Selasa, November 20, 2012

Bingkisan 2012


Cuti semester sudah bermula kira-kira seminggu dan masih berbaki 6 minggu. Kehadiran cuti panjang ini memberi bermakna - saya mempunyai lebih banyak masa untuk keluar daripada rutin kuliah dan melakukan aktiviti bebas.


Membaca kembali azam yang dipasakkan tika melangkah ke tahun baru, sambil menoleh 11 bulan yang telah berlalu, saya rasakan ada banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki.


Tahun 2012 - saya kira tahun yang agak padat dan bermakna, namun kelesuan masih menghantui.





Daripada aspek penulisan, sebanyak 9 karya menembusi media - meliputi 3 rencana, 4 puisi dan 2 cerpen, selain sebuah puisi memenangi Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012. Jumlah ini saya kira masih jauh dari sasarannya, gara-gara kelesuan minda dan kemalasan untuk berfikir secara kreatif & kritis (kemandulan minda?)


Sepanjang tahun 2012, saya melanggan 4 buah majalah (Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Libur) , selain membeli buku, novel dan majalah-majalah lain (Dewan Sastera, Milinea Muslim, Solusi) bergantung kepada isu yang ditampilkan. Adapun (antara) kelemahan ketara saya ialah kegagalan untuk habis membaca sebahagian buku tersebut dan melakukan pembacaan secara lebih kritikal. 


Mungkin - kegagalan saya ini ada kaitannya dengan kepadatan jadual hidup sepanjang 2 semester ini. Saya mewakili kampus ke Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia pada April 2012. Selain itu, hujung-hujung minggu selalu terisi dengan aktiviti anjuran NGO dan lain-lain. Saya mengemudi Exco Pendidikan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2013 dan beberapa program telah kami anjurkan.


Ketika cuti pertengahan semester, Alhamdulillah - saya berpeluang mengerjakan umrah dan ziarah Madinah. Satu perjalanan rohani yang punyai ceritanya yang tersendiri.


Sekiranya tahun 2011 diakhiri dengan kembara ke Banda Aceh, Indonesia - InsyaAllah, sebagai penutup tahun 2012, saya sedang merancang kembara ke salah satu ibu negara di Asia Tenggara. 


Terima kasih kepada diari yang sering menjadi ruang untuk saya mencongak strategi dan mengatur perancangan. Saya percaya - hidup perlukan matlamat agar kita dapat mengambil langkah yang padu untuk memenuhi impian peribadi, selain agar hidup terasa lebih berisi dan bukan berlalu tanpa membawa sebarang erti. 


Menjelang tahun baru, ada beberapa perkara perlu saya fikirkan bagi memaknakan tahun 2013. Lompong-lompong perlu diisi. Langkah perlu diperkemas dan momentum perlu ditingkatkan. Masih terlalu jauh diri ini jikalau hendak dibandingkan dengan penanda aras yang lain.


#Tekad2013. Anda tentukan.

Jumaat, November 02, 2012

Puisi: Rahsia Musafir


Puisi
Rahsia Musafir


Hidup yang serba tergesa-gesa
adalah perjalanan musafir angkuh
yang kerap keliru di persimpangan waktu,
antara lorong yang kabur titik penghujung
serta masa yang menyita usia.


Seorang musafir sudah letih
menafsir mimpinya yang bercelaru
pada lembaran peta zaman.


Manusiawi tenat yang meronta
mengadu gelisah di hamparan hari
kesunyian dalam kegamatan,
keterasingan dalam keriuhan,
kesepian dalam keramaian,
adalah empangan jiwa yang melemaskan
suara sukmanya yang pinta didengar
pada tiap-tiap perkelanaan.


Betapa yang ingin ditemui
sebelum tiba penghujung destinasi
ialah makna hakikat insani.


Kawan,
memilih menjadi musafir
bermakna mencampakkan sebongkah tenang
ke denai rusuh dan resah
yang sarat kekhuatiran
namun lekas mendewasakan.


