Memaparkan catatan dengan label ?. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ?. Papar semua catatan

Rabu, September 18, 2013

Dari Negeri Fana Ke Negeri Baqa


Puisi
Dari Negeri Fana Ke Negeri Baqa


Di ruang masa
kita duduk bercerita
tentang hakikat musafir
yang bakal tiba ke garis sempadan
apabila sampai detik
yang masih rahsia.


Di negeri fana
tenangkan jiwa rusuhmu
yang liar merayau
ke wilayah nafsu.


Saat roh mengisi jasad
petiklah kuntum amal
di pesisir waktu
buat mengharum taman akhirat
sesudah kita pulang
ke negeri baqa.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor
November 2012

Sabtu, Mac 02, 2013

Catatan tentang politik kepartian


Apabila membicarakan tentang politik, ramai yang cenderung untuk melihat dalam perspektif politik kepartian.


Misalnya, Parti X dan Parti Y - ataupun Barisan X dan Pakatan Y. Hidup perlu buat pilihan dan saya telah pilih jalan tersendiri.


Pun begitu, saya perhatikan dalam setahun dua ini - terdapat kelompok anak muda yang 'membenci' politik kerana mendakwa politik negara sudah terlalu kotor dan cacamarba.


Mungkin mereka ada justifikasi mereka sendiri untuk berkata begitu. 


Pun begitu, pada hemat saya - orang muda, selain daripada terus melabel begitu-begini-begitu-begini, orang muda perlu mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa depan - agar lontaran perasaan amarah itu tidak hanya hadir dalam gelodak jiwa the young angry man - sebaliknya dipandu oleh rasa bertanggungjawab untuk sama-sama membina dunia yang lebih baik.


Entah kenapa - saya sebenarnya sedikit jelek dengan manusia yang kuat melabel dan menghentam begitu-begini-begitu-begini, tetapi gagal berfungsi dalam masyarakat dan tidak boleh diharap untuk membuat kerja. 


Orang muda perlu bersedia untuk berada pada posisi sepatutnya pabila tiba masanya. Bukan sahaja dalam arena 'politik', malahan bidang-bidang lain seperti sastera, budaya, agama dan sebagainya -  juga memerlukan idea dan tenaga perkasa orang muda - yang sudi bersinergi dengan bidang lain dan tidak kaku di 'kem' sendiri.


Kita kata pihak di sana begitu-begini-begitu-begini, tetapi diri sendiri tidak mempersiapkan diri untuk lebih  kompeten dan menjadi alternatif.


Itu ironis. 

Jumaat, Ogos 17, 2012

Catatan di perpustakaan



Engkau duduk di hadapan komputer riba – menaip semua ini. Perpustakaan daerah masih seperti dulu. Sama seperti kali pertama engkau melangkah datang ke sini; 15 tahun yang lepas. (Pegawai perpustakaan yang sama, susun atur rak buku yang sama, aroma buku yang sama)


Hidup pada zaman ini, kawan – adalah zaman pertembungan fikiran - yang sarat cabaran. Kepesatan teknologi lahirkan generasi bermaklumat (yang tidak semestinya generasi berilmu). Dan kerana itu engkau perlu miliki jiwa kritikal untuk menyaring lambakan maklumat dan nyatakan sikap sendiri - agar tidak hanyut dalam banjiran graduan yang sia-sia.


Engkau terkenang satu analogi mudah yang telah berulang-ulang kali didengar (kali pertama dibaca di bilik kaunseling sekolah rendah)


Ada seekor anak gajah yang baru ditangkap dari hutan. Ia ditambat pada satu tiang – guna rantai besi. Anak gajah itu cuba rentap rantai besi itu untuk lari dan bebaskan diri. Tapi tak berjaya. Ia cuba lagi – dan tak berjaya. Lagi dan lagi, tapi masih tak berjaya – sampai putus asa. Kesudahannya, anak gajah itu berhenti mencuba.


