Isnin, November 11, 2013

Ulasan buku : Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang






Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang (SBPUBK) ialah himpunan artikel tulisan sdr. Zul Fikri Zamir berkaitan kritikan terhadap pendidikan, politik dan sosiobudaya. SBPUBK diterbitkan oleh DuBook Press dengan kata pengantar oleh Faisal Tehrani. 



Saya mengenali susuk nama penulis sebelum buku ini dilancarkan, melalui rencana-rencana yang disiarkan di portal berita The Malaysian Insider. Justeru, beberapa artikel beliau di dalam SBPUBK telah pun saya baca sebelum ini. Ketika video peristiwa Kak Sharifah Zohra Listen berjejeran di garis masa media sosial, sdr Zul Fikri menulis sebuah artikel di portal Projek Dialog dan artikel tersebut mendapat respon yang cukup hangat daripada pembaca.



Tajuk buku yang catchy - memungkinkan khalayak tertarik untuk terus membelek dari kulit ke kulit. Tulisannya dibahagikan kepada empat tema iaitu Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik & Sosial dan Kritik Teater. Membaca pada judul bukunya - pasti ramai yang menyangka bahawa buku ini berkisar tentang sistem pendidikan formal semata, walhal penulis membawa pembaca merenung sisi-sisi lain kehidupan yang turut memberi kesan kepada pemikiran dan tindakan. Contohnya, kritikan terhadap jati diri, budaya berfikir generasi Y; dan betapa teknologi  yang memudahkan tak semestinya memandaikan pengguna. 



Hal pendidikan merupakan perkara besar yang memiliki daya tarikan untuk terus dibincangkan; dan boleh dilihat dari kaca mata yang pelbagai - sama ada di pihak pemerintah yang menerima mandat, kementerian & jabatan bertanggugjawab, guru-guru pelaksana dasar,  murid-murid (tikus putih?), ibu bapa, pihak industri, masyarakat dan pelbagai lagi. Semua pihak mempunyai sudut pandang tersendiri untuk menyuarakan pandangan. 



Intipati utama buku ini  dapat disimpulkan pada perenggan berkenaan fungsi mahasiswa. Penulis percaya bahawa ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian, graduan paling bermanfaat ialah graduan yang kembali kepada masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah negara. Seterusnya, penulis menyarankan pembaca agar menghayati fungsi sebenar mahasiswa - iaitu melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan diri dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan tertindas. 



Selaku penghuni dunia pendidikan, saya melihat kewajaran pada premis yang dikemukakan. Pengalaman selama 7 tahun di dalam organisasi arus perdana (baca: main stream) di 3 institusi pendidikan telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, bekerja dan bercampur dengan dengan pelbagai jenis manusia - dari pelbagai ragam, latar belakang, kecenderungan, jalur pemikiran dan seumpamanya. 



Dan lazimnya, apa yang saya cari daripada pertemuaan-pertemuan ini ialah manusia yang mampu untuk menyatakan sikap, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tak mementingkan diri dan berfungsi di dalam komuniti. 



Tujuan pendidikan - pada pandangan saya; ialah melahirkan manusia yang memiliki cita-cita dan obsesi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Berdasarkan pemerhatian - terdapat kecenderungan dalam kalangan graduan 'Universiti facebook & twitter' (baca: pengguna tegar media sosial) untuk tidak menggemari perbahasan berat, tidak membaca secara kritis, gagal membaca di dalam konteks dan hanya lincah menulis di papan kekunci. Walhal - medan buat lebih luas daripada medan cakap. Dan lebih malang lagi, media sosial menjadi satu-satunya jendela untuk mereka melihat dunia. 



Pendidikan tanpa penerapan nilai dan pemujaan pada material cuma akan melahirkan warganegara tanpa jiwa. Saya percaya kepada peranan agama, bahasa, sastera, budaya, falsafah dan sejarah untuk membentuk insan yang miliki jati diri dan memahami makna kehidupan. Malangnya, andai cuma perkara-perkara yang ditanya di dalam peperiksaan yang menjadi rutin harian, adakah kita miliki peluang untuk mendalami dan merenung dalam-dalam ke dalam diri - apakah sebenarnya akar jati diri ini?



Kerana itu sebenarnya terdetik kerisauan; tatkala melihat angka statistik-statistik yang mencanak naik dalam kalangan warga muda. Contohnya; peratusan kes penceraian, kes kesihatan mental, kes jenayah juvana serta kes muflis. Adakah sebenarnya pendidikan kita gagal membentuk insan?



