Sabtu, Oktober 13, 2012

Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat


Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)  peringkat Negeri Johor bagi tahun 2012, salah satu aktiviti yang diadakan ialah Program Semarak Sastera : Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat pada 9-10 Oktober 2012. Program ini diadakan dengan usaha sama antara UiTM Cawangan Johor, DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Daerah Segamat.


Perkenalan saya dengan Encik Ainol Hasanal, pensyarah berjiwa besar dari UiTM Segamat dalam satu bengkel penulisan terus berlanjutan hingga ke hari ini. Sekitar Julai yang lalu, Encik Ainol menghantar mesej kepada saya; meminta saya untuk membicarakan tentang untuk puisi ataupun cerpen daripada kaca mata penulis muda.


Dan saya mengambil sedikit masa untuk berfikir tentang tawaran tersebut - kerana menyedari betapa diri yang masih terlalu pucuk sifatnya. Setelah mendapatkan pandangan rakan-rakan seangkatan, saya bersetuju untuk menerima peluang dan cabaran tersebut.  






Alhamdulillah - perkongsian saya pada hari kedua telah selamat dilaksanakan. Seperti yang dikehendaki oleh Encik Ainol, saya cuba untuk membicarakan tentang puisi daripada kaca mata anak muda yang tidak lahir daripada rahim sastera; tetapi memiliki kecenderungan terhadap sastera. Saya meletakkan diri sebagai seseorang yang sedang dan masih lagi belajar; bahana masih terlalu tohor pengetahuannya dalam lautan ilmu.  






Saya menulis sebuah makalah (kalaulah layak dinamakan sebagai makalah) bertajuk 'Menguak Jendela Puisi: Satu Pengalaman Peribadi' untuk memantapkan perkongsian saya. Dalam makalah tersebut - saya menulis tentang dua persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya suatu ketika dahulu - iaitu; Mengapa saya menulis puisi? dan Bagaimana saya menulis puisi?



Untuk persoalan; Mengapa saya menulis puisi? - saya senaraikan tiga pandangan peribadi, iaitu nilai estetika, menggugah pemikiran dan penerapan nilai positif. 


Untuk persoalan; Bagaimana saya menulis puisi? - saya menceritakan dengan serba ringkas tentang proses kreatif puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi yang memenangi hadiah Saguhati, Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012 dan puisi Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim Kelapan 2011: Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Puisi)


Tentatif program


Terima kasih kepada sidang hadirin yang sudi meluangkan masa. Saya akui terdapat beberapa kelemahan pada pembentangan kali pertama ini. Namun, langkah sulung ini memberikan satu suntikan motivasi buat saya untuk sentiasa mencabar diri dan mengatur alur fikir.


Entah sampai bila kita akan menggunakan usia masih muda sebagai alasan untuk tidak berbuat itu dan ini. Harapan saya hanyalah kualiti karya yang saya hasilkan akan menanjak seiring dengan umur yang meningkat. Perjalanan ini masih panjang dan perlu saya rintis perlahan-lahan.


Dari kiri:
 Prof. Madya Ahmad Nawawi , Kak Salina Ibrahim, Saya,
Dr Arbak Othman, Ustaz Zaid Akhtar, Encik Ainol Hasanal


Nota kaki:
Terima kasih kepada Kak Salina Ibrahim untuk gambar-gambarnya.

3 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Saudara bukan sahaja boleh menulis, bahkan mampu menyampaikannya pula secara lisan. Tahniah, moga lestari dalam dunia kesusasteraan negara.

Unknown berkata...

Wah, hebat! Berbangga dengan anda...

Syukri Sapuan berkata...



Terima kasih atas komentarnya.


Saudara Helmi & Fathul,

Saya masih di peringkat permulaan, penyampaian tidak begitu lancar. Idea semasa pembentangan pun tidak mengalir dengan begitu baik.


Saya hanya berkongsi pandangan saya daripada kaca mata seseorang yang masih baru. Saya yakin sdr. berdua lebih prolifik dan mantap.


InsyaAllah, sama-sama kita terus menulis dan menulis. :)

Related Posts with Thumbnails