Memaparkan catatan dengan label Karya kreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya kreatif. Papar semua catatan

Selasa, November 05, 2013

Catatan tentang Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan 2013


Jumaat lepas - ialah hari penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan untuk tahun 2013. Dan Alhamdulillah, sebuah karya saya merangkul HSDT 2013 untuk kategori cerpen eceran. 


Saya menyemak kembali dokumen-dokumen lama. Untuk HSDT 2013,  saya menghantar 6 karya untuk penilaian - 5 puisi dan sebuah cerpen yang disiarkan di media sepanjang tahun 2011 & 2012. Saya tidaklah meletakkan harapan yang menggunung tinggi memandangkan Johor miliki ramai karyawan mapan. Cuma mahu cuba-cuba sahaja tanpa menyangka ada rezeki yang tiba.




Cerpen 'Jalan Keluar Untuk Mangsa' yang menang kali ini disiarkan di Tunas Cipta Jun 2012. Temanya tentang mangsa budaya. Saya cuma menulis kembali monolog-monolog yang bersipongang di jiwa tatkala melihat satu demi satu akar jati diri mereput. Globalisasi datang dan kita langsung tidak membina tembok.


Memasuki kira-kira tahun kelima kepengarangan (saya bermula dengan Minggu Penulis Remaja 2009), saya akui bahawa momentum saya tidaklah begitu mantap. Kadang-kala lesu dan ada juga turun naiknya. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan fokuskan.


Tahun 2013; tahun yang agak meletihkan - dengan tugas-tugas organisasi, praktikum, birokrasi dan seumpama dengannya. Pun begitu, ini semua saya anggap sebagai latihan mengurus waktu dan keutamaan untuk keperluan masa hadapan.


Dan saya sedang mengumpul kekuatan.




Selain penyampaian hadiah, turut dilancarkan ialah antologi pemenang untuk Hadiah Sastera Darul Ta'zim kelapan 2011. Judulnya kali ini - Tanah Amanah, mengambil nama salah satu puisi eceran yang menang pada tahun tersebut.


Salah satu puisi saya - Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang menang dalam kategori puisi bawah 19 tahun turut dimuatkan dalam antologi tersebut. 


Banyak kenangan pada puisi ini - termasuk menjadi batu tanda mula saya dalam dunia kepengarangan. Puisi ini merupakan karya pertama saya yang disiarkan di media - iaitu di Mingguan Malaysia pada 3 Mei 2009. 




Untuk cuti semester yang bakal tiba, ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan. Salah satunya -  tugasan susulan  Projek Kembara Penulis Muda ke United Kingdom pada Mac 2013.


Masih ada perjuangan yang belum selesai.

Isnin, Oktober 28, 2013

Menikam Kelesuan


Puisi
Menikam Kelesuan


Lesu yang pernah membunuh
mimpi-mimpi bangsaku
mendekat lagi
membisik bicara halus
menghasut getar jiwa,
lekas merasa puas diri
walau sumbang atur pencaknya.


Lesu tiba menawarkan
nikmat selesa sementara
sedang dunia nan tenat
merintih di tubir zaman
menanti penawar bejat
dari kudrat tangkas pemuda.


Betapa – berasa lemah,
berjiwa kecil,
bermalas-malas
berlengah-lengah
bukanlah watak penakluk jagat
yang dihikayatkan leluhur.

Dengan langkah pendekar
kuhunus taming sari
menikam kelesuan durjana
yang membebat sukma.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor

Jendela Selatan Bilangan 35 (April 2013)

Rabu, September 18, 2013

Dari Negeri Fana Ke Negeri Baqa


Puisi
Dari Negeri Fana Ke Negeri Baqa


Di ruang masa
kita duduk bercerita
tentang hakikat musafir
yang bakal tiba ke garis sempadan
apabila sampai detik
yang masih rahsia.


Di negeri fana
tenangkan jiwa rusuhmu
yang liar merayau
ke wilayah nafsu.


Saat roh mengisi jasad
petiklah kuntum amal
di pesisir waktu
buat mengharum taman akhirat
sesudah kita pulang
ke negeri baqa.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor
November 2012

Jumaat, Mei 31, 2013

Puisi: Sepucuk Rindu (ii)


Sepucuk Rindu (ii)
(Catatan kepada benua)


Telah kita bina kota cinta
di puncak percaya
pagarnya ialah rinduku
yang sentiasa mendampingimu.


Di hujung mata tinta,
kualirkan sungai perasaan
membasahi warkah ingatan,
betapa harapanku kepadamu
sedalam lautan biru.


Sepucuk setia yang kuutus
ialah janji seorang lelaki
seperti bicaraku saban waktu,
ketika jarak memisahkan
rindu inilah kembali mendekatkan.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor



Selasa, Januari 01, 2013

Puisi: Sepucuk Rindu (i)


Sepucuk Rindu (i)
(Di hari ulangtahun kelahiran ke-22)

Sebilah cintamu yang menikam
pada pandangan pertama
meneteskan luka merah
yang membaluti jiwaku
dengan seberkas indah.


Di penjuru waktu,
kukaut sepimu yang terlantar
menjadi sayap-sayap gebu
yang mengapung kasih
nan girang di awan-gemawan
seusai tali ijab kabul
kusimpul kemas. 


Sepucuk rindu kusisip di saku
menjadi bukti setia kita
untuk saling mengitari cinta.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor

Harmoni, 15-30 November 2012

Jumaat, November 02, 2012

Puisi: Rahsia Musafir


Puisi
Rahsia Musafir


Hidup yang serba tergesa-gesa
adalah perjalanan musafir angkuh
yang kerap keliru di persimpangan waktu,
antara lorong yang kabur titik penghujung
serta masa yang menyita usia.


Seorang musafir sudah letih
menafsir mimpinya yang bercelaru
pada lembaran peta zaman.


Manusiawi tenat yang meronta
mengadu gelisah di hamparan hari
kesunyian dalam kegamatan,
keterasingan dalam keriuhan,
kesepian dalam keramaian,
adalah empangan jiwa yang melemaskan
suara sukmanya yang pinta didengar
pada tiap-tiap perkelanaan.


Betapa yang ingin ditemui
sebelum tiba penghujung destinasi
ialah makna hakikat insani.


Kawan,
memilih menjadi musafir
bermakna mencampakkan sebongkah tenang
ke denai rusuh dan resah
yang sarat kekhuatiran
namun lekas mendewasakan.


Syukri Sapuan
Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar.