Syukri Sapuan
Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar.

Tunas Cipta Oktober 2012



***


Saya menulis puisi ini ketika dalam transit panjang di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar - sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Singapura daripada Madinah Al-Munawarah. Ketika ahli jemaah yang lain menghabiskan sisa masa dengan berbual-bual sesama sendiri, berjalan dari kedai ke kedai atau cuba melelapkan mata yang diserang kantuk, saya memilih untuk berada di satu sudut lain - menulis dengan pena pada lembaran kertas.


Entah mengapa - pengalaman sewaktu berada di 3 buah kota di luar Malaysia; iaitu  Aceh (Indonesia), Singapura dan Jeddah menerkam fikiran. Peluang bermusafir di negeri asing ini memberi saya peluang untuk melihat dunia daripada sudut yang berbeza.


Berjumpa dengan manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya memberi satu ruang buat saya meneliti diri. Misalnya, bertemu Pak Agus yang budiman di Banda Aceh, duduk bersila dan berbual bersama lelaki Algeria di Masjid Nabawi (dalam bahasa ayam dan itik), serta bertanya arah jalan pada wanita Indonesia ketika sesat seorang diri di Kota Singa.



Menjadi orang dagang dalam jumlah yang kecil- serta tertakhluk pada undang-undang manusia di wilayah berbeza - membuatkan kita menjadi lebih berhati-hati dan  berwaspada. Dan rasa kebergantungan kepada Allah menjadi tinggi melangit. 


Kita dipaksa memilih salah satu jalan, dan kita mesti memilihnya. Tiada jalan lain. Dan akhirnya kita menjadi manusia yang didewasakan pengalaman.


Kita boleh memilih jalan senang dan akhirnya tidak berkembang.


Betapa - kehidupan manusia yang sering ditamsilkan sebagai permusafiran ke negeri abadi akan menjadi lebih bererti andai makna hakikat insani dapat ditemui sebelum tiba penghujung destinasi.


Kitakah manusia gelisah yang selalu mengadu  keterasingan dalam keriuhan ramai?

Selasa, Oktober 30, 2012

Kes budak, remaja sakit jiwa meningkat


Salah satu petikan berita di akhbar yang menarik perhatian saya dalam seminggu dua ini adalah berkaitan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja.  


Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, masalah kesihatan mental meningkat daripada 13 peratus pada tahun 1996 kepada 19.4 peratus pada 2006 dan mencecah sehingga 20 peratus tahun lalu. (2011). Semakin ramai remaja dan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah di negara ini menghidap masalah kesihatan mental. 


Secara perbandingannya - ini bermakna, daripada 5 orang individu yang kita temui, salah seorang daripadanya menghidap masalah kesihatan mental.


Berita Harian 8 Oktober 2012


Turut dipetik adalah kata-kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Menurut beliau, remaja kini dipengaruhi internet dan teknologi komunikasi sehingga mereka kurang berinteraksi, sekaligus mengurangkan pembinaan sistem sokongan sosial. Tambah beliau lagi, pada masa sama, ibu bapa yang sibuk bekerja pula memandang ringan peranan mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.


Berita tentang peningkatan kes sakit jiwa ini disambut dengan penulisan rencana 'Penyakit Mental Ancam Generasi Muda' oleh Encik Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM yang disiarkan di ruangan rencana Berita Harian bertarikh 11 Oktober 2012.


Artikel tersebut turut disiarkan dalam laman web ABIM. Penulis, pada pandangan saya - telah melontarkan satu buah fikiran yang cukup baik dan bernas. 


Sementara itu, Dr Rabaiah Mohd Salleh, Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, melalui artikel Cerita Hantu Punca Sakit Jiwa Kronik  di Berita Harian bertarikh 10 Oktober 2012 melaporkan bahawa ; orang ramai yang mendapatkan rawatan penyakit mental kini meningkat kepada maksimum 10 kes baru didaftarkan sehari berbanding antara dua hingga tiga sehari pada 2007. 


