Jumaat, Januari 28, 2011

Pusat Rujukan Persuratan Melayu



Satu hari - anda mahu menulis. Oleh kerana anda seorang yang begitu teliti dan mementingkan kesesuaian diksi - anda jadi bingung pabila tak dapat mencari perkataan yang sesuai untuk melengkapkan ayat. dan tika itu - tiada Kamus Dewan di sisi!


Oh - jangan risau. Ada laman web berguna daripada Dewan Bahasa & Pustaka untuk anda menyemak makna setiap perkataan.


Rujukan dalam PRPM meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah(Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan ( Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, tesaurus bahasa Melayu, kandungan laman WEB DBP dan kandungan laman WEB lain yang ditentukan oleh DBP. (dipetik daripada laman PRPM)








Katakan jika anda mahu mencari takrif 'buku', taip sahaja perkataan tersebut dan takrif 'buku' berdasarkan kamus akan dipaparkan. Takrif itu juga akan keluar bersama-sama dengan kata-kata lain yang mengandungi perkataan 'buku' pada takrif.





Lebih menarik lagi - akan turut dipaparkan bersama puisi-puisi yang mengandungi kata yang anda cari itu. Puisi tersebut dipetik daripada Kurik kendi merah Saga.


Juga dipaparkan peribahasa Melayu.





Laman web ini juga menyediakan takrif kata dalam bahasa Inggeris yang bersumberkan Kamus Inggeris-Melayu Dewan. Pendek kata ia memang berguna.






Sekali lagi - alamatnya http://prpm.dbp.gov.my/


Tandakan ia di bookmark - mungkin satu hari nanti anda memerlukannya!



nota kaki:
kredit kepada Kak Nasriah Abdul Salam yang memberitahu tentang laman web ini kepada kami ketika MPR 2009

Khamis, Januari 27, 2011

Jangan tidur lagi.



Suatu hari - sekitar penghujung tahun 2007, di satu subuh yang dingin - kami dikejutkan oleh pengumuman daripada pembesar suara asrama.


Sebenarnya pengumuman itu biasa saja. Malah hampir setiap pagi - pihak warden (jika mereka rajin) akan mengejutkan warga asrama dengan mikrofon yang bunyinya akan membingitkan gegendang telinga kami.


Selalunya - mereka akan kata - saya nak tengok awak semua ada kat surau kejap lagi, yang laki saya tahu ada 5 saf setengah. Kalau tak cukup nanti saya naik asrama!


Cuma pagi itu dalam kemamaian - semasa sedang bergelut samada hendak celik atau terus lelap - saya menangkap kata-kata yang sedikit berlainan. Ada tambahan ayat.


Awak semua kena lawan rasa ngantuk tu. Awak kalau tidur sampai tengahari pun tetap rasa nak tidur lagi. Lawan la sikit perasaan tu. Sekarang semua bangun, siap-siap & pergi surau.


dan ayat ini terus menghantui saya setiap pagi sejak 3 tahun yang lalu.







Ahad, Januari 23, 2011

Lutut

ok. saya rasa marah bila ada orang kutuk-kutuk A. Samad Said macam bercakap tak guna akal fikiran. Rasanya tak salah pun Sasterawan Negara hadir ke majlis tu sebagai pemerhati. duh.


Tok Janggut Putih (baca sampai komen terakhir)


gambar diambil dari sini




Alahai Malaysiaku. Boleh tak para penulis blog politik ni menulis berasaskan hujah? Apa yang kita tulis akan menunjukkan bagaimana pemikiran kita.


Anda tentukan.



Twitter



Itulah. Orang lain ada twitter - kita pun nak ada juga. Maka dipersilakan kepada pembaca/kawan/rakan/sahabat/sesiapa sahaja yang berkenaan (yang berminat) untuk menjadi kenalan saya di twitter (jika anda ada akaun twitter).








Jumaat, Januari 21, 2011

Wi & William


Cuti Hari Thaipusam tahun ini saya habiskan dengan membaca novel Wi & William tulisan Azizi Hj Abdullah.