Masa terus berlalu – anak gajah itu telah dewasa dan membesar. Sebesar gajah. Ia masih  ditambat guna rantai besi yang sama. Kalau diikutkan kekuatan haiwan sebesar itu, boleh saja rantai besi itu putus direntapnya. Tapi gajah itu masih di situ kerana ia sudah berhenti mencuba dan ada pengalaman kegagalan silam. 


Analogi ini entah betul entah tidak. Engkau tidak pernah buat ujikaji untuk buktikan kesahihannya – pasal engkau tak pernah pelihara gajah di rumah.


Engkau kadang-kadang rasa, engkau terpaksa bayar harga paling mahal untuk menjadi mereka. (dan akhirnya engkau putuskan lebih baik jadi diri sendiri sahaja)


Dan kerana cerita-cerita lama, engkau (kadang-kadang) rasa lemah untuk teruskan peluang seterusnya. Betapa seorang manusia, tetaplah seorang manusia. Engkau ucap terima kasih banyak-banyak kepada kawan yang mengerti.


Entah apa yang engkau bebelkan, aku tak (pernah) peduli. Aku mau hidup seribu tahun lagi – Chairil Anuar.  


Berhenti bercita-cita adalah tragedi terbesar dalam hidup manusia. Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati. - Arai -  Andrea Hirata, Sang Pemimpi.


Sabtu, Jun 16, 2012

Tentang facebook,cuti,azam dan lain-lain perkara.


Beberapa hari lagi, semester 4 bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sedang saya duduki akan bermula. Cuti selama 3 minggu hampir tamat.


Menyelak lembaran diari yang ada memuatkan perancangan untuk tahun 2012 - saya membacanya dengan perasaan yang pelbagai. Memasuki suku ketiga tahun 2012, ada di antara perancangan tersebut telah  berjaya dicapai - dan tidak kurang juga masih dalam usaha pembinaan serta masih menempuh jalan panjang untuk dicapai.


Saya berpandangan bahawa saya perlu mengehadkan masa melayari facebook. Menjadi manusia yang memiliki simtom Facebook Addiction Disorder adalah sesuatu amat tidak cool. Sedikit pun tidak cool. Saya tidak perlu menjadi manusia yang mengetahui setiap gerak-geri dan perbuatan kawan-kawan saya. Misalnya, dia sedang makan apa dan apa perasaan mereka yang sangat titik bengik. Facebook diuruskan mengikut persepsi masing-masing.


Apa yang mungkin saya perlukan adalah perkongsian buah fikiran yang lahir daripada arus kesedaran tentang makna hakikat insani. 


Saya menyatakan sikap secara jelas mengenai hal ini melalui sebuah puisi yang telah disiarkan di Tunas Cipta  April 2012.


Puisi
Menyelongkar Malam

Kususuri lebuh maya
nan sarat suara sukma.

Sekumpulan manusia,
menggaul sebejana kata
dengan cacian ampuh
gelodak emosi amarah
atur fakta bercempera
untuk hidangan sekalian pembaca.
(Aku tidak semakin bestari,malah kian keliru kerananya.)

Kugapai naskhah ilmu
tulisan cerdik pandai bangsa,
kunikmati segar wacana
sebagai bekal kelam malam.

Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor

Tunas Cipta April 2012


Saya mengimpikan sebuah tidur malam yang nyaman dan tenang. Saya cuba mengelakkan untuk tidur dalam keletihan selepas membaca seribu satu kerenah dan pemikiran manusia di facebook. Saya berpandangan bahawa lebih cool sekiranya sebelum tidur - saya berletih-letihan membaca buku, menyelongkar khazanah pemikirannya, ataupun sekurang-kurangnya bermuhasabah diri dan menyusun atur aktiviti yang hendak dilakukan pada keesokan harinya.


Ataupun saya perlu sedar bahawa saya memiliki beberapa tanggungjawab untuk dilunaskan. Saya perlu belajar dan belajar untuk menghindari sikap bertangguh. Saya memiliki berbelas-belas (mungkin juga berpuluh-puluh) tajuk buku yang masih belum sempat saya hadami, selain beberapa manuskrip penulisan yang masih belum saya sudahi.