Selain soal pendidikan, sdr Zul Fikri dalam SBPUBK turut menyuarakan pandangannya berkenaan hal-hal politik semasa - terutama pada bab politik dan sosial. Antara yang disentuh isu air di Selangor, BERSIH 3.0, kejatuhan mata wang Euro di Eropah dan kontroversi Mat Indera. 



Saya percaya bahawa masa depan yang mencabar ialah milik kita semua. Tugas mengurus Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, taraf sosioekonomi dan jalur pemikiran - suatu hari nanti akan diserahkan jua pada generasi hari ini. Terlalu banyak jurang yang perlu dirapatkan. Saya masih percaya pada peranan politik (walau kadang-kadang skeptikal), dan dalam masa yang sama NGO dan masyarakat sivil perlu berperanan mengisi ruang ketiga.



Seperkara yang menarik perhatian saya ialah keprihatinan penulis untuk menyuarakan pandangannya terhadap sistem di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang pernah beliau duduki. Walaupun sesetengah pandangan penulis agak liar dan buas, saya menganggap bahawa kritikan tersebut lahir daripada kaca mata graduan IPG yang ingin melihat sistem IPG sentiasa ditambah baik dan penaiktarafannya tidak bersifat kosmetik semata-mata.


Dua artikel yang agak vokal berkenaan IPG boleh dibaca di sini dan di sini.


Dalam sesetengah isu yang diketengahkan, saya berpandangan bahawa contoh kes yang diberikan hanya berlaku di sebilangan kampus dan tidak mewakili keseluruhan sistem IPG. Berdasarkan perbincangan bersama pimpinan di beberapa IPG, saya dapat membuat kesimpulan bahawa gaya kepimpinan pihak atasan akan mempengaruhi corak perjalanan di kampus. Bukan semua IPG peraturannya ketat dan bukan semua HEP menghalang buat begitu dan begini.   



Pun begitu, saya bersetuju dengan penulis dalam beberapa perkara, terutama tentang idealisme yang perlu dimililki oleh IPG. IPG perlu segera menjalani perubahan setaraf dengan misinya -  Melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia.



Pada pandangan saya, ada beberapa cabaran yang dihadapi oleh IPG, ataupun lebih tepat lagi mahasiswa di IPG. Pertama, pengambilan terus mahasiswa daripada sekolah selepas SPM - mungkin menyebabkan IPG sejak sekian lama masih terikut-ikut pada budaya di sekolah/asrama. Ini disebabkan mereka tidak dapat menjenguk ke persekitaran luar bidang pendidikan. Yang kedua, kekangan kuliah yang padat daripada pagi hingga ke petang menyebabkan mahasiswa letih dengan rutin seharian. Yang ketiga, jaminan penempatan selepas tamat pengajian (walaupun ada polemik mengatakan begitu dan begini) yang mungkin menyebabkan mahasiswa bersikap ala kadar dan tiada inisiatif untuk memajukan diri. Mana-mana program/projek yang tidak terkandung di dalam pra-forma/silibus amat sukar untuk mendapat khalayaknya. Betapa kadang-kadang, kehidupan berorientasikan markah ini menyerabutkan.



Saya tidak pernah belajar universiti. Pengalaman melihat 'dunia luar' saya sebelum ini mungkin cuma di sebuah kolej persediaan di Selangor pada tahun 2008-2010. Maka tidaklah dapat saya membuat pertimbangan yang setara untuk membanding bezakan sistem IPG dan universiti.



Kepada teman-teman daripada IPG yang membaca tulisan ini, anggaplah tulisan yang dikemukakan sebagai satu cabaran untuk mempertingkatkan potensi diri. Tempoh masa latihan selama 5 tahun setengah secara relatifnya sememangnya pendek jika hendek dibandingkan dengan usia perkhidmatan yang boleh menjangkau lebih 30 tahun nanti. Namun tempoh persediaan ini amat penting untuk membina diri. Bagaimanakah agaknya pendidik yang kontang fikirannya mampu mengalirkan empangan intelek untuk ditadah oleh anak muridnya yang dahagakan ilmu?



Sistem menjadi penjara kerana kita yang kadang-kadang memilih untuk memenjarakan diri. Peluang terbentang luas tetapi yang kita lakukan cuma menelurkan alasan untuk sebuah eskapisme. Betapa - kerja mengubah sudut pandang ini bukan satu tugas yang senang. 