Tunas Cipta Oktober 2012



***


Saya menulis puisi ini ketika dalam transit panjang di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar - sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Singapura daripada Madinah Al-Munawarah. Ketika ahli jemaah yang lain menghabiskan sisa masa dengan berbual-bual sesama sendiri, berjalan dari kedai ke kedai atau cuba melelapkan mata yang diserang kantuk, saya memilih untuk berada di satu sudut lain - menulis dengan pena pada lembaran kertas.


Entah mengapa - pengalaman sewaktu berada di 3 buah kota di luar Malaysia; iaitu  Aceh (Indonesia), Singapura dan Jeddah menerkam fikiran. Peluang bermusafir di negeri asing ini memberi saya peluang untuk melihat dunia daripada sudut yang berbeza.


Berjumpa dengan manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya memberi satu ruang buat saya meneliti diri. Misalnya, bertemu Pak Agus yang budiman di Banda Aceh, duduk bersila dan berbual bersama lelaki Algeria di Masjid Nabawi (dalam bahasa ayam dan itik), serta bertanya arah jalan pada wanita Indonesia ketika sesat seorang diri di Kota Singa.



Menjadi orang dagang dalam jumlah yang kecil- serta tertakhluk pada undang-undang manusia di wilayah berbeza - membuatkan kita menjadi lebih berhati-hati dan  berwaspada. Dan rasa kebergantungan kepada Allah menjadi tinggi melangit. 


Kita dipaksa memilih salah satu jalan, dan kita mesti memilihnya. Tiada jalan lain. Dan akhirnya kita menjadi manusia yang didewasakan pengalaman.


Kita boleh memilih jalan senang dan akhirnya tidak berkembang.


Betapa - kehidupan manusia yang sering ditamsilkan sebagai permusafiran ke negeri abadi akan menjadi lebih bererti andai makna hakikat insani dapat ditemui sebelum tiba penghujung destinasi.


Kitakah manusia gelisah yang selalu mengadu  keterasingan dalam keriuhan ramai?

Sabtu, Oktober 13, 2012

Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat


Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)  peringkat Negeri Johor bagi tahun 2012, salah satu aktiviti yang diadakan ialah Program Semarak Sastera : Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat pada 9-10 Oktober 2012. Program ini diadakan dengan usaha sama antara UiTM Cawangan Johor, DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Daerah Segamat.


Perkenalan saya dengan Encik Ainol Hasanal, pensyarah berjiwa besar dari UiTM Segamat dalam satu bengkel penulisan terus berlanjutan hingga ke hari ini. Sekitar Julai yang lalu, Encik Ainol menghantar mesej kepada saya; meminta saya untuk membicarakan tentang untuk puisi ataupun cerpen daripada kaca mata penulis muda.


Dan saya mengambil sedikit masa untuk berfikir tentang tawaran tersebut - kerana menyedari betapa diri yang masih terlalu pucuk sifatnya. Setelah mendapatkan pandangan rakan-rakan seangkatan, saya bersetuju untuk menerima peluang dan cabaran tersebut.  






Alhamdulillah - perkongsian saya pada hari kedua telah selamat dilaksanakan. Seperti yang dikehendaki oleh Encik Ainol, saya cuba untuk membicarakan tentang puisi daripada kaca mata anak muda yang tidak lahir daripada rahim sastera; tetapi memiliki kecenderungan terhadap sastera. Saya meletakkan diri sebagai seseorang yang sedang dan masih lagi belajar; bahana masih terlalu tohor pengetahuannya dalam lautan ilmu.  






Saya menulis sebuah makalah (kalaulah layak dinamakan sebagai makalah) bertajuk 'Menguak Jendela Puisi: Satu Pengalaman Peribadi' untuk memantapkan perkongsian saya. Dalam makalah tersebut - saya menulis tentang dua persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya suatu ketika dahulu - iaitu; Mengapa saya menulis puisi? dan Bagaimana saya menulis puisi?



Untuk persoalan; Mengapa saya menulis puisi? - saya senaraikan tiga pandangan peribadi, iaitu nilai estetika, menggugah pemikiran dan penerapan nilai positif. 


Untuk persoalan; Bagaimana saya menulis puisi? - saya menceritakan dengan serba ringkas tentang proses kreatif puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi yang memenangi hadiah Saguhati, Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012 dan puisi Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim Kelapan 2011: Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Puisi)


Tentatif program


Terima kasih kepada sidang hadirin yang sudi meluangkan masa. Saya akui terdapat beberapa kelemahan pada pembentangan kali pertama ini. Namun, langkah sulung ini memberikan satu suntikan motivasi buat saya untuk sentiasa mencabar diri dan mengatur alur fikir.


Entah sampai bila kita akan menggunakan usia masih muda sebagai alasan untuk tidak berbuat itu dan ini. Harapan saya hanyalah kualiti karya yang saya hasilkan akan menanjak seiring dengan umur yang meningkat. Perjalanan ini masih panjang dan perlu saya rintis perlahan-lahan.


Dari kiri:
 Prof. Madya Ahmad Nawawi , Kak Salina Ibrahim, Saya,
Dr Arbak Othman, Ustaz Zaid Akhtar, Encik Ainol Hasanal


Nota kaki:
Terima kasih kepada Kak Salina Ibrahim untuk gambar-gambarnya.

Ahad, Julai 01, 2012

Puisi: Mengarak Janji Di Kota Peribadi


Untuk Sayembara Menulis Cerpen Dan Puisi Negeri Johor 2012 , saya telah menghantar satu puisi sebagai penyertaan. Cuba-cuba untuk menulis dengan kemampuan yang ada. Tarikh tutupnya ialah pada 31 Mac 2012.


Dan Alhamdulillah - semalam ialah Hari Penyampaian Hadiah bagi sayembara tersebut di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru.





Puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi meraih hadiah saguhati untuk karya puisi - kategori umum. Alhamdulillah - kemenangan ini tambah membuatkan saya ingin terus menggali ilmu dalam dunia kepenyairan dan mencuri-curi masa untuk merenung serta menulis. 


Secara relatifnya, usia kepengarangan saya masih muda dan tidak begitu prolifik menembusi media - jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan seangkatan yang lain.


"Orang muda ada terlalu banyak masa untuk 'dibazirkan' dengan menulis." Nasihat seorang penulis mapan yang pernah saya temui.


Tak perlu sedu-sedan itu. Dan puisi ini saya kira - mempunyai makna yang sangat dalam kepada diri.