Menghabiskan masa terlalu lama di laman maya akan membuatkan saya kehilangan fokus.


Memasuki semester seterusnya mungkin boleh menjadi satu titik tolak diri saya untuk sesuatu perubahan yang  merealisasikan matlamat hidup untuk tahun 2012 - setiap hari adalah hari yang bermakna.


Idealistik, optimistik, realistik, energetik.



Jumaat, Februari 24, 2012

Perusuh



"Tok! Tok! Tok!"


Rusuh datang mengetuk pintu bilik saya pada tiap-tiap petang. Saya yang baru sahaja melayangkan badan di atas tilam empuk setelah menempuh deretan kelas yang padat sepanjang hari terpaksa juga bangkit membuka pintu (yang sebenarnya tidak berkunci).


Saya sudah masak benar – sekiranya tidak dibuka pintu itu, ia akan terus menerus memburu saya. Ketakutan kadang-kadang melintasi jendela kamar yang sentiasa terbuka, kerana saya tenang memerhatikan bukit hijau di balik bilik dan tidak mahu menutupnya.


Kadang-kadang, ketakutan ini menjadi raksasa yang berwajah hodoh lagi gergasi sifatnya. Saya sedaya upaya menahan diri supaya tidak takut kepada ketakutan, kerana dia sebenarnya hanya wujud dalam dunia ciptaan sendiri.


Ketakutan bergabung dengan dadanya yang merusuh - menganggu saya, 7 hari seminggu, waima semasa saya sedang larut dalam kelas Encik B sekalipun. Saya cuba untuk menendang jauh-jauh kedua makhluk ini kerana mereka menarik-narik fikiran (dan baju) semasa saya sedang letih berlari-lari anak mengelilingi kampus.


Sudahlah. Berkata jujurlah sajalah – apa yang kalian mahu?


Selagi tuan mengarak alasan, selagi itulah kami akan menuntut hasil yang pernah dijanjikan. Lakukan sekarang (walaupun sedikit demi sedikit) atau kami akan akan terus mengekori tiap jejak dan bayang. Kata perusuh itu.


Saya bungkam.



Selasa, November 01, 2011

Aksara I


Mereka mungkin fikir peristiwa itu kecil sahaja, sebenarnya tidak.


Ahh - Engkau sudah lelah sebenarnya bermain dengan segala bagai mungkin-mungkin yang ada. Sungguh - Engkau sudah terlalu lama melayan resah sehingga mensia-siakan waktu untuk bertindak.


Sebuah tembok tinggi entah dari mana tiba-tiba muncul di hadapan - menghalang perjalanan. Dan engkau termangu-mangu tidak tahu hendak buat apa. Seakan segalanya akan bermula semula.


Engkau berdiri tegak di hadapan tembok utuh itu - menanti ia roboh dengan sendirinya - tetapi ia tidak bersifat begitu.


Suatu malam - engkau bermimpi.
Engkau berada di satu kelas padat yang membingungkan dan engkau mahu segera putus asa. Engkau berlari keluar - laju-laju, pantas-pantas. Dan di pertengahan lorong - seseorang merangkul lantas mendakapmu. Dan dakapan itu adalah dakapan nyaman yang dirindu.


Ketika bangun (kerana tersentak) - ada manik jernik di tubir mata. Sungguh - engkau merindui regu.


Hendak memulakan kembali perjalanan setelah terjatuh (dan dijatuhkan) itu perit, dan engkau sedang belajar untuk segera sembuh.


Kita sudah terlalu lama menjadi remaja penakut kerana diugut manusia penggertak. Well - salahkah faktor lain itu tidak sihat sebenarnya.


Ketika semua sahabat sudah bergerak pantas ke hadapan - mempersiap diri untuk masa depan - menggilap permata menjadi bergemerlapan - engkau masih di lohong paling gelita ini.