Membaca Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang - fikiran saya terkenang-kenang kepada beberapa bahan bacaan. Mungkin boleh disyorkan sebagai bahan tambahan. Untuk buku, saya terkenang pada buku Minda Tertawan tulisan Raja Ahmad Aminullah dan Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad tulisan Dr Riduan Mohd Nor. Juga pada pengisian kuliah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.



Untuk bahan bacaan di internet, saya sarankan dua artikel tambahan. Pertama - artikel 'Timbunan Mayat pada Hari Konvo' di MarwanBukhari.com dan 'Sindrom Mediocrity Dalam Sastera' tulisan SM Zakir. 



Saya percaya bahawa kita miliki banyak cara dan alternatif untuk bertindak. Telah saya pilih jalan saya sendiri. Apalah gunanya berterusan menyumpah kegelapan, tapi diri sendiri tak mampu menyalakan cahaya untuk menerangi persekitaran.


Indoktrinasi di mana-mana. Bezanya cuma, kita pilih untuk jadi mangsa yang bagaimana?

Selasa, November 05, 2013

Catatan tentang Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan 2013


Jumaat lepas - ialah hari penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan untuk tahun 2013. Dan Alhamdulillah, sebuah karya saya merangkul HSDT 2013 untuk kategori cerpen eceran. 


Saya menyemak kembali dokumen-dokumen lama. Untuk HSDT 2013,  saya menghantar 6 karya untuk penilaian - 5 puisi dan sebuah cerpen yang disiarkan di media sepanjang tahun 2011 & 2012. Saya tidaklah meletakkan harapan yang menggunung tinggi memandangkan Johor miliki ramai karyawan mapan. Cuma mahu cuba-cuba sahaja tanpa menyangka ada rezeki yang tiba.




Cerpen 'Jalan Keluar Untuk Mangsa' yang menang kali ini disiarkan di Tunas Cipta Jun 2012. Temanya tentang mangsa budaya. Saya cuma menulis kembali monolog-monolog yang bersipongang di jiwa tatkala melihat satu demi satu akar jati diri mereput. Globalisasi datang dan kita langsung tidak membina tembok.


Memasuki kira-kira tahun kelima kepengarangan (saya bermula dengan Minggu Penulis Remaja 2009), saya akui bahawa momentum saya tidaklah begitu mantap. Kadang-kala lesu dan ada juga turun naiknya. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan fokuskan.


Tahun 2013; tahun yang agak meletihkan - dengan tugas-tugas organisasi, praktikum, birokrasi dan seumpama dengannya. Pun begitu, ini semua saya anggap sebagai latihan mengurus waktu dan keutamaan untuk keperluan masa hadapan.


Dan saya sedang mengumpul kekuatan.




Selain penyampaian hadiah, turut dilancarkan ialah antologi pemenang untuk Hadiah Sastera Darul Ta'zim kelapan 2011. Judulnya kali ini - Tanah Amanah, mengambil nama salah satu puisi eceran yang menang pada tahun tersebut.


Salah satu puisi saya - Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang menang dalam kategori puisi bawah 19 tahun turut dimuatkan dalam antologi tersebut. 


Banyak kenangan pada puisi ini - termasuk menjadi batu tanda mula saya dalam dunia kepengarangan. Puisi ini merupakan karya pertama saya yang disiarkan di media - iaitu di Mingguan Malaysia pada 3 Mei 2009. 




Untuk cuti semester yang bakal tiba, ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan. Salah satunya -  tugasan susulan  Projek Kembara Penulis Muda ke United Kingdom pada Mac 2013.


Masih ada perjuangan yang belum selesai.

Isnin, Oktober 28, 2013

Menikam Kelesuan


Puisi
Menikam Kelesuan


Lesu yang pernah membunuh
mimpi-mimpi bangsaku
mendekat lagi
membisik bicara halus
menghasut getar jiwa,
lekas merasa puas diri
walau sumbang atur pencaknya.


Lesu tiba menawarkan
nikmat selesa sementara
sedang dunia nan tenat
merintih di tubir zaman
menanti penawar bejat
dari kudrat tangkas pemuda.


Betapa – berasa lemah,
berjiwa kecil,
bermalas-malas
berlengah-lengah
bukanlah watak penakluk jagat
yang dihikayatkan leluhur.