Permasalahan tentang ancaman penyakit mental ini juga pernah ditulis dalam rencana bertajuk 'Penyakit Mental Jejas Pembangunan Negara' di Dewan Masyarakat Mac 2012.



Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 mendapati masalah kemurungan menjadi antara punca penyakit mental. Di peringkat awal, penyakit mental dikesan melalui tanda awal, seperti perubahan tingkah laku yang ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik, berfikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol, dan tidak berupaya melakukan aktiviti harian.


Berkaitan kemurungan, saya memiliki sebuah buku terbitan Penerbitan Universiti Malaya yang bertajuk Kemurungan; Punca dan Rawatan.



Buku ini membincangkan tentang kemurungan dan masalahnya, pemeriksaan bagi mengesan sindrom kemurungan, punca kemurungan dan perancangan serta kaedah rawatan.







Apabila melihat kepada realiti kehidupan hari ini, saya melihat angka peningkatan kes sakit jiwa sebagai sesuatu yang signifikan dan mungkin ada benarnya. Kita seolah-olah kehilangan sebuah ruang yang selamat untuk hidup apabila media saban hari melaporkan kejadian jenayah yang semakin rencam sifatnya.


Kes bunuh yang semakin menjadi-jadi, kes pergaduhan - bertumbuk sehingga mati (walau kelihatan remeh isunya) yang semakin meruncing, kes penderaan yang semakin melata dan seribu satu kisah yang terpampang di dada akhbar - memungkinkan kita membuat kesimpulan bahawa; masyarakat kita sedang bergelut dengan masalah kecelaruan jiwa.


Pengaruh teknologi dan kemudahan media sosial yang sedang beranak-pinak menyebabkan sistem sokongan sosial semakin rapuh. Sebahagian besar masa dihabiskan di hadapan komputer sedangkan ada banyak lagi perkara yang mampu mendatangkan kebahagiaan, asalkan kita sanggup mencabar diri dan meninggalkan zon selesa.


Teknologi kadangkala membekalkan kita dengan apa yang 'kita mahu', bukannya apa yang 'kita perlu'. Hasilnya, produk daripada teknologi tersebut adalah remaja yang bermaklumat, bukannya remaja yang berilmu. 


Lihat sahaja (sesetengah) perbincangan di laman maya (facebook, youtube, blog dan sebagainya) yang sering  bercelaru dan gagal mencapai tahap diskusi bermanfaat apabila kita sering menulis tanpa berfikir. Kita menulis apa yang kita 'mahu tulis', dan bukan menulis apa yang kita 'patut tulis'. 


Selain itu, saya juga percaya bahawa manusia yang meminggirkan sastera dan tidak melakukan pembacaan akan kehilangan aspek estetika dan faktor penenang dalam penjuru kehidupan mereka. 


Memetik buah fikir Puan Nisah Haron di dalam blognya; Saya yakin, dalam keghairahan manusia mencari-cari titik tertinggi dalam sains dan teknologi, ada kelompangan dalam jiwa manusia. Selain daripada tarbiah agama, sastera juga memainkan peranan membentuk peribadi dan jiwa yang dahagakan 'sesuatu'.


Saya pernah membaca laporan akhbar di ruangan sastera Berita Harian, sekitar Julai 2012 yang melaporkan - Brazil melancarkan program pembacaan yang membolehkan hukuman penjara banduan dipendekkan empat hari untuk setiap novel yang selesai dibaca. Banduan yang disaring oleh panel khas dikehendaki membaca 12 karya sastera, falsafah, sains atau klasik bagi membolehkan hukuman mereka dipendekkan 48 hari setahun. Selepas membaca, banduan dikehendaki menulis esei.






Dari sudut saintifik, tabiat membaca adalah perangsang mental paling berkesan dan membantu mengurangkan tekanan.