Puisi
Mengarak Janji Di Kota Peribadi


Segerombolan rusuh yang terbebas
angkara lekanya gembala hati
rakus meragut hamparan tenang
langsung menghambat kita
yang sering memungkiri.


Pada tiap atur gerak
telah pudarkah segala tekad -
untuk membina empayar megah
di balik runtuhan sejarah duka,
hingga mudah kita menyimpang
menjauhi denai janji.


“Kota masyhur yang diimpi
adalah tempelan angan semata,
andai pedati sarat bongkah alasan
yang kau arak ke seluruh mandala.”
Sungguh, tiada kelesah yang paling pedih
selain tidak percayakan diri.


Bersama masa yang bersisa
kita kerah segala kudrat
menyusun bata demi bata
menjadi binaan teguh
yang membentuk kota,
yang mengotakan kata.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor.
Mac 2012

(Saguhati kategori umum, Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor 2012)

Ahad, Jun 10, 2012

Travelog Iman: Memetik Ibrah di Nanggroe Aceh Darussalam


Alhamdulillah - rencana saya berkenaan pengalaman sepanjang hampir seminggu di Aceh telah disiarkan dalam ruangan Travelog Iman, Majalah i edisi April dan Mei - dengan tajuk Memetik Ibrah di Nanggroe Aceh Darussalam (April) dan Aceh: Keindahan yang tersembunyi (Mei)

Saya berterima kasih kepada pihak editor yang telah sudi menyiarkan rencana tersebut dengan beberapa suntingan dan penambahbaikan.

Berikut saya coretkan rencana asal yang ditulis untuk perkongsian di blog. Turut disertakan adalah beberapa keping gambar sepanjang perkelanaan kami yang tidak dipaparkan dalam rencana versi majalah. Semoga ada manfaatnya. InsyaAllah.


***


Travelog Iman
Memetik Ibrah di Nanggroe Aceh Darussalam
Oleh Syukri Sapuan


Langit sudah mulai gelap ketika pesawat AirAsia yang saya naiki mendarat di Bandar Udara Internasional Sultan Iskandar Muda. Petang sedang perlahan-lahan menginjak ke senja. Penerbangan yang memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit daripada The Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Kuala Lumpur, dirasakan begitu singkat berlalu. Keterujaan dan kegembiraan untuk menginjakkan kaki ke bumi serambi Mekah bercampur baur antara satu sama lain. Aceh dikenali sebagai sebuah kerajaan Islam yang mencapai puncak kejayaan pada abad ke-17. Dengan keluasan kira-kira 58,375.53 kilometer persegi, Aceh memiliki populusi umat Islam paling ramai iaitu 98.6% diikuti Kristian (0.7%), Buddha(0.55) dan Hindu (0.08%).


Bumi Aceh pernah bersimbah dengan darah syuhada yang menentang penjajah kafir Belanda. Taman-taman ilmunya pernah dilestarikan oleh ulama-ulama besar seperti Sheikh Samsuddin Al Sumaterani, Sheikh Abdul Rauf Singkel dan Sheikh Hamzah Fansuri. Tradisi Islam yang terlaksana menyebabkan undang-undang syariah diterapkan di wilayah ini.


Menaiki bechak, salah satu pengangkutan yang popular di Aceh

Kedatangan saya ke Aceh bertujuan untuk memetik iktibar daripada tragedi tsunami yang telah membadai wilayah ini pada Disember 2004. Dalam masa yang sama, peluang yang ada turut digunakan untuk menziarahi rakan-rakan daripada Malaysia yang sedang menyambung pengajian di sini. Kebanyakan mereka menuntut dalam bidang dakwah, usuluddin serta syariah di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniri dan Universiti Syiah Kuala.


7 Tahun Selepas Tsunami


Warga dunia pernah gempar dengan kejadian bencana alam yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004. Gempa bumi yang berukuran 9.3 Skala Ritcher berlaku di dasar Lautan Hindi pada jam 8.59 waktu Malaysia. Rentetan gempa bumi tersebut, satu gelombang tsunami telah melanda kawasan di pesisir Lautan Hindu, meliputi Sumatera Utara, pantai barat Semenanjung Malaysia, Thailand, pantai timur India, Sri Lanka bahkan hingga ke pantai timur Afrika.


Menginap selama satu malam di Hotel Lading, Banda Aceh

Tragedi pada penghujung Disember 2004 itu telah mengakibatkan wilayah Aceh yang berhampiran dengan pantai menjadi ‘padang jarak padang tekukur.’ Lebih 100 ribu orang terkorban dan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal. Di sesetengah lokasi, dilaporkan bahawa ombak tsunami mencapai ketinggian 20 meter. 


Bagi memberi peluang kepada pengunjung luar yang ingin mengutip iktibar daripada tragedi tsunami, organisasi pemerintah Indonesia telah membina sebuah Muzium Tsunami dengan kos RM23.6 juta di Jalan Blang Padang, Banda Aceh. Muzium empat tingkat ini mendapat sentuhan arkitek terkenal Indonesia,  Ridwan Kamel, mula dibina pada tahun 2006 dan siap pada tahun 2010.


Di ruang pameran Muzium Tsunami


Kunjungan ke Aceh turut membawa saya ke Muzium Tsunami yang dibahagikan kepada beberapa ruang pameran. Pengunjung dapat merasai dengan lebih dekat suasana ketika berlaku tragedi tsunami melalui paparan gambar, replika serta video. Sebuah bilik tayangan sedia menanti pengunjung yang hadir dengan tayangan detik-detik akhir bencana alam tersebut. Ratusan foto berkaitan kesan tsunami dipamerkan di ruang galeri. Saya merasa begitu kerdil apabila mengenangkan kekuasaan Allah yang Maha Hebat. 


Pada ruang galeri yang lain, turut dipamerkan replika-replika kecil manusia bertempiaran lari ketika gelombang tsunami tiba membadai. Ombak tsunami yang mengguling begitu tinggi membuatkan manusia kelam-kabut berkejaran mencari tempat yang selamat. Terdapat juga dua replika struktur geografi Aceh ketika sebelum dan selepas tsunami. Replika struktur geografi ini dapat dijadikan perbandingan sejauh manakah tsunami telah mengubah struktur fizikal Aceh. Melalui replika ini, pengunjung akan mendapat gambaran berkenaan kesan tsunami yang telah meruntuhkan jambatan, meranapkan bangunan, menghanyutkan kenderaan dan mengorbankan jiwa-jiwa.


