Jumaat, November 27, 2009

Memoir seorang guru




Bapa ingin bertanya, betapa mulia pun hati seseorang, tapi apabila berhadapan dengan tegar yang aneh, tidak peduli pada ajaran, apa sikap engkau Kamariah?



Katakan saja anak engkau, Kamariah...jika berhari-hari engkau berhadapan dengan tegarnya, tidak masuk ajar, menafikan kehendak dan meremehkan segala pengajaran, apa yang dapat engkau lakukan selain benci? Bencilah hukuman yang paling lembut kepada murid-murid seperti itu.


Bapa sudah dua tiga kali diajar oleh pengalaman. Tetapi, oleh kerana takah murabbi , bapa tidak temui, maka mereka menjadi mangsa kebencian. Bagaimanapun, jika engkau dapat menaiki takah murabbi, ayuhlah! Lakukanlah! Murabbi adalah makam yang sangat mulia.


Seorang lagi murid bapa bernama Sakinah, sama usianya dengan mereka ini. Tapi fiilnya lain. Untuk kali terakhirnya, bapa harap engkau dengar hal ini agar menjadi pengajaran dan yang penting engkau dapat mencapai murabbi. Jika engkau dapat mencapainya, redalah bapa. Berbanggalah bapa kerana makam murabbi bukan calang-calang orang dapat mencapainya.


Bapa memang menyesal tetapi pada awalnya memang bapa tidak sangka hendak menyesal. Hampir 20 tahun lebih bapa mencari murabbi, namun tidak ketemu. Sebab itu bapa sangat tidak setuju seperti kata Pak Cik Lukman, kau sekadar dapat gaji. Murabbi tidak utamakan gaji, tetapi kejayaan membentuk insan menjadi insan, membentuk manusia bersifat kemanusiaan.



Petikan novel Memoir Seorang Guru
Azizi Haji Abdullah, 2007
Halaman 96-97



***


Bagi orang kebanyakan (yang jarang membaca novel) seperti saya, peluang menikmati bahan bacaan selain silibus akademik pastinya sukar untuk diperolehi semasa kesibukan menghambat hari-hari saya kampus. Hanya selepas peperiksaan semester, barulah mood saya kembali terbuka untuk menyelak helaian novel.



Novel 'Memoir Seorang Guru' saya beli semasa di Terminal Bas Larkin (Johor Bahru), sesudah tiba daripada Kuala Lumpur sempena cuti akhir semester. Novel ini pernah saya lihat beberapa tahun dahulu, namun baru kali ini saya betul-betul tergerak untuk mendapatkannya.




Saya menilai keberkesanan sesebuah tulisan itu dengan cara bagaimana persoalan/tema yang diangkat oleh pengarang berjaya membuatkan saya berfikir dan termenung jauh sesudah pembacaan tamat.



Begitu juga dengan filem. Filem yang baik pada hemat saya adalah sebuah filem yang mampu membuatkan saya termenung ( sambil berfikir tentang falsafah yang digarap) dan mampu saya kaitkan dengan kehidupan harian.






'Memoir seorang guru' tulisan penulis veteren, Tn Azizi Hj Abdullah telah merakam satu sisi kehidupan masyarakat pada sudut yang sukar-maka kejujuran karyanya terasa pada setiap bait perkataan. Antara persoalan-persoalan yang diangkat adalah kemiskinan, kesedaran masyarakat pedalaman, cabaran guru di pedalaman, soal keberkatan dan banyak lagi yang masih tidak terjangkau oleh nurani manusiawi saya.




Secara ringkasnya, 'Memoir Seorang Guru' mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.



Plot-plot diatur menampilkan satu persatu anak-anak murid ustaz tersebut ( Alias, Midun, Sakinah, Mihad & Mohd Dhuha), yang setiap satunya mempunyai kisah yang tersendiri.


Sepanjang membaca novel ini, banyak kali juga saya merenung jauh ke luar jendela bas-cuba menghadam setiap baris falsafah yang disulam.



Mungkin juga kerana saya adalah bakal seorang guru (opsyen fizik), maka novel ini memberi kesan yang lebih mendalam kepada diri saya.



Mampukah saya menjadi sang murabbi?



***


Tinta Penulis
(dipetik daripada halaman belakang novel ini)


MEMOIR SEORANG GURU sebenarnya bukan ilusi yang khayal, tetapi satu pemerahan fikiran tentang sirat sabut perasaan, bagaimana bukannya mustahil seorang guru benci melihat, benci kata kepada murid-muridnya.


Namun, inilah yang ilusinya kerana ia mampu bertukar menjadi murabbi. Ilusinya ialah 'aku' yang penuh prasangka dan ia bertukar sedar lalu menjadi 'murabbi'


Selama 32 tahun menjadi guru, saya sebenarnya berilusi dengan kebingungan, murid, kemiskinan murid dan akhirnya tersentak dengan simpati. Selama aku berilusi inilah 'aku' hidup bagaikan tidak ada keberkatan.


Menjerit batin bersama ilusi dan kebencian tingkah laku apa yang disebut murid-murid, mereka sebenarnya tidak minta jadi begitu.


Novel ini, saya lahirkan dengan perasaan dan ilusi yang merupakan serpihan-serpihan kebencian yang sangat 'aku' benci atau 'aku' sangat benci dengan kebencian 'aku.


Saya lahirkan keperihalan kebencian seorang manusia yang pasti ada pada manusia lain. Saya lahirkan keperihalan kebodohan atau ketongongan yang sangat dibenci oleh mereka yang mereka tidak pernah memintanya. Lalu, saya temui...merekalah manusia yang jujur, ikhlas, pengasih dan mengenang budi.


Saya merengkuh setiap malam, sepertiga malam, menukang dan menganyam, menjalin dan menyirat yang bagaikan seorang ibu mengandung sembilan bulan.


Saya merasai kekuatan novel ini apabila berhasilnya saya melahirkan keperihalan kebencian atau kepuasannya, saya dapat menyimpulkannya bahawa yang dibenci sebenarnya disayangi. Apakah ini ilusi?


Azizi Hj Abdullah
aziziabdullah.blogspot.com

*Azizi Hj Abdullah adalah penerima S.E.A Write Award pada tahun 1988.




1 ulasan:

Unknown berkata...

mungkin ini hasil tulisan yang bagus. all da best!

Related Posts with Thumbnails