Sabtu, November 29, 2008

.Penukaran nombor.




.JANGAN NANTI.

MASA KUAT
BUAT AMAL IBADAT
JANGAN NANTI
SAKIT SANA SINI
BARU INGAT ILAHI


MASA SIHAT
RAJIN KERJAKAN SOLAT
JANGAN NANTI
UMUR DAH NAK PERGI
BARU SEDAR DIRI


MASA MUDA
CARI SEBANYAK HARTA
JANGAN NANTI
BILA USIA SENJA
MERAYAU MEMINTA-MINTA


MASA ADA
USAH MAIN KAYU TIGA
JANGAN NANTI
YANG ADA LARI
BARU GIGIT JARI


MASA MEWAH
INGAT WAKTU SUSAH
JANGAN NANTI
HARTA YANG ADA
HABIS SEKELIP MATA.



Puisi di atas ini bukan nukilan saya. Tertarik dengan puisi ini sewaktu membaca sebuah majalah, maka saya coretkan kembali di sini.

Cuti kolej sudah hampir seminggu bermula. Rutin kehidupan saya agak memenatkan akhir-akhir ini. Ada beberapa perkara yang harus didahulukan. Maka, tidak dapatlah saya menulis blog secara kerap.

Sebenarnya saya hanya ingin memberitahu bahawa saya sudah menukar nombor telefon bimbit. Sewaktu saya ingin melangkah masuk ke Popular Bookstore Tebrau City baru-baru ini, saya telah terserempak dengan skuad promosi celcom. Mereka menawarkan saya pakej yang lebih murah kepada pelajar sekolah dan universiti, pelan University of X (UOX) & School of x (SOX). Anda pasti tahu bukan?

Saya pun memilih salah satu nombor yang ada di dalam senarai mereka. Saya hanya dapat menggunakan pelan SOX kerana usia saya masih 17 tahun. Pelan UOX hanya untuk 18 tahun dan ke atas. Aduh!. Saya menggunakan pelan untuk pelajar sekolah!. Tidak mengapalah, yang paling penting adalah penjimatan yang dapat dilakukan.

Nombor lama saya:

019-73XX357

Nombor baru saya:

013-79XX359


Tidak banyak perubahan pada nombor ini. Rimanya masih serupa. Jika anda tahu nombor lama saya, pasti anda tahu nombor yang mengisi ruangan XX. Ruangan XX masih tidak berubah.

Saya masih tidak tahu sama ada hendak menggunakan nombor yang baru ini ataupun tidak. Akan difikirkan kelak samada penggunaannya adalah kekal ataupun tidak.

Harap maklum.


Sabtu, November 22, 2008

Monolog hujung minggu.





Semalam kolej saya mengadakan jamuan akhir semester.
Temanya, Kyuem Television Video Awards.

Namanya saja sudah jamuan, maka yang paling menarik pastinya makanan yang terhidang. Beraneka juadah yang tersedia malam itu. Pilih sahaja mana yang berkenan di hati.

Bersama kami pada malam itu selain para guru dan staf, adalah sekumpulan pelajar British daripada University of Bath. Sudah seminggu mereka bersama kami. Selepas malam itu, pulanglah mereka daripada lawatan ke kolej kami ini.

Seperti kebiasaan, tidak lengkaplah sebuah jamuan tanpa persembahan. Ada bebarapa tarian yang dipersembahkan malam itu. Antaranya persembahan kebudayaan masyarakat Malaysia dan persembahan tarian jalanan.

Mengenai tarian jalanan, saya sendiri kurang pasti akan ketepatan penggunaan frasa saya ini. Mungkin juga namanya tarian hip-hop ataupun 'breakdance'. Entahlah. Tidak mahu merunsingkan fikiran, saya gunakan sahaja frasa tarian jalanan. Pokok pangkalnya, tarian ini tidak berakar di nusantara. Lincah mereka menari. Ligat mengikut irama lagu rancak. Bingit juga kadangkala. Seisi dewan bersorak tatkala tarian ini ditarikan. Wah!. gembira benar mereka.

Pastinya tetamu-tetamu kami daripada British itu kagum dengan persembahan ini. Tarian jalanan itu kan datangnya dari barat. Bijak benar mereka mengekploitasi budaya kami, pasti itu bisik hati mereka.