Pengalaman meneroka Muzium Tsunami yang memakan masa kira-kira satu jam amat menyuntik keinsafan ke dalam diri saya. Hanya Allah sebaik-baik tempat meminta pertolongan.


Kapal 2,600 tan berganjak 5 kilometer


Kunjungan menjejak kesan tragedi tsunami 2004 pasti tidak akan lengkap sekiranya tidak ke tongkang Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung I yang terdampar kira-kira 5 Kilometer daripada kedudukan asalnya di pantai Ulee Lheue. Kekuatan gelombang tsunami telah menghempaskan kapal pembekal sumber elektrik seberat 2,600 tan sehingga ke Punge Blang Cut Jaya Baru, Banda Aceh. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kapal yang memiliki kepanjangan 63 meter dan keluasan 1600 meter persegi ini mampu untuk berganjak sebegini jauh. Sudah pasti kederasan gelombang tsunami adalah begitu dahsyat sehingga mampu mengubah daratan menjadi lautan. 

Kapal PLTD Apung I yang terdampar di daratan

Walaubagaimanapun, hasrat saya untuk melihat Kapal PLTD Apung I secara lebih dekat tidak kesampaian kerana pihak pemerintah Aceh sedang melakukan projek pemuliharaan pada tapak kapal berkenaan untuk kemudahan pelancong pada masa akan datang.


Selain Kapal PLTD Apung I, terdapat beberapa buah kapal lain yang masih dikekalkan kedudukannya di atas daratan. Saya turut ke Kampung Lampulo, Banda Aceh untuk menyaksikan sendiri sebuah kapal nelayan yang terdampar di atas rumah penduduk kampung. Kapal nelayan ini telah menjadi bahtera penyelamat untuk 52 nyawa. 


Bagi tujuan pendokumentasian tragedi tsunami, penduduk Kampung Lampulo yang selamat dan sempat menaiki kapal nelayan tersebut telah menerbitkan sebuah buku kecil yang bertajuk ‘Mereka Bersaksi.’ Buku ini memuatkan catatan pengalaman penduduk kampung pada detik-detik berlakunya tsunami dan bagaimana cara mereka boleh menyelamatkan diri.


Melihat kapal yang tersangkut di atas rumah daripada atas pelantar

Salah seorang penduduk Kampung Lampulo yang terselamat, Rina Ocvita sedang berada di rumah bersama keluarganya pada waktu pagi 26 Disember 2004. Beliau sempat memanjat untuk naik ke atas kapal nelayan yang tersangkut di atas rumah Haji Misbah. Walaubagaimanapun, ayah dan adiknya tidak dapat diselamatkan dan terkorban dalam gelombang ganas tsunami.


Masjid Raya Baiturrahman Tetap Utuh


Masjid Raya Baiturrahman di Pusat Kota Banda Aceh menjadi saksi bisu terjahan tsunami. Meskipun terdapat kerosakan di beberapa bahagian, namun masjid ini masih tampak agam. Semasa berlakunya tsunami, kawasan sekitar Masjid Raya Baiturrahman termasuk bangunan, insfrastruktur serta kenderaan telah ranap dan hampir semuanya rata dengan tanah. Dengan izin daripada Allah S.W.T., Masjid Raya Baiturrahman tetap berdiri kukuh dan menjadi tempat perlindungan buat penduduk sekitar Banda Aceh. Orang ramai  telah berlari untuk menyelamatkan diri ke dalam masjid ini sewaktu gelombang tsunami tiba daripada arah laut.


Masjid Raya Baiturrahman pada waktu malam


Masjid Raya Baiturrahman dibangunkan ketika pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1612 sebagai pusat ibadah rakyat Aceh yang 100% beragama Islam. Belanda melalui serangan ke atas Banda Aceh pada Januari 1873 dengan angkuh telah membakar sehingga hangus Masjid Raya Baiturrahman. Susulan tindakan biadap Belanda, orang Aceh dengan pantas telah membangunkan Masjid Baiturrahim di Uleile.


Selain Masjid Raya Baiturrahman, Masjid Baiturrahim yang terletak berhampiran dengan pesisir pantai juga tidak terjejas akan struktur binaannya walaupun dihempas gelombang ganas tsunami, sekaligus menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T.


Berkesempatan untuk ke Masjid Baiturrahim


Masjid Raya Baiturrahman merupakan salah satu masjid yang terindah di Indonesia. Ia memiliki ukiran hiasan dinding yang cantik, halaman yang luas dan suasana yang sejuk serta damai apabila berada di dalam ruangan masjid tersebut.


Alhamdulillah - saya berkesempatan untuk menunaikan Solat Jumaat di Masjid Raya Baiturrahman. Orang ramai berbondong-bondangan memenuhi kawasan masjid sebelum azan Zohor dilaungkan. Masjid ini turut menerbitkan akhbar tabloidnya sendiri pada setiap hari Jumaat, yang diberi nama ‘Gema Baiturrahman’. Dengan berslogankan ‘Menuju Islam Kaffah’, tabloid ini mengandungi petikan khutbah yang disampaikan di mimbar masjid, selain wawancara bersama tokoh, isu semasa, waktu solat mingguan dan pelbagai lagi.


Rumah Aceh Nan Indah


Saya turut berkesempatan ke Kompleks Muzium Aceh. Di sini, saya berpeluang untuk berada di dalam rumah tradisional Aceh yang mempamerkan gambar-gambar tokoh-tokoh pejuang Aceh, barang-barang lama seperti pedang, tembikar, piring, tempayan, alat-alat mengerjakan tanaman padi dan sebagainya. Melalui interaksi dengan pegawai muzium yang bertugas, saya telah memperolehi pelbagai maklumat baharu tentang sejarah, budaya dan tradisi masyarakat Aceh. 


Menemuramah pegawai muzium


Di ruang galeri Kompleks Muzium Aceh, dipamerkan foto-foto sejarah Aceh seperti foto di zaman kolonial, foto kehidupan masyarakat pada kurun ke-19 dan pelbagai lagi. Turut dipamerkan adalah alat pengukur tradisional (cupak, gantang), senjata tradisional, meriam-meriam yang pernah digunakan oleh pemerintah Aceh sebelum ini dan replika candi Borobudur. 


