Khamis, Mac 31, 2011

PBS 1



Akhir-akhir ini, aktiviti mengemaskini blog adalah aktiviti yang amat melelahkan dan kurang menarik. Tidaklah saya ketahui apakah puncanya.



Hari ini saya ingin kembali menyambung tulisan pada entri yang sudah disimpan di kantung draft sejak 2 minggu yang lalu.


Pada 21-25 Mac 2011, saya telah menjalani PBS di SK Taman Kota Jaya.


Baik. Mari kita mulakan dengan definisi. Apa itu PBS?


PBS adalah singkatan kepada Pengalaman Berasaskan Sekolah. Program ini memberi peluang kepada kepada pelajar untuk memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi, interaksi dengan guru dan komuniti sekolah. Melalui PBS, pelajar dapat memahami sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru. (sumber: buku panduan PBS)






Oleh kerana sudah hampir 3 minggu entri ini ditangguh, maka sebenarnya saya sudah lupa apakah perkara-perkara yang bermain di fikiran semasa saya menjalani PBS.


Apa yang pasti - PBS memberi peluang kepada saya untuk melihat dunia pada satu perspektif yang lain.





Lihat muka kanak-kanak pada gambar di atas. Muka suci & bersih. Kitalah (dewasa) yang akan mencorakkan mereka.


Ada satu peristiwa yang berlaku - yang kekal bermain di ingatan.


Semasa saya menjalani PBS, pelajar tahap 2 sedang menjalani peperiksaan bulanan. Dan ketika itu saya ditugaskan untuk menjaga sebuah kelas peperiksaan tahun 5.


Peperiksaan Bahasa Inggeris.


Selesai mengedarkan soalan kepada pelajar, saya duduk di kerus guru - meletakkan pandangan ke arah para pelajar yang mula membuka lembaran kertas.


oh shit, susahnya! - Seorang pelajar lelaki yang duduk di hadapan saya spontan mengucap kalimah itu pabila membaca soalan.


Seek first to understand, then to be understood - bisik hati saya.


Apa yang awak cakap tu?


Entah cikgu. hehe. Sengih-sengih.


Awak tahu makna perkataan yang awak cakap tu?


Entah tak tahu. Sengih sambil garu kepala.


Dari mana belajar perkataan tu?


Hmmm. orang lain yang guna. saya ikut je.


Lain kali jangan guna perkataan tu lagi. boleh? Saya usap-usap belakang badan pelajar itu.


Tidaklah saya ketahui daripada mana asal-usul penggunaan perkataan itu boleh tersebar di negara saya ini. Cuma saya sedar bahawa setahun dua ini semakin banyak orang di sekeliling saya menggunakannya. Kalau menurut pemerhatian saya, filem-filem daripada barat amat galak menggunakannya sebagai penyedap kata.


Begitulah kita sebenarnya. Kadang-kadang tidak perasan telah menjadi mangsa.







Murid-murid sekolah rendah ini sangatlah nakal, lincah dan aktif. Barulah saya tahu apakah puncanya para guru mempunyai suara yang lantang


Suara yang lantang amat diperlukan untuk mengawal murid-murid yang tidak reti duduk diam dan tak makan saman.


Saya diam-diam saja.



Rabu, Mac 30, 2011

Atur



Sekali lagi saya gagal konsisten dalam mengemaskini blog - sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Sepertimana kita tidak mampu ke masa lepas, begitulah jua saya yang sudah terlepas beberapa perkara penting dalam kehidupan.

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both.
- Robert Frost, The road not taken


Maka saya sudah terlepas untuk menulis hal-hal seharian saya yang selalu singgah di deria. Mencucuk dan mengganggu.


Pernahkah kalian mengulangi rutin sehari-harian, setiap hari, tujuh hari seminggu - hingga berasa bosan.


atau pernahkan kalian berasa takut untuk bertentang wajah dengan hari besok. ketakutan ini sangat membunuh.


Betapa kita perlu selalu berfikir tentang hidup (dan kehidupan selepas hidup) - kerana mengikut tanpa fikir amat tidak cool. sama seperti ketakutan yang tidak cool.


Mari diatur kembali apa yang hancur.



Pssssssst:

Puisi Senyuman Lestari disiarkan di Tunas Cipta Mac 2011. Moga ia menjadi permulaan yang baik untuk tahun ini. InsyaAllah.



Khamis, Februari 24, 2011

Kelas pertama



Adapun kali terakhir saya menjadi pelajar sekolah menengah ialah kira-kira 4 tahun yang lalu - maka tidaklah saya ketahui sangat tentang apa yang sedang berlaku di sekolah menengah saya itu ketika ini.


Cuma sewaktu tahun-tahun akhir saya di situ - pengetua kesayangan kami itu sibuk benar memperkenalkan visi menjadikan kami sebagai pelajar berminda insan kelas pertama.


Tentang apa itu definisi pelajar berminda insan kelas pertama - saya sendiri pun tidak tahu hendak menerangkan bagaimana rupa bentuknya.