Ini semua mengajar engkau menjadi seorang manusia realiti, yang tidak terawang-awang di dunia utopia.


Tempat seorang anak muda di dunia ini hanya untuk yang jiwa-jiwa sajakah?


Engkau tentukan.

Ahad, Oktober 16, 2011

Tentang meletakkan sikap


Antara perkara penting yang sedang saya fikir-fikirkan sekarang ialah meletakkan sikap, dan bagaimana saya pada 10 tahun akan datang?


Menurut tagline filem - tanpa keberanian, mimpi tidak bermakna. Kata saya pula - tanpa kesungguhan, impian tidak bermakna.


Dan bagaimana pula sekiranya dalam perjalanan menuju ke impian tersebut, kita terjatuh, terjatuh dan terjatuh lagi - lantas hilang semangat dan passion untuk terus maju?


Dan bagaimana pula sekiranya - semasa hendak meletakkan sikap tersebut - kita diusung dengan seribu satu perbezaan pandangan?


Bagi saya - antara cabaran bagi seorang generasi muda ialah perbezaan pandangan yang timbul di antara pelbagai pihak. Dan bagaimana kita hendak menangani semua itu?


Sungguh - saya rimas dan resah dengan fanatik sesetengah pihak yang hendak memenangkan idea mereka. Lebih-lebih lagi jika ia beremosi dan tidak bersandar kepada konsep ilmu.


Ataupun kita yang sebenarnya berdarah muda dan sukar untuk berlapang dada.


Kata seorang kawan - kita bergerak atas dasar kefahaman, bukan semangat. Menjadi manusia lalang memang mudah. Tetapi saya ialah lelaki perang yang sedang merusuh dadanya.


Bukankah kita sudah bersetuju untuk tidak bersetuju?


Kata Buya Hamka, kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapaknya penjajah.

Sungguh - engkau merasa kerdil kerana merasa kurang ilmu, kerana kurang membaca. Dan kekurangan ini buat engkau mahu terus berada di daerah selamat - mendiamkan diri.


Walhal - mendiamkan diri akan buat engkau terus dalam kitaran bebalisme, ketumpulan otak. atau kita yang telah hilang keupayaan untuk berfikir hal yang besar-besar?


Betapa sampai bila engkau hendak menjadi jurudengar dan jurufikir - bergeraklah untuk menjadi jurutulis dan jurubicara.


Dunia sedang memerlukan tenaga dan buah fikir anak muda. Tapi - anak muda yang bagaimana?


Khamis, September 29, 2011

Angka II


Sewaktu mula hendak menulis entri ini, saya terasa-rasa bahawa saya pernah menulis sesuatu tentang angka dan usia dalam entri sebelumnya.


Dan setelah diperiksa, ternyata telahan saya itu benar. Saya pernah menulis entri bertajuk Angka pada Januari 2011.


"Usia hanyalah angka. Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mengisi angka-angka tersebut." Kata guru sekolah menengah saya dahulu sewaktu mengiringi saya pulang daripada Pertandingan Anugerah NILAM peringkat negeri Johor 2007.


Dan Alhamdulillah, kemenangan dalam pertandingan peringkat negeri telah memberi peluangkepada saya untuk mewakili negeri Johor dalam Pertandingan Anugerah NILAM peringkat kebangsaan pada tahun 2007, bertempat di Kuala Lumpur.


Walaupun tewas dalam saingan peringkat kebangsaan, ia tetap sebuah pengalaman yang mengujakan. Dan sehingga hari ini, saya akan berasa semacam rendah diri jika menjadi alumni peserta pertandingan NILAM yang tidak terus membaca, atau sekurang-kurangnya menjadi seorang manusia yang malas berfikir, dan tidak mampu mengeluarkan pandangannya sendiri (berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai)


Dan itulah masalah saya.