Bersiar-siar menghirup udara pagi di kawasan bendang Kampung Blang Krueng


Antara pameran yang menarik perhatian saya di galeri ini ialah peta bahasa daerah Aceh. Wilayah Aceh yang mempunyai keluasan meter persegi kira-kira seperti gabungan negeri Johor dan Pahang mempunyai 10 bahasa daerah. Antaranya, Bahasa Jawa, Bahasa Batak, Bahasa Aceh, Bahasa Singkel dan Bahasa Pulau.



Sultan Iskandar Muda di Era Keemasan



Berhampiran Kompleks Muzium Aceh, terdapat makam Sultan Iskandar Muda. Sultan Iskandar Muda dilahirkan di Aceh pada 1593 dan memerintah Aceh pada tahun 1607 sehingga 1636. Ketika pemerintahan Baginda, Aceh mencapai zaman kegemilangan untuk Kesultanan Aceh. Pada kurun tersebut juga, hubungan diplomatik dengan pelbagai kerajaan Islam di luar kawasan Nusantara dilakukan secara lebih intensif, terutama dengan Kerajaan Turki Uthmaniah. 


Tun Seri Lanang - Bendahara Paduka Raja, Johor


Sewaktu saya berkunjung ke Banda Aceh, kebetulan – sedang diadakan ‘Seminar Ketokohan Tun Seri Lanang Dalam Sejarah Dua Bangsa ; Indonesia-Malaysia’. Tun Seri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor  pada 1565 serta pernah menjawat tugas Bendahara Paduka Raja, Johor pada tahun 1580-1615. Beliau merupakan penyusun kitab Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merakamkan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Tun Seri Lanang menjadi pemerintah Samalanga, Aceh yang pertama pada tahun 1615 sehingga 1659. Beliau telah menjadikan Samalanga sebagai pusat pendidikan di era Kesultanan Aceh Darussalam.


Taman Laut di Pulau Weh 

Ruang masa yang ada semasa di Aceh turut saya gunakan untuk ke Pulau Weh yang terkenal dengan slogan - Point Of Zero Kilometer Republic Indonesia (Titik Nol Kilometer Republik Indonesia) ataupun bahagian paling Barat dalam wilayah Indonesia.


Di titik paling Barat dalam wilayah Indonesia

Perjalanan daripada pelabuhan Ulee Lheue (Banda Aceh) ke pelabuhan Balohan (Pulau Weh) mengambil masa kira-kira 2 jam dengan menaiki feri. Sekiranya bernasib baik, pengunjung akan berpeluang untuk melihat ikan lumba-lumba melompat-lompat di permukaan air sepanjang merentasi perjalanan menuju ke Pulau Weh.


Terdapat empat pulau kecil yang mengelilingi Pulau Weh iaitu ; Pulau Klang, Pulau Rubiah, Pulau Seulako dan Pulau Rondo. Di antara keempatnya, Pulau Rubiah terkenal dengan pusat pelancongan menyelam skuba kerana keunikan terumbu karangnya. Kewujudan terumbu karang yang masih terpelihara menjadi habitat buat pelbagai spesis ikan dan hidupan laut. Ini sekaligus mewujudkan taman laut yang cantik dan menimbulkan bibit-bibit kekaguman terhadap keindahan alam ciptaan Allah S.W.T.


Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Pulau Weh lazimnya tidak akan melepaskan peluang untuk menyelam skuba dan berenang di pantai yang jernih airnya sambil menikmati keindahan panorama alam. 


Snorkeling di pantai Iboih


Saya memilih untuk tidur semalaman di sebuah teratak di pantai Iboih. Persekitaran Pulau Weh yang masih terpelihara akan flora dan faunanya memberi ketenangan buat para pengunjung. Udara yang segar dan faunanya yang begitu harmonis mendendangkan rima alam membuatkan saya lupa sebentar akan hiruk-pikuk kota.  


Pasar Atjeh Dan Keramahan Warganya


Para pengunjung yang ingin mendapatkan cenderamata daripada Aceh sebagai tanda kenang-kenangan boleh mendapatkannya di Pasar Atjeh yang terletak berhampiran dengan Masjid Raya Baiturrahman.


Pelbagai barangan boleh didapati di Pasar Atjeh. Antaranya pakaian, makanan, buku dan perhiasan diri. Terdapat juga peniaga jalanan yang menjual daun sirih. Budaya mengunyah daun sirih masih wujud dalam masyarakat Aceh terutamanya golongan veteran.


Keramahan penduduk Aceh memudahkan perjalanan saya sepanjang 6 hari di sana. Masyarakat Aceh tidak berasa berat tulang untuk membantu dan sentiasa tampil untuk memberikan pertolongan. Saya terasa akan manisnya persaudaraan sesama Islam.


Berkesempatan untuk mengunjungi beberapa buah toko buku dan membeli buku

Makanan, serta perkhidmatan pengangkutan dan penginapan tersedia untuk para pengunjung pada kadar yang berpatutan. Keindahan sawah padi yang menghijau terutamanya pada kawasan pinggir Banda Aceh turut menggamit pandangan saya. 


Tahun 2011 diisytiharkan oleh pihak pemerintah Aceh sebagai Tahun Melawat Banda Aceh, dengan bertemakan – A Spiritual Gateway Blessed With Natural Beauty. Kunjungan ke kota Serambi Mekah ini sudah tentu akan lebih bermakna seandainya pengunjung dapat menikmati keindahan persekitaran yang mendamaikan sambil memetik ibrah-ibrah sepanjang perjalanan yang mampu untuk membangkitkan keinginan bermuhasabah. 

Ahad, Julai 31, 2011

Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) Kelapan 2011


1. Alhamdulillah. Puisi saya yang berjudul Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu (yang disiarkan pada 3 Mei 2009 di Mingguan Malaysia) telah berjaya memenangi HSDT kelapan 2011 bagi kategori karya penulis remaja bawah 19 tahun.


2. Penyampaian hadiah telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada malam semalam (30 Julai 2011)




3. Sungguh - saya berasa begitu kerdil untuk menerima pengiktirafan tersebut. Saya tersepit di antara rasa pesimis dan optimis. Tentang mengapa wujud rasa begitu, itu biarkan saja hanya saya yang tahu.


4. Semoga pengiktirafan yang diterima ini akan membakar sumbu semangat saya untuk terus berfikir dan menulis sesuatu yang bermanfaat.


5. Bak kata Pak Pramoedya Ananta Toer, "Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian."


Pemenang kategori karya remaja bawah 19 tahun


6. Dan kata-kata Dr. Mawar Safei (yang memenangi 3 anugerah malam semalam) kepada kami (pemenang kategori karya remaja bawah 19 tahun) terngiang-ngiang di telinga saya: Kamu semua jangan berhenti menulis!