Yang saya pasti - insan kelas pertama itu pastinya ada kaitan dengan yang muluk-muluk.


Cuma pagi ini ketika saya bangun hendak siapkan diri untuk kelas - apabila nampak sinki tandas kolej kediaman bertakung - saya tahu bahawa ini mesti kerja orang tidak berminda kelas pertama.


Apakah logiknya jika saki-baki nasi dicurah terus ke dalam sinki semasa rice cooker hendak dibasuh. Tersumbatlah jawapannya.


Kemudian - esok pagi tunggu cleaner datang untuk bersihkan. dan esok awal-awal pagi saya akan jumpa lagi.


Anda tentukan.


Selasa, Februari 15, 2011

Pertandingan Menulis Cerpen Islami





Pertandingan Menulis Cerpen Islami dianjurkan oleh Pelima Media Sdn Bhd.

Berminat?

Klik sini untuk maklumat lanjut.


Ahad, Februari 13, 2011

Kepada media & kita



Satu fakta yang tidak dapat kita nafikan ialah - tahap perhubungan kaum di Malaysia masih perlu dipertingkatkan lagi. Maksud saya - ia boleh berada pada tahap yang lebih baik lagi.


Walaupun iklan-iklan siaran kerajaan sering memaparkan yang muluk-muluk tentang perpaduan kaum, namun kita sendiri sebenarnya tahu di mana tahap kita selepas 54 tahun mengecapi kemerdekaan.


Kita masih belum memahami antara satu sama lain.


Merujuk kepada entri sebelum ini, ada yang bertanya kepada saya apakah 'masalah teknikal' yang berlaku sehingga saya perlu bertukar IPG.


Di Johor Bahru, hanya ada opsyen Sains dengan minor bahasa Cina. Kesemua ahli kelas saya ialah pelajar Cina kerana kelas tersebut disasarkan untuk mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (sjkc). Maka saya perlu ditukarkan ke Batu Pahat untuk opsyen Sains bersama minor yang lebih sesuai.


dan kekallah saya di Batu Pahat hingga ke hari ini.


Walaupun hanya berada di Johor Bahru selama seminggu, namun saya tetap memperoleh satu pengalaman baru yang menarik. Saya dapat bergaul dengan ahli kelas yang kesemuanya berbangsa Cina (kebanyakannya daripada Sabah & Serawak)


Menurut ahli kelas saya itu, mereka teruja menerima saya kerana mereka tidak ramai (dan ada juga yang tidak ada langsung) kawan berbangsa Melayu.


Hanya satu perkara yang buat saya rasa pening ketika itu - kesemua ahli kelas saya suka cakap bahasa Cina sesama sendiri dan saya tidak faham sepatah pun dari apa yang mereka perkatakan.


Saya mungkin tidak akan dapat melupakan saat-saat berkunjung sambil bertukar pandangan di bilik salah seorang daripada mereka.


Kami berbual panjang pada malam itu mengenai banyak perkara. Daripada peraturan asrama, tugasan kuliah, tempat makan yang sedap, bolasepak, politik hinggalah kepada teologi.


Berbekalkan pengetahuan ringkas melalui bacaan berkenaan Kristian, saya bertanya kepada kawan baru saya ini bermacam-macam perkara tentang hal yang berkaitan.


dan begitu juga dengan dia - bertanya kepada saya tentang Islam.


Menurut dia - dengan jumlah kawan beragama Islam yang hampir tiada, dia hanya mengetahui tentang Islam melalui akhbar aliran perdana. Itupun melalui isu di muka hadapan akhbar seperti Syiah, poligami, fatwa dan sebagainya.


Oleh itu - saya memang tidak boleh menyalahkan dia apabila ini jawapan yang saya terima ketika meminta pandangan tentang orang Islam.


"Orang Islam selalunya baik-baik. Tapi kan kalau satu kawasan itu ramai sangat orang Islam, kat situ nanti orang kahwin ramai (poligami). So kalau Islam average tu lagi bagus pasal dia biasa-biasa saja."


Islam yang dia faham melalui pembacaan adalah poligami semata-mata. Barangkali - dia hanya memindahkan pembacaan ke bentuk buah pemikiran.


Memandangkan akhbar aliran perdana sebenarnya menjadi sumber rujukan non-muslim untuk mengetahui tentang Islam, saya merasakan bahawa permainan isu politik dan pembantaian parti politik yang mendukung gerakan Islam (tanpa memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan pendirian yang sebenarnya) di dada akhbar akan membuatkan pihak non-muslim yang ingin mengetahui tentang Islam ini bertambah keliru.


Dalam masa yang sama, kita sebagai muslim tidak mahu mempamerkan akhlak acuan agama sehingga mereka (non-muslim) gagal menangkap kemas pengertian Islam yang sebenarnya.


Mereka keliru dan jurang terus melebar.



Related Posts with Thumbnails