"wah, pelajar kolej ini memang berbakat. menghargai tarian kami. menciplak kesenian kami. dasar pandang barat terlaksana di sini. inilah kemajuan!. awakesome! " getus hati salah seorang daripada mereka. ( ini imaginasi saya sahaja )

Inilah kemajuan?. wah, begini rupanya bentuk kemajuan. kemajuan harus berdansa. kemajuan mengharuskan hedonisme. baru saya tahu, ah! kolotnya diri ini.

Selepas tarian jalanan, ada juga persembahan daripada pelajar British. Mereka mempersembahkan sesuatu kepada kami. Mengujakan. Mereka berbeza daripada kami. Mereka membacakan sajak William Shakespears beramai-ramai di atas pentas. Tiada muzik rancak. Tiada juga tarian jalanan. Nampaknya kita ini lebih 'inggeris' daripada orang Inggeris itu sendiri. Lantaran itu, apa sebenarnya makna kemajuan?

Entahlah.

Saya? Jiwa saya kosong....


Jumaat, November 21, 2008

Penyahtinjaan Mencetuskan kebijaksanaan?




Menjengkelkan!

Pasti itu yang tersuara di hati anda jika anda melihat tajuk entri kali ini pada pandangan yang tipikal. Bagi masyarakat Asia khususnya, proses penyahtinjaan merupakan proses yang memerlukan privasi, dengan erti kata lain proses penyahtinjaan merupakan aktiviti yang paling individualistik.

Namun bagaimana pula ahli saintifik melihat proses ini daripada kacamata mereka?. Apakah manfaat tambahan daripada proses penyahtinjaan selain daripada menyingkirkan bahan kotoran daripada badan?. Dewan Kosmik edisi November 2008 telah mengulas ringkas berkaitan hal ini. Katanya, penyahtinjaan mencetuskan kebijaksanaan. Benarkah?. Atas faktor tertarik pada isu yang diketengahkan, saya ingin berkongsi dapatan ini pada anda semua.



Dalam catatan sejarah yang menarik, Albert Einstein menulis, " Saya agak kabur berkenaan perkaitan antara jisim, tenaga dan kelajuan cahaya. Saya tidak menghubungkan semua kuantiti fizik itu dalam satu persamaan yang bermakna. Pada suatu pagi, selepas minum secawan kopi, saya masuk ke dalam bilik air. Dalam kedudukan yang agak relaks, tiba-tiba muncul bayangan dalam fikiran saya bahawa entiti itu boleh disimpulkan menjadi E= MC2 ( teori relatif). Lantas saya mencatatkannya pada sehelai kertas tisu kerana selalunya apabila saya keluar sahaja daripada bilik air, saya terus terlupa apa-apa sahaja yang difikirkan tadi. Sejak itu, setiap kali memerlukan jawapan yang membuntutkan fikiran seperti mengingati nombor telefon atau mencari kunci yang hilang, saya akan terus ke bilik air. Ajaibnya, 94.37% daripada masalah dapat saya selesaikan dengan cara ini."

Nah. Terhidang satu persoalan di sini. Benarkah Teori Relatif itu terhasil sewaktu Albert Einstein berada di dalam bilik air?. Dalam laporan terkini majalah Real Man, kumpulan saintis dari Jerman mengegarkan dunia dengan kenyataan bahawa kebijaksanaan berkait rapat dengan penyahtinjaan. Hujah mereka lagi, semasa proses penyahtinjaan, kebijaksanaan manusia boleh memecut dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu antara beberapa saat sahaja. Malangnya, banyak antara kita tidak menyedari fakta penting ini dan menganggap penyahtinjaan cuma aktiviti bagi melegakan perut sahaja. Satu aplikasi ringkas, pernahkan anda merasai pengalaman unik memperoleh ilham sewaktu sedang melakukan penyahtinjaan?.

Menurut penyelidik itu lagi, banyak manusia lain yang mendapatkan inspirasi baharu yang hebat sewaktu sedang melakukan penyahtinjaan. Mereka juga percaya, seorang bayi mungkin dapat menyebut perkataan pertama sewaktu sedang meneran najis. Namun saintis berkenaan memberikan beberapa panduan dan syarat bagi memastikan kejayaan proses ini.