7. Jangan ini jadi pengakhiran.


keratan Berita Harian berkaitan pengumuman pemenang HSDT 2011




Rabu, April 27, 2011

Senyuman lestari


Senyuman lestari


Senyummu kugantung di langit
bersinar bersama kerlipnya bintang.

Senyummu kutambat di tiang setia kita
dengan tali-temali cinta
bagai manis janji kita berdua.

Senyummu ingin kucuri
dan kusimpan cermat dalam peti hati
lantas, kupatahkan kuncinya –
agar senyummu hanya jadi milikku.



Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor.


(Tunas Cipta, Mac 2011)


Selasa, Februari 15, 2011

Pertandingan Menulis Cerpen Islami





Pertandingan Menulis Cerpen Islami dianjurkan oleh Pelima Media Sdn Bhd.

Berminat?

Klik sini untuk maklumat lanjut.


Jumaat, Januari 28, 2011

Pusat Rujukan Persuratan Melayu



Satu hari - anda mahu menulis. Oleh kerana anda seorang yang begitu teliti dan mementingkan kesesuaian diksi - anda jadi bingung pabila tak dapat mencari perkataan yang sesuai untuk melengkapkan ayat. dan tika itu - tiada Kamus Dewan di sisi!


Oh - jangan risau. Ada laman web berguna daripada Dewan Bahasa & Pustaka untuk anda menyemak makna setiap perkataan.


Rujukan dalam PRPM meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah(Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan ( Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, tesaurus bahasa Melayu, kandungan laman WEB DBP dan kandungan laman WEB lain yang ditentukan oleh DBP. (dipetik daripada laman PRPM)








Katakan jika anda mahu mencari takrif 'buku', taip sahaja perkataan tersebut dan takrif 'buku' berdasarkan kamus akan dipaparkan. Takrif itu juga akan keluar bersama-sama dengan kata-kata lain yang mengandungi perkataan 'buku' pada takrif.





Lebih menarik lagi - akan turut dipaparkan bersama puisi-puisi yang mengandungi kata yang anda cari itu. Puisi tersebut dipetik daripada Kurik kendi merah Saga.


Juga dipaparkan peribahasa Melayu.





Laman web ini juga menyediakan takrif kata dalam bahasa Inggeris yang bersumberkan Kamus Inggeris-Melayu Dewan. Pendek kata ia memang berguna.






Sekali lagi - alamatnya http://prpm.dbp.gov.my/


Tandakan ia di bookmark - mungkin satu hari nanti anda memerlukannya!



nota kaki:
kredit kepada Kak Nasriah Abdul Salam yang memberitahu tentang laman web ini kepada kami ketika MPR 2009

Rabu, Disember 22, 2010

Sayembara Menulis Cerpen & Sajak

Sempena menyambut Jubli Intan ulang tahun yang ke 60 tahun Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan 40 tahun Gapena, IPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak bermula daripada 15 Disember 2010 dan berakhir pada 15 Mac 2011.


Sayembara ini dibuka kepada anak kelahiran negeri Melaka, tidak kira di mana mereka berada asalkan mereka dilahirkan di negeri Melaka. Bagi bukan kelahiran negeri Melaka, tetapi telah bermastautin selama 3 tahun di negeri itu layak menyertai samyembara ini.


Cerpen hendaklah hasil karya sendiri, bukan terjemahan, saduran atau apa-apa pengertian yang boleh menyebabkan karya itu tidak asli serta belum pernah diterbitkan dalam mana-mana penerbitan bercetak. Panjang cerpen sekitar 10-16 halaman, ditaip dengan kemas, menggunakan fon 12, langkau dua baris dan ditaip di sebelah halaman surat bersaiz A4.


Bagi sajak pula, panjang sajak tidak menjadi syarat mutlak, tetapi ianya hendaklah sekadar sesuai dengan pertandingan. Sajak hendaklah ciptaan sendiri, belum diterbitkan dalam mana-mana penerbitan dan ditaip dengan kemas menggunakan fon 12, langkau dua baris.


Tema bagi kedua-dua genre ini adalah bebas dan dipilih sendiri oleh penulis. Penulis boleh menghantar sekurang-kurangnya sebuah cerpen atau sajak, dan tidak lebih daripada tiga buah cerpen atau sajak. Semua penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan hendaklah sampai kepada urus setia pada atau sebelum 15 Mac 2011. Majlis penyampian hadiah dijangka akan diadakan pada bulan April/Mei tahun hadapan (2011), setelah panel hakim membuat keputusan. Keputusan hakim adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.


IPM mengharapkan seramai mungkin penulis kelahiran Melaka dan juga penulis yang telah 3 tahun bermastautin di negeri Melaka akan mengambil peluang untuk menyertai sayembara ini.


Maklumat lanjut boleh dilihat http://razaliendun.blogspot.com

Jumaat, September 03, 2010

Esei dan Drama



Seingat saya - kali terakhir saya menulis esei untuk pertandingan ialah pada Jun 2009, sempena Peraduan Mengarang Hari Kemerdekaan 2009 - Dewan Siswa. Esei tersebut - 'Harapan Anak Malaysia' boleh dibaca di sini.


Namun, esei tersebut hanya dihadkan kepada 300 patah perkataan sahaja. Tidak banyak perkara yang boleh saya ulas.



Sebelum itu - pada tahun 2008, saya pernah menulis untuk Pertandingan Mengarang Esei anjuran Standard Malaysia. Keputusan pertandingan tersebut tidaklah saya ketahui kerana saya tidak mendapat sebarang khabar daripada urusetia. Mungkin saja tidak berjaya menarik perhatian juri.


Assumption untuk menyedapkan hati - pemenang yang pernah menang pada tahun sebelumnya tidak boleh lagi menghantar penyertaan. Pada tahun 2007, esei saya menang untuk hadiah saguhati - kategori Bahasa Melayu (16-18 tahun) anjuran organisasi yang sama.



30 Ogos 2010 adalah tarikh tutup penyertaan bagi Perdana Essay Writing Competition. Sesiapa yang berminat boleh turut sama menyertainya.


Penyertaan terbuka kepada warga Malaysia berusia 18 hingga 25 tahun. Esei boleh ditulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa Inggeris lebih digalakkan.






Maklumat lanjut di sini.


