berfikir sejenak ketika itu. Pening hendak memikirkan genre yang mana satu yang harus dipilih.
Sudahnya saya pilih saja cerpen. Saya tidak pandai untuk bermain dengan kata-kata dan selalu gagal mencari perkataan terbaik untuk menghasilkan sebuah puisi.
Selama dua malam (selepas tamat program di dewan), saya mengarang cerpen kedua dalam hidup saya.
Pentas.
Itulah tajuk cerpen saya . Saya cuba menampilkan sebuah cerpen satira (sindiran) yang mengungkap isu hedonisme (dan sedikit isu politik).
Walaupun tidak berjaya memenangi anugerah cerpen terbaik, namun saya tetap berpuas hati kerana ia jauh lebih baik daripada cerpen pertama saya (pada pandangan peribadi saya).
Pagi Khamis kami dipenuhi dengan sesi penilaian karya.
Saya berada di bawah bimbingan bonda Zaharah Nawawi, yang menyelenggara genre cerpen.
Kumpulan 'bedah karya' kami terdiri daripada 6 orang, 2 lelaki dan 4 perempuan.
Marwan menulis melangkah sendirian yang mengungkap tema hak asasi kemanusiaan berlatarkan permainan bola sepak. (cerpen ini menang cerpen terbaik)
Adila Abdul Rahim menulis sebuah cerpen satira, Tabaru. Cerpen ini berkaitan dengan sambutan tahun baru masihi dan hijrah.
Nurulhidayu menulis cerpen yang bertajuk secangkir kopi, mengangkat tema poligami.
Nur Ilyani Alias menulis segugus cintamu, menampilkan tema kemanusiaan.
dan Nurul Husna yang cerpennya tidak sempat kami bedah.
Besar harapan kami sekiranya pihak DBP dapat membukukan hasil-hasil karya peserta MPR ini.
.
.
.
dan masa pun berlari terlalu pantas, sehinggakan kami selalu menjadi mengah untuk mengejarmu.
Malam khamis, kami menghadiri makan malam bersama-sama untuk kali terakhir semasa MPR 2009.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil MPR 2009.
Saya bersama Nur Adilla Abd Rahim menjadi pengacara majlis pada malam itu.
hakikat mesti ditelan, kami akan membawa haluan masing-masing pada keesokan pagi.
.
.
.
Saya memutuskan bahawa keistimewaan MPR 2009 terletak pada kesemua faktor yang telah saya senaraikan tadi.
Lokasi, peserta, pembimbing dan urus setia memainkan peranan yang penting untuk menjayakan program ini.
Saya sebenarnya masih dihinggapi kehairanan. Bagaimana kami boleh menjadi begitu akrab walaupun baru sahaja mengenali antara satu sama lain?
Jeda.
Barangkali kami disatukan oleh minat yang sama.
Segala macam peristiwa semasa kami 'berbulan madu' di MPR seakan ditayangkan kembali oleh prokjektor kenangan di layar masa tika saya mengelamun sendiri.
Gelak tawa kalian.
Hujah kalian yang meyakinkan.
Kritikan semasa sesi bedah karya.
Permainan bola tampar.
dan segala macam peristiwa yang berlaku sepanjang 7 hari bersama diadun
lantas membentuk kenangan yang sukar dilupakan.
.
.
.
Hanya ada satu cara paling mudah untuk kita kekal berhubung
teruskan berkarya
kita jumpa di media.
InsyaAllah.
Sabtu, Disember 26, 2009
Catatan pra-entri MPR 2009
Jam 10.45 malam, 25 Disember 2009.
Saya tiba di bandar kelahiran Kota Tinggi, Johor Darul Takzim, setelah menempuh perjalanan panjang daripada Kuala Lumpur.
19-25 Disember 2009. Port Dickson, Negeri Sembilan.
Saya bersama 26 peserta yang lain telah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Ada catatan yang ingin saya coretkan.
Mungkin entri tersebut akan menjadi satu entri yang panjang, atau ia akan ditulis secara bersiri. Entahlah, bergantung juga kepada mood saya nanti untuk melakar kata di laman ini.
Namun buat masa ini ada beberapa perkara yang ingin saya selesaikan terlebih dahulu.
Yang pertama, saya telah diberi kepercayaan untuk menulis satu esei untuk majalah Tunas Cipta 2009 keluaran Februari 2010, seputar isu MPR. Serius, saya terharu dengan amanah ini.
Saya juga berharap agar rakan-rakan (keluarga MPR 2009) yang ingin memberikan sumbang saran agar cepat-cepat menghubungi saya. Saya amat mengharapkan bantuan kalian.
Dateline untuk esei tersebut akan tiba tidak lama lagi.
Kemudian, saya juga perlu menyiapkan beberapa tugasan akademik yang masih belum siap, selain mula mengurus dan merancang sebuah program untuk alma mater saya pada tahun hadapan.
Mungkin juga, saya perlu melayani ilham-ilham untuk karya saya yang seterusnya.
Sekian. Berikut disertakan beberapa keping gambar sepanjang kami menjalani MPR 2009.
Selasa, Disember 15, 2009
Menatap akhbar
Hari ini saya kembali sedar bahawa blog ini sudah seminggu tidak berisi apa-apa.
Idea banyak, mencurah-curah tapi tidak tahu bagaimana hendak memulakan penulisan.
Maka, idea-idea itu pun hilang begitu saja.
Rugi kan?
Minggu depan, Minggu Penulis Remaja 2009 akan berlangsung di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.
Dan saya menjadi pesertanya.
Entah mengapakah tahun ini saya tiba-tiba berminat menulis puisi (walaupun bukan sebuah puisi bermakna) dan tidak malu melihat nama sendiri di majalah.