Melihat kepada permasalahan yang kian meruncing, mungkin ia berpunca daripada tercabutnya pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat kita, selain kita yang terlalu menyembah 'berhala' hedonisme dan materialistik, sehingga meminggirkan makna kehidupan yang sebenarnya. 


Khamis, Oktober 18, 2012

Seminar Memartabatkan Karya Agung : 400 Tahun Sulalatus Salatin


Sebelum saya berkelana ke Banda Aceh, Indonesia pada Disember 2011 - salah satu perkara yang saya lakukan adalah melakukan kajian serta pembacaan ringkas mengenai sejarah tempat yang hendak dilawati.


Saya agak teruja apabila mengetahui bahawa Tanah Rencong memiliki hubungan yang akrab dengan tanah tumpah kelahiran saya - Kota Tinggi, Johor.


Bendahara Tun Sri Lanang (1565-1659) dilahirkan di Bukit Seluyut, Kota Tinggi. Tun Sri Lanang menjadi Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah III. Tindak tanduk Johor yang berbaik-baik dengan Portugis dan Belanda telah menyebabkan Johor diserang oleh Aceh (Perang Batu Sawar) pada tahun 1612. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Sri Lanang dan pembesar-pembesar serta 20,000 orang Johor dibawa ke Aceh.


Dan kebetulan - ketika saya ke Banda Aceh, "Seminar Ketokohan Tun Sri Lanang Dalam Sejarah Dua Bangsa" sedang berlangsung di Samalanga, Aceh. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Gabenor/Raja/Uleebalang Samalanga yang pertama dan menjadi Penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Aceh pada tahun 1613-1659.


Papan Iklan Seminar

                                               
Walaubagaimanapun, saya tidak berkesempatan ke seminar tersebut atas faktor kekangan bajet dan jarak. Jarak daripada Banda Aceh ke Samalanga adalah kira-kira 177 KM.


Salah satu peninggalan besar Tun Sri Lanang buat kita adalah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tun Sri Lanang merupakan penyusun dan pengarang buku tersebut. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka


Belajar daripada sejarah membuatkan atur langkah kita lebih terarah.


Pada 13 Oktober 2012, bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kota Tinggi - telah diadakan Seminar Memartabatkan Karya Agung: 400 Tahun Sulalatus Salatin. Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor & Kota Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Arkib Negara Cawangan Johor dan Persatuan Penulis Johor.


Saya hadir ke seminar ini sebagai peserta.






Seminar kali ini membariskan SN Muhammad Haji Salleh sebagai penyampai ucaptama (Genius Tun Sri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin) dan pembentangan 5 kertas kerja. 


Kertas kerja 1 - Kegemilangan Empayar Melayu Melaka dan Sulalatus Salatin dalam Peradaban Malaysia
Kertas kerja 2 - Pemikiran Global Dalam Sejarah Melayu
Kertas kerja 3 - Kepentingan Pengorbanan dalam Pembentukan Bangsa : Satu Sorotan dalam pemikiran dan penulisan Sulalatus Salatin.
Kertas kerja 4 - Bicara Buku ; Air Mata Raja - Jejak Waris Istana Melaka
Kertas kerja 5 - Waad, Wasiat dan Nasihat dalam Sulalatus Salatin: Iktibar Untuk Kepimpinan Melayu



Menghadiri seminar ini telah membuka mata saya untuk meneliti Sulalatus Salatin sebagai salah satu cara menyelidik sejarah bangsa yang telah melalui satu susur sejarah yang panjang. Yang menjadi arus Sulalatus Salatin ialah gerak nasib manusia dalam sejarah, gerak naik turun bangsa, jalur-jalur zaman yang mewarnakan manusia dan kerajaan.