Dengan langkah pendekar
kuhunus taming sari
menikam kelesuan durjana
yang membebat sukma.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor

Jendela Selatan Bilangan 35 (April 2013)

Khamis, Oktober 10, 2013

Catatan tentang program khidmat masyarakat


Beberapa minggu yang lepas - saya mengikuti (ataupun lebih tepat - menguruskan) program khidmat masyarakat di Kampung Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor. Program ini untuk memenuhi tuntutan kursus Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan. Pensyarah memberikan kebebasan kepada kami dalam banyak perkara - dari aspek pemilihan tempat, aturan aktiviti, belanjawan dan seumpama dengannya.


Alhamdulillah - salam perkenalan yang dihulur oleh Encik Azmi - setiausaha JKKK Kampung Tanjung Sedeli, yang juga ahli rombongan saya sewaktu di tanah suci sewaktu Jun 2012 sangat banyak memudahkan kerja. Bermula dengan sesi kunjungan ke rumah beliau untuk mengemukakan cadangan program, tinjauan tapak, gerak atur kerja dan sebagainya telah kami lakukan bersama.




Sepanjang di IPG kampus Tun Hussein Onn, ini merupakan kali keempat saya mengikuti program khidmat masyarakat - yang mungkin berbeza daripada segi nama, modul dan konsep namun tetap sama matlamatnya. Bermula dengan di Kampung Sungai Bunyi, Pontian (2011), Felcra Sekijang, Segamat (2012), Kampung Johor Lama, Kota Tinggi (Jun 2013) dan Kampung Tanjung Sedeli, Kota Tinggi (September 2013). Pelbagai posisi telah diduduki - dari peserta, urusetia, ajk kerja dan sebagainya.




Sepanjang 4 kali berprogram, pelbagai modul telah dijalankan. Antaranya - keluarga angkat, malam kebudayaan, gotong-royong, program bersama pelajar sekolah, sukan bersama penduduk kampung, sumbangan kepada keluarga yang memerlukan dan sebagainya.


Yang paling menarik - saya kira, ialah sumbangan kepada keluarga yang memerlukan. Dengan bantuan daripada JKKK yang mengenalpasti rumah dan keluarga, kami berjalan membawa barang sumbangan berbentuk barangan dapur - mengetuk pintu rumah, menghulur salam perkenalan dan menyerahkan sumbangan tersebut.


Pelbagai ragam yang menginsafkan dapat dilihat. Tentang kesunyian warga emas, tentang kedaifan penghuni teratak, tentang sengsara anak berkeperluan khas, tentang kegigihan warga desa mencari rezeki demi menyambung hayat dan seribu satu  lagi wajah yang miliki cerita tersendiri.




Kembali kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan kita tentang realiti yang berlaku di akar umbi. Sebesar-besar masalah kita, besar lagi masalah mereka.  Dan perkara yang selalu menangkap di deria saya ialah realiti kemiskinan yang melarat di kota dan desa.


Semalang-malang kemiskinan harta, malang lagi jika miliki kemiskinan jiwa.


Dan sebagai orang muda, persiapkanlah diri dengan keupayaan untuk menampung apa yang kurang di sini sana. Semuanya bermula dengan titik kesedaran yang masyarakat sedang memerlukanmu.


Hidup bukan untuk diri sendiri semata, tetapi juga untuk manusia lain.





Kata Pak Hamka - "Peluang yang besar itu datang secara tiba-tiba. Datang tidak menentu masa. Datang disaat kita kesempitan atau kesusahan. Nilailah peluang itu dengan secara bijaksana. Rebutlah peluang yang besar itu, kerana peluang yang besar itu boleh berlalu dengan tiba-tiba. Jangan jadikan seribu alasan untuk tidak merebut peluang yang besar itu."

Rabu, September 18, 2013

Dari Negeri Fana Ke Negeri Baqa


Puisi
Dari Negeri Fana Ke Negeri Baqa


Di ruang masa
kita duduk bercerita
tentang hakikat musafir
yang bakal tiba ke garis sempadan
apabila sampai detik
yang masih rahsia.


Di negeri fana
tenangkan jiwa rusuhmu
yang liar merayau
ke wilayah nafsu.


Saat roh mengisi jasad
petiklah kuntum amal
di pesisir waktu
buat mengharum taman akhirat
sesudah kita pulang
ke negeri baqa.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor
November 2012

Related Posts with Thumbnails