Tahun lepas ada juga lihat borang permohonan ke MPR, tapi bila baca salah satu syaratnya (punyai karya yang pernah tersiar), saya terus mematikan niat.
Mungkin kerana tahun ini saya sudah jadi kurang pemalu.
ah, pemalu itu subjektif kan?
Baiklah.mari berbalik pada judul entri
Akhbar.
Menatap dada-dada akhbar hari ini, saya menjadi seseorang yang kembali memikirkan tentang kehidupan.
Jenayah, kemalangan, kematian dan sebagainya boleh berlaku di mana-mana sahaja andai mendapat keizinan Allah.
Jenayah ( bunuh, rompakan dan sebagainya) berlaku di mana-mana sahaja, dan saya kembali memikirkan di manakah tempat paling selamat di dunia ini.
Kemalangan juga boleh berlaku di mana-mana saja. Kemalangan yang boleh mengundang kepada maut.
Dan saya agak tersentak apabila membaca baris-baris pesanan daripada senior kolej saya di digest yahoo group Alumni Muscom.
Diambil (tanpa kebenaran) daripada digest yahoo group Alumni Muscom.
Assalamualaikum ,
Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Kejadian ngeri yang berlaku baru2 ini melibatkan penganti baru (hanya 3 jam sahaja) merupakan sahabat kami di Nottingham. Mangsa, si pengantin lelaki merupakan teman kami di nottingham, baru sahaja grad Mechanical Engineer, seorang yang sangat baik, soft spoken, dan ramah. Kejadian ini sedikit menekan ana sejak berlaku 2-3 hari sudah.
Sedih dan kasihan kepada adik beradik mangsa yang kehilangan adik bongsu mereka dan kedua mak ayah, serta kepada Teh Afifah yang kehilangan suaminya yang tercinta.
Mari kita sama2 ingat kematian. sibuk macam mana pun dengan kerja, tugasan, study, A Level , exam dan sebagainya, banyakkan amal ibadah kita. Ingatilah kematian.
Kematian berlaku setiap hari, tapi apabila berlaku kepada orang yang dekat dengan kita, terasa lebih lagi..
Pengantin sempat kirim SMS terakhir
PADANG BESAR 12 Dis. - "Jangan terkejut tengok pakaian abang esok."
Gurauan itu dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Mohd. Ariff Abd. Kadir, 23, buat isterinya, Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid, 23, selepas mereka diijab kabul semalam.
Namun siapa pun tidak menyangka gurauan itu membawa makna serta kesan berpanjangan buat Teh Afifah.
Regards,
Firdaus Rahim
4th year Medical Student
University of Nottingham / Derby Hospitals NHS Foundation Trust
Personal blog: www.firdausrahim. iluvislam. com
Untuk renungan kita bersama. InsyaAllah.
Isnin, Disember 07, 2009
Puisi yang berkualiti & memuaskan hati
Petikan tulisan saudara Faisal Tehrani dalam ruangan ulasan puisi (Dewan Siswa Disember 2009)
Sesebuah puisi yang berkualiti dan memuaskan hati paling-paling tidak, ditandai oleh lima unsur yang saling berkaitan.
Unsur yang dimaksudkan itu ialah sesebuah puisi itu harus mempunyai fokus daripada segi tema, subjek pilihan sambil berjaya memadatkan kekuatan bahasa.
Kedua, unsur bahasa itu dibangunkan, dibaiki dan diatur dengan memberikan perhatian kepada ritma serta bunyi.
Ketiga, oleh sebab puisi adalah sebuah penyataan fikiran dan perasaan penyajak, maka puisi dilatari oleh perasaan, pengalaman dan kekuatan imaginasi si penciptanya.
Keempat, penyampaian bahasa tersebut diusahakan pula dengan pertukangan imej, lambang dan kias yang menguatkan kata konkrit lain kepada puisinya.
Kelima, bentuk puisi tersebut diungkap dengan baik dan munasabah sehingga segala yang di atas tadi terjelma pada bentuk zahir mahupun batinnya.
Jumaat, November 13, 2009
MPR 2009!
Antaranya:
1. Periksa email sehingga 5-6 kali dalam satu hari.
2. Tanya ada surat sampai ke tak tiap kali telefon emak kat rumah.
3. Tengok telefon bimbit dengan kerap dengan mengharap ada panggilan daripada DBP.
Hari ini saya ada periksa Fizik. bagi saya ia agak mencabar. terkejar-kejar nak jawab. Tidak tahu persepsi orang lain bagaimana.
Usai keluar dewan, saya menuju ke IT Lab. Mahu uruskan beberapa perkara, antaranya mahu langsaikan pembayaran Tshirt sindiket soljah.
Selesai segala hal-hal yang berkaitan, saya mahu segera pulang. Tapi terdetik di hati untuk refresh kotak mel elektronik.
oh!
oh!
oh!
Ada emel baru yang bertajuk 'Minggu Penulis Remaja 2009'.
Saya menekan papan kekunci dengan penuh keterujaan.
Oh!
oh!
oh!
Permohonan saya untuk menyertai Minggu Penulis Remaja 2009 telah diterima~
Bertempat di Port Dickson, pada 19-25 Disember 2009.
Alhamdulillah.
Sangat gembira. Terlupa seketika pada kertas Fizik yang baru diduduki~
Nota kaki: perlu tunggu surat rasmi daripada DBP.

APA SIGNIFIKAN MPR?
Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung.
Program ini telah melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera remaja yang sering diperlekehkan.
‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.
Dipetik daripada F.A.Q. MPR