Write on ONE of the titles below in 2,000 words or less:

1. Malaysia’s global competitiveness ranking dropped three places to 24 for the period 2009-2010. What do you understand to be global competitiveness and what do you think should be done to raise Malaysia’s global rank?
Tahap persaingan global Malaysia telah menurun ke tangga ke-24 dalam tahun 2009-2010. Apakah yang anda fahami mengenai persaingan global dan apakah yang harus Malaysia lakukan untuk meningkatkan tahap persaingannya?



2. In the latest Budget, the Prime Minister stated the goal for Malaysia to become a high-income economy. What do you think are essential ingredients for Malaysia to achieve high-income status?
Di dalam Bajet yang terkini, Perdana Menteri telah mensasarkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri utama yang perlu dimiliki oleh Malaysia bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi?



3. Vision 2020’s deadline is less than a decade away. Compare Malaysia’s current position with the aspirations of Vision 2020 and outline the most important gaps that need to be addressed for the nation to achieve the goals of Vision 2020.
Tahun 2020 akan menjelang. Bandingkan kedudukan semasa Malaysia dengan aspirasi Wawasan 2020 dan pastikan jurang-jurang yang kritikal yang mesti diberi perhatian bagi negara mencapai sasaran Wawasan 2020 tersebut.



Saya masih berfikir sama ada untuk menyertainya ataupun tidak.



Kemudian - pada 30 September 2010 adalah tarikh tutup bagi Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP. Borang penyertaan boleh dimuat turun di laman web DBP.


Terima kasih kepada Nurul Farehah yang memberitahu perkara ini semalam.



Saya mahu cuba menulis skrip drama. Cuba-cuba saja. Tentang format drama - saya sudah google semalam. Ada ditulis di sini.








Kepada sesiapa yang berminat - marilah kita sama-sama menyertai kedua-dua pertandingan ini. Jom kita!


Isnin, Jun 14, 2010

Cerpen mikro: Jintan Bertuah







Semua orang di Kampung Kepayang - tidak kira tua ataupun muda, pasti akan mengangguk tanda kenal (dan gerun) andai disebutkan nama Cik Halim Jintan.



Lebih-lebih lagi anak muda seperti saya.



Bukan kerana Cik Halim Jintan itu orang penting di kampung ini- tidak. Ketua kampung bukan, tok mudim pun pastinya bukan. Dia orang kebanyakan saja. Maksud saya, orang kebiasaan yang rutin hidupnya sama juga seperti orang-orang lain. Masanya banyak habis berlabun di kedai kopi berbanding dengan membanting tulang empat kerat di ladang pisang pusaka keluarganya.



'Jintan' di hujung namanya itu tidaklah saya pasti dan jelas akan asal-usulnya. Tidak pula saya temui pokok berdedaun halus, dengan bunga berwarna biru serta buah yang terbungkus di dalamnya biji-biji kecil - di sekitar rumahnya. Maka saya pasti dia mendapat gelaran itu bukan kerana dia si penanam jintan.



Tidaklah pula saya ada memeriksa dengan lebih giat - sama ada jintan itu ada ditanam secara hidroponik di ruang dapur. Ialah - mungkin ada inisiatif baru daripada Cik Halim Jintan untuk mempelopori tanaman itu selepas permintaan jintan meningkat mendadak gara-gara ada kajian mengatakan bahawa jintan boleh mencegah selesema H1N1.



Kesimpulan tidak konkrit daripada saya - Cik Halim Jintan digelar begitu kerana orang kampung sudah kehabisan topik untuk dibincangkan semasa di warung kopi. Sudahnya mereka menggelar-gelarkan orang ( seperti kami semasa di sekolah rendah- bezanya kami menggelar dengan nama ayah). Bahkan teori yang saya simpulkan untuk gelaran Cik Zainal Ginseng dan Cik Ilyas Cekur. Oh- orang Kampung Kepayang memang obses pada tumbuhan herba.



Tentang kegerunan yang selalu hadir apabila saya berselisih jalan dan bertembung dengan Cik Halim Jintan itu tidaklah dapat saya gambarkan dengan susunan kata-kata. Bukan saya seorang, bahkan teman-teman seusia juga mengakui wujudnya perasaan yang sama apabila mereka berada di tempat saya. Mereka bagai mahu menjadi semut kecil atau berharap bumi akan merekah dan pantas menelan mereka jauh agar mereka tidak kelihatan pada pandangan Cik Halim Jintan.



Cik Halim Jintan si kaki pukul?



Saya pantas menggelang. Cik Halim Jintan tidak ganas pada gerak fizikal. Cik Halim Jintan hanya ganas pada tuturnya. Cakapnya selalu berapi-api, provokatif, juga mengundang kemarahan si pendengar. Iyalah - lidah itu kan benda paling tajam, - bak kata Imam Ghazali. Lidah mampu menghiris juga mencincang hati manusia selumat-lumatnya.



Bahkan - bukan satu lagi rahsia buat seisi Kampung Kepayang bahawa Cik Halim Jintan memang suka menyindir (terutamanya anak muda seperti kami), memaki-hamun serta menganggap bahawa dirinya seorang saja betul. Obses pada diri sendiri!- keluh seorang teman sekampung saya, Lutfi.



Menurut Lutfi - dia ditahan oleh Cik Halim Jintan dalam perjalanan ke rumah tadi. Pantang lihat orang lain mahu senang sedikit- mulalah Cik Halim Jintan hendak bersyarah. Katanya anak muda di Kampung Kepayang ini tidak maju dan tidak berwawasan - suka melepak dan tidak pandai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.



Lutfi yang pantang dijolok emosinya itu datang mengadu kepada saya dengan muka merah padam - itulah orang dewasa, memang suka menyalahkan orang muda. Itu salah, ini salah - semuanya tak betul. Habis tu - orang dewasa sajalah yang betul? Orang muda hanya hasilan sistem yang direka oleh orang dewasa - bentak dia lagi sambil menghentak tangan ke meja.



Lihat Cik Halim Jintan itu - cakapnya bagai si tokoh dunia, namun ke warung kopi juga dia berlabun sepanjang masa. Kemudian- sering saja membuat kesimpulan dan menghakimi orang lain sesuka kati. Cik Halim jintan kata aku ini samseng jalanan kerana menyimpan rambut panjang. judgemental sungguh!



Amarah Lutfi lambat padam malam itu. Saya mendengar dengan penuh empati - sambil cuba menyusun butir bicara seterusnya.