Saya kadang-kadang seakan mahu bersetuju dengan teori sendiri bahawa manusia menjadi tertutup pemikiran kerana terlalu rendah tempat mereka berdiri. Oleh itu, mereka tidak melihat sesuatu daripada pada sudut pandangan yang luas. Bird view.


Kalau mereka berdiri di tempat yang lebih tinggi, menara misalnya, mereka akan dapat lihat sesuatu itu dengan lebih menyeluruh. Makanya, saya suka sekali jika kita memulakan melihat sesuatu itu daripada gambaran besar terlebih dahulu, sebelum turun ke gambaran-gambaran yang lebih kecil.


Setiap generasi ada cabarannya. Dan menurut seorang kawan, masalah kita pada hari ini adalah kemarau intelektual dalam banjiran graduan. Tentang apa itu definisi intelektual, tidaklah saya ketahui dengan sepenuhnya akan pengertiannya. Ketidakupayaan intelektual untuk mempengaruhi masyarakat adalah musibah buat kita.


Kata kawan itu lagi, kematian dan kehilangan tokoh-tokoh ilmuwan tidak diratapi dan dirasai oleh masyarakat (dan ditulis dalam ruangan yang kecil dalam akhbar), sedangkan kematian dan kehilangan figura-figura hiburan menjadi berita sensasi yang menggemparkan masyarakat (dan berita tentangnya mengisi penuh dada akhbar dan menjadi sebut-sebutan orang ramai berminggu-minggu lamanya)


Dan ketika angka-angka usia saya bertambah, apa yang perlu saya isi ke dalamnya?


Menjadi anak muda yang kurang pengalaman hidup - berdarah panas - gelojoh - tidak hemat - tidak taat - dan sering dilabel dengan pelbagai label (negatif) oleh masyarakat (warga tua) bukanlah satu rutin yang nikmat.


Dan kadang-kadang petikan kata orang Inggeris, Life Begin at 40 - selalu menari-nari di gendang telinga.


Bagaimana agaknya menjadi seorang lelaki pada usia 40 tahun? - Yang dibayangkan - emosi yang sudah stabil, kaya pengalaman, kewangan yang mulai stabil, sudah mencapai beberapa matlamat hidup dan beberapa lagi bayangan yang muluk-muluk.


Dan ketika usia sudah mendaki tangga 20, tika merenung dalam-dalam - pernahkan engkau menggeleng-geleng kepala - Istighfar - dan kemudian tergelak-gelak dan tersenyum sendirian mengenangkan kerja-kerja merepek yang pernah dilakukan - kesan daripada terlalu rendah tempat engkau berdiri dan kegagalan untuk melihat (meramal) masa depan.


Engkau selalu berada rendah diri kerana mengganggap engkau adalah seorang lelaki pengalah (loser), yang tidak punyai apa-apa bakat dan keistimewaan.


Betapa angka itu sedang engkau cuba isi sedikit demi sedikit, agar bila dewasa kelak - engkau menjadi seseorang yang memiliki.


Dan sepanjang hari ini - saya berharap (dan berdoa) agar PRU 13 diadakan lewat-lewat sedikit. 2 Januari tahun depan, saya mahu mendaftar sebagai pengundi. (1 Januari 2012 - Hari Ahad - Pejabat Pos tutup)


Ahh - lambatnya hendak mencicip angka 21 dan terlibat menentukan hala tuju negara.


Selasa, Julai 26, 2011

Semalam


Semalam

Ketika dia bercerita
tentang kisah duka kami
aku bungkam - keseorangan
terperosok di ruang (paling) gelita.


Kata orang -
alam itu guru terbaik
dan dari rimba peng-alam-an
yang ditebas semalam
akan lahirnya pujangga.


Walhal, bagi kami (yang luka ini)
Semalam ialah tetakan parang tajam
yang mencencang jasad (dan jiwa)
selumat-lumatnya.


Aduhai - apakah makna kehidupan,
buat mereka yang kecil jiwanya?



Aku
26 Julai 2011
LDP


Related Posts with Thumbnails