Sabtu, Jun 16, 2012

Tentang facebook,cuti,azam dan lain-lain perkara.


Beberapa hari lagi, semester 4 bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sedang saya duduki akan bermula. Cuti selama 3 minggu hampir tamat.


Menyelak lembaran diari yang ada memuatkan perancangan untuk tahun 2012 - saya membacanya dengan perasaan yang pelbagai. Memasuki suku ketiga tahun 2012, ada di antara perancangan tersebut telah  berjaya dicapai - dan tidak kurang juga masih dalam usaha pembinaan serta masih menempuh jalan panjang untuk dicapai.


Saya berpandangan bahawa saya perlu mengehadkan masa melayari facebook. Menjadi manusia yang memiliki simtom Facebook Addiction Disorder adalah sesuatu amat tidak cool. Sedikit pun tidak cool. Saya tidak perlu menjadi manusia yang mengetahui setiap gerak-geri dan perbuatan kawan-kawan saya. Misalnya, dia sedang makan apa dan apa perasaan mereka yang sangat titik bengik. Facebook diuruskan mengikut persepsi masing-masing.


Apa yang mungkin saya perlukan adalah perkongsian buah fikiran yang lahir daripada arus kesedaran tentang makna hakikat insani. 


Saya menyatakan sikap secara jelas mengenai hal ini melalui sebuah puisi yang telah disiarkan di Tunas Cipta  April 2012.


Puisi
Menyelongkar Malam

Kususuri lebuh maya
nan sarat suara sukma.

Sekumpulan manusia,
menggaul sebejana kata
dengan cacian ampuh
gelodak emosi amarah
atur fakta bercempera
untuk hidangan sekalian pembaca.
(Aku tidak semakin bestari,malah kian keliru kerananya.)

Kugapai naskhah ilmu
tulisan cerdik pandai bangsa,
kunikmati segar wacana
sebagai bekal kelam malam.

Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor

Tunas Cipta April 2012


Saya mengimpikan sebuah tidur malam yang nyaman dan tenang. Saya cuba mengelakkan untuk tidur dalam keletihan selepas membaca seribu satu kerenah dan pemikiran manusia di facebook. Saya berpandangan bahawa lebih cool sekiranya sebelum tidur - saya berletih-letihan membaca buku, menyelongkar khazanah pemikirannya, ataupun sekurang-kurangnya bermuhasabah diri dan menyusun atur aktiviti yang hendak dilakukan pada keesokan harinya.


Ataupun saya perlu sedar bahawa saya memiliki beberapa tanggungjawab untuk dilunaskan. Saya perlu belajar dan belajar untuk menghindari sikap bertangguh. Saya memiliki berbelas-belas (mungkin juga berpuluh-puluh) tajuk buku yang masih belum sempat saya hadami, selain beberapa manuskrip penulisan yang masih belum saya sudahi.


Menghabiskan masa terlalu lama di laman maya akan membuatkan saya kehilangan fokus.


Memasuki semester seterusnya mungkin boleh menjadi satu titik tolak diri saya untuk sesuatu perubahan yang  merealisasikan matlamat hidup untuk tahun 2012 - setiap hari adalah hari yang bermakna.


Idealistik, optimistik, realistik, energetik.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

juga twitter ye, Mr monolog

Related Posts with Thumbnails