Pertama, jangan mengambil masa terlalu lama di dalam bilik air kerana aroma yang kurang enak dihidu mungkin mempengaruhi kesan pemikiran kita. Kedua, waktu yang terbaik bagi melakukannya adalah pada waktu awal pagi. Walaupun saintis itu sendiri tidak dapat menjelaskannya secara terperinci, mereka percaya mungkin ada sesuatu yang harus dilakukan bagi meningkatkan keupayaan otak secara meditasi dan aktiviti rutin selepas bangun tidur. Akhirnya, proses ini cuma berkesan hanya sekali dalam sehari. Maka, saintis menyimpulkan bahawa hasil terhebat yang boleh dicapai ialah sebaik-baik sahaja tinja pertama keluar dari perut pada hari-hari tertentu sahaja.

Segala fakta dan dapatan kajian yang saya tulis di atas ini bukannya kata-kata daripada saya. Saya tulis kembali berdasarkan bacaan rencana di majalah Dewan Kosmik. Terpulang pada anda untuk mempercayainya atau tidak. Saya pasti mereka menulis daripada kacamata saintifik. Dari sudut pandangan agama Islam pula, apabila berhadapan dengan masalah, umat Islam disarankan bersolat sunat dua rakaat. Hal ini kerana, solat itu sendiri akan mencetuskan ketenangan dan seterusnya meningkatkan kebijaksaan. Dalam satu kajian yang lain, didapati apabila manusia bersujud, darah-darah akan mengalir ke dalam pembuluh darah di otak. Pada posisi yang biasa, darah tidak akan mengalir ke bahagian itu. Kemasukan darah ke bahagian pembuluh darah tersebut akan mencetuskan ketenangan dan kebijaksanaan. Wah!. Bijak benar ALLAH menciptakan hambaNYA.

Kesimpulannya, semua ciptaan yang telah dijadikan mempunyai hikmah besar yang tersembunyi dan boleh mempengaruhi kehidupan manusia, cuma kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran kita bagi memikirnya.

Wallahualam.


Ahad, November 16, 2008

Tangisan marhaenis.





Dalam lambakan kebejatan filem-filem cacamarba barat, mujur masih ada sutradara yang menaruh harapan untuk menerbitkan filem yang berpaksikan fitrah. Itulah kenyataan yang saya perolehi pada hujung minggu ini.

Saya berpeluang menonton filem 'Children of heaven' di Musolla As Saad pada hujung minggu ini. Tahniah kepada pihak Musolla Community ( MuscoM) yang telah mengadakan aktiviti yang menarik ini. Moga ia menjadi salah satu medium dakwah yang berkesan.

Seawal filem ini ditayangkan, saya sendiri kurang jelas akan jalan ceritanya. Melihat pada tajuknya, tiada apa yang dapat saya gambarkan. Mungkin ia hanya kisah kanak-kanak yang mencari erti sebenar kehidupan. Demikianlah taakulan ringkas saya. Filem ini merupakan sebuah filem keluaran Iran pada tahun 1997 . Ia telah dicalonkan sebagai salah satu penerima Anugerah filem asing terbaik untuk 'Acedemy Award' pada tahun 1998. Satu gambaran awal yang agak menakjubkan bagi saya.



Baiklah. Seusai menonton, barulah saya memahami mesej yang cuba dibawa oleh saudara pengarah. Tuntasnya, filem ini mengisahkan tentang 2 orang adik-beradik, Ali dan Zahra. Mereka membesar dalam keluarga yang miskin. Kesusahan hidup yang mengiringi setiap denyut nadi menyebabkan mereka cekal menghadapi hari mendatang.

Titik permulaan konflik bermula pada sepasang kasut. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, Ali secara tidak sengaja telah menghilangkan kasut Zahra yang baru sahaja diperbaiki. Hal ini menyebabkan Zahra, adik perempuan kepada Ali, kesedihan. Namun mereka mengambil keputusan untuk merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ibu bapa mereka. Mereka tahu bahawa bapa mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli kasut baru.