Sebelum ini saya pernah membaca beberapa novel tulisan penulis yang sama. Antaranya Seorang Tua Di Kaki Gunung, Zikir Rindu, Memoir Seorang Guru, Daerah Beta, Harga Sebuah Maruah.


Seperti novel-novel beliau yang pernah saya uliti, Tuan Azizi Hj Abdullah memiliki lenggok bahasa yang indah dan mampu menyampaikan sesuatu (satiranya) dengan berkesan.


Saya tertarik untuk membaca novel ini setelah membaca rencana di majalah Dewan Sastera (edisi tahun 2005) mengenai Tuan Azizi Hj Abdullah. Lantas- saya ke rak novel Melayu dan Wi & William yang pertama menangkap pandangan mata.


Wi & William mendapat tempat ketiga dalam Hadiah Sako 1 anjuran Utusan Publication pada tahun 1995.


Di belakang kulit buku, ditulis laporan ringkas Laporan Panel Hakim,


" Temanya amat terkini, iaitu usaha sama antara seorang Melayu dengan seorang usahawan berketurunan Cina yang canggih tetapi ikhlas..."

"...dua isu, penekanan terhadap peri perlunya pendidikan kepada orang Melayu di desa seperti di pulau di mana kisah ini berlaku dan, kedua, pemecahan perniagaan secara alibaba itu sentiasa negetif sifatnya."


Membaca Wi & William membuatkan saya teringat kepada Harga Sebuah Maruah - kedua-dua tulisan penulis yang sama. Kedua-dua mengangkat persoalan yang hampir sama.


Harga Sebuah Maruah, mengusap rindu rasa dan kecintaan petani kepada tanah mereka, kerana tanah adalah segala-galanya. (petikan blurb)


Wi & William pula asalnya ada sebuah cerpen yang dikembangkan. Menurut Tuan Azizi Hj Abdullah dalam Kuras-Kuras Kreatif,


"cerpen wi terhasil ketika saya (Azizi Hj Abdullh) terkandas hendak pulang dari Langkawi....Secara berseloroh saya katakan kepada teman saya yang saya akan buat cerpen tetapi tidak ada rancangan tentang tema. Cuma ketika itu sedang heboh tentang penduduk Langkawi yang mendapat durian runtuh hasil jualan tanah pusaka dan ramai pula yang menjadi papa akibat tidak tahu menguruskan wang yang mereka dapat. Selain itu perkara yang hangat diperkatakan pada waktu itu ialah nasib oleh Melayu Langkawi yang tersepit di celah-celah pembangunan."


Wi ialah anak kepada Usin, penduduk asal sebuah kepulauan (Langkawi?). Kawan Usin, Ah Fok memiliki seorang anak bernama William yang sebaya dengan Wi.


Perjalanan novel ini banyak digerakkan oleh Wi, William dan Usin. Usin memiliki sebidang tanah - dan di sebelah lot tanah itu ingin didirikan sebuah hotel peranginan. Konfliks berkisar pada tanah milik Usin itu.


"Mereka tak sedar, jarang berlaku orang yang jual tanah dapat beli tanah. Macamlah orang jual maruah, tak ada dapat beli maruah pula!" (halaman 112)


"Tanah pak su ni, sama nasib macam tanah arwah bapa dulu jika tidak dibangunkan. Ingat, ini bukan jual. Tanah arwah mesti dibangunkan, diproses pulih baik menjadi tanah baru yang mengeluarkan hasil yang sama sekali jauh daripada sangkaan zaman dulu, bahawa tanah hanya menghasilkan pada dan tanaman, tidak yang lain!" (halaman 274)


Daripada segi kekuatan - pada pandangan saya, Seorang Tua Di Kaki Gunung masih lagi novel terbaik Tuan Azizi Hj Abdullah yang pernah saya baca.


Cuma daripada satu sudut - pada pandangan peribadi saya - novel ini tidak sesuai dijadikan bahan bacaan komponen sastera sekolah. Bimbang pula akan dimanipulasi oleh pembaca (politikus?) yang tidak matang - seperti mana yang dihadapi oleh Interlok. Alahai!


Related Posts with Thumbnails