Iya - dalam banyak perkara aku bersetuju denganmu Lutfi. Anak muda memang hasilan sistem yang diatur oleh orang dewasa - tapi kuasa ada di tangan kita untuk melihat generasi negara kita yang seterusnya menerima nasib yang lebih baik daripada sistem yang kita hadapi hari ini.



Dada Lutfi yang berombak kemarahan tadi mulai surut sedikit-sedikit. Lutfi kemudian berdiri - bagai hendak memulakan pidato.



Kau tahu Badrul? Anak-anak muda merupakan golongan yang terpenting dalam strata sosial masyarakat kerana kita merupakan pelapis kepimpinan masa hadapan. Segala kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan semangat dan idealisme merupakan hamparan pakej yang terhimpun menjadi senjata bagi bangkit menentang kezaliman, berdada dengan penguasa yang korup, menerjah segenap kepalsuan. Dunia ini akan menjadi milik anak muda juga suatu hari nanti. Mengapa mahu saling menyalahkan - andai kita sekarang gagal berbahasa dalam satu bahasa yang sama ?



Oh Tuhan! - Lutfi Bukhari berhujah di hadapan saya. Tidak saya sangka bahawa Lutfi ini diam-diam ubi berisi! ( saya juga judgemental rupanya!)


Lutfi anak Pak Bukhari ini saya kenal sebagai seorang yang pendiam dan tidak suka membentak. Provokasi Cik Halim Jintan petang itu punca saya lihat Lutfi marah memberontak buat kali yang pertama.



Aku, kau dan semua anak muda adalah penggerak perubahan. Lihat saja sejarah dunia. Dunia Islam sebagai contoh. Rasulullah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyyah serta sanggup berdada dan menyinsing lengan dengan penguasa-penguasa zalim. Saidina Abu Bakar, Uthman bin Affan, Zubir al Awwam dan Talhah Ubaidullah merupakan contoh-contoh pemuda berjiwa kental yang menggerakkan Islam ketika itu.



Hujah Lutfi itu buat saya terdiam.


Lutfi masih belum kering idea dan mahu terus berhujah- bagai melayan emosinya yang sedang meluap kemarahan. Saya mendengar saja - kata ayah orang sedang marah ini jangan dilawan cakapnya- biarkan dia tenang dahulu.



Sambung Lutfi lagi - kau ambil pula signifikannya anak muda ini dalam isu serantau- Indonesia sebagai contoh. Anak muda bernama Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yang telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji 'sang saka Merah Putih' - seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Oleh itu jangan terus memperlekehkan dan mengugut anak-anak muda.



Beri aku sepuluh pemuda, maka akan kugoncangkan dunia - kata-kata keramat dari Soekarno cepat melintas di fikiran saya.


Ya - aku setuju. Balas Lutfi cepat-cepat.



Bingit sekawan gagak yang mengerumuni sebatang pokok berhampiran buat kami sedar bahawa petang sudah merangkak ke senja. Tiada sebarang resolusi dari perbincangan kami - cuma kami tidak mahu jadi seperti Cik Halim Jintan. Tidak - maksud kami tidak mahu hanya pada sisi negatifnya.



Kami mahu jadi seperti jintan manis - rempah aromatik dengan rasa pahit dengan bau yang suam. Jintan manis akan buat makanan kami jadi lebih lazat - selain boleh diproses menjadi penawar - Habbatus Sauda - herba terkenal yang telah digunakan sejak sekian lama di Timur Tengah untuk membekalkan nutrisi kepada sistem pertahanan tubuh.



Kami mahu jadi anak muda yang berjiwa kental, mampu berfikir dan tidak mudah dimomokkan dengan kelunakan janji - juga mampu menjadi penawar yang memulihkan generasi sezaman.



Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran - harapan kami agar tidak terserempak dengan Cik Halim Jintan sewaktu berjalan pulang.


Khamis, Jun 03, 2010

Cerpen mikro: Matang








Di dalam kelas, Mudin duduk di sebelah Zainal. Zainal bukan orang lain. Rakan sekelas dia sejak tingkatan satu lagi. Segala macam ragamnya hanya Zainal seorang yang sabar menahan.


Pernah sekali Mudin 'curi' kasut Zainal. Bila Zainal keluar dari perpustakaan, dia tercari-cari akan kasutnya. Alahai- rupanya kawan sendiri yang ambil. Dia lari-lari tanpa kasut di kaki lima mengejar Mudin- sehingga ada senior perasaan. Sudahnya mereka berdua dimarah senior. Kata senior itu, cubalah jadi matang sikit!


Mudin jadi insaf - tapi hanya sekejap. Di lain hari dia ambil songkok di atas kepala Zainal sewaktu orang lain sedang siap-siap mahu ke kelas. Orang sudah lambat- warden sudah bising-bising di bawah- dia mahu main-main pula. Zainal jadi bengang - mahu rampas kembali songkok itu. Jerkah Zainal, Mudin boleh tolong jadi matang sikit tak?


Mudin senyap - mungkin terasa hati. Berhari-hari dia tidak tegur Zainal.


Suatu hari Zainal mahu mintak tolong Mudin- sangat terdesak. Tapi Mudin tidak mahu tolong. Mintaklah tolong dari orang lain, orang lain kan lagi matang- Mudin sudah jadi si perajuk.



Zainal pening kepala. Kalau dilayan- penat, kalau tak dilayan- serba salah. Zainal jadi keliru.


Sudahnya Zainal mengadu kepada Karim. Karim maki-maki. Semua orang mahu dibangkangnya - semacam dia seorang sajalah yang betul. Karim kalau bercerita tidak mahu kalah. Dia tidak mahu terima pendapat orang lain. Zainal salah, Mudin juga salah. Dua-dua tak matang. Zainal senyap-senyap sahaja.


Maka Zainal terpaksa jugalah mengalah. Takkan mahu terus berbahas pula?


Tapi Zainal tetap baik hati. Suatu hari geng nakal mahu buli Mudin. Zainal dapat tahu terus halang geng nakal itu. Zainal panggil Karim datang suruh maki geng nakal. Geng nakal jadi takut lantas terus berundur.


Mudin gembira - kemudian terus ke almari Zainal. Dia mahu sedikit makanan buat pengubat duka lara. Dia tahu Zainal sudah tidak marah padanya.



"Buat apa jadi matang, yang penting kita gembira." Kata Mudin sambil kunyah kerepek kentang.



Woha! - Zainal separa menjerit.





Related Posts with Thumbnails