Masalah timbul apabila Zahra tidak mempunyai kasut untuk ke sekolah. Penyelesaian yang diambil adalah Ali dan Zahra bergilir-gilir menggunakan kasut yang sama. Zahra menggunakan kasut Ali untuk ke sekolah, manakala Ali menunggu Zahra pulang ke rumah dahulu sebelum pergike sekolah. Zahra bersekolah pada waktu pagi manakala Ali pula pada waktu tengahari. Zahra sering kali terkejar-kejar untuk pulang ke rumah bagi menyerahkan kasut yang dipakainya kepada Ali. Jarak sekolah mereka yang agak jauh meyebabkan Ali selalu terlewat untuk ke sekolah.

Keadaan ini berterusan untuk satu jangka masa yang agak panjang , sehinggalah pada suatu hari Ali menyertai pertandingan marathon sejauh 4 kilometer. Hadiah yang ditawarkan agak lumayan. Ali mahu memenangi tempat ketiga kerana hadiah yang ditawarkan pada kedudukan tersebut adalah sepasang kasut. Maka, sewaktu hari pertandingan Ali berlari dengan pantasnya. Bermula pada kedudukan di belakang, Ali memotong seorang demi seorang pencabar untuk berada di kelompok hadapan. Tanpa mengenal erti putus asa Ali terus berlari dan berlari. Biarpun pada satu masa dia telah terjatuh gara-gara ditolak pencabarnya, dia lantas bangkit dan meneruskan larian. Dia sering membayangkan adiknya yang kecewa kerana kehilangan kasut. Di garisan penamat, Ali secara tidak sengaja telah memenangi perlumbaan tersebut. Namun bukan itu hasrat hatinya kerana hadiah yang ditawarkan pada kedudukan pertama bukannya kasut yang diidam-idamkan selama ini.

Filem ini berakhir dengan kekecewaan Zahra kerana tidak dapat memiliki kasut yang dijanjikan oleh Ali. Satu pengakhiran yang agak tergantung pada kacamata saya. Namun menurut blog muscom, terdapat babak akhir di mana bapa mereka telah membelikan Ali dan Zahra dua pasang kasut baru. Entahlah, mungkin saya terlepas pandang.



Menonton filem ini memberikan pelbagai pengajaran berguna kepada khalayak umumnya dan kepada saya khususnya. Dalam keasyikan kita mengejar kemewahan dunia, kadang-kala kita terlupa pada golongan yang tidak senasib dengan kita. Bukan semua manusia dilahirkan dengan limpahan kemewahan, ada juga yang bergelut dengan kefakiran. Anda kini terhidang dengan makanan yang serba serbi mencukupi, namun di suatu tempat yang lain mereka bertarung dengan kebuluran. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Mungkin ujian kepada kita berbeza. Mereka diuji dengan kesusahan, namun kita diuji dengan kesenangan. Segala-galanya bergantung pada setiap jasad tubuh masing-masing.



Dalam keriuhan kita bersorak bergembira, pasti ada insan bergundah-gulana. Inilah fitrah kehidupan. Saya terkenang pada sepotong mutiara kata. Kurang pasti akan susunan ayat yang sebetulnya. 'Saya menangis kerana tidak memiliki kasut sehinggalah saya melihat insan lain tidak memiliki kaki'. Ya, memang benar kita ditimpa musibah, namun bersabarlah kerana di suatu tempat yang lain masih ada insan yang ditimpa musibah yang lebih teruk daripada kita. Takdir sedang berbisik. Semalang manapun kita, pasti masih ada insan yang lebih malang di luar sana.

Saya ini tidaklah pandai menghasilkan review filem. Jikalau anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang filem 'Children of heaven', gerakkan kursor tetikus anda pada link yang saya sertakan ini.

Children of heaven : wikipedia

Saya akui bahawa saya bukanlah penonton filem yang tegar. Hanya sesekali sahaja menonton apabila berkelapangan. Filem Children of Heaven ini boleh diklasifikasikan sebagai sebuah filem yang menarik. Jalan ceritanya mudah, mengangkat nilai manusiawi. Terkenang pula saya pada sebuah filem keluaran Indonesia, Kiamat sudah dekat. Saya tertarik pada nilai kemanusiaan yang diketengahkan. bagaimana kita mentafsir keikhlasan?. Keikhlasan itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada waktu malam yang kelam. Ia ada tetapi sukar dilihat pada pandangan mata.

Menonton filem terbitan luar negara yang masih berpaksikan fitrah dan mengangkat nilai manusiawi mencetuskan keinsafan kepada diri yang kerdil ini.

Filem Malaysia bila lagi?