Tun Sri Lanang hidup hampir sezaman dengan Sasterawan Inggeris, William Shakespeare (1564-1616). Pada tahun 2002,  UNESCO telah mengiktiraf tiga koleksi agung negara, iaitu Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat Menyurat Sultan Kedah sebagai warisan dunia dan didaftarkan dalam 'Memory of the World Register'.


Pengkisahan dalam Sulalatus Salatin bermula dengan Asal Usul Raja-Raja Melayu dan disusun secara kronologi sehingga bab Melaka Ditakhluk Portugis.


Moga dengan menyelak kembali lembaran sejarah, kita bisa menjadi manusia yang kukuh jati dirinya.

Sabtu, Oktober 13, 2012

Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat


Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)  peringkat Negeri Johor bagi tahun 2012, salah satu aktiviti yang diadakan ialah Program Semarak Sastera : Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat pada 9-10 Oktober 2012. Program ini diadakan dengan usaha sama antara UiTM Cawangan Johor, DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Daerah Segamat.


Perkenalan saya dengan Encik Ainol Hasanal, pensyarah berjiwa besar dari UiTM Segamat dalam satu bengkel penulisan terus berlanjutan hingga ke hari ini. Sekitar Julai yang lalu, Encik Ainol menghantar mesej kepada saya; meminta saya untuk membicarakan tentang untuk puisi ataupun cerpen daripada kaca mata penulis muda.


Dan saya mengambil sedikit masa untuk berfikir tentang tawaran tersebut - kerana menyedari betapa diri yang masih terlalu pucuk sifatnya. Setelah mendapatkan pandangan rakan-rakan seangkatan, saya bersetuju untuk menerima peluang dan cabaran tersebut.  






Alhamdulillah - perkongsian saya pada hari kedua telah selamat dilaksanakan. Seperti yang dikehendaki oleh Encik Ainol, saya cuba untuk membicarakan tentang puisi daripada kaca mata anak muda yang tidak lahir daripada rahim sastera; tetapi memiliki kecenderungan terhadap sastera. Saya meletakkan diri sebagai seseorang yang sedang dan masih lagi belajar; bahana masih terlalu tohor pengetahuannya dalam lautan ilmu.  






Saya menulis sebuah makalah (kalaulah layak dinamakan sebagai makalah) bertajuk 'Menguak Jendela Puisi: Satu Pengalaman Peribadi' untuk memantapkan perkongsian saya. Dalam makalah tersebut - saya menulis tentang dua persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya suatu ketika dahulu - iaitu; Mengapa saya menulis puisi? dan Bagaimana saya menulis puisi?



Untuk persoalan; Mengapa saya menulis puisi? - saya senaraikan tiga pandangan peribadi, iaitu nilai estetika, menggugah pemikiran dan penerapan nilai positif. 


Untuk persoalan; Bagaimana saya menulis puisi? - saya menceritakan dengan serba ringkas tentang proses kreatif puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi yang memenangi hadiah Saguhati, Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012 dan puisi Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim Kelapan 2011: Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Puisi)


Tentatif program


Terima kasih kepada sidang hadirin yang sudi meluangkan masa. Saya akui terdapat beberapa kelemahan pada pembentangan kali pertama ini. Namun, langkah sulung ini memberikan satu suntikan motivasi buat saya untuk sentiasa mencabar diri dan mengatur alur fikir.


Entah sampai bila kita akan menggunakan usia masih muda sebagai alasan untuk tidak berbuat itu dan ini. Harapan saya hanyalah kualiti karya yang saya hasilkan akan menanjak seiring dengan umur yang meningkat. Perjalanan ini masih panjang dan perlu saya rintis perlahan-lahan.


Dari kiri:
 Prof. Madya Ahmad Nawawi , Kak Salina Ibrahim, Saya,
Dr Arbak Othman, Ustaz Zaid Akhtar, Encik Ainol Hasanal


Nota kaki:
Terima kasih kepada Kak Salina Ibrahim untuk gambar-gambarnya.

Related Posts with Thumbnails