Sabtu, November 15, 2008

Kebosanan yang menjengah..







Hari ini hari Sabtu .
Senario yang sama akan berulang kembali. Saya sendirian di chalet. Kebosanan yang sangat hebat mengetuk pintu hati. Hendak menulis blog tetapi ilham tidak kunjung tiba. Maka, saya berkelana ke blog rakan-rakan yang lain. Kebelakangan ini mereka gemar ber'tag'. Menarik juga ya. Memandangkan tiada siapa yang meng'tag' saya, saya pun meng'tag'diri sendiri...


1. apakah benda yang paling penting dalam hidup kamu?
* saya sendiri kurang pasti...

2. apakah benda terakhir yang anda beli dengan duit sendiri?
*saya xde duit sendiri lagi..semua duit subsidi..

3. dimanakah tempat perkahwinan impian anda?
* Erk, belum merancang lagi..akan difikirkan kelak..

4. berapa lama anda rasa hubungan anda akan berkekalan?
*hubungan ape? x faham la...pass!

5. adakah anda sedang dilamun cinta?
* saya sedang berusaha untuk mencintai ekonomi..

6. dimanakah restoran terakhir anda makan malam?
* kafe..

7. namakan buku terakhir yang anda beli?
*kurang pasti..Dewan Masyarakat Oktober 2008 rasanya..'Malam Kuala Lumpur semakin menggila'..

8. apakah nama penuh anda?
* menurut IC..MUHAMMAD SYUKRI BIN SAPUAN..No IC pun nk jugak ke? 910101-01-xxxx


9. anda lebih senang dengan mak atau ayah?
*saya tidak pemilih orangnya..


10.namakan seseorang yang anda mahu jumpa buat pertama kalinya dalam hidup anda.
* sape ek? A Samad Said boleh kot..tp saya pernah jumpa dia dahulu..mahu jumpa lagi..

11.christina atau britney?
* Erk! Sokonglah industri muzik tempatan!


12.adakah anda mencuci pakaian anda sendiri?
* yap! tidak mahu ulas panjang perkara ini.


13.tempat yang paling seronok anda mahu pergi?
* tidak tahu. saya berharap House Trip Diamond 2009 akan menjadi percutian yang seronok . itu sahaja harapan saya. Maaf jika saya tidak dapat menjadikannya sehebat yg anda gambarkan..


14.pelukan atau ciuman?
* Erk!


15.butirkan 5 perkara tentang orang yang tag anda.
* saya tag diri saya sendiri...pass!!

16.8 perkara yang amat saya gilai:
* merayau
* blog
* sajak usman awang
* magazine
* penulis puitis
* kebajikan
* makan
* sendirian



17.8 perkataan yang sering dicakapkan:
* ha, menarik!
* aisy.. * tenang..tenang.. * hekeleh.. * pehh.. * eh.. * ciss.. * haa..


18.8 buku paling terbaru yang dibaca:
* Warisnya kalbu- Sri Rahayu mohd Yusop
* Detektif Indigo- Faisal Tehrani
* Dewan Masyarakat Mac-Jun 2007
* Advencer Si Peniup Ney- Faisal Tehrani
* Reader Digest
* komik Berani Gagal-Billi P.S. Lim
* La Tahzan
* karya Nan Indah-Faisal Tehrani

19.8 lagu yang boleh didengar berulang ulang kali:
* semalam yg hangat
* andai ku tahu- Ungu
* standing in the eyes of the world
* mencari yang Maha Satu- UNIC
* pelangi petang-Sudirman
* sesungguhnya-Raihan
* Lihatlah- Faizal AF5


20.8 perkara yang saya belajar tahun lalu:
* kelegaan selepas pertukaran sesi Badan Kepimpinan Pelajar..
* saya tidak harus belajar last minute
* dalam dunia ini ada pelbagai ragam manusia..
* jangan berdebat dgn orang yang emosinya tidak stabil
* jangan menilai manusia pada pandangan mata..
* berfikir sebelum bertindak
* banyakkan mendengar daripada bercakap
* jangan memandang rendah keupayaan orang lain..
* Islam lemah kerana kita gagal menghayati ajaran yang digariskan..


"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui tetapi kamu tiada mengetahui.."( Al-Baqarah: 216)





Related Posts with